Friday, 25 December 2009

Untuk Encik Syamil

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sanah Helwa

Esok merupakan hari lahir satu-satunya adik lelaki saya (tapi waktu Malaysia sudah). Semoga tahun yang berlalu menjadi medan muhasabah diri. Semoga peningkatan umur seiring dengan peningkatan amal dan kematangan. Jangan perasan handsome tak sudah.





Jarak antara kami adik-beradik tidaklah begitu jauh jadi ada masa kami kelihatan seperti satu geng. Tambahan bilangan perempuan melebihi lelaki. Bilangan yang ramai juga kadang membuatkan saya tidak sempat memberi ucapan hari lahir kepada setiap adik-adik saya (tapi tidak bermakna akak lupa).

Wednesday, 23 December 2009

Segalanya Milik-Mu

Segalanya Milik-Mu - Mestica

Kau yang menciptakan cinta
Dan kau jua yangg menghampar bahagia
Di ribaan-Mu terhimpun harapan
Impian tulus setiap insan

Kau yang mengutuskan duka
Dan engkaulah yang mengirimkn hampa
Namun pada-Mu jua diadukan
Merebahkan keresahan dan tangisan

Aku tahu inilah kasih-Mu
Aku tahu inilah cinta-Mu
Dan ku tahu tiap yang terbaik untukku
Tak semuanya yang ku mahu

Di celah hangat nafas yang terhela
Ada dingin saat menyebut nama-Mu
Terarah segala ronda rasa
Pada damainya dakapan-Mu (ya ALLAH)

Aku tahu inilah kasih-Mu
Aku tahu inilah cinta-Mu
Dan ku tahu disegenap ruang rasaku
Telah kau titipkan kekuatan oh Tuhan
 
 

Monday, 21 December 2009

Sunday, 20 December 2009

IMTIYAZ

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hari ini setelah selesai membuat nota pathology, saya duduk melihat gambar sambil menunggu ahli-ahli beit yang lain pulang. Tiba-tiba terasa mahu menulis sesuatu (saya jarang menulis mengenai kehidupan peribadi rasanya).

Rindu dan lucu.

Itulah yang boleh saya gambarkan apabila melihat gambar kami ketika dari tahun 1 sehinggalah sekarang. Di saat kami berenam yang begitu naif (pergi sikkah pun minta izin daripada kak Irham) dan patuh (sekali-sekala nakal tak guna musyrif) namun tetap bahagia. Kini berempat sahaja.





Duduk berenam tanpa mengenali satu sama lain sejak dari mula tiba di Mesir agak mencabar. Memulakan hidup di negara orang dengan sahabat-sahabat yang baru (lucu apabila teringat reaksi syakila ketika mula-mula bertemu). Daripada rumah yang teramat ringkas dan serba kekurangan kini rumah  kami agak lengkap dengan kemudahan yang ada.

Dulu kami kemana-mana pasti bersama. Pernah sekali saya dan syakila membatalkan hasrat ke Sinai kerana ahli-ahli Imtiyaz lain tidak dapat pergi bersama-sama. Apa jua aktiviti rumah atau persatuan tetap diusahakan untuk bersama. Tak tahulah, rasa seperti kekurangan sesuatu sekiranya tidak bersama.





Namun kini kesibukan menghabat disamping jadual dan komitmen yang berbeza membuatkan kami dengan kehidupan masing-masing tetapi tidaklah menjadi alasan untuk merenggangkan hubungan. Makan di dalam dulang, solat jemaah dan ke wikalah bersama-sama menjadi medium untuk merapatkan ukhwah. Apabila timbul isu berbangkit pasti kami akan berkongsi dan berbincang bersama. Setiap ilmu dan maklumat perlu dikongsi demi manfaat bersama.

Lidah tergigit inikan perhubungan manusia. Setiap insan dengan karakter tersendiri tentu menjadi cabaran untuk mengenali dan memahami. Tidaklah selalu bahagia tetapi rintangan itulah yang merapatkan lagi hubungan antara kami. Sikap terbuka dan berlapang dada menjadi teras dalam setiap perbincangan dan permasalahan.







Kekalkanlah ukhwah ini sehingga ke syurga-Mu. Semoga kami tergolongan di kalangan orang-orang yang berjuang di jalan-Mu.



p/s: Setiap yang saya dapat, saya ingin kalian mendapatnya juga. Setiap kesalahan yang saya lakukan, saya berharap kalian tidak melakukan silap yang sama.

Friday, 18 December 2009

Sabar

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah masih diberi nyawa untuk terus bernafas dan yang penting masih diberi nikmat iman dan Islam. Bangun pagi mengingatkan saya kerja yang agak tertangguh. Alang-alang menyelasaikan tugas, saya terjumpa sedikit bahan dan idea untuk dikongsi.

Ada peristiwa sebelum awal muharam ini yang menyebabkan saya mempunyai 2 atau 3 kesimpulan atau azam baru iaitu antaranya kurangkan hujah lebihkan amal, kurangkan angan lebihkan doa dan sabar. Artikel yang lepas saya bercakap mengenai hujah dan amal, maka kali ini mengenai SABAR.


Akhlak
Akhlak mulia adalah matlamat asasi dalam Islam malah menjadi suatu identiti yang wajib kepada muslim sejati.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (hadis sahih yang diriwayatkan oleh Malik, Hakim, At-Tabarani dan Bukhari)

Rasulullah SAW adalah seorang yang memiliki akhlak yang sungguh agung. Terdapat banyak sirah yang membuktikan keperibadian baginda mampu menarik hati orang kuffar untuk memeluk Islam. Indahnya Islam dihiasi akhlak yang murni.


Sabar
Bila berkata tentang sabar, saya akui bukan mudah untuk ketika sentiasa bersabar. Mulut mudah berkata tetapi hati siapa tahu. Bersabar dalam kehidupan memerlukan mujahadah yang agak tinggi. Umi selalu pesan, kakak perlu banyak belajar untuk bersabar.

"Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang sedemikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Asy-Syura: 43)

Hakikatnya inilah sifat yang penting untuk kita miliki terutama kita sebagai daie dan hamba Allah. Berjuang untuk menegakkan Islam bukanlah perjuangan yang dihampar karpet merah mahupun hijau. Berjuang itu pahit kerana syurga itu manis. Maka berjuang itu adalah lorong yang penuh duri, derita, siksa, penghinaan dan tuduhan.

Wahai sekalian orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang bersabar (Al-Baqarah: 153)

Untuk menghadapi hidup yang penuh liku sebagai daie kita memerlukan sifat sabar yang cukup kebal. Sabar itu perlu dalam proses menyampaikan dakwah kepada setiap golongan dan lapisan manusia yang pelbagai. Tanpa kesabaran tidak hairan jika kita akan futur akhirnya. Nauzubillah.

Sabda Rasulullah SAW: "Apabila makhluk dihimpunkan (pada hari kiamat) seorang tukang seru menyerukan: Dimanakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan?" Rasulullah SAW pun bersabda lagi: "Maka bangunlah sekumpulan manusia dan bilangan mereka amat sedikit. Mereka pun segera berarak menuju syurga, para malaikat pantas menemui mereka dan berkata: Apakah keistimewaan kamu? Mereka menjawab: Di masa yang lampau, apabila kami dizalim, kami bersabar, apabila diperlakukan sesuatu kejahatan kepada kami, kami bersifat lemah lembut. Lantas dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam syurga maka nikmatilah ganjaran bagi mereka yang beramal."


Marah
Apabila bercakap mengenai sabar, saya sendiri terbayangkan perasaan marah.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: "Berilah wasiat kepadaku." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Jangan marah." Lelaki tersebut mengulang pertanyaannya berkali-kali, sabda Rasulullah SAW: "Jangan marah"


Perasaan marah adalah penghimpun kejahatan dan bebas daripada perasaan marah adalah penghimpun kebaikan. Malah apabila ditanya kepada Rasulullah apakah amalan yang paling afdhal, sabda baginda berakhlah baik iaitu janganlah marah sekiranya kamu mampu.

Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu. (An-Nur: 22)



Ikhlas 
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan  beribadah kepadaKu (Adz-Dzariyat: 56)

Jadi jelaslah tujuan dan matlamat hakiki kehidupan kita adalah untuk beribadah kepada Allah. Setiap apa yang kita lakukan mestilah diniatkan semata-mata kerana Allah atau dengan kata lain ikhlas.

Orang yang ikhlas akan sentiasa bersabar dan menahan amarahnya kerana dia sedar bahawa hanya keredhaan Allah yang ingin dicapai bukan kepuasan diri sendiri muhupun orang lain. Dalam menuju keredhaan Allah taala pasti dugaan akan menemani.

“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)


Selamat bermujahadah dan berusaha untuk mencapai keikhlasan berjuang di jalanNya dengan sifat sabar dan menghindarkan nafsu amarah.



p/s: ada masalah dalam penulisan.

Wednesday, 16 December 2009

Tok~Tok~ Tin Kosong

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

ADHA'09 berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit ujian kepada kami pihak pengurusan. Tidak mengapa, semua ini tarbiyah dan didikan kehidupan. Bagi saya medan bekerja dan berpersatuan adalah medan saya mengenali diri saya dan diri rakan-rakan. Terima kasih kepada mereka yang menjayakan program ini secara langsung atau tidak langsung.






Mesyuarat Agung Tahunan juga berlalu dengan kelainan yang menarik tahun ini. Seperti kata sahabat saya, jelas kelihatan kematangan ahli-ahli PCM dalam MAT kali ini. Semoga usul-usul yang dibahaskan dan diterima oleh semua tanpa bantahan dapat direalisasikan dengan jayanya. Sikap berlapang dada dan berfikiran terbuka secara berprinsip penting demi kesatuan.

Alhamdulillah-alhamdulillah satu-persatu tanggungjawab selesai namun satu-persatu tanggungjawab menanti. Al-wajibat akthar min al-awqat. Tanggungjawab itu lebih banyak daripada masa yang ada. Tapi untuk diuji dengan masa yang lapang itu lebih membimbangkan saya.

Terbaru dengan taklifan mentor dan mentor figure bagi sesi 2009/10 maka saya terpaksa meninggalkan adik-adik J2 dan J3. Harap-harap ukhwah yang baru terbina tidak terhenti begitu sahaja. Ketika perjumpaan mentor, kami diminta mengisi borang. Antara soalan yang menarik adalah apakah harapan anda kepada diri sendiri, mentor figure dan mentor (kalau saya tak silap).

Jawapan saya agak pendek iaitu "saya berharap diri saya tidak menjadi seperti tin kosong". Saya sedar bahawa bakat saya dalam bidang penulisan lebih tumpul berbanding berhujah atau bercakap. Dalam keadaan kaki terketar-ketar namun tidak pada suara saya, seiring dengan semangat mungkin.





Apakah maksud tin kosong itu?

Andai kita mengetuk tin kosong pasti bergema bunyi tin tersebut tetapi berisikah tin tersebut?

Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan. (As-Saff: 2-3)

Itulah kebimbangan saya. Kita akan diuji dengan setiap kata-kata kita. Allah tidak suka akan hambaNya yang cakap lebih tetapi kurang amal. Menulis dan berhujah mungkin mudah tetapi untuk turun padang merealisasikan kata-kata ramai yang kecundang. Nauzubillah.

Saya telah mencadangkan supaya penyelarasan istilah mahasiswa-mahasiswi mengantikan istilah pelajar-pelajar dilaksanakan supaya kita semua sedar bahawa kita bukan lagi pelajar sekolah yang diatur-atur hidupnya. Bukan golongan yang takutkan cabaran dan isu-isu berat. Suara mahasiswa itu suara keramat seperti yang sering dilaungkan. Namun, diharapkan suara keramat itu bukan semangat semata-mata.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya....  (Al-Baqarah: 286)

Bersesuaian dengan firman Allah di atas bahawa Dia menguji hambaNya mengikut kemampuan dan kesesuaian hambaNya. Sesungguhnya kekuatan itu hanya dari Allah. Dengan Allahlah kita meminta agar kita diberi kekuatan untuk mencapai tujuan dan matlamat hidup kita.

Mungkin boleh jadikan salah satu azam baru, kurangkan hujah lebihkan amal. Malang kalau hujah yang cantik dan kemas itu tidak diusahakan untuk diterjemahkan di dunia realiti. Sungguh merugikan kerana kefahaman yang ada jangan disia-siakan. Maka, selamat beramal.

Saturday, 28 November 2009

Mansurah oh Mansurah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Mesyuarat agung semakin hampir. Macam-macam isu timbul sejak akhir-akhir ini di Mansurah. Isu rebut adik, isu PCM, isu SC, isu petisyen, isu pencalonan dan pelbagai lagi. Mungkin kali pertama saya mengulas isu-isu panas Mansurah namun saya boleh dikira ketinggalan zaman kerana terlalu sibuk untuk raya Adha kali ini.

Geram
Geram apabila sempat saya membaca ulasan-ulasan yang menggunakan istilah muka-muka lama, kelompok sama dan yang sewaktu dengannya. Kalian sibuk mengkritik tanpa membantu sepenuhnya mengatasi masalah yang timbul.

Mari kita muhasabah. Mudah sahaja, kenapa balik-balik orang yang sama. Tidak malukah kita? Mereka sanggup untuk turun padang dan bekerja sehingga kadang kala masa untuk diri hatta pelajaran terkorban. Mereka sanggup untuk menjadi yang di atas hatta pekerja bawahan sedangkan semua sedar yang pekerjaan ini adalah pekerjaan tanpa gaji dan memerlukan pengorbanan yang besar.

Kita? (Guna istilah kita sesuai, sama-sama muhasabah)

Kita sibuk dengan perasaan tak puas hati tapi tidak menghulur tangan membantu. Kita sibuk mengkritik tapi tidak cuba bersama-sama merasai sukarnya perjalanan mereka. Mungkin kerja yang sepatutnya dilakukan oleh 3 orang tetapi terpaksa ditanggung seorang. Masalah yang perlu diatasi semakin bertambah tetapi penyelasai masalah kekurangan tenaga.

Soal kepimpinan digembar-gemburkan perlu meliputi semua warga mansurah (pada saya sudah meliputi) tapi bagaimana pula dengan tenaga kerja bawahan?

Menguruskan ADHA'09 kami mengalami kekurangan (yang amat mungkin) tenaga kerja untuk kerja-kerja yang mungkin tidak popular seperti membersihkan tempat gotong-royong. Kebanyakan pelajar menolak terus (tidak berminat) atau 'meletak jawatan' atas pelbagai alasan apabila kami memerlukan bantuan anda. Jadi saya rasa kita perlu sedar, banyak lagi yang perlu kita titik beratkan. Jangan hanya sibukkan pimpinan atasan tetapi menyumbang tenaga bawahan tidak sudi.

Jangan jadi manusia pentingkan diri sahaja. Sibuk mahukan pimpinan pilihan hati atas alasan mahu kebajikan pelajar terjaga sepenuhnya tetapi menyumbang tenaga supaya impian kebajikan kita semua terjaga sepenuhnya tidak sudi memberi dengan serela hati. Balik-balik alasan study (bab ini perlu ulas lain).

Banyak lagi yang ingin saya luahkan tetapi kekangan masa yang terlalu menghabat. Dengan kesempatan ini marilah warga mansurah sekalian khasnya pelajar perubatan mansoura university untuk turun bersama-sama menjayakan program ADHA'09. Mari kita buktikan yang kita mahukan PCM ini milik semua. 

p/s: artikel ekspress

Friday, 20 November 2009

Sejarah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Saya agak meminati sejarah. Sedikit. sebanyak minat saya terhadap sejarah kerana saya mempunyai umi yang teramat meminati sejarah. Jika menonton filem dengan beliau memang menyeronokkan kerana dia pasti akan mengaitkan dengan fakta yang berkaitan terutama soal sejarah.

Saya teringat kali pertama saya betul-betul tertarik dengan sejarah Islam dan dunia adalah ketika di sekolah menengah, saya sebagai naqibah perlu membaca Apa Ertinya Saya Mengganut Islam yang menjadi silibus usrah ketika itu.

...akhirnya menyediakan keadaan kepada umat Islam untuk menerima kekalahan pertama pada tahun 1948.

Kalau ketewasan dalam tahun 1948 adalah akibat mengekori Barat maka ketewasan pada tahun 1967 adalah akibat mengikut proletariat yang kefahaman kiri

2 ayat kata pengantar yang cukup membuatkan saya begitu tertarik. Apakah sebenarnya yang berlaku pada tahun 1948? Kenapa dikatakan kekalahan umat Islam? Sejak itu saya cuba memahami apakah yang berlaku dan impaknya kepada umat Islam. Malah saya sedar teramat sedikit pengetahuan saya ketika itu.

Dengan situasi yang terhad memandangkan saya bukanlah pelajar Sejarah, saya cuba memahami sedikit demi sedikit. Dokumentari dari youtube yang dicadangkan umi abuya banyak membantu saya. Namun saya sedar banyak lagi yang perlu saya baca.





Dokumentari ini cukup memberi kesan kepada diri saya juga sahabat-sahabat serumah saya. Ketika kali pertama saya melihatnya, saya tidak dapat menahan mengalirkan air mata. Alhamdulillah saya berkesempatan berkongsi dengan teman-teman. Semoga mereka mendapat sesuatu yang bernilai.

“Dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”  (Surah Hud 11: 120)

Saya percaya jika kita menyoroti sejarah ia menjadi salah satu kaedah untuk menguatkan hati dan memberi pengajaran dan peringatan. Malah terlalu banyak isu yang perlu kita selak lembaran sejarah supaya kita faham apakah yang berlaku dan puncanya. Supaya isu bukan sekadar isu. Panas isu panaslah kita tetapi apabila isu sejuk lupalah kita.

Mungkin ada yang mengatakan sejarah itu membosankan. Tanpa sejarah kita tidak tahu sumber kekuatan orang-orang terdahulu berjuang di jalan Allah. Tanpa sejarah kita tidak tahu rahsia kegagalan dan kejayaan umat terdahulu. Banyak lagi kelebihan mendalami sejarah. Malah dalam al-Quran sendiri terdapat banyak sejarah yang perlu kita singkap. Maka sejarah itu bukan sekadar fakta sahaja. Ada permata.

Mungkin kerana kali ini pengisian perjumpaan bersama adik-adik sc, saya dan sahabat saya bersetuju untuk mengadakan sedikit tayangan sambil makan-makan membuatkan saya mengimbau kembali minat saya terhadap sejarah. Terasa ingin menulis sesuatu tetapi terasa masih kekurangan malah mungkin masih belum layak digelar orang yang meminati sejarah.

Orang mukmin tidak akan dipatuk oleh ular yang sama di dalam lubang yang sama tetapi bagaimana?

Thursday, 19 November 2009

Hanim dan UPSR

Lagi dua hari peperiksaan MCQ tetapi Allah sahaja yang tahu betapa tidak selesanya saya dengan musim sejuk kali ini ditambah pemanas rosak. Terpaksa saya mengambil inisiatif memakai beberapa lapis baju. Terbayang bagaimana orang-orang Islam yang diuji di luar sana. Bukan sahaja pemanas malah baju pun belum tentu cukup untuk mereka melindung diri dari kesejukan.

Saat tidak enak dibuai mimpi, saya mendapat sms daripada umi, "Hanim dapat 5A UPSR". Hari itu umi beritahu yang dia mendapat Jayyid Jiddan dalam PSRA. Wah, ini agak mengejutkan. Rasanya ini rekod baru dalam keluarga. Saya dahulu terlalu menumpukan UPSR lalu mengabaikan PSRA.




Alhamdulillah setinggi kesyukuran kerana memberi kejayaan kepada adik kami. Mesti umi abuya lega sebab kakak tahu umi abuya selalu bimbangkan Hanim. Kali ini sempat ke sambut ke mana-mana? Nasib orang merantau, tengok gambar sahaja jawabnya.

Ingatlah jangan jadikan kejayaan pertama ini penyebab untuk lupa diri supaya kita tidak tergolong di kalangan orang yang tidak bersyukur.

“Dan ketika Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya akan ku tambah (nikmatKu) kepada kamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu amat berat”. (Surah Ibrahim: 7)


p/s: Masuk tingkatan satu maka kena tingkatkan kematangan diri.

Tuesday, 17 November 2009

Cik Nab dan SPM

AKU NAK EXAM DA!!!! WAAAAAAAA.

Huhu. Cik Nab tension ke sampai sms akak macam itu. 




Tenang-tenang. Hari-hari mesti belajar 24 jam..

"...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri..." (Ar-Ra'd: 11)

Usaha-usaha juga tapi doa jangan dilupa.

"Berdoalah  kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." (Al-A'raf: 55)

Menjawablah dengan penuh ketenangan. Selepas itu tawakal dan berserah sepenuhnya kepada Allah.

 "...Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad maka bertawakallah kepada Allah, sungguh Allah mencintai orang yang bertawakal." (Ali-Imran: 159)

 . 
Selamat menjawab untuk semua adik-adik yang akan menghadapi SPM esok. Dah bertungkus-lumus 2 tahun, saat inilah untuk curah semuanya. Jangan ada yang bawa jam loceng besar atau mercun waktu subjek akhir. Cikgu marah nanti. Esok dan hari-hari peperiksaan seterusnya jawab betul-betul. Tip-tip lain mesti semua sudah tahu



Mana satu cik Nab? Siapa tahu angkat tangan.



p/s: Teringat dulu tak jawab 10 soalan objektif kimia SPM. Alhamdulillah ok. Nyaris menangis bila keluar dewan baru teringat muka surat belakang tak selak. Jadi, hati-hati adik-adik.

Goyah dan Takut

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hari ini saya ber'ym' dengan seorang sahabat saya di Malaysia. Sebelum mengakhiri perbualan kami,


Saya: Hmm, mesti nak bersiap. Sebelum tu tolong bagi nasihat sikit, nak jaga hati
Sahabat: Kenapa?
Saya: Susah nak ikhlas, mudah goyah
Sahabat: Ikhlas ini kadang aku sendiri pun payah. Tekadkan hati dan banyak mujahadah

"Hati manusia adalah terlalu unik, berbolak-balik, liar dan maknawi sifatnya. Tiada sebarang alat atau kaedah yang mampu menguasai hati. Hati itu milik Tuhan bukan milik tuan. Dan Allah sahajalah yang mampu menguasai hati manusia." -SOLUSI isu no.11


Saya: Aku bimbang terlalu cintakan dunia dan takutkan mati. Sifat wahn tu dalam diri aku
Sahabat: Ish, jangan sampai macam tu.

Dari Tsauban ia berkata Rasulullah bersabda: "Kelak umat-umat lain akan mengerumuni kalian seperti orang-orang yang lapar mengerumuni hidangan mereka." Salah seorang bertanya: "Adakah kerana bilangan kita sedikit ketika itu?" Rasulullah menjawab: "Tidak, ketika itu bilangan kalian ramai, namun kalian adalah seperti buih di lautan, Allah akan menghilangkan perasaan takut dari hati musuh kalian dan Allah akan mencampakkan 'Wahn' ke dalam hati kalin." Salah seorang bertanya: "Apakah wahn itu wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Cintakan kehidupan dan bencikan kematian."

Inilah yang saya bimbangkan terutama ketika hanya sedikit ujian dalam perjuangan mengentarkan atau merisaukan hati saya.

"Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan mengatakan: "Kami telah beriman." sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-Ankabut: 2-3)

Apabila dunia menjadi alasan

"Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiaanya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya dan Allah tidak memberi petunjuk kepasa orang-orang yang fasik" (At-Taubah:24)"


Saya: Aku baca buku, bila baca yang pejuangan tu tahap melibatkan nyawa aku terfikir, sampai ke tak tahap itu kesanggupan aku. 

"..kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya. Kamu pasti akan diuji dengan hartamu dan dirimu.." (Ali-Imran : 185-186)

Nah

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga. (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar ditetapkan Allah...dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) adalah kemenangan yang besar." (At-Taubah:111)

"...dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah akan melaksanakan urusan (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (At-Tolaaq: 3)


Saya: Mungkin belum tahap sepenuhnya rasa kemanisan iman. Kena banyak bersihkan jiwa
Sahabat: Betul. Itu batu asas sebenarnya. Kalau tidak sampai bila pun berjuang akan tak ikhlas.

"Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat seketul daging, apabila elok daging tersebut, maka eloklah jasad tersebut keseluruhannya, apabila ia rosak, maka rosaklah jasad keseluruhannya, ketahuilah bahawa ia adalah HATI" (HR Muslim.)

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya" (Asy-Syam: 9-10)

Sabda Rasululullah SAW: "3 perkara sesiapa yang terdapat ketiga-tiga perkara itu dalam dirinya beliau akan mendapat kemanisan iman iaitu: bahawa Allah dan rasulNya lebih ia kasihi dari yang lain, bahawa beliau tidak mengasihi seseorang kecuali kerana Allah, bahawa beliau benci kembali kepada kekufuran sebagaimana beliau benci dilontarkan ke dalam neraka" (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)


Sahabat: Selamat berjuang sahabatku!
Saya: Semoga sahabat aku istiqamah
Sahabat: InsyaAllah, bitaufiq wannajah
Saya: Syukran


"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati  dengan kesabaran." (Al-Asr:1-3)





p/s: Ada sedikit perubahan daripada perbualan sebenar. Ayat-ayat al-quran dan hadis tersebut muncul dalam fikiran saya ketika kami berbual.

Thursday, 12 November 2009

Mesyuarat oh Mesyuarat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah semalam selesai pusingan kedua mesyuarat ADHA '09. Terima kasih tidak terhingga kepada semua gerak kerja yang telah memberi komitmen yang baik.



Iklan ini sungguh comel

Mungkin saya bukanlah orang yang selayaknya untuk memberi pendapat soal ini. Cuma sekadar pendapat peribadi dan hasil pembacaan saya. Setiap gerak kerja atau program pasti akan melibatkan agenda mesyuarat tidak kira mesyuarat induk atau mesyuarat unit kecil.


Defini mesyuarat

Menurut bahasa adalah berunding atau bertukar fikiran.

Menurut istilah syariat Islam ialah bertukar fikiran atau berbincang antara dua orang atau lebih dalam menghadapi hal-hal yang dibenarkan oleh syariat sesuai dengan adab-adab dan cara-cara yang syari' untuk memperoleh hasil yang baik dan benar yang akan menjadi tindakan bersama seseorang atau kelompok.

"Dan orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka diputuskan dengan musywarah antara mereka dan mereka menafkahkn sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (As-Syura:38)





Mesyuarat adalah Fitrah

Tiada manusia yang suka disuruh-suruh atau diperintah taat membabi-buta. Jadi fitrah manusia perlukan kepada perbincangan supaya kata sepakat yang dicapai sesuai dengan keadaan semua pihak kerana fitrah wujud perbezaan pandangan dan pendapat. Keputusan yang dicapai atas fikiran individu berlainan dengan keputusan yang dicapai atas fikiran kumpulan.

"...mesyuaratlah dengan mereka urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudia apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat dan hendak membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." (Surah Ali-Imran:159)



 Bekerjasama


Mesyuarat berperanan menyatukan semua pandangan dan idea yang berbeza untuk diperdebatkan dengan cara yang tersusun dan berkesan.

"Dan juga (lebih baik dan lebih kekal) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya." (Asy-Syura:38)

Maka tidak dapat tidak kita tidak boleh menolak kepentingan bermesyuarat dan berbincang. Malah selain mencapai keputusan dalam perbincangan kita juga dapat mengelakkan kesilapan yang besar. Mungkin apa yang tidak disedari oleh kita akan disedari oleh ahli mesyuarat yang lain. Sesungguhnya penelitian setiap manusia berlainan.

Khalifah Umar bin Khattab berkata: "Tiada kebaikan pada sesuatu urusan yang dilaksanakan tanpa musyawarah" (An-Nizam As-Siyasi Fil-islam, Muhammad Abdul Qadir Abu Faris)

Jadi rakan-rakan, jangan malas-malas pergi mesyuarat. Lagi bertangguh lagi bertambah dan tergendala kerja kita.


Penting sangat ke mesyuarat unit?

Mungkin ada pihak yang kurang mengambil berat soal ini. Di mesyuarat unit inilah kita akan mengecilkan skop kepada bidang tugas unit kita. Di sinilah sepatutnya segala permasalahan dan cadangan berkaitan unit kita diselesaikan. Kehadiran pengarah atau timbalan pengarah ke mesyuarat unit pula adalah untuk memantau gerak kerja mesyuarat unit selaras dengan objektif program.

Kenapa saya bercakap mengenai mesyuarat unit?




Menjadi masalah kerana setiap kali mesyuarat induk akan memakan masa yang panjang kerana terpaksa membincangkan masalah-masalah yang sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat unit. Mesyuarat induk lebih kepada pembentangan gerak kerja setiap unit, penyelarasan tugas antara unit-unit dan hal-hal yang berbangkit. Kita sebagai pelajar pasti memerlukan penyusunan masa yang teratur. Jadi penting setiap agenda disusun dengan efektif.

Wujud juga unit yang memberi alasan tidak perlukan mesyuarat unit. Saya lebih suka menekankan sekurangnya terdapat perbincangan dua hala antara ketua dan timbalan atau dengan kata lain antara ikhwah dan akhwat. Kerap timbul rungutan tiada perbincangan atau kerjasama yang baik antara ketua dan timbalan ketua yakni lelaki dan perempuan.

Kita selalu dengar kata-kata wanita dan lelaki berbeza. Allah jadikan setiap makhluk-makhlukNya berlainan sifat dan pemikiran. Jadi mengapa kita tidak kita ambil hikmah dari kejadiaanNya untuk memperkembangkan kebolehan diri dengan cara yang dibenarkan. Islam tidak menghalang perbincangan antara dua jantina ini asalkan adab-adab islamiah itu dipatuhi.





"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong sesetengah yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan membayar zakat serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha kuasa lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah:71)

Sekiranya kita jelas tujuan dan matlamat kita, tidak akan timbul isu saya tunggu dia yang mula dulu, saya tunggu dia telefon dulu atau saya malu nak bersuara. Islam tidak membezakan hak bersuara antara lelaki dan perempuan. Indahkan Islam? Suatu agama yang syumul


Kesimpulan
Muhasabah kepada diri saya sendiri selaku insan yang lemah dan memerlukan bantuan rakan-rakan dalam apa jua gerak kerja. Islam sendiri mementingkan mesyuarat  dan kita sebagai umat Islam jangan malu-malu dan jangan ragu-ragu untuk berbincang. Berbincanglah dengan minda yang terbuka dan emosi yang terkawal. Persatuan, program, mesyurat dan sebagainya merupakan salah satu latihan kita untuk hidup bermasyarakat.

Panduan mesyuarat yang berkesan bolehlah dicapai melalui pembacaan atau merujuk kepada yang berkenaan supaya kita tidak bermesyuarat berjam-jam tetapi hasil tidak memuaskan. Entry kali ini lebih membincangkan kepentingan dan keperluan mesyuarat itu sendiri.



Perbincangan di mana sahaja


Rujukan:
  1. Al-Quran 
  2. Pdf Syura dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya
  3. Pdf The Power of Syura in Islam

p/s: umi dan kak una mencadangkan ulasan mengenai hubungan dua hala antara ketua dan timbalan. Mungkin dalam entry yang berasingan atau blogger-blogger lain boleh ulas soal ini. Sedikit penghargaan kepada rakan sekerja saya kerana banyak memberikan kerjasama yang jarang-jarang saya peroleh sebelum ini. Untuk Islam insya Allah.

Monday, 9 November 2009

ADHA '09


Dari Aisyah Radhiyallahu Anha (R.A.) bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda, ertinya:
“Tidaklah anak cucu Adam mengerjakan suatu amalan yang lebih disenangi Allah pada hari korban daripada menyembelih binatang korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat kelak dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kalian semua dengan (pahala) qurban itu” (H.R. Tirmizi)


Sunday, 8 November 2009

Antara Cinta dan PEMBERI Cinta

Dengan Nama Allah Yang Mengasih Lagi Maha Penyayang


Sedar tidak sedar kita adalah individu yang zalim. Salah satunya kita kejam bila memperkatakan soal cinta. Tidak kiralah cinta kekasih, rakan baik atau ahli keluarga. Mari kita sama-sama muhasabah di mana silap kita.




Sekiranya anda mendapat hadiah daripada seseorang maka anda akan menghargai individu tersebut kerana kemurahan hatinya. Allah menghadiahkan kita cinta tetapi malangnya kita lebih menghargai cinta lebih daripada Allah yang memberikan cinta itu.

Banyak bukti kita lebih menghargai cinta sehingga tahap bertuhankan cinta antaranya:
  1. Kita sentiasa tidak sabar malah terkejar-kejar untuk berjumpa kekasih tetapi sentiasa malas malah bertangguh-tangguh untuk berjumpa Allah.
  2. Kita sentiasa cuba menghiburkan hati cinta hati kita dengan kebaikan kita tetapi kita tergamak mengundang kemurkaan Allah dengan maksiat.
  3. Sanggup bergolak-gadai demi kekasih tetapi berkira untuk menyumbang sedikit demi agama Allah.


Wajarkah kita lebih menghargai cinta berbanding Allah yang memberi cinta? Sesungguhnya balasan kezaliman kita sedikit pun tidak menjejaskan Allah tetapi kita jualah tergolong daripada golongan-golongan yang rugi.

Dan ketika Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya akan ku tambah (nikmatKu) kepada kamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu amat berat”. (Surah Ibrahim: 7)

"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukakan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga..." (Surah Al-Israa': 7)


p/s: Artikel kali ini agak pendek. Asalnya dibuat pendek untuk sebuah majalah atas permintaan seorang sahabat.

Sunday, 1 November 2009

Ayam Bakar Manis

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah semalam giliran saya memasak. Kali ini saya ingin berkongsi resepi ayam bakar. Ubah suai sendiri kerana bahan-bahan dapur rumah agak terhad.


Bahan-Bahan
500gm ayam
3 sudu besar kicap
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar madu hitam
2 sudu besar gula perang
1 kiub ayam
4 ulas bawang putih (ditumbuk atau kisar)
1 sudu besar serbuk lada hitam (sukatan terpulang selera masing-masing)
1 cm halia /1 sudu besar serbuk halia


Cara-cara
  1. Gaulkan semua bahan-bahan tadi dan perapkan bersama ayam selama 30minit atau lebih.
  2. Kemudian bakar sehingga masak

Mudah dan sedap. Selamat mencuba.


p/s: tak ambil gambar sebab tak terfikir nak masukkan dalam blog

Friday, 30 October 2009

P.U.T.E.R.I '06

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah semalam aktiviti qiamulail batch (salah satu aktiviti smart circle) yang julung-julung kali bagi sesi 09/10 berjaya diadakan. Walaupun ada antara kami yang berlainan kelas namun ukhwah antara kami tetap utuh.


Coming soon www.kamiputeri06.blogspot.com

Mungkin saya tidak bercerita di sini apa aktiviti yang kami lakukakan. Entry kali ini saya tujukan lagu ini khas untuk sahabat takhi saya Aida, ahli-ahli Imtiyaz dan rakan-rakan sebatch saya. Secara umum untuk semua rakan-rakan saya.




Kawan - Rabbani


Kawan Mara Ke Hadapan
Maju Bina Kekuatan
Hidup Mesti Tempuh Cabaran
Itulah Resam Kehidupan

Dunia Perlukan Pertolongan
Dari Generasi Sepertimu
Binalah Sifat Kekeluargaan
Untuk Mendapat Keredahaan Tuhan Yang Esa

Setiap Langkahmu Menjadi Ikutan
Untuk Generasi Sepanjang Zaman

Dunia Ini Penuh Dugaan
Tempuhilah Walau Seorang
Biar Ribut Mahupun Taufan
Quran Sunnah Jadi Bekalan

Kawan Berazam Dan Berjanjilah
Akan Kau Kotakan Sabda Junjungan
Peliharalah Peribadimu
Peliharalah Ahli Keluargamu

Dunia Ini Hanya Sementara
Beribadahlah Sebagai Bekalan
Untuk Menuju Hari Kemudian
Akhirat Jua Kekal Selamanya


Sedikit sebanyak lagu ini berkaitan dengan pengisian kita semalam.

p/s: Syukran Aida untuk kad semangat yang sungguh comel.

Thursday, 15 October 2009

Memberi, antara Letih dan Ikhlas

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Terkenang kisah tahun lalu.

"Saya letih semalam sehingga tertidur. Hilang semua semangat. Rupanya selama ini itu pandangan sesetengah orang terhadap saya." luahan saya kepada seorang sahabat.

"Andai awak ikhlas memberi, respon manusia tak lagi penting bagi awak."balasnya.


LETIH dan STRESS
Letih melayan kerenah dan pandangan manusia. Bukan mudah membuat sesuatu yang menyenangkan hati semua orang. Saya juga manusia. Manusia yang ada kekurangan dan kesilapan.




Ada masa kelebihan dan pengorbanan tidak dihargai.

Ada masa kekurangan dan kesilapan itu yang diberi perhatian bukan dibaiki.


IKHLAS
Berikut adalah rumusan yang saya dapat pembacaan beberapa buah buku.

Orang yang ikhlas itu tidak ada sesuatu pun di dalam hatinya melainkan Allah. Dia berbuat kerana dan untuk Allah semata-mata. Orang yang ikhlas melakukan sesuatu yang menjadi kesukaan Allah bukan kesukaan semua orang. Malahan dia tidak bimbang tidak disukai orang lain kerana orang yang sukakan Allah pasti menyukai dirinya.




Orang ikhlas itu bebas. Dia tidak perlu stress untuk melakukan sesuatu kerana rahsia kejayaan dan ketenangan itu adalah keredhaan Allah bukan keredhaan manusia. Jangan terkejut sekiranya manusia yang sentiasa cuba memuaskan hati semua pihak akhirnya akan dibenci semua pihak.

Cinta yang satu yakni Cinta Allah akan menyatukan orang-orang yang diredhainya. Maka hanya cinta dan kesukaan Allah yang utama. Apalah guna keredhaan manusia berbanding keredhaan Allah.

Malah orang yang ikhlas itu fokus. Dia tidak akan lari daripada matlamatnya. Keikhlasan akan melahirkan hasil yang berkualiti. Dia tidak berkira untuk memberi lebih kerana dia tahu segala kerana Allah pasti membawa keredhaan Allah jua. Segala perbuatan baik kerana Allah maka natijahnya turut baik.


MEMBERI
Memberi hakikatnya tidak mengurangkan. Hukama berkata harta yang menjadi milik kita yang hakiki ialah harta yang diberikan ke jalan Allah.

Mengapa ada insan yang bahagia ketika memberi?

Memberi dengan keikhlasan dan kasih sayang tanpa mengharap balasan. Kasih sayang tidak akan berkurang dengan memberi malah bertambah dan bercambah. Saya percaya rasa kasih sayang itulah yang memberi kebahagian walaupun ada manusia yang menganggap kita letih dan berkurang dengan memberi.


Memberi dengan ikatan kasih sayang di hamparan keikhlasan


Andai kita mengharapkan balasan walaupun ucapan terima kasih maka kita akan stress. Mengapa? Allah sendiri menegaskan dalam al-Quran bahawa teramat sedikit hambaNya yang bersyukur. Allah yang Maha Pemberi pun manusia kurang bersyukur apatah lagi kita yang kerdil ini mengharapkan balasan daripada manusia.


RACUN KEIKHLASAN
  1. Riyak - boleh digambarkan sebagai melakukan sebarang pekerjaan dengan niat mengharapkan selain daripada keredhaan Allah.
  2. Ujub - berasa kagum dengan kelebihan diri sendiri dan amalan yang dilakukan. Orang sebegini sebenarnya tertipu dengan diri sendiri
  3. Sum'ah - melakukan sesuatu amal kebajikan dengan mengharapkan kemasyhuran dan menjadi orang yang terkenal di kalangan manusia.
Orang tua saya pernah berkata, "Bila manusia mula berasa diri hebat dan sempurna, habis...".


KESIMPULAN
Maka mengapa perlu stress dengan pandangan manusia? Kita perlu stress sekiranya perilaku kita mengundang kemurkaan Allah. Tapi itulah yang kita kurang cakna selama ini.

Jangan biarkan stress dan letih itu memakan diri. Stress mampu merosakan sistem dan kesihatan tubuh badan kita. Hmm, jadi keikhlasan juga adalah salah satu cara menguruskan tekanan.

Jadi bila stress, jom semak diri. Ikhlaskah aku?


Hidup dengan keikhlasan membawa kebahagian


p/s: Buku Nota Hati Seorang Lelaki banyak mengajar saya hakikat kehidupan antaranya keikhlasan dan kemaafan.

Wednesday, 14 October 2009

Tidak Seindah Sentuhan Mata


Sekeping hati dibawa berlari

Jauh melalui jalan nan sepi

Jalan kebenaran indah terbentang

Di depan matamu para pejuang


Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi

Ada ujian yang datang melanda

Ada perangkap menunggu mangsa


Akan kuatkah kaki yang melangkah
Bila disapa duri yang menanti

Akan kaburkan mata yang menatap

Pada debu yang pastikan hinggap

Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang

Jalannya tak seindah sentuhan mata

Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba




Tidak Seindah Sentuhan Mata - The Zikr

Album Secerah Pawarna- The Zikr

Sunday, 6 September 2009

Give and Take

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Saat sibuk mengemas apa yang perlu sebelum pulang ke Malaysia termasuk 'mengemas' latop, saya terjumpa draf artikel ini. Entah mengapa saya hanya menyimpan sahaja. Walaupun ia pendek semoga bermanfaat.


Give and Take
Kehidupan kita sememangnya diwarnai dengan pelbagai ragam dan sikap.

Adakala kita mendengar rungutan sesetengah individu. Merungut apabila suara hatinya tidak didengari. Merungut apabila pandangannya tidak diterima. Saya juga pernah dan mungkin kerap merasa begitu.

Apa yang kita beri itulah yang kita terima. Melihat peribadi dan cara hidup orang-orang yang dihormati dan sentiasa diterima pakai pandangan mereka, saya dapat membuat sedikit kesimpulan awal.

Bagaimana pandangan mereka sentiasa diterima atau paling kurang diambil cakna?

Bagaimana suara hati mereka dapat menyentuh hati-hati insan lain?

Kerana mereka belajar menerima pandangan orang lain. Mereka belajar berlapang dada dengan idea-idea sahabat-sahabat. Diterima atau ditolak soal kedua tetapi yang penting ia didengari terlebih dahulu.



Suara hati mereka mudah dirasai kerana mereka sering mendengar suara hati sahabat-sahabat. Mereka membantu yang perlu. Mereka tidak hanya hebat bercakap tetapi mereka turun padang mereliasasikan kata-kata. Kita dapat merasakan keikhlasan mereka.

Cuba kita muhasabah kembali adakah kita bertindak seperti mereka? Atau kita sekadar merungut dan mengungkit minta diterima tanpa menerima dan memberi. Sekadar pandangan daripada saya.

Wallahualam.

p/s: Harap Cikgu Liza sabar menanti kepulangan saya (^_^)

Friday, 21 August 2009

Ramadhan Tiba Lagi

Selamat Menyambut Ramadahan Al-Mubarak

Semoga kita dapat memanfaatkan sepenuhnya madrasah Ramadhan kali ini kerana sesungguhnya tidak pasti lagi berpeluang lagikah kita untuk Ramadhan seterusnya.


SMS PERTAMA
Sms ucapan Ramadhan pertama daripada adik di UIA:

"Insan yang soleh tersenyum dalam kesusahan, mendapat kekuatan melalui doa, menenangkan hati melalui istigfar, dan mendidik diri dengan solat yang kusyuk...Selamat Menyambut Ramadhan Mubarak. Semoga memanfaatkan madrasah ramadhan kali ini dengan sebaiknya. Amin"


YANG TELAH TIADA
Sesungguhnya Allah lebih menyayangi mereka. Kehilangan Ustaz Asri dalam dunia seni nasyid dan kehilangan atuk daripada keluarga saya agak memberi kesan. Semoga Allah mencucuri rahmatNya dan tempatkan mereka di kalangan golongan beriman.


ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu siangnya kau sibukkan dengan kebaikan

Tentu malamnya kau sibukkan dengan beribadah


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu solatmu di awal waktu

Tentu solatmu dikerjakan penuh kekusyukan

[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan
matiku... kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

Tidak akan kau sia-siakan walau sesaat yang berlalu

Pasti ayat suci Al-Quran yang kau aluankan

Pasti zikrullah yang membasahi bibirmu


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Mari kita meriahkan Ramadhan

Kita buru...Kita cari...suatu malam idaman

Yang lebih baik dari seribu bulan


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir

Mempersiap diri, rohani dan jasmani

Menerima ketibaan Izrail menjemputmu


Duhai Ilahi.

Jadikanlah Ramadhan ini paling berarti

Jadikanlah Ramadhan ini paling berseri

Menerangi kegelapan hati kami

Menyeru ke jalan menuju keredhaanMu


Namun teman

Tiada manusia mengetahui ajal dan nasib mereka

Kita hanya mampu berusaha dan terus berusaha

Semoga Allah terus merahmati dan melindungi kita


Andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita

MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH KU LAKUKAN

p/s: Bila agaknya Mansurah boleh merubah qarar membenarkan akhawat solat tarawikh di masjid macam di Jordan.

Thursday, 20 August 2009

Meet The Robinsons

It has been a long time since I wrote about my friends. Actually every day I opened my blog but I still can't write anything. I need some time to get myself back.

Hmm, maybe I should share about a cartoon recently I watched, 'Meet the Robinsons'. It was just a simple story but I believe you can get some lesson learn from it. It's all about a boy who is trying to find who is his real mother. This film talk about his failure, support, spirit and successful. The film ends with a quotation

"Around here, however, we don't look backwards for very long. We keep moving forward, opening up new doors and doing new things, because we're curious...and curiosity keeps leading us down new paths'

Friday, 24 July 2009

Sahabat-Sahabat Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah selesai separuh urusan bank akibat kecuaian saya menghilangkan kad bank. Macam-macam yang berlaku dalam hidup saya kebelakangan ini. Betullah bahawa ketenangan dalam bertindak adalah penting.

Bersangka baiklah dengan Allah, maka dengan dengan izinNya pasti ada jalan keluar. Allah hadirkan saya sahabat-sahabat yang berjasa dalam hidup saya. Mereka muncul di kala saya memerlukan.


DUNIA MATRIKULASI
Di kala melangkah ke dunia matrikulasi, Allah kurniakan saya sahabat-sahabat yang membimbing saya daripada hanyut dunia luar yang penuh cabaran. Alhamdulillah banyak perkara saya peroleh daripada mereka. Pengenalan hanya 3 bulan dirasakan seperti lebih dari itu.

Saidina Umar r.a berkata : "Hendaklah kamu berkawan dengan kawan yang bersifat benar, hiduplah di bawah jagaan mereka, kerana sesungguhnya mereka merupakan perhiasan ketika senang dan bekalan ketika susah."



Sehingga kini saya kagum dengan mereka. Sehingga kini saya masih selesa berkomunkasi dan berkongsi pendapat bersama mereka. Semoga Allah merahmati perjuangan kalian.


MESIR
Kehidupan di Mesir yang penuh dugaan. Tapi, dalam kepahitan itulah wujud kemanisan. Dalam menongkah cabaran kehidupan, Allah terus kurniakan saya sahabat-sahabat di sisi saya.


Bersama-sama Huriyyah

Ketika di Matruh, entah mengapa telefon saya gagal berfungsi. Adus, di kala kerja yang masih tertangguh dan telefon penting bagi melancarkan gerak kerja. Tanpa disangka-sangka salah seorang sahabat baik saya memberikan saya sebuah telefon. Memberi bukan meminjamkan. Siapa sangka, wujud individu yang sanggup memberi anda telefon Sony Ericsson 3G tetapi itulah yang terjadi.


Imtiyaz ketika masih lagi berenam

Ketika tahun 2, saya terpaksa menghadapi peperiksaan dhur sani. Suasana yang agak menekan dan memenatkan bagi saya. Alhamdulillah Allah terus membantu saya. Ahli-ahli beit saya sanggup untuk menggantikan giliran memasak dan mengemas rumah. Saya hanya dikehendaki mengulang kaji sahaja. Terutamanya Umi Nadzirah yang sering merebuskan 2 biji telur setiap kali sebelum saya ke dewan peperiksaan.

Banyak lagi peristiwa yang ingin saya coretkan mengenai sahabat-sahabat saya. Mereka hadir dalam hidup saya dengan membawa seribu satu makna yang tersendiri.


ITHAAR
Islam mengajar kepada kita bahawa setinggi nilai ukhuwah adalah seseorang itu mengutamakan saudaranya melebihi keutamaan dirinya sendiri iaitu ithaar. Saya percaya inilah yang cuba diterjemah oleh sahabat-sahabat saya dalam kehidupan mereka.

Dahulu saya pernah menganggap semua ini adalah plastik semata-mata. Namun kini Allah tunjukkan kemanisan ukhwah malah ukhwah kerana Allah itu teramat bermakna.


SALAAMATUS-SADR
Serendah-rendah nilai dalam berukhwah adalah berlapang dada iaitu salaamatus-sadr. Bersahabat ibarat bercinta. Ada masa gembira dan ada masa bersedih. Ada masa senang dan ada masa sukar. Bohonglah sesuatu perhubungan itu tidak pernah dilanda badai.

Terus terang, ada masa saya rasa tercabar apabila terlalu banyak terhutang budi. Ada masa kesabaran tergugat dengan sikap sahabat-sahabat. Ada masa pertengkaran melanda sehingga air mata pun mampu menitis apabila hati terhiris.




Di sinilah konsep berlapang dada dan bersangka baik itu dipraktikkan. Teringat dialog dalam satu drama: "semua orang punya sikap, yang penting ikhlas dan saling menghargai sikap". Terimalah dan berlapang dada dengan kelebihan dan kekurangan sahabat kita serta bersama-sama membaiki diri dan meningkat potensi diri.


NILAIAN UKHWAH
Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a khadam kepada Rasulullah SAW: bersabda Nabi SAW: Tidak beriman seseorang kamu, sehinggalah dia mencinta saudaranya sama seperti dia menyintai dirinya sendiri.

Marilah kita sama-sama cuba mempraktikan hadis di atas. Semoga anda juga berjaya bertemu sahabat-sahabat yang membimbing ke jalan kebenaran bukan kesesatan. Semoga kita terhindar daripada ketaksuban persahabatan atau dengan kata lain asabiah.

Kepada semua sahabat-sahabat saya, semoga kita dapat bersahabat sehingga ke syurga. Saya percaya bahawa persahabatan kerana Allah takkan digugat kerana kebosanan dan dugaan. Saya percaya persahabatan kita bukan dipengeruhi batasan sempadan negeri, kekayaan, kemasyhuran mahupun rupa paras dan kelebihan.



Sunday, 12 July 2009

Indoor Akhawat

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah saya selamat pulang setelah puas dijemur di Matruh. Kembali ke Mansurah untuk meneruskan perancangan bagi menjayakan program INDOOR akhawat. Marilah sama-sama warga PCM sekalian memeriahkan program ini.








Syukran kepada anak-anak buah saya yang memberikan komitmen yang sangat baik. Semoga Allah memberi balasan yang setimpal.
  • Kauthar bte Hassan (Timbalan)
  • Puteri Nur Syazwani bte Radzin
  • Juliana bte Ihsan
  • Anis Afikah bte Ismail
  • Wan Suhana bte Abd Kahar
  • Mas Amira bte Abd Ghani
  • Ummu Aqilah bte Ahmad Ramli
  • Ummi Nazirah bte Mohd Khaironi
  • Kaswani bte Isa
  • Nur Amira bte Yusof

p/s: masih terhalang menulis sebarang entry.

Sunday, 21 June 2009

Perlukah Aku Khabarkan

Lihat pada permukaan
Nampaknya terlalu tenang
Tapi di dalam hati yang terpendam persoalan

Perlukah aku khabarkan yang ku alami
Apakah akan terjawab semua
Perlukah aku bukakan keaibanmu
Semuanya terletak dalam hati kecilku

Segala kebenaran atau penjelasanku
Mempunyai berbagai tafsiran tersembunyi

Kumohon pada tuhan
Berikan kekuatan
Untuk kuhadapi semua ini

Tuhan kuterus berserah
Berikan aku hidayah
Agar tidak tersalah arah dan tersilap langkah


Perlukah Aku Khabarkan - Saff One

Lirik : Lukhman S (BMG Musiz Pub.)
Lagu : Mujahid Abd. Wahab (Gurindam Cipta)
Penerbit : Shah X-Brothers & Mujahid Abd. Wahab
Susunan Muzik : Firdaus
Sumber: http://saffone.tripod.com

PERLUKAH?

Wednesday, 17 June 2009

DAKWAH atau TUNJUK HEBAT

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

"Korang nak berdakwah ke nak tunjuk hebat?" Satu lontaran persoalan oleh abang saya.




APA TERJADI?

Menurut abang saya seringkala kawan-kawan bertanya maksud sesuatu perkataan ketika membaca blog yang berunsuk islamik. Mungkin kerana di kalangan pelajar-pelajar teknikal, abang saya yang pernah bersekolah di sekolah agama jadi beliau dianggap tahu sedikit mengenai bahasa arab.


BAHASA MAD'U

Ketika menulis blog yang berunsur agama dan dakwah tentu blog anda akan dibaca oleh segenap lapisan masyarakat kerana ternyata dunia siber adalah dunia tanpa batasan. Mungkin tanpa kita sedar sesetengah penggunaan kata agak sukar untuk difahami. Rungutan pembaca harus diambil cakna.

Alhamdulillah dalam dunia internet yang ada baik dan buruk masih wujud individu yang kurang latar belakang agama tetapi mempunyai kesedaran untuk membaca sesuatu yang berunsur agama. Mereka memilih untuk membaca blog berunsur islamik berbanding muat turun dan menonton filem atau drama.

Jadi mengapa menggunakan istilah yang sukar. Apa salahnya permudahkan gaya penyampaian bahasa supaya mad'u kita faham sepenuhnya apa yang kita cuba sampaikan. Paling kurang, usahakan terjemah istilah bahasa arab kepada bahasa melayu untuk kemudahan pembaca.

Bahasa sedikit sebanyak memainkan peranan. Kalau bacaan tak sepenuhnya difahami maka maklumat sukar untuk disampaikan apatah lagi menembus ke dalam hati.

Lainlah memang menjadi niat para blogger sekalian bahawa pembacaan itu untuk golongan tertentu sahaja ataupun isu yang diketengahkan khas untuk kelompok berkaitan. Terpulang. Tepuk dada tanya iman.


mad'u: orang yang kita sasar untuk didakwah