Monday, 27 December 2010

LIFE - Love Islam For Eternity

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


"LIFE" Gabungan Mahasiswa & Mahasiswi



"LIFE" Sesi Ke-2 Mahasiswa



"LIFE" Sesi Ke-2 Mahasiswi


  1. Yuran pendaftaran bagi setiap peserta adalah sebanyak LE4 (untuk LIFE Gabungan). 
  2. Makanan hanya disediakan semasa "LIFE" Gabungan kepada peserta yang berdaftar. Klik sini -->
    Syarat-syarat Pertandingan "Princess Hour" & Borang Penyertaan Secara Online!
  3. PRINCESS HOUR adalah terbuka kepada semua mahasiswi Perubatan Cawangan Mansurah (tidak perlu yuran dan pendaftaran).


             ^_^
Love Islam For Eternity
UPI 2010/2011

p/s: masih tidak sempat mengupdate blog

Wednesday, 22 December 2010

Syukur padaMU - Yeay Internet Kembali

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Pagi tadi bangun dengan rasa berat di kepala. Kuliah ophtalmology yang hanya 3 jam terasa panjang untuk ditempuhi. Sungguh saya masih dalam proses menerima kehidupan baru saya. Terasa diri ini semakin tua apabila merasakan stamina badan yang menurun. Kesukaran yang saya hadapi masih sedikit sebenarnya sekiranya dibandingkan dengan nilai perit perjuangan sebenar.

"Apabila bala bencana telah bersangatan menimpamu:
Fikirkan segera Surah Alam Nasyrah;
'Usrun terjepit di antara dua Yusran,
Kalau itu telah engkau fikirkan, niscaya engkau akan gembira."
-Ahmad Rasyid Sultan Mansur-

Saya teringat pesanan Nada untuk menyemak surah Al-Insyirah sebelum usrah AJKT Akhawat. Sungguh, benar bahawa setiap kesusahan disusuli kemudahan. Hari ini Allah detikan hati 2 orang sahabat saya untuk  mengantar sms kata-kata semangat. Saya tersenyum dan bersyukur kerana kalian memberikan saya semangat di kala hati ini terasa berat.

"Salam akhirnya ada tenet, alhamdulillah"

Sms daripada sahabat serumah saya ketika kaki ini lenguh bersila dalam mesyuarat. Alhamdulillah, Allah terus membantu saya. Akhirnya masalah internet rumah kami selesai. Semenjak saya ditaklifkan sebagai Penolong Ketua UPI PCM, internet yang sepatutnya menjadi pemudah kerja menghadapi masalah. Setelah 2 minggu barulah anak baba membaiki talian internet kami, arab-arab (sambil menggeleng kepala).

Ini baru sekelumit bantuan Allah dalam hidup saya. Sebenarnya jika kita menghitung nikmat kurnianNya, tak terhitung sebenarnya. Tetapi adakah kita hamba yang bersyukur?

“ Dan sedikit sahaja hambaku yang bersyukur “ ( Surah Saba' ayat 13 )

Sekadar coretan ringkas untuk meraikan kepulang internet hari ini. Insya Allah selepas ini saya akan mengupdate blog ini.

p/s: saya masih menerima sekiranya ada yang sudi menyumbang tenaga dan idea untuk UPI.

Saturday, 4 December 2010

Mari Menjadi AJK UPI 2010/2011

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah telah selesai MTC kali ke-4. Terima kasih yang sangat tidak terhingga kepada semua AJK yang terlibat termasuk AJK kecil di bawah unit-unit. Tanpa kalian, saya sedar bahawa program ini tidak akan berjalan seperti yang dirancang. 

Bermacam ragam manusia yang saya temui setiap kali bekerja. Cuma kali ini saya lebih banyak bekerja dengan mereka yang berstatus adik yakni lebih muda. Mungkin kebanyakan mereka menganggap saya garang tetapi hakikatnya saya memang tegas dalam soal kerja, no play-play. Jangan risau, walaupun akak jarang tersenyum bukanlah bermakna akak cepat marah.

Di penghujung MTC, barisan pimpinan baru diperkenalkan. Saya telah ditaklifkan sebagai Timbalan AJKT UPI bagi sesi 2010/11. Sejak keputusan pilihanraya keluar, saya disibukkan dengan peperiksaan round, urusan MTC dan usul menyebabkan saya tidak sempat berfikir apa-apa. Ya Allah, setelah mesyuarat pertama, saya mula gementar. Mampukah saya menggalas tugas yang berat ini?

Usul Memperkasa IDENTITI PCM untuk SEMUA telah sepakat diterima oleh ahli-ahli perwakilan yang hadir. Identiti yang dimaksudkan adalah Kesatuan Profesional Berkebajikan. Sama-samalah kita merealisasikan usul yang sama-sama kita persetujui. Maka bagi mereka yang berminat menyumbang tenaga dan idea untuk UPI, bolehlah menjadi AJK UPI. Kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya di nombor 0143338295 atau ketua saya Arif di nombor 0119948646.


p/s: tahniah kepada azyyati yang mula-mula sekali menawar diri sebagai ajk sejurus seteleh keputusan pilihanraya diumumkan. Terima kasih juga kepada cik CT dan Suhana yang menjadi antara yang pertama menjadi ajk. Selamat berbakti. ^_^


Sunday, 28 November 2010

MTC...MTC...MTC

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Selesai sudah sesi pilihanraya PCM dan tahniah kepada JPC (tahniah cik nasiayam) atas tugas yang dipikul dengan jaya. Tahniah dan takziah kepada barisan pimpinan baru. Mengisi kemenangan dan menggalas amanah itu bukanlah suatu benda yang mudah tetapi tidaklah mustahil.

Pilihanraya kali ini dihangatkan dengan isu perubahan dan pemantapan kualiti. Saya bangga melihat kematangan sesetengah ahli dalam mengutarakan dan pertahankan hujah masing-masing. Ramai rupanya yang mampu menulis, ada bakat! Apa jua keputusan, sama ada memihak atau tidak, bekerja dan berbakti tetap diteruskan.

Maka saya menjemput seluruh ahli PCM untuk menghadiri MTC kali ke-4. Muhasabah? Idea? Cadangan? Usul? Suara? Maka MTC adalah medannya. Tunaikan tanggungjawab anda sebagai ahli untuk sama menghadiri MTC untuk kebajikan dan kemajuan bersama.




p/s: jangan cakap sahaja hebat, tindakan juga perlu hebat. Risaunya!

Thursday, 25 November 2010

MTC Kali Ke-4

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



Marilah beramai-ramai meriahkan MTC kali ke-4.


Tempat : Dewan Baru PCM
Tarikh : 3hb Disember 2010
Hari : Jumaat
Masa: 6.30 pagi - 5.30 petang

p/s: banyak pula upadate hari ini.

MUNAJAT PERDANA

Pilihanraya dan Calon Pengerusi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Saya kira saya agak terlewat dalam isu pilihanraya Mansurah memandangkan esok sudah tiba hari mengundi.  Kekangan masa dan latop saya yang rosak menyebabkan saya kurang terlibat dengan perkembangan dalam ruang maya ini.



Saya kira sudah banyak ulasan dan hujah mengenai calon pengerusi. Tidak dapat disangkal calon pengerusi PCM kali ini begitu panas dan hangat diperkatakan. Masing-masing dengan hujah dan pendirian yang tersendiri. Cuma berminat menyatakan pandangan peribadi saya. Mungkin ada hujah yang ringkas ini sudah ditulis sahabat-sahabat lain.


FAHAM
Saya menyeru rakan-rakan supaya memilih atas dasar kefahaman bukan semata-mata semangat yang berkobar-kobar. Pemilihan atas dasar ilmu dan kefahaman itu lebih selamat berbanding kita bersemangat tapi hakikatnya kurang jelas. Bimbang-bimbang terlalu berkobar-kobar menyebabkan kita tertinggal banyak perkara untuk dipertimbangkan memandangkan PCM bukan sahaja menitik beratkan soal akademik malah tarbiyah dan kebajikan. 




Hakikatnya Islam itu syumul dan itulah yang saya lihat itulah apa yang PCM cuba bawa. Mungkin ada keputusan dan tindakan pimpinan PCM tidak menepati selera kita tapi saya percaya dengan dasar al-Quran dan As-Sunnah, mereka telah menimbangkan setiap baik dan buruk. As-Syahid Imam Hassan Al-Banna sendiri menitik beratkan keperluan dengar dan taat terhadap pimpinan. Berikanlah kepercayaan yang luar biasa (tsiqah) kepada mereka.

Ingatlah pimpinan pernah menjadi ahli biasa tetapi ahli biasa tidak semua memegang tampuk pimpinan. Bimbang-bimbang banyak perkara yang kita perkatakan tetapi hakikatnya ada perkara yang kita terlepas pandang menyebabkan kita tidak ubah seperti tok tok, tin kosong rupanya. Bekerja di lapangan sebenar tidak semudah kata-kata.(Saya sendiri serik kerana pernah menjadi tin kosong)




ANTARA PERUBAHAN DAN PENAMBAH BAIKAN
Isu perubahan dan penambah baikan diulang-ulang saban hari. Saya lebih menyokong penambah-baikan. PCM adalah sebuah persatuan yang sedang mengorak langkah menuju perkembangan dan kematangan. Lihat kembali sejarah perkembangan PCM maka anda akan melihat perkembangan itu, adillah ketika menilai. 

Setiap kaedah dan idea tidaklah memakan masa setahun untuk mereleasasikannya tetapi memakan 2 tahun, 3 tahun mahupun bertahun-tahun. Secara realisitiknya kenapa perlu kita membuat perubahan secara total yakni mengulang kembali proses-proses untuk direalisasikan berbanding memantapkan kualiti perkara yang sedia ada?

Saya tidak menolak perubahan malah kita perlu sentiasa berubah dan muhasabah. Perkara ini sudah wujud dalam PCM. Setiap kali program berakhir pasti diakhiri dengan mesyuarat muhasabah. Untuk apa? Pastilah untuk merubah apa yang perlu demi menjamin kualiti. Kita sedang mempersoal perkara yang telah wujud sebenar.

Andai anda merasakan itu tidak cukup untuk mengkualitikan program-program PCM. Mungkin ada program-program yang tidak relevan atau perlu ditambah, saya cadangkan PCM mewujudkan panel khas untuk pengkajian semula program-program yang sedia ada. Hakikatnya kita mempunyai matlamat yang sama tetapi saya lebih suka kita memilih kaedah yang lebih selamat berbanding mengambil kaedah yang berisiko, fahamkan?

Pernah mendengar teori iceberg? Setiap masalah perlu diselami sedalamnya. Setiap idea dan kaedah perlulah diselesaikan secara total (sehingga ke akar umbi) bukan surface sahaja. Apa yang saya maksudkan adalah janganlah kita meletakan kehebatan sebuah persatuan itu hanya pada hebatnya program-program yang dibawa kerana hakikatnya kaedah pemulihan masyarakat tidak melibat program-program besar sahaja.





TUGAS PENGERUSI
Sebagai seorang mahasiswa kita harus faham apakah sebenarnya tugas seorang pengerusi. Perlulah adil dalam  setiap hal. Adil itu bukan saya dapat satu dan anda dapat satu tetapi adil itu adalah meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya. Boleh merujuk post Saudara Hanif Mahamud mengenai tugas seorang pengerusi.

Saya percaya kita memerlukan pengerusi yang telah teruji dan diuji kepimpinannya. Seorang pengerusi yang mampu dan terbukti bangkit apabila jatuh. Seorang pengerusi yang telah terbukti mampu bertenang dalam apa jua keadaan memandangkan isu yang PCM hadapai saban hari bukan isu mudah. Tindakan yang tenang tetapi bernas teramat diperlukan.

Saya percaya menjawat jawatan  seorang pengerusi memerlukan beliau sentiasa bersedia membuat pertimbangan keputusan demi kebaikan ahli dan persatuan. Sentiasa konsisten memberi contoh tauladan kepada ahli (antaranya sentiasa hadir ke kelas memandangkan isu hadir ke kelas agak kronik di sini). Tiada cuti untuk itu! Maka seorang calon yang berpengalaman dan terbukti mampu yang kita perlukan.


Rasanya terang lagi bersuluh pilihan saya adalah Ahmad Azizi bin Md Jusoh dan saya menyokong manifesto beliau Kualiti, Kebajikan dan Kebebasan. Jemput buka blog vote for Azizi untuk mengenali Azizi dan mengetahui mengapa kami memilih Azizi. Saya memilih atas dasar kefahaman bukan kehendak peribadi semata-mata dan demi survival jangka masa panjang PCM.

Jangan disangka insan yang tenang dan tidak agresif itu kurang berkaliber. Diam-diam ubi berisi!






to be continue...


p/s: Selamat maju jaya kepada tahun 4 untuk exam ENT. Exam, exam, exam! Tiba-tiba rasa tak ringkas pulak hujah saya.

Sunday, 31 October 2010

Syari' Samanoudy yang Kurang Selamat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kecoh sejak akhir-akhir ini syari' (jalan) samanoudy penuh dengan kes-kes gangguan. Kawasan yang telah saya diami sejak mula-mula tiba di bumi Mansurah ini sehinggala kini digembur-gemburkan sebagai kawasan yang agak tidak selamat. Kebanyakan kes bukan sahaja berlaku pada waktu malam tetapi pada waktu pagi.

Sebagai langkah berjaga-jaga, mungkin ada yang mencadangkan untuk mengetatkan peraturan penggunaan musyrif. Entah la, saya sendiri merasa ketat atau longgar berbalik kepada kesedaran kita untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

"Syari' Samanoudy sahaja yang bahaya, tidak bagi kami di kawasan lain"

Adakah kalian menanti bahaya bertandang ke kawasan kalian baru kalian mengambil langkah berjaga-jaga? Bukan saya mahu berlagak saya sentiasa mengikut peraturan musyrif namun selagi mampu (selagi musyrif sudi angkat panggilan saya) saya akan cuba untuk meminta tolong para ikhwah. Sukar bagi saya apabila menyentuh isu musyrif (untuk ke tusyen memang sukar bermusyrif). 

"Kami boleh timbang keselamatan kami. Kalau malam sangat baru kami panggil musyrif."

Adakah keselamatan itu boleh dijangka? Malang sungguh tidak berbau. Saya sendiri diganggu ketika baru sahaja berpamitan dengan seorang rakan di pagi hari. Jadi anda pastikah bila anda akan diuji. Bak kata Dr Arafa kes kecemasan tiada waktu!

Terasa malas untuk memasukkan dalil naqli ke dalam entry kali ini kerana nanti ada yang mendakwa terdapat khilaf dalam soal ini. Belum lagi bagi mereka yang sengaja keluar malam dengan alasan membeli barang atau menyambut hari lahir rakan. Saya yang terkena dengan kes yang ringan sudah merasa fobia untuk pulang ke rumah seorang diri tetapi saya pelik melihat rakan-rakan (yang terkena kes lebih berat) yang masih berani keluar malam malah ada yang keluar berseorangan.

Saya menyeru kepada rakan-rakan untuk menjaga diri. Mungkin ada yang merasakan apa yang berlaku masih ringan atau tiada apa-apa. Adakah kalian menunggu kes yang lebih berat barulah sedar keperluan berhati-hati? Letaklah prioriti aktiviti siang dan malam anda. Saya rasa ibu bapa kita di Malaysia jarang membenarkan anak perempuan mereka keluar malam.

Sebenarnya saya tidaklah mempunyai banyak masa untuk menulis panjang lebar. Hanya mencuri masa 10 minit daripada waktu rehat. Ayat pun agak tunggang tebalik.


Wallahualam.


p/s: ada komen-komen yang tak sempat saya response, maaf.

Thursday, 14 October 2010

Jangan Sekat Potensi Diri dengan Malas!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Gejala Malas Berfikir dan Malas Bertindak

Golongan mahasiswa sering dimomokan sebagai bakal pencorak masa depan negara. Namun gejala malas berfikir apatah lagi gejala malas bertindak (bekerja) cukup hebat melanda. Kita hanya terasa terpaksa berfikir apabila ia melibatkan kepentingan diri. Namun sedar atau tidak kita perlu berfikir demi matlamat yang lebih besar.

Itu pun jika timbul isu atau kepentingan masih berkehendak untuk berfikir. Bagaimana pula dengan mereka yang memang tidak mahu berfikir? Lebih malang hidup hanya untuk diri sendiri (atau kelompok sendiri) dan hiburan. Itulah ketenangan dan kebahagian palsu yang dianggap hakiki. Kerja dan komitmen ini menyusahkan sahaja katanya.




Ada masa kita akan dipertanggungjawabkan dengan buah fikiran dan kata-kata kita. Maka ada masa kita kurang berani untuk bertegas dengan pendirian diri atau lebih selesa menjadi golongan atas pagar. Dengan masalah ummah yang begitu kronik, kita memerlukan mereka yang berfikir dan bertindak demi kepentingan ummah bukan kepentingan sendiri mahupun kelompok sendiri. Namun sanggupkah kita berkorban?

Saya kasihan golongan tertentu. Siapa mahu gagal? Siapa tidak mahu kejayaan? Tetapi analogi kini, kerja yang sepatutnya ditanggung 10 orang terpaksa ditanggung 5 orang atau hanya 3 orang. Kerana apa? Kerana gejala malas berfikir dan bertindak maka kita kekurangan tenaga. Itu pun mereka yang terkorban ini disalahkan atas pengorban mereka. Bagaimana mereka yang mengorbankan orang lain?




Teruskan berfikir dan bertindak. Mari kita paksa diri kita cerdas berfikir dan cergas bertindak. Kita memerlukan idea-idea baru yang kreatif dan pergerakan yang kemas terancang. Ia memerlukan komitmen semua. Semoga kita tidak menjadi golongan yang hanya cemerlang dalam sijil tetapi gagal dalam kehidupan yang sebenar.



Potensi Diri

Setiap orang mempunyai potensi diri yang tersendiri tidak kira dia sendiri menyedarinya atau orang lain yang nampak potensi dirinya. Namun kadang-kala kita terhalang untuk menggunakan dan mengembangkan potensi diri kita. Kita tersekat untuk menjadi lebih kreatif serta inovasi kerana keadaan tertentu.

"Saya bimbang saya tidak boleh bekerja dengan baik kerana saya kurang bertegas. Akak rasa kekurangan saya ini macam mana?"

Seorang adik pernah bertanya kepada saya. Bukanlah saya memandai-mandai untuk menjadi seorang kaunselor cuma mahu melihat potensi dirinya digunakan dan berkembang. Bagi saya, janganlah sedikit kekurangan diri yang boleh dibaiki itu menjadi penghalang diri kita. Hidup berorganisasi dan bermasyarakat menyerlahkan kekurangan dan kelebihan diri kira. Inilah medan menggilap dan membaiki potensi.


melihat lebih jauh potensi diri

Untuk menjadi orang yang berpotensi, saya tidak sangkal ada masa ia memerlukan kekuatan diri, ia memerlukan pengorbanan malah ada masa kita merasa cukup sakit. Tetapi jika anda faham kenapa perlu pengorbanan dan kesakitan itu, anda akan terus mencuba mengikut kemampuan dan kesesuaian. Teruslah menggilap potensi diri anda kerana kita sememangnya memerlukan insan-insan yang berpotensi demi kedaulatan Islam. Jangan biarkan perasaan rendah diri atau malas membenamkan potensi diri anda.

Semoga kita (lebih-lebih lagi penulis) mampu mencapai apa yang sepatutnya dicapai serta melalukan apa yang sepatutnya dilakukan. Akhir tulisan (kata?) saya ingin berkongsi ringkasan sebuah artikel dalam Majalah SOLUSI isu nombor 24 bertajuk Menjadi Lebih Kreatif. Edisi penuh anda boleh mendapatkan sendiri majalah tersebut di pasaran atau meminjam daripada yang berkenaan.




Menjadi Lebih Kreatif oleh Ahmad Fadzli Yusof
  1. contoh ciri-ciri orang kreatif
  2. bukulah pintu minda anda
  3. tambahkan pengetahuan am
  4. pelbagai cara berfikir
  5. lupakan logik buat sementara
  6. berfikir gila-gila, bukannya gila tapi gila-gila
  7. anda tidak perlu pertahankan idea sendiri
  8. galakkan diri anda untuk mencuba sesuatu yang kreatif
  9. benarkan diri anda melakukan kesilapan
  10. jika perlu, ulang dan ulang
  11. belajar teknik berfikir
  12. mintalah daripada PEMILIKNYA


Wallahualam.


p/s: Dalam buku Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah disebut soal menepati masa malah soal masa juga ditekankan dalam muawasafat tarbiyyah. Namun adakah kita cukup cakna soal menepati masa?



Tuesday, 12 October 2010

Kembali Bertatih Menulis

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Sudah lama tidak menulis. Terasa banyak berhutang dengan insan-insan tertentu. Saya berasa janggal untuk menulis. Mungkin mengambil sedikit masa setelah lama bercuti.




Ada yang bertanya mengenai perkahwinan adik saya. Barangkali ada kawan-kawan rapat yang terasa kerana saya tidak menjemput mereka. Ada juga yang tertanya-tanya adik yang mana satu. Maklumlah adik beradik saya agak ramai.




Alhamdulillah telah tiba jodoh adik perempuan saya yang hanya berbeza setahun dua hari pada 8 Syawal yang lalu. Bukan adik saya yang di Jordan seperti yang disangka rakan-rakan sekelas saya. Yang berkahwin adalah Nur Afifah bte Shuhardi bukan Ahmad Mohd Syamil bin Shuhardi.

Untuk pengetahuan hanya majlis nikah dan sedikit jamuan diadakan. Maka hanya keluarga terdekat dan jiran-jiran setaman yang dijemput. Soal walimah masih belum ada kata putus (setahu sayalah). Ada yang ingin melihat foto-foto nikah tetapi saya sendiri masih belum melihat sepenuhnya foto-foto demikian atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sebenarnya saya ingin menulis isu-isu tertentu tetapi masih tersekat. Kini saya sedang berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang. Terlalu banyak perubahan yang perlu dihadapi. Semoga apa yang Allah takdirkan, saya kuat menghadapinya.


Wallahualam.

p/s: Saya bersyukur akhirnya mereka telah membuka mata. Kemarahan dan prinsip saya bukanlah tidak berasas atau berdasarkan emosi semata-mata. (p/s yang tiada kaitan dengan entry)

Sunday, 8 August 2010

Buku dan Cik Hijau

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Saya bukanlah seorang yang rajin membaca namun apabila usia menginjak 22 tahun saya sedar bahawa pengetahuan yang saya miliki hanyalah asas malah jauh daripada cukup-cukup. Menjadi individu yang semangat berkata-kata membuatkan saya sedar saya perlu menambahkan ilmu untuk mengelakkan kata-kata saya hanyalah omong-omong kosong tanpa fakta.

Balik di Malaysia kali ini saya cuba mengambil kesempatan untuk membeli buku-buku namun agak terhad kerana saya terpaksa menjadi dara pingitan yang lebih kerap duduk di rumah. Alhamdulillah ada insan yang sudi menyumbangkan dana membeli buku-buku memandangkan saya agak 'miskin' (tawakal kepada Allah, kalau ada rezeki tak ke mana). Pengajarannya janganlah mensia-siakan peluang yang ada.




Namun menilik-nilik buku-buku yang ada di rak-rak buku rumah barulah saya sedar betapa ruginya saya. Di rumah terdapat banyak kitab-kitab terjemahan bahasa Melayu (seperti Riyadhus Salihin) yang memudahkan pemahaman memandang penguasaan bahasa arab saya yang agak lemah. "Allah akan tanya di akhirat apabila kakak mensia-siakan buku yang umi beli." Terngiang-ngiang pesanan umi apabila saya kurang kesah mengenai kitab-kitab yang ada suatu masa dahulu. Sekarang baru rasa menyesal (mahu membeli sendiri kitab-kitab tersebut bukannya murah).

Minat saya adalah terhadap buku-buku sejarah dan siasah (tak bermakna saya tidak pernah kecundang ketika membaca). Tapi saya tahu saya masih belum cukup kuat untuk menghabiskan setiap bacaan saya. Ia memerlukan motivasi yang agak tinggi terutama buku-buku yang membincangkan topik yang agak berat.




"Sejarah itu indah percayalah." Saya tahu bagi sesetengah orang membaca buku sejarah ibarat ubat tidur yang mujarab tetapi percayalah sejarah bukan sahaja indah malah penting. Umat Nabi Muhammad tidak akan masuk dalam 1 lubang 2 kali. Maka sejarahlah yang menjadi pedoman untuk kita. Terlalu banyak perkara yang boleh disingkap dengan kajian sejarah. Jangan harapkan filem-filem sejarah sahaja (walaupun belum tentu orang berminat) tetapi rajin-rajinlah membelek buku sejarah.

Coleteh ini lebih kepada mengingatkan diri saya yang teramat kurang membaca. Semoga Allah memberi kesempatan untuk saya membaca buku-buku yang telah dibeli dan sedia ada. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah membantu saya mencadangkan buku-buku yang menarik (sedang berusaha mencari).


"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan" (Al-'Alaq: 1)


Wallahualam


p/s: Blog yang bersawang memandangkan tiada internet di rumah. Syukran kepada sahabat UiTM sudi menjemput ke program Ramadhan.

Monday, 5 July 2010

Anak Saudara

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah Aimi selamat melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Abdullah Fathi bin Mohd Izzat. Sebenarnya ramai sudah meneka beliau akan melahirkan bayi lelaki malah anak Aimi adalah bayi lelaki pertama di kalangan pelajar Perubatan Mansurah, tahniah!


Iras Aimi






Semoga menjadi anak yang soleh. Bakal mujahid memperjuangkan agama insya Allah.
(^_^)

Saturday, 26 June 2010

Always Be There

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah selesai kertas satu kini sedang bertungkus-lumus untuk kertas 2. Daripada 4 hari waktu persediaan, saya kerugian sehari kerana kesihatan dan stamina badan yang sedikit menurun. Tekanan kian terasa.

Kerap kali ketika tertekan saya mengambil jalan berdiamkan diri dan mengurungkan diri di dalam bilik. (kasihan ahli beit saya). Kadang-kala otak ligat berfikir dengan siapa ingin diluahkan perasaan. Kebiasaannya di saat beginilah semua sahabat baik saya sibuk, mahu menghantar sms kepada umi tetapi kehabisan kredit dan mahu belajar di tempat lain, tidak biasa. Macam-macam.

Ada masa saya mengeluh, mengapa ketika saya memerlukan seseorang, saya merasakan tiada siapa di sisi saya. Inilah kekhilafan diri saya. Saya juga sering terlupa bahawa setiap masalah dan tekanan, Allah-lah tempat mengadu yang pertama bukan manusia. Kadang-kala mengadu kepada manusia, kita kembali tertekan. Dipersalahkan balik atas tekanan yang dihadapi, dianggap remeh dan sebagainya.

Kembali kepada Allah, itu jalan yang terbaik. Siapa yang memberi ketenangan jikalau bukan Dia. Dia jugalah yang memberi jalan keluar kepada setiap kebuntuan. Jadi mengapa mudah mencari manusia tetapi bukan Dia? (Kenapa mudah meluahkan perasaan di facebook tetapi bukan Dia?) Tidak salah mengadu kepada manusia tetapi kenapa bukan Allah yang pertama?

"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepadaKu, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hini dina." (40:60)

Saya bermuhasabah daripada ayat di atas, berdoalah kepada Allah, dia akan memperkenankan doa hambanya. Jika tertekan ambillah wudhuk, solat sunat, berdoa dan membaca al-Quran. Insya Allah tekanan akan berkurangan. Malah cara ini turut berkesan jika rindukan rumah.

Kadang-kala adik-adik mengadu di kala peperiksaan inilah pelbagai gangguan tiba termasuk gangguan emosi. Saya teringat kata-kata umi bahawa syaitan tidak suka orang yang fokus maka dia akan mengganggu usaha dan fokus kita. Jadi, jangan mudah terpedaya dan terlalu ikutkan tekanan.

Akhir kalam sebelum sambung membaca buku, saya hadiahkan perkongsian sebuah video indah ini kepada yang sudi membaca blog ini. Always Be There oleh Maher Zain. (Selalu sayu mendengar lagu ini).





p/s: Sungguh indah dan tenang video ini. Kepada mereka yang cukup terseksa dengan peperiksaan kali ini, semoga berkurang sedikit tekanan.

Friday, 18 June 2010

Puding Jagung

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Semalam ada perjumpa orang-orang lama. Sudah lama rasanya kami tidak berkumpul dalam bilangan yang lengkap. Ketika dijemput, saya diberitahu syarat kehadiran adalah membawa kuih maka saya bercadang membuat puding jagung.

Oleh kerana ada permintaan supaya saya memasukkan resepi ini dalam blog maka saya masukkan pagi ini. Saya mengubah suai sukatan kepada yang lebih mudah kerana tidak semua orang mempunyai penimbang di rumah.


Gambar hiasan


Sumber asal: Mesra.net 

Puding Jagung

Bahan-bahan
  1. 1 liter susu segar
  2. 1 cawan  gula
  3. 130 gm tepung kastard (kalau jenama Dreem, sama dengan 1 peket)
  4. 1 1/2 tin tepung jagung (kalau suka, 2 tin pun tak mengapa)


Cara-cara
  1. 3/4 daripada susu segar dididihkan bersama gula di dalam periuk dan ketepikan.
  2. Bancuh tepung kastard dengan baki susu tadi.
  3. Campurkan semua bahan.
  4. Masak dengan api yang sederhana selama 20 minit.
  5. Adunan ini perlu digaul sepanjang masa untuk mengelakkan berketul.
  6. Setelah masak, tuangkan ke dalam bekas dan sejukkan.

Sebenarnya banyak cara memasak puding jagung. Insya Allah selepas peperiksaan saya ingin mencuba memasak puding jagung campur agar-agar.


p/s: Kuih yang mudah tetapi perlu rajin sedikit kerana tidak boleh ditinggal masak sendiri. Terima kasih kepada penganjur kerana sudi jemput dan masak. Selepas ini, masak dan jemputlah lagi.

Wednesday, 16 June 2010

Umi Kemalangan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kira-kira dalam pukul 6 pagi lebih saya berusaha menghabiskan sisa tajuk Lymphoid Tissue and Leukemia. Menjadi kebiasaan apabila satu-satu tajuk berbaki 2 hingga 3 muka surat pasti menjadi cabaran kepada saya untuk menghabiskan tajuk berkenaan.

Tiba-tiba adik di Jordan memberitahu bahawa umi kami kemalangan kereta di Malaysia. Adus, kredit telefon dan internet kedua-duanya habis. Saya mati kutu memikirkan cara bagaimana hendak menghubungi umi. Walaupun dikhabarkan keadaan tidak begitu serius, bimbang tetap bertandang di hati.

Alhamdulillah akhirnya sahabat saya Maryam menghulurkan bantuan untuk menopup kredit low rate voip. Akhirnya saya berjaya menghubungi keluarga walaupun agak lewat. Pada mulanya hanya bertanya keadaan daripada cik Nab kerana tidak mahu mengganggu umi berehat tetapi mungkin umi terdengar saya menelefon, beliau mahu juga bercakap.


umi dan maryam


Sayu apabila mendengar suara perlahan umi. Saya tahu beliau agak sukar bercakap kerana jahitan di mulutnya malah butir bicara kata-kata umi juga saya kurang fahami. Saya berusaha memahami tanpa memaksa. Sekadar memberi respon yang termampu.

Entah kenapa saya terbayangkan keadaan umi ketika sakit menanggung tidak selesa kesan pembedahan selepas melahirkan Hana. Ketika itu barulah saya merasai betapa deritanya ditanggung insan bergelar ibu. Tetapi, inilah manusia yang mudah lupa. Kadang-kala tanpa sedar ada tindakan kita yang menggores perasaan ibu kita.

Dikatakan punca kemalangan adalah kerana umi mengantuk ketika memandu. Sebenarnya saya juga bimbang kerana sejak 2 tahun lepas saya juga mengalami masalah yang sama. Mata ini teramat mudah tertutup ketika memandu. Malah kadang-kala deruman enjin seolah-olah irama yang mendodoi saya untuk tidur.

Apa-apa pun pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian yang berlaku. Saya perlu lebih gigih berusaha untuk peperiksaan akan datang dan pulang lebih awal. Semoga umi cepat sembuh tanpa sebarang komplikasi. Harap rakan-rakan dapat membantu mendoakan kesihatan umi saya.

Sunday, 13 June 2010

Terkilan

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Oh saya mencuba sekali lagi untuk menulis kerana tiba-tiba kemalasan untuk mengulang-kaji melanda sementara. Tambahan ramai yang sudah menegur kerana saya tidak menulisa apa-apa.

Dua tiga bulan lepas, kawan baik saya ketika menuntut di sekolah menengah menegur saya kerana sudah lama kami tidak berhubung. Sungguh, saya sedar saya teramat-amat kurang menghubung kawan-kawan di sekolah dahulu. Atas apa jua alasan saya, saya minta maaf.

Ketika berborak beliau meminta saya mengaktifkan semula akaun facebook saya. Setelah berfikir (tambahan ada faktor lain), saya kembali mengaktifkan semula akaun yang telah ditutup.. Katanya mudah bagi saya untuk mengesan kawan-kawan lama. Hmm, friendster yang sedia bersawang ditambah dengan facebook kadang-kala membuatkan saya mahu menumpukan pada blog sahaja.




Hari demi hari bersiar-siar dalam facebook banyak perkara tidak diingini  yang saya terjumpa. Orang-orang yang telah lama saya tidak berjumpa (terutama kawan-kawan sekolah), akhirnya saya terjumpa dalam keadaan yang kurang menyenangkan hati saya. Saya kembali mengimbau diri-diri mereka yang dahulu.

Mereka yang dahulu adalah ahli Badar
Mereka yang dahulu adalah ketua pelajar
Mereka yang duhulu menegah budaya couple
Meraka yang dahulu dipenuhi karisma kepimpinan
Mereka yang dahulu itu dan ini

Bukanlah saya sekadar mahu mengungkit tetapi saya terkilan. Jika dahulu kita terikat dengan peraturan sekolah (tambahan sekolah agama) antaranya mewajibkan pemakaian sarung kaki, melabuhkan tudung menutup dada, pergaulan terkawal, wajib solat berjemaah bagi pelajar asrama dan pelbagai lagi. Namun kini semua itu seolah-olah hilang ditelan zaman (saya tahu tidak semua begitu).

Jika melihat pemakaian mereka, saya hanya mampu menggelengkan kepala sendiri. Saya bukanlah yang terbaik tetapi saya terpanggil untuk menyatakan pendirian saya. Saya pernah menyebut bahawa saya tidak mengharapkan kawan-kawan saya memakai tudung labuh bulat atau wajib 60 inci tetapi cukup sekadar anda mematuhi syarat minimun walaupun memakai tudung labuh itu lebih baik. Begitu juga dengan aspek-aspek lain. 




Terlupakah kita bahawa peraturan sudah tidak wujud tetapi peraturan yakni syariat Allah itu ada. Adakah Tuhan di zaman persekolahan dan Tuhan di zaman kini adalah Tuhan yang berlainan? Andai kita merasa syariat Allah itu bebanan atau remeh-temeh maka soal kembali keimanan kita. Soal kembali keyakinan kita terhadap janji Allah. Jangan hanya ketika ditimpa musibah baru kita nampak Dia.

Sungguh rugi kita cuba ditarbiyah di sekolah dulu dengan nilai-nilai budaya Islam kini pelajar-pelajar sekolah agama sendiri kurang boleh diharap. Bagaimana bagi mereka yang sememangnya tidak faham tuntutan syariat? Siapa lagi yang akan menyampaikan kefahaman itu? Jika kita bekas-bekas pelajar sekolah agama tidak mampu istiqamah dengan tarbiyah yang ada, siapa lagi? Sesungguhnya kita memerlukan tenaga-tenaga pemuda Islam untuk berdakwah, tetapi di manakah kita sekarang? (Termasuk saya yang menulis)

Bukanlah saya maksudkan orang yang tidak bersekolah agama tidak layak membimbing masyarakat tetapi jika anda (yakni yang tidak bersekolah agama) yang ke hadapan dahulu maka sesungguhnya andalah yang lebih berharga seperti seorang sahabat saya ketika di KMPk. Beliau bukanlah anak didikan sekolah agama  tetapi kini berbanding saya, beliau lebih kehadapan membela Islam.

Kadang saya terfikir. Terlalu banyak perkara salah yang sudah menjadi seolah-olah betul membuatkan saya bimbang adakah apa yang saya sedang lakukakn adalah betul-betul benar. Neraka itu dikelilingi keseronokan dan syurga itu dikelilingi kesusahan. Saya bimbang kita terlalu biasa dengan kebiasaan yang salah tanpa sedar kita sedang menempah tiket neraka. Nauzubillah.

Saya berharap mereka terasa dengan penulisan ini. Bukanlah terasa yang membawa dendam tetapi terasa yang membawa perubahan. Saya tidak berniat untuk memutuskan ukhawah yang ada. Sangka baik saya, mungkin kita terlupa atau hanyut seketika. Selagi ada masa, tolonglah kembali sebelum kita lebih hanyut dan terlambat. Andai satu hari nanti, saya juga sedemikian tolonglah tempelak saya kerana tidak menunaikan kata-kata saya sendiri.

 
Wallahualam.

p/s: Sebenarnya inilah antara hasil sistem pendidikan negara kita yang celaru dan haru-biru. -__- (Susah sangat ke labuhkan sikit tudung menutup dada?)

Sunday, 6 June 2010

Sanah Helwa Kepada Anda

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

(Entry kali ini khas buat adik-beradik saya.)

Menjeling-jeling kalendar di sisi meja sambil termenung melihat tarikh 6 Jun. Fikir dan terus berfikir... Ya Allah, terlupa Hari Lahir Hana. Adik bongsu yang dikhabarkan kerap kali menolak panggilan abangnya daripada Jordan dengan alasan tengah basuh pinggan (kata Nab, kaki Hana yang pendek membuat dapur menjadi sungai).

Latop tua saya yang cukup berjasa ini pula mengalami masalah sistem bunyi maka hanya sms sahaja tanpa panggilan telefon ke rumah. Harap-harap umi tidak merajuk kerana jarang menelefon rumah.

Ok, kerana bilangan kita adik-beradik agak ramai, akak pukalkan sekali semua dalam satu entry. Selamat Hari Lahir adik-beradikku bagi yang sudah lepas atau akan datang. Yang penting doanya bukan hadiahnya kan (^_^)?



Abang

(comelnya abang saya)

Muhammad As Suhami bin Shuhardi
17 April 1987



Ipah@Ngaripah

(Waktu ini dialah pemanah paling 'cemerlang')

Nur Afifah bte Shuhardi
12 Jun 1989



Acik


Ahmad Muhammad Syamil bin Shuhardi
26 Disember 1990



Cik Nab@Ummu


Ummu Nabila bte Shuhardi
16 Julai 1992



Ikah


Syafiqah Aina bte Shuhardi
11 Oktober 1993



Ab


Khairul Abqariiyah bte Shuhardi
28 Oktober 1995




Hanim@Adik


Khadijah Hanim bte Shuhardi
28 November 1997



Hana

(Sebelum memandu baca doa)

Fatin Hana Solehah bte Shuhardi
2 Jun 2004


Hebat tak, akak tahu semua tarikh hari lahir korang? Semoga membesar di bawah rahmat dan perlindungan Allah. Adilah the great (bak kata abang) akan balik tidak lama lagi. Nantikan kepulangan yang bermakna ini (huhu).


p/s: Hampir 5 draft namun satu pun tidak selesai untuk disiarkan. Oh rindunya mahu update blog.


Sunday, 23 May 2010

Mimpi Yang Indah

Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang

Semalam ketika saya bersiap-siap untuk solat Isyak, cik Helwa membuzz ym saya bertanyakan tajuk sebuah lagu yang didakwa daripada Hijjaz. Setelah jenuh memerah otak rupanya bukan Hijjaz tetapi Mestica. Jadi jom dengar lagu tersebut. Semoga menjadi motavasi untuk kita terus berusaha (dan khasnya untuk awak, Helwa).

Artis : Mestica
Album : 313

Telah ku lalui jalan berduri
Sejuta harapan terus ku pertahankan
Bukan mudah menggapai bintang
Bersilih dugaan mendatang

Di sebalik kepayahan
Di situlah ada kekuatan
Tekad hati azimat di perjalanan
Mengejar impian

Pabila laluan seakan sukar
Bagai tak terdaya untuk terus bertahan
Namun kasihMu menyedarkan
Aku tak pernah sendirian

Di sebalik kepayahan
Di situlah ada kekuatan
Tekad hati azimat di perjalanan

Tinggi langit mimpi ini
Tak ku ragu untuk membuktikan
Indah bintang yang terang bukan khayalan
Tetapi kenyataan

Akan kau saksikan kesulitan ini
Pasti berganti kebahagiaan

Telah pun kau dengar kisahku ini
Pernahkah cuba kau mengerti





p/s: Agak tergapai membaca buku Turki Negara Dua Wajah kerana bahasanya yang agak mencabar kefahaman saya.

Monday, 3 May 2010

Takut Menjadi Dewasa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hari ini saya sekali lagi cuba untuk menulis sesuatu. Sejak akhir-akhir terasa tawar untuk menulis. Jika kali ini saya masih gagal untuk menulis apa-apa pasti saya akhirnya akan berkongsi resepi dengan anda. Jika mampu, saya mahu berkongsi sesuatu yang betul-betul memberi manfaat. Semoga ada manfaat dalam tulisan saya yang biasa-biasa ini.



Masalah adalah cabaran yang perlu diatasi dengan bijaksana.  Maka jika anda lari dari masalah percayalah anda akan terus diselubungi masalah tersebut

Dua hari lepas saya berborak dengan seseorang mengenai masalah beliau. Masalah kehidupan yang cuba diselesaikan dengan emosi serta melupakan asas keyakinan dan syariat membuatkan segalanya ribut dan kelibut. Saya bukanlah penyelesai masalah yang baik tetapi saya cuba menjadi pendengar masalah yang baik.

Sungguh, pada mulanya saya hanya memberi bayangan apakah yang perlu difikirkan bagi menyelesaikan masalah tersebut tanpa memberi pendapat secara jelas kerana setiap kata-kata kita akan diuji maka saya bimbang, saya juga kecundang apabila diuji dengan masalah yang sama. Tetapi, alang-alang saya sudah berkongsi dengan beliau maka saya berkongsi juga dengan anda.

Menjadi dewasa itu kadang-kala menakutkan. Melihat gelagat kanak-kanak arab yang berpakaian dan bersolek persis orang dewasa kadang membuatkan saya tergelak sendiri. Kecil-kecil dulu mungkin kita sering berharap kita segera dewasa dengan fikiran ingin segera bebas. Tetapi apabila diri ini semakin tua sedarlah saya bahawa menjadi dewasa tidaklah seindah yang disangka.

Itulah yang dihadapi beliau. Kerisauan menjadi dewasa yang perlu membuat keputusan dan bertanggungjawab atas setiap keputusan yang telah diambil. Hidup ini sering berada di persimpangan kerana itulah kita disarankan untuk solat sunat istikharah dan memohon supaya keputusan kita dipandu oleh Allah (bukan soal jodoh sahaja istikharah). Memohon segalanya dipandu oleh Allah amatlah penting kerana mungkin yang dianggap terbaik itu bukanlah terbaik yang telah ditetapkan Allah begitu juga sebaliknya.

Apabila meminta segalanya dipermudahkan dan dipandu olehNya, hendaklah segala tindakan kita selaras dengan syariat yang ditetapkan supaya nafsu dan syaitan tidak ambil peranan. Jangan lakukan apa yang Allah tegah kerana penentu segalanya adalah Allah jua. 




Syariat itu bukanlah batu penghalang tetapi mengawal kita dari terbabas (kesimpulan dari buku Tentang Cinta). Percayalah syariat Islam itu cukup lengkap dengan segala panduan. Terdapat pelbagai ayat al-Quran yang memujuk dan menguatkan hati kita apabila menghadapi masalah. Kita sahaja yang sering alpa dan lalai.

Kita sering mendengar ungkapan ujian adalah tarbiyah dan teguran daripada Allah. Maka ada kalanya apabila menghadapi sesuatu dugaan, saya sering ingatkan diri saya supaya muhasabah apa yang telah berlaku. Indahnya pegangan orang Islam adalah segala yang berlaku ada hikmah dan Allah tidak akan menguji hambaNya melainkan ia mampu. Kerana itulah ubat bagi jiwa adalah kembali kepada agama.

Dalam hidup ini ada beberapa perkara telah ditetapkan oleh Allah seperti jodoh dan rezeki. Jadi apa yang Allah nilai adalah cara kita menguruskan 'perjalanan' menuju apa yang telah ditakdirkan oleh Allah. Saat kita akil baligh sahaja, kita telah bertanggungjawab ke atas diri kita maka kitalah yang menentukan arah tuju kehidupan kita. Jangan menyalahkan orang lain atas setiap kesilapan yang kita lakukakan tetapi terimalah kesilapan itu untuk diperbaiki.

Setiap insan mempunyai permasalah yang tersendiri. Bak kata ustaz saya, hanya orang gila tidak mempunyai masalah. Akhir kata, bagi saya dewasa adalah suatu alam yang kita bertanggungjawab terhadap segala keputusan dan tindak tanduk yang kita ambil serta masalah akan terus menyelubungi kita sekiranya keputusan kita adalah melarikan diri. Maka, berani atau lari?


p/s: Sungguh best Dr Bassem mengajar tajuk Bone hari ini. Sungguh rugi siapa yang tidak hadir kelas.

Tuesday, 13 April 2010

Ayam Masak Madu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Saya tidaklah pandai memasak. Cuma belajar melalui resepi di internet terutama laman web kegemaran saya www.myresipi.com. Ada yang bertanya dalam banyak-banyak senarai resepi bagaimana saya memilih resepi. Hmm, kebiasaanya saya memilih resepi berdasarkan siapa yang menghantar (kegemaran saya adalah kak dayang jack), jumlah komen dan bahan-bahan yang digunakan (juga gambar yang menarik ^_^)

Tapi entah mengapa saya rasa masakan saya kurang menjadi tahun ini. Teringat umi pernah menegur ketika saya memasak dalam keadaan terpaksa. Keikhlasan dalam memasakan menghasilkan masakan yang menyelerakan. Hmm, nampaknya perlu semak balik niat. Memasak pun perlu ikhlas.

Sebenarnya mahu berkongsi resepi iaitu resepi ayam masak madu dan pastinya diambil dari myresipi. Inilah resepi pertama yang saya kongsi dengan nenek. Nenek saya dulu tak percaya saya boleh memasak.


Ayam Masak Madu

Bahan-bahan 
  1. 1/2 ekor ayam
  2. garam
  3. kunyit
  4. 1 sudu rempah kari ayam
  5. 3 ulas bawang putih
  6. 1 inch halia
  7. bawang besar
  8. cili kering
  9. madu
  10. gula merah
  11. sos/tomato puree
  12. air

Cara-cara
  1. Potong ayam mengikut keselesaan. Perapkan bersama bawang putih dan halia yang sudah ditumbuk, serta garam, kunyit dan rempah kari.
  2. Ketuk-ketuk ayam untuk asing dari rempah perapan. Simpan bahan perapan untuk kuah. Goreng ayam hingga masak, ketepikan.
  3. Panaskan minyak, goreng bawang besar hingga layu. Masukkan lebihan rempah perapan tadi dan cili kering. Tumis hingga terbit minyak.
  4. Masukkan tomato puree, madu, gula merah & air. Kacau.
  5. Jika hendak ayam lembut, masukkan semasa masih banyak kuah . Jika hendak garing, tunggu kuah pekat baru masukkan ayam.
  6. Siap untuk dihidang. Boleh taburkan bawang goreng atau daun sup. 

Sunday, 11 April 2010

Genta Rasa (Suatu Perkongsian)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Esok peperiksaan mcq. Ketika berehat daripada bergelumung dengan buku dan atlas, saya membaca artikel di blog penulis idola saya. Beliau pernah saya temui secara live ketika mengikuti abuya bermesyuarat di Bukit Tinggi. Ketika itu saya belum mengenali siapa sebenarnya beliau. Hanya mengetahui nama beliau barangkali.




Tidak berniat menulis panjang lebar memandangkan esok hari yang kritikal. Sekadar ingin berkongsi artikel yang menarik daripada blog beliau GENTA RASA (sila klik). Penulisan-penulisan beliau banyak mengajar saya erti ikhlas dan perhubungan antara manusia dengan manusia serta manusia dengan Allah. 



Hanya 2 buah buku ini sahaja yang sudah dibaca


p/s: Oh madam, bilakah buku kesayangan saya akan dipulangkan?

Wednesday, 7 April 2010

Exam Fever Campaign

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Nampaknya Unit Akademik juga telah mempunyai blog sendiri. Sila klik.


~You Reap What You Sow!~

~Cintai Rasulullah Pemangkin Biah Solehah~


Sunday, 4 April 2010

Perkongsian (Edisi Qiam PUTERI'06)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah PUTERI'06 sekali berjaya mengadakan qiam. Maaf kerana saya terpaksa acting like mak atau warden asrama untuk memastikan anda tidur. Rasa mahu tergelak sebenarnya tetapi terpaksa tahan.

Sahabat baik saya merangkap ketua sc meminta saya berkongsi mengenai kempen biah solehah. Alhamdulillah Allah lancarkan bicara saya untuk kita sama-sama berkongsi perkara yang kita sudah tahu tapi mungkin perlu diingatkan sahaja.

Apa yang disampaikan hanyalah himpunan penulisan-penulisan yang ada di blog saya dan individu lain tetapi saya hanya ringkaskan sahaja. Bagi yang sedar, saya lebih menekankan tajuk aurat kemudian ikhtilat.

Firman Allah SWT: 'Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir." (An-Nur: 31)

Jelas bahawa ayat al-Quran di atas menuntut wanita muslimah melabuhkan tudung menutup dada. Islam tidak minta anda memakai tudung bulat atau tudung labuh 60inci (walaupun itu yang lebih baik) tetapi cukuplah sekadar yang ditetapkan piawaian menutup aurat itu dipatuhi.

Saya tidak mahu mengulas panjang, anda boleh membaca di link berikut.
Tudung, terpeliharakah kita
Aurat Wanita: Apa Sudah Jadi?

Kemudian kita berbicara mengenai ikhtilat. Cuma yang saya tulis dalam artikel sebelum ini (Ikhtilat) perkaitan ikhtilat dan menjaga pandangan tetapi saya tidak menyebut secara jelas perkaitan ikhtilat dengan masalah sosial (couple khususnya).

Saya adalah individu yang kurang bersetuju perkahwinan adalah jalan penyelesaian budaya couple. Bagi saya menangani sesuatu masalah perlu melihat kepada punca masalah. Dalam al-Quran menyebut jangan mendekati zina. Jadi, apa-apa perlakuan dan medium yang mendekati zina adalah dilarang dalam Islam.

Menjaga pandangan dan ikhtilat maka tiada couple
Tiada couple maka tiada zina
Tiada zina maka tiada masalah kebanjiran anak haram

Permasalah keruntuhan moral dalam masyarakat perlu diselesaikan dengan membaiki akhlak masyarakat. Bukan menyelesaikan sesuatu masalah dengan sesuatu yang mungkin mendatangkan masalah jika tersilap langkah. (ulas panjang lebar dalam entry lain)

Cuma ada sesuatu yang saya ingin kongsikan dengan rakan-rakan tetapi terlupa kerana agak mengejar masa yang diperuntukan. Pada mulanya tak rasa nak sebut kerana ada sahabat-sahabat saya yang telah memasukkan dalam blog mereka. Terasa getaran melihat video ini.





Just open your eyes. Allah beri kita banyak petunjuk dan peluang cuma kita mungkin tak cukup sedar. Hidayah itu cahaya. Jika anda tidak membuka jendela hati anda untuk dimasuki cahaya, maka hidayah itu tidak akan masuk. Menjadi baik bukan sesuatu yang hipokrit. Be yourself but make it better.

Memegang agama ibarat menggenggam bara api. Jangan disangka kita ganjil dalam membuat kebaikan itulah kesilapan. Yang ganjil tidak semestinya salah dan yang biasa tidak semestinya benar.

“Islam itu bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Dan ia akan kembali dipandang ganjil sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang dipandang ganjil (kerana Islamnya mereka)” [Hadith riwayat Muslim]

Sekian, sekadar coretan semula apa yang saya kongsikan bersama-sama pada malam itu. Maaf jika ada terkasar bahasa.

p/s: Saya bukan golongan ghuraba' tetapi saya impikan tergolong dalam golongan ghuraba'.

~Cintai Rasulullah Pemangkin Biah Solehah~

Wednesday, 24 March 2010

KEMPEN 3S

Apa kempen 3S? Mari tonton video ini. (Tahniah kepada UPP untuk video yang menarik ini)





p/s: Pembaca di Malaysia pun jom jayakan kempen ini.

Saturday, 20 March 2010

Nak Jadi Sabun?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hari ini giliran saya untuk memasak makan malam. Dalam kerancakan tangan membasuh pinggan mangkuk selepas memasak, saya melihat buih di tangan saya. Terdetik di hati, alangkah bagus sekiranya manusia seperti sabun. Tidak kiralah sabun mandi, sabun basuh pinggan atau segala jenis sabun. 




Sabun menanggalkan dan membersihkan kotoran yang melekat juga meninggalkan bau wangi yang menyenangkan. Saya rasa tiada sabun yang tidak wangi di dunia ini. Malahan ada sabun yang mempunyai nilai tambah seperi melembutkan kulit tangan dan baju yang dibasuh. Dengan teknologi yang ada, pelbagai jenis sabun dengan pelbagai faedah dicipta.




Jadi apa kaitan sabun dengan manusia?

Firman Allah SWT :
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Ali-Imran:104)

Manusia yang mengaku beriman kepada Allah ditanggungjawabkan untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kebenaran. Ibarat sabun tadi bukan sekadar membuang kotoran atau meninggalkan kesan wangi tetapi kedua-dua. Begitu juga manusia, bukan sekadar membuat kebaikan tetapi juga membuang daki maksiat manusia dengan mencegah kemungkaran. Mampukah saya jadi seperi sabun?




Sekadar perkongsian ringkas sementara menunggu ahli beit saya yang keluar berbakti seperti sabun untuk makan malam bersama-sama.

Monday, 15 March 2010

Filem Melayu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

"Inilah cara mengurangkan sensitiviti orang Melayu Islam." ujar saya sebaik sahaja selesai menonton sebuah filem Melayu beramai-ramai.

Sudah lama saya tidak menonton filem Melayu. Hebat sekarang orang Melayu kita. Persis cerita Korea dan Hollywood. Manakan tidak, budaya pendedahan aurat begitu melampau dan ketara. Belum lagi budaya lelaki dan perempuan yang bebas bergaul. Kita mudah sungguh bangga dengan budaya luar. Usaha penyerapan yang dilakukan dilakukan atas nama kebebasan berkarya dan konon-kononnya membawa kelainan. Pujian demi pujian diberikan kononnya atas kelainan yang dibawa.

Benarlah kata seorang pemimpin dalam satu talk di Kaherah yang saya hadiri baru-baru ini. Anda ingin menjadi idola dan ikon? Maka jadilah artis. Manakan tidak, artis Islam dengan selamba memakai seluar dan skirt pendek. Jika tidak hiraukan syariat sekalipun, paling kurangkan hiraukan adab timur yang penuh kesopanan.


Mengurangkan sensitiviti?
Apabila kita dihidangkan dengan budaya yang tak wajar seperti berkhalwat, bercouple, minum arak,  rokok, gay dan sebagainya dalam filem atau drama lama kelamaan kita akan menjadi biasa dan terbiasa dengan pemandangan sebegitu maka hilanglah sensitiviti. Filem dan drama dijadikan dalil untuk membenarkan perbuatan. Apabila ada yang menegur mudahlah kita menjawab dia ketinggalan zaman dan jumud. Maka tiada rasa menyahut tuntutan agama untuk mencegah kemungkaran.

Itulah Islam di akhir zaman, ibarat menggenggam bara api. Yang salah tetapi biasa itu tidak apa tetapi yang benar tetapi ganjil itu entah apa-apa (tidak berfikiran terbuka katanya). Yang yang cuba menegakkan kebenaran tergolong dalam golongan minoriti dan alih-alih muka yang sama.

“Islam itu bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Dan ia akan kembali dipandang ganjil sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang dipandang ganjil (kerana Islamnya mereka)” [Hadith riwayat Muslim]

Masyarakat yang jiwanya semakin kaku dan mati terlalu mudah terhibur dengan perkara-perkara plastik dan palsu seperti itu. Saya sendiri kadang tertipu dengan helah musuh ini. Kata umi saya, sebab inilah perjuangan kita lambat menang kerana pejuang Islam sendiri tertipu dengan perangkap musuh. Astagfirullah.

Jika sesiapa yang telah menonton The Arrival di Youtube, anda akan melihat sendiri perang minda yang dilakukan musuh secara begitu tersirat melalui kartun-kartun yang dianggap selamat untuk dipertontonkan. Siapa sangka begitu licik musuh menyerang psikologi manusia. Musuh merancang merosakkan anak-anak Islam bukan sehari dua perancangannya tetapi penuh rapi maka saya tidak setuju perjuangan Islam itu tidak mengapa saat-saat akhir bahkan ia memerlukan perancangan yang rapi juga.

Belum yang secara jelas dipertontonkan budaya yang jijik ini kepada masyarakat. Mungkin jika pelakon-pelakonnya beragama lain masih boleh diterima akal tetapi malangnya pelakon-pelakon yang mengaku beragama Islam turut dijadikan senjata peperangan ini. Masyarakat yang melihat artis-artis sebangsa dan seagama dengannya malah sama warna kulit lama-lama kelamaan budaya asing yang cuba dibawa menjadi darah daging (Ah, tidak apa-apa pun, benda ini biasa saja katanya).

Lihat sahaja indeks jenayah di Malaysia yang mengerikan. Setiap pagi membuka akhbar online dan membaca kerosakan demi kerosakan yang berlaku cukup membimbangkan. Duhai rakan-rakan, bagaimana kita masih boleh lena tanpa sebarang usaha?

Anak-anak Islam dilekakan dengan artis-artis dan lagu-lagu. Alih-alih pelajaran yang dijadikan alasan sedangkan masa kosong yang ada dibiarkan untuk berhibur. Islam tidak menghalang hiburan tetapi biarlah berpada-pada. Zaman di mana orang mementingkan diri terlalu ramai. Hawa nafsu dituruti dan syariat diketepi. Oh akhir zaman.

Sunday, 14 March 2010

Sanah Helwa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hari ini Hari Lahir ahli beit saya Umi Nadzirah Ghazali (juga puan Aimi). Alhamdulillah dengan rezeki dan kesempatan yang diberikanNya dapat kami menyambut secara ringkas di Huriyah. Memasak menu yang lengkap bahannya daripada Malaysia membuatkan saya puas. 

Semoga umur yang Allah berikan kepada Umi diberkati dan semoga terus menjadi Muslimah sejati yang berbakti demi agama. Kelanjutan usia yang ada dijadikan kesempatan untuk terus beribadah kepada Allah. Hari-hari yang berlalu dijadikan renungan dan pengajaran yang baik. Selamat dan berjaya di dunia dan akhirat insya Allah.




p/s : Makan beramai-ramai membuatkan saya rindu akan talam besar di Imtiyaz (walaupun menu berkenaan tidak melibatkan talam). Rasanya setelah kami tinggal bertiga, kami hanya menggunakan talam kecil sebagai ganti. Talam besar yang memberi seribu satu makna dan kenangan.

Thursday, 11 March 2010

Tahniah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Esok Cultural Day akan berlangsung. Tugasan kali ini membuatkan saya agak serba salah tetapi harap esok segalanya berjalan lancar. Jom turun beramai-ramai memeriahkan Cultural Day tahun ini yang pasti dimeriahkan dengan jualan makanan Malaysia.

Semalam saya baru tahu keputusan SPM akan dikeluarkan hari ini. Cik Nab yang sungguh bertuah terlupa beritahu mungkin. Terima kasih kepada status ym En Hakim. Barulah berdebar-debar menanti keputusan walaupun bukan saya yang ambil SPM.


Cik Nab bersama calon PMR


Alhamdulillah keputusan SPM telah keluar dengan sistem baru yang mana kini A tidak dikira dengan A1 atau A2 tetapi A+, A dan A-. Katanya ada kiraan merit juga. Pening juga banyak A. Saya sendiri baru tahu dan tidak berapa mahu faham. 

Walaubagaimanapun alhamdulillah cik Nab berjaya memperoleh 11A. Tahniah sis. Selamat datang ke dunia baru. Silalah pilih kos pengajian nanti dengan bijaksana bukan ikut-ikut kawan. Entah la umi sanggup lepas awak atau tak kalau belajar jauh-jauh nanti.

Sedikit pujian. Cik Nab walaupun sibuk belajar tetapi tetap rajin tolong umi (yang akak tahu la). Beliau telah menjalankan tugas dengan baik setelah rampasan kuasa berlaku apabila saya terbang ke Mesir. Teruskan kecemerlangan anda.


p/s: Sila jangan minta hadiah mahal-mahal kerana kakak anda dilanda krisis ekonomi. tetapi tetap diusahakan insya Allah. Pesanan ini untuk Hanim juga.


Sekadar gambar hiasan, harap maklum