Showing posts with label My family. Show all posts
Showing posts with label My family. Show all posts

Saturday, 21 December 2013

Rumah & Tangga

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Asyik mengimbau kenangan lama sejak akhir-akhir ini. Sedar tak sedar rupanya blog saya tersenarai perkara kenangan kerana setahun ditinggalkan gantung tak bertali.

Sepetang yang pendek (kerana musim sejuk) hari ini dihabiskan dengan berbual dengan umi di Malaysia. Pelbagai kisah dan masalah kami kongsikan.Saya bertambah gentar menghadapi masa hadapan. Saya berazam untuk berdikari tanpa menyusahkan keluarga. Cukuplah pengorbanan mereka. Bagaimana mahu survive di masa hadapan? Runsing.

Ramai di kalangan sahabat-sahabat terutama yang masih bahagia membujang menyimpan keinginan membina keluarga bahagia. Sibuk dan aktif tahap giga pun kita tetap wanita, mahu berkeluarga. Tapi adakah kita bersedia ke arah itu?


Hidup Menekan.
Hidup sebagai bakal doktor, kita akan menghadapi hidup yang maha sibuk. Ditambah tekanan kehidupan di Malaysia yang semakin hebat. Segala-galanya cemerlang meningkat.


Bagaimana dengan ilmu pengurusan hidup kita? 

Tunggu berkahwin baru belajar? Bagi saya kalau perkara dah jadi darah daging, selepas kahwin, selepas kerja, itu jugalah sikap kita (namun ia bukanlah mutlak). 

Kalau rumah kita bersepah ketika bujang, mungkin itu jugalah rumah kita selepas bekerja dan berkahwin.
Kalau keluarga (boleh juga baca housemate) kita terabai ketika bujang, mungkin itu jugalah keluarga kita selepas bekerja dan berkahwin.
Kalau kita boros ketika bujang, mungkin itu jugalah kita selepas bekerja dan berkahwin.
Kalau dan kalau...


Rumah dan Tangga
Hari ini saya hanya ingin berkongsi rasa mengenai pengurusan rumah kita. Mungkin ada yang kata saya masih bujang. Belum teruji. Cukuplah saya berkata-kata dengan kefahaman dan kesedian diri saya. Mungkin di masa hadapan saya bakal teruji dengan kata-kata ini tetapi sekurang-kurangnya saya sudah sediakan peluru saya.



Kadang-kadang saya lihat orang yang sangat academic oriented or sibuk berpersatuan (mungkin juga yang sangat hiburan oriented), urusan rumah mereka agak tergadai. Hak sesama ahli rumah juga begitu. Sepatutnya ketika inilah kita melatih menyusun kesibukan kita tanpa menggadaikan hak yang perlu ditunaikan.

Bagaimana menyusun atur waktu belajar, ke kelas, mengemas rumah dan berpersatuan? Sebenarnya jawapan mutlak ada pada diri anda. Semunya latihan. Anda lebih mengenali kemampuan dan kepentingan setiap perkara (baca alawiyat).

Saya secara peribadi, mencari formula yang sesuai untuk diri saya. Contoh, dapur yang sentiasa bersih dan formula memasak tersendiri mampu memendekan masa saya di dapur. Kecekapan dibina dari semasa ke semasa. Mungkin dulu kita perlu 2 jam tetapi sekarang sejam. Semuanya berkait dengan kesedaran dan latihan. 


Cekap dan Tiada Masa
Isu cekap dengan isu tiada masa mungkin nampak macam sama tetapi bagi saya ia hanyalah perkara berkait. Kalau kita tak cekap, berilah berapa lama pun masa, kita tetap tidak cekap. Tapi sekiranya kita cekap, masa yang tidak cukup pun kita masih mampu manfaatkan, insya Allah. Sekali lagi semuanya berkait dengan kesedaran dan latihan.

Saya angankan sungguh pun di masa hadapan kehidupan saya tidak seperti orang lain. Mungkin keluarga saya kerap makan luar (baca air tangan orang lain T_T), tapi sekurang-kurangnya sekiranya saya punya masa saya memasak semampu mungkin untuk mereka. Begitu juga dengan aspek-aspek lain. Saya mahu mereka tahu bukan saya tidak mampu tapi saya kurang berkesempatan. Itulah paling kurang yang saya mampu berikan.



Saya bukanlah pelajar cemerlang mahupun suri rumah cemerlang. Tapi apa yang saya ingin sampaikan bagaimana kita menyediakan diri kita terhadap kehidupan yang lebih mencabar dan sibuk nanti. Ilmu mengurus rumah tangga bagi saya salah satu tips rumah tangga bahagia. Kalau kita tidak berkahwin sekali pun, kita tetap mempunyai keluarga atau paling kurang teman serumah. Itulah rumah tangga kita.


Bukan Bakal Doktor Sahaja
Bagi pembaca bukan bakal doktor atau tidak bekerja di lapangan yang maha sibuk sekurangnya bagi mereka yang berniat berbakti kepada masyarakat, anda juga bakal diuji dengan masalah seperti ini. 

Tahniah atas kesedaran untuk menyumbang demi Islam tetapi jangan lupa membina keluarga juga sebahagian daripada Islam. Kebersihan juga sebahagian daripada Islam. Practice makes perfect. Semoga bantuan Allah mengiringi.

Secara peribadi saya masih membina kecekapan dalam hidup saya. Terlalu banyak perkara yang perlu dibaiki. Rancangan terkini mahu belajar ilmu cekap menguruskan kewangan selepas tamat belajar. Tolong doakan. Wallahualam.


p/s: ini namanya escapism sebentar dengan menulis di kala pening persediaan paper subjek terakhir bulan Januari.

Wednesday, 16 May 2012

Sanah Helwa Abuya, Selamat Hari Guru

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Terkeliru dengan masa dan wish status adik saya di Facebook menyebabkan saya pening dengan tarikh-tarikh penting 
15 Mei : Hari Lahir Abuya
16 Mei : Hari Guru


Internet seperti chipsmore menyebabkan saya tidak dapat menelefon rumah. Sekadar ucapan di FB dan doa daripada jauh.






Sanah Helwa Abuya. 


Guru KEHIDUPAN saya. Semoga dikurnia kesihatan dan umur yang berkat. Nikmat dan kesenangan di dunia dan akhirat. Yang penting, bahagia di samping anak-anak yang comel. Cewah ^_^



Dialah Ummi Dialah Guru

Selamat Hari Guru kpd ummi:

  • Guru Kemahiran Hidup kelas saya ketika tingkatan 1
  • Guru Geografi dan Guru Kelas saya ketika tingkatan 2
  • Guru Sejarah kelas saya ketika tingkatan 3
  • Guru Sidang Rediaksi Majalah Sekolah 2003
  • dan yang paling utama Guru KEHIDUPAN saya juga.


Ummi seorang cikgu yang sangat tegas di sekolah. Saya sendiri tidak berani untuk memanggil panggilan ummi sehinggalah waktu persekolahan habis. Apatah lagi mudah-mudah lepak di bilik guru, tak berani! Memang seperti anak murid berhadapan dengan seorang cikgu bukan sebagai mak saya.

Tapi apa yang saya tahu, banyak-banyak subjek, subjek Sejarahlah yang paling saya enjoy sekali. Pembawakan dua hala yang pasti menarik minat pelajar. Sejarah itukan indah.


Tidak lupa kepada guru-guru:
  • Sek Ren Keb Kg Jawa, Klang
  • Sek Keb Jln 3, BBB
  • Tahfiz ABIM Jln 3, BBB
  • SAMSMEL
  • SMKA Maahad Hamidiyah Kajang
  • KMPk, Gopeng
  • Mansoura University

Tukar profession sebentar



Kenangan

Saya pernah mengajar sambilan di tadika selepas SPM selama 2 minggu bersama dua orang kawan. Ketika itu tenaga pengajar yang sepatutnya tidak tiba pada waktu yang dijanjikan kerana masalah tertentu. 

Hari-hari terdapat ibu bapa yang menghantar anak mereka seawal 6 pagi ke tadika! Malah ada kanak-kanak sekecil 3 tahun kerana beliau kebosanan di rumah katanya. Itulah Muhaimin. Dengan Muhaiminlah pertama kali saya cuba memahami dialek bahasa Kelantan.  

Saya ditugaskan mengajar kanak-kanak tadika 6 tahun di waktu pagi, mengajar membaca bagi kanak-kanak taska dan mengajar mengaji di waktu malam bagi pelajar-pelajar sekolah rendah. Maka tugas betul-betul selesai pada pukul 10 malam.

Antara cabaran adalah apabila sedang mengajar, salah seorang anak murid saya kebosanan. Sudah, saya sendiri mati kutu ketika itu. Kanak-kanak tidak boleh dipaksa minat mereka. Maka saya bercerita mengenai dosa dan pahala. Nampak mereka seronok dan mula memberikan respons positif. Tapi, bersedialah dengan soalan-soalan mereka tambahan mereka sangat 'jujur' berkongsi cerita.

Apabila tiba waktu solat berjemaah:

'Ustazah, solat Zohor 2 rakaat jela. Malas.'

'Solat Zohor berapa rakaat? Kalau 2 rakaat solat apa?'

'4. Subuh yang 2 rakaat'

'Ok, so kena solat 4 rakaat la. Kita bukan nak solat Subuhkan.'

Pesan pengetua, berhadapan dengan kanak-kanak pandangan pertama yang harus ditunjuk adalah ketegasan tapi bukan garang. Pernah sekali anak murid saya bernama Muaz masuk ke kelas dengan wajah sedih dan hampir menangis

'Kenapa Muaz?'

'Tadi saya pandang ustazah dan senyum tapi ustazah tak senyum. Muka garang.'

Segera saya memujuk beliau dengan menyatakan saya tak perasan dan tak marahkan pun beliau.

Sekadar berkongsi cerita. Saya hanya bergelar guru seketika sahaja sekadar 2 minggu. Itu pun telah menjadi kenangan pahit dan manis bagi saya. Bagaimanalah perasan pendidik sepenuh masa sebenar?



SELAMAT HARI GURU kepada semua PENDIDIK. 




p/s: Rasanya saya sangat jarang berkongsi cerita sebegini dengan pembaca

Tuesday, 12 October 2010

Kembali Bertatih Menulis

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Sudah lama tidak menulis. Terasa banyak berhutang dengan insan-insan tertentu. Saya berasa janggal untuk menulis. Mungkin mengambil sedikit masa setelah lama bercuti.




Ada yang bertanya mengenai perkahwinan adik saya. Barangkali ada kawan-kawan rapat yang terasa kerana saya tidak menjemput mereka. Ada juga yang tertanya-tanya adik yang mana satu. Maklumlah adik beradik saya agak ramai.




Alhamdulillah telah tiba jodoh adik perempuan saya yang hanya berbeza setahun dua hari pada 8 Syawal yang lalu. Bukan adik saya yang di Jordan seperti yang disangka rakan-rakan sekelas saya. Yang berkahwin adalah Nur Afifah bte Shuhardi bukan Ahmad Mohd Syamil bin Shuhardi.

Untuk pengetahuan hanya majlis nikah dan sedikit jamuan diadakan. Maka hanya keluarga terdekat dan jiran-jiran setaman yang dijemput. Soal walimah masih belum ada kata putus (setahu sayalah). Ada yang ingin melihat foto-foto nikah tetapi saya sendiri masih belum melihat sepenuhnya foto-foto demikian atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sebenarnya saya ingin menulis isu-isu tertentu tetapi masih tersekat. Kini saya sedang berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang. Terlalu banyak perubahan yang perlu dihadapi. Semoga apa yang Allah takdirkan, saya kuat menghadapinya.


Wallahualam.

p/s: Saya bersyukur akhirnya mereka telah membuka mata. Kemarahan dan prinsip saya bukanlah tidak berasas atau berdasarkan emosi semata-mata. (p/s yang tiada kaitan dengan entry)

Wednesday, 16 June 2010

Umi Kemalangan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kira-kira dalam pukul 6 pagi lebih saya berusaha menghabiskan sisa tajuk Lymphoid Tissue and Leukemia. Menjadi kebiasaan apabila satu-satu tajuk berbaki 2 hingga 3 muka surat pasti menjadi cabaran kepada saya untuk menghabiskan tajuk berkenaan.

Tiba-tiba adik di Jordan memberitahu bahawa umi kami kemalangan kereta di Malaysia. Adus, kredit telefon dan internet kedua-duanya habis. Saya mati kutu memikirkan cara bagaimana hendak menghubungi umi. Walaupun dikhabarkan keadaan tidak begitu serius, bimbang tetap bertandang di hati.

Alhamdulillah akhirnya sahabat saya Maryam menghulurkan bantuan untuk menopup kredit low rate voip. Akhirnya saya berjaya menghubungi keluarga walaupun agak lewat. Pada mulanya hanya bertanya keadaan daripada cik Nab kerana tidak mahu mengganggu umi berehat tetapi mungkin umi terdengar saya menelefon, beliau mahu juga bercakap.


umi dan maryam


Sayu apabila mendengar suara perlahan umi. Saya tahu beliau agak sukar bercakap kerana jahitan di mulutnya malah butir bicara kata-kata umi juga saya kurang fahami. Saya berusaha memahami tanpa memaksa. Sekadar memberi respon yang termampu.

Entah kenapa saya terbayangkan keadaan umi ketika sakit menanggung tidak selesa kesan pembedahan selepas melahirkan Hana. Ketika itu barulah saya merasai betapa deritanya ditanggung insan bergelar ibu. Tetapi, inilah manusia yang mudah lupa. Kadang-kala tanpa sedar ada tindakan kita yang menggores perasaan ibu kita.

Dikatakan punca kemalangan adalah kerana umi mengantuk ketika memandu. Sebenarnya saya juga bimbang kerana sejak 2 tahun lepas saya juga mengalami masalah yang sama. Mata ini teramat mudah tertutup ketika memandu. Malah kadang-kala deruman enjin seolah-olah irama yang mendodoi saya untuk tidur.

Apa-apa pun pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian yang berlaku. Saya perlu lebih gigih berusaha untuk peperiksaan akan datang dan pulang lebih awal. Semoga umi cepat sembuh tanpa sebarang komplikasi. Harap rakan-rakan dapat membantu mendoakan kesihatan umi saya.

Sunday, 6 June 2010

Sanah Helwa Kepada Anda

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

(Entry kali ini khas buat adik-beradik saya.)

Menjeling-jeling kalendar di sisi meja sambil termenung melihat tarikh 6 Jun. Fikir dan terus berfikir... Ya Allah, terlupa Hari Lahir Hana. Adik bongsu yang dikhabarkan kerap kali menolak panggilan abangnya daripada Jordan dengan alasan tengah basuh pinggan (kata Nab, kaki Hana yang pendek membuat dapur menjadi sungai).

Latop tua saya yang cukup berjasa ini pula mengalami masalah sistem bunyi maka hanya sms sahaja tanpa panggilan telefon ke rumah. Harap-harap umi tidak merajuk kerana jarang menelefon rumah.

Ok, kerana bilangan kita adik-beradik agak ramai, akak pukalkan sekali semua dalam satu entry. Selamat Hari Lahir adik-beradikku bagi yang sudah lepas atau akan datang. Yang penting doanya bukan hadiahnya kan (^_^)?



Abang

(comelnya abang saya)

Muhammad As Suhami bin Shuhardi
17 April 1987



Ipah@Ngaripah

(Waktu ini dialah pemanah paling 'cemerlang')

Nur Afifah bte Shuhardi
12 Jun 1989



Acik


Ahmad Muhammad Syamil bin Shuhardi
26 Disember 1990



Cik Nab@Ummu


Ummu Nabila bte Shuhardi
16 Julai 1992



Ikah


Syafiqah Aina bte Shuhardi
11 Oktober 1993



Ab


Khairul Abqariiyah bte Shuhardi
28 Oktober 1995




Hanim@Adik


Khadijah Hanim bte Shuhardi
28 November 1997



Hana

(Sebelum memandu baca doa)

Fatin Hana Solehah bte Shuhardi
2 Jun 2004


Hebat tak, akak tahu semua tarikh hari lahir korang? Semoga membesar di bawah rahmat dan perlindungan Allah. Adilah the great (bak kata abang) akan balik tidak lama lagi. Nantikan kepulangan yang bermakna ini (huhu).


p/s: Hampir 5 draft namun satu pun tidak selesai untuk disiarkan. Oh rindunya mahu update blog.


Thursday, 11 March 2010

Tahniah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Esok Cultural Day akan berlangsung. Tugasan kali ini membuatkan saya agak serba salah tetapi harap esok segalanya berjalan lancar. Jom turun beramai-ramai memeriahkan Cultural Day tahun ini yang pasti dimeriahkan dengan jualan makanan Malaysia.

Semalam saya baru tahu keputusan SPM akan dikeluarkan hari ini. Cik Nab yang sungguh bertuah terlupa beritahu mungkin. Terima kasih kepada status ym En Hakim. Barulah berdebar-debar menanti keputusan walaupun bukan saya yang ambil SPM.


Cik Nab bersama calon PMR


Alhamdulillah keputusan SPM telah keluar dengan sistem baru yang mana kini A tidak dikira dengan A1 atau A2 tetapi A+, A dan A-. Katanya ada kiraan merit juga. Pening juga banyak A. Saya sendiri baru tahu dan tidak berapa mahu faham. 

Walaubagaimanapun alhamdulillah cik Nab berjaya memperoleh 11A. Tahniah sis. Selamat datang ke dunia baru. Silalah pilih kos pengajian nanti dengan bijaksana bukan ikut-ikut kawan. Entah la umi sanggup lepas awak atau tak kalau belajar jauh-jauh nanti.

Sedikit pujian. Cik Nab walaupun sibuk belajar tetapi tetap rajin tolong umi (yang akak tahu la). Beliau telah menjalankan tugas dengan baik setelah rampasan kuasa berlaku apabila saya terbang ke Mesir. Teruskan kecemerlangan anda.


p/s: Sila jangan minta hadiah mahal-mahal kerana kakak anda dilanda krisis ekonomi. tetapi tetap diusahakan insya Allah. Pesanan ini untuk Hanim juga.


Sekadar gambar hiasan, harap maklum

Thursday, 19 November 2009

Hanim dan UPSR

Lagi dua hari peperiksaan MCQ tetapi Allah sahaja yang tahu betapa tidak selesanya saya dengan musim sejuk kali ini ditambah pemanas rosak. Terpaksa saya mengambil inisiatif memakai beberapa lapis baju. Terbayang bagaimana orang-orang Islam yang diuji di luar sana. Bukan sahaja pemanas malah baju pun belum tentu cukup untuk mereka melindung diri dari kesejukan.

Saat tidak enak dibuai mimpi, saya mendapat sms daripada umi, "Hanim dapat 5A UPSR". Hari itu umi beritahu yang dia mendapat Jayyid Jiddan dalam PSRA. Wah, ini agak mengejutkan. Rasanya ini rekod baru dalam keluarga. Saya dahulu terlalu menumpukan UPSR lalu mengabaikan PSRA.




Alhamdulillah setinggi kesyukuran kerana memberi kejayaan kepada adik kami. Mesti umi abuya lega sebab kakak tahu umi abuya selalu bimbangkan Hanim. Kali ini sempat ke sambut ke mana-mana? Nasib orang merantau, tengok gambar sahaja jawabnya.

Ingatlah jangan jadikan kejayaan pertama ini penyebab untuk lupa diri supaya kita tidak tergolong di kalangan orang yang tidak bersyukur.

“Dan ketika Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya akan ku tambah (nikmatKu) kepada kamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu amat berat”. (Surah Ibrahim: 7)


p/s: Masuk tingkatan satu maka kena tingkatkan kematangan diri.

Tuesday, 17 November 2009

Cik Nab dan SPM

AKU NAK EXAM DA!!!! WAAAAAAAA.

Huhu. Cik Nab tension ke sampai sms akak macam itu. 




Tenang-tenang. Hari-hari mesti belajar 24 jam..

"...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri..." (Ar-Ra'd: 11)

Usaha-usaha juga tapi doa jangan dilupa.

"Berdoalah  kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." (Al-A'raf: 55)

Menjawablah dengan penuh ketenangan. Selepas itu tawakal dan berserah sepenuhnya kepada Allah.

 "...Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad maka bertawakallah kepada Allah, sungguh Allah mencintai orang yang bertawakal." (Ali-Imran: 159)

 . 
Selamat menjawab untuk semua adik-adik yang akan menghadapi SPM esok. Dah bertungkus-lumus 2 tahun, saat inilah untuk curah semuanya. Jangan ada yang bawa jam loceng besar atau mercun waktu subjek akhir. Cikgu marah nanti. Esok dan hari-hari peperiksaan seterusnya jawab betul-betul. Tip-tip lain mesti semua sudah tahu



Mana satu cik Nab? Siapa tahu angkat tangan.



p/s: Teringat dulu tak jawab 10 soalan objektif kimia SPM. Alhamdulillah ok. Nyaris menangis bila keluar dewan baru teringat muka surat belakang tak selak. Jadi, hati-hati adik-adik.

Saturday, 16 May 2009

SELAMAT HARI GURU

Selamat Hari Guru kepada semua guru terutama guru-guru saya sejak tadika hingga kini. Jasa kalian mendidik anak bangsa hanya Allah yang mampu membalas sewajarnya. Semoga Allah mengurniakan ketabahan dan kekuatan untuk terus berjuang dalam dunia pendidikan.


Khasnya Selamat Hari Guru kepada umi saya.

Umi bersama abuya

Guru Kemahiran Hidup kelas saya ketika tingkatan 1
Guru Geografi dan Guru Kelas saya ketika tingkatan 2
Guru Sejarah kelas saya ketika tingkatan 3
Guru Sidang Rediaksi Majalah Sekolah 2003
dan yang paling utama Guru KEHIDUPAN saya.

(Kalau tak pindah sekolah insya Allah guru Bahasa Melayu saya.)

Lagu ditujukan kepada semua guru yang banyak berjasa





Terima Kasih Guru - Mirwana

p/s: Peperiksaan membuatkan semua idea saya meruap. Maka kemungkinan entry terbaru selepas peperiksaan.