Showing posts with label Sejarah Kita. Show all posts
Showing posts with label Sejarah Kita. Show all posts

Sunday, 8 August 2010

Buku dan Cik Hijau

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Saya bukanlah seorang yang rajin membaca namun apabila usia menginjak 22 tahun saya sedar bahawa pengetahuan yang saya miliki hanyalah asas malah jauh daripada cukup-cukup. Menjadi individu yang semangat berkata-kata membuatkan saya sedar saya perlu menambahkan ilmu untuk mengelakkan kata-kata saya hanyalah omong-omong kosong tanpa fakta.

Balik di Malaysia kali ini saya cuba mengambil kesempatan untuk membeli buku-buku namun agak terhad kerana saya terpaksa menjadi dara pingitan yang lebih kerap duduk di rumah. Alhamdulillah ada insan yang sudi menyumbangkan dana membeli buku-buku memandangkan saya agak 'miskin' (tawakal kepada Allah, kalau ada rezeki tak ke mana). Pengajarannya janganlah mensia-siakan peluang yang ada.




Namun menilik-nilik buku-buku yang ada di rak-rak buku rumah barulah saya sedar betapa ruginya saya. Di rumah terdapat banyak kitab-kitab terjemahan bahasa Melayu (seperti Riyadhus Salihin) yang memudahkan pemahaman memandang penguasaan bahasa arab saya yang agak lemah. "Allah akan tanya di akhirat apabila kakak mensia-siakan buku yang umi beli." Terngiang-ngiang pesanan umi apabila saya kurang kesah mengenai kitab-kitab yang ada suatu masa dahulu. Sekarang baru rasa menyesal (mahu membeli sendiri kitab-kitab tersebut bukannya murah).

Minat saya adalah terhadap buku-buku sejarah dan siasah (tak bermakna saya tidak pernah kecundang ketika membaca). Tapi saya tahu saya masih belum cukup kuat untuk menghabiskan setiap bacaan saya. Ia memerlukan motivasi yang agak tinggi terutama buku-buku yang membincangkan topik yang agak berat.




"Sejarah itu indah percayalah." Saya tahu bagi sesetengah orang membaca buku sejarah ibarat ubat tidur yang mujarab tetapi percayalah sejarah bukan sahaja indah malah penting. Umat Nabi Muhammad tidak akan masuk dalam 1 lubang 2 kali. Maka sejarahlah yang menjadi pedoman untuk kita. Terlalu banyak perkara yang boleh disingkap dengan kajian sejarah. Jangan harapkan filem-filem sejarah sahaja (walaupun belum tentu orang berminat) tetapi rajin-rajinlah membelek buku sejarah.

Coleteh ini lebih kepada mengingatkan diri saya yang teramat kurang membaca. Semoga Allah memberi kesempatan untuk saya membaca buku-buku yang telah dibeli dan sedia ada. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah membantu saya mencadangkan buku-buku yang menarik (sedang berusaha mencari).


"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan" (Al-'Alaq: 1)


Wallahualam


p/s: Blog yang bersawang memandangkan tiada internet di rumah. Syukran kepada sahabat UiTM sudi menjemput ke program Ramadhan.

Friday, 20 November 2009

Sejarah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Saya agak meminati sejarah. Sedikit. sebanyak minat saya terhadap sejarah kerana saya mempunyai umi yang teramat meminati sejarah. Jika menonton filem dengan beliau memang menyeronokkan kerana dia pasti akan mengaitkan dengan fakta yang berkaitan terutama soal sejarah.

Saya teringat kali pertama saya betul-betul tertarik dengan sejarah Islam dan dunia adalah ketika di sekolah menengah, saya sebagai naqibah perlu membaca Apa Ertinya Saya Mengganut Islam yang menjadi silibus usrah ketika itu.

...akhirnya menyediakan keadaan kepada umat Islam untuk menerima kekalahan pertama pada tahun 1948.

Kalau ketewasan dalam tahun 1948 adalah akibat mengekori Barat maka ketewasan pada tahun 1967 adalah akibat mengikut proletariat yang kefahaman kiri

2 ayat kata pengantar yang cukup membuatkan saya begitu tertarik. Apakah sebenarnya yang berlaku pada tahun 1948? Kenapa dikatakan kekalahan umat Islam? Sejak itu saya cuba memahami apakah yang berlaku dan impaknya kepada umat Islam. Malah saya sedar teramat sedikit pengetahuan saya ketika itu.

Dengan situasi yang terhad memandangkan saya bukanlah pelajar Sejarah, saya cuba memahami sedikit demi sedikit. Dokumentari dari youtube yang dicadangkan umi abuya banyak membantu saya. Namun saya sedar banyak lagi yang perlu saya baca.





Dokumentari ini cukup memberi kesan kepada diri saya juga sahabat-sahabat serumah saya. Ketika kali pertama saya melihatnya, saya tidak dapat menahan mengalirkan air mata. Alhamdulillah saya berkesempatan berkongsi dengan teman-teman. Semoga mereka mendapat sesuatu yang bernilai.

“Dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”  (Surah Hud 11: 120)

Saya percaya jika kita menyoroti sejarah ia menjadi salah satu kaedah untuk menguatkan hati dan memberi pengajaran dan peringatan. Malah terlalu banyak isu yang perlu kita selak lembaran sejarah supaya kita faham apakah yang berlaku dan puncanya. Supaya isu bukan sekadar isu. Panas isu panaslah kita tetapi apabila isu sejuk lupalah kita.

Mungkin ada yang mengatakan sejarah itu membosankan. Tanpa sejarah kita tidak tahu sumber kekuatan orang-orang terdahulu berjuang di jalan Allah. Tanpa sejarah kita tidak tahu rahsia kegagalan dan kejayaan umat terdahulu. Banyak lagi kelebihan mendalami sejarah. Malah dalam al-Quran sendiri terdapat banyak sejarah yang perlu kita singkap. Maka sejarah itu bukan sekadar fakta sahaja. Ada permata.

Mungkin kerana kali ini pengisian perjumpaan bersama adik-adik sc, saya dan sahabat saya bersetuju untuk mengadakan sedikit tayangan sambil makan-makan membuatkan saya mengimbau kembali minat saya terhadap sejarah. Terasa ingin menulis sesuatu tetapi terasa masih kekurangan malah mungkin masih belum layak digelar orang yang meminati sejarah.

Orang mukmin tidak akan dipatuk oleh ular yang sama di dalam lubang yang sama tetapi bagaimana?

Wednesday, 15 April 2009

Taba...Lambaian Qal'ah (Bahagian 1)

Pengembaraan bermula...

Mereka bertolak daripada Teratak Imtiyaz sedikit lewat pagi itu. Huriyyah Production cuba menyusun segala bagasi dan perlatan ke dalam Avanza supaya tiada yang terpaksa ditinggalkan (biasa la wanita).

"Semua dah bersedia?" Pengarah telah berbunyi.

"Insya Allah semua sudah ok." Penuh semangat mereka.

"Ana tak pasti jalan Mansurah ke Sinai. Lain jika kita lalu Kaherah." Ustaz S mencetuskan persoalan. Aduh, soal jalan pengarah undur diri awal-awal.

"Kalau kita keluar daripada Mansurah ke Sinai lalu Dumyat, Insya Allah saya cuba" Yam penyelamat keadaan. Ternyata beliau cekap memainkan peranan sebagai co-pilot.



Alhamdulillah setelah sesi sesat jalan dan berpusing-pusing, tiba juga di Taba menjelang senja.

"Nampaknya kita kena kejar masa bimbang ammu tak bagi naik memandangkan dah petang" Secara tidak langsung pengarah meminta semua meningkatkan kelajuan semua berjalan menuju ke jeti.



Taba merupakan bandar pelancongan kecil di Mesir berdekatan Teluk Aqaba. Pernah dijajah oleh Israel pada beberapa kali antaranya pada tahun 1956 dan 1967. Malah di Salah El Deen Village pengunjung dapat melihat sempadan 4 buah negara Mesir, Israel, Jordan dan Arab Saudi.

Qal'ah Salahuddin Al-Ayubi seperi namanya merupakan kubu pertahanan yang digunakan oleh panglima agung Salahuddin Al-Ayubi dalam perang Salib dalam misi membebaskan Baitulmaqdis dari cengkaman kerajaan Kristian ketika itu.


Salahuddin al-Ayyubi atau nama sebenarnya Yusuf bin Ayyub (1137 -1193) mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurd di Mesir dan Syria. Di Barat beliau dikenali sebagai Saladin. Dia juga terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib. (seperti dalam filem Kingdom of Heaven)


Sallahuddin Al-Ayyubi - Mestica

(Islam memerlukan insan sehebat Salahuddin Al-Ayubi untuk bangun semula. Namun kita masih lalai dan leka dengan keseronokan dunia tanpa sedar permainan musuh kita.)

Lambaian hanya lambaian. Mereka hanya dapat melihat Qal'ah Salahuddin Al-Ayubi dari jauh. Walaupun pada mulanya mereka berjaya memujuk ammu namun akhirnya pihak keselamatan tidak benarkan mereka menaiki bot untuk ke sana memandangkan hari sudah gelap.

Semoga Allah memberi peluang di lain masa untuk menyambut lambaian itu. Kembara diteruskan...

Saturday, 21 February 2009

Hikmah Nabi Terakhir di Tanah Arab


Di kala bangsa Arab dilanda kejahilan yakni zaman jahiliah, dunia dikuasai oleh dua negara iaitu Parsi dan Romawi dan diikuti Greek dan India.

Parsi
Parsi ketika itu merupakan medan persaingan agama dan falsafah yang beranika corak. Pada keseluruhannya pemerintah dan pembesar mengganut agama majusi. Ajaran ini mengalakkan lelaki berkahwin dengan ibunya, anak perempuannya atau adik dan saudara perempuannya. Malah tatasusila dan akhlak telah terpesong dari nilai kemanusian.

Rom
Kerajaan Romawi ketika itu kuat dipengaruhi semangat penjajahan dan bergelut dalam persengketaan agama dengan pihak Kristian di negeri Syam (Syria) dan Mesir. Ia bergantung sepenuhnya kepada kekuatan tentera dan cita-cita yang begitu berkobar-kobar demi mencapai matlamat. Negara ini berada dalam keadaan kucar kacir dan rakyat jelata hidup menderita dengan kemerosatan ekonomi, pemerasan dan kenaikan cukai yang melampau.

Greek Tua
Greek Tua tenggelam ke dalam dasar lautan khurafat dan dongeng yang tidak memberi sebarang hasil dan manfaat.

India
Menurut penegasan Professor Abul Hassan Al-Nadwi ahli sejarah dan pengarang sebulat suara menyatakan bahawa India di permulaan abad keenam Masihi terlibat dengan kemerosotan agama, akhlak, dan kemasyarakatan.

Bangsa-bangsa ini terseret ke lembah kerosakkan, kacau bilau dan perpecahan disebabkan kemajuan dan ketamadunan yang berasaskan harta benda semata-mata tanpa panduan agama dan wahyu Ilahi.



Hikmah Pemilihan Semenanjung Arab
Semenanjung Arab ketika itu merupakan satu kawasan yang tenang, jauh dan terpencil dari anasir-anasir yang merosakkan tadi. Bangsa mereka langsung tidak pernah merasai kemewahan dan kemajuan seperti Parsi. Mereka juga tidak mengganut ideologi dan falsafah seperti Greek Tua.

Mereka ini tercari-cari ke arah pembentukan manusia yang terpuji tetapi malangnya tersesat jalan. Mereka membunuh anak perempuan, membelanjakan wang yang banyak dan berperang kerana maruah.

Dan sesungguhnya kamu sebelum hari ini adalah dari golongan orang-orang yang sesat. (Al-Baqarah: 198)

Secara geografi, Semenanjung Arab terletak di antara Parsi dan Rom. Muhammad al-Mubarak seorang professor Mesir menyatakan pendapat berbunyi: "Orang yang memerhati dan memandang kepada bangsa Arab akan dapat melihat bagaimanakah bangsa Arab boleh berdiri di masa silam di tengah2 dua tamadun yang melebar di kiri dan kanan. Di sebelah kirinya tamadun barat yang keterlaluan telah mencuba mencipta gambaran imej manusia dengan alirannya yang kering pucat dan tak berhias dan tidak terjejas dengan hakikat keinsanannya. Di sebelah kanannya pula tamadun kerohanian dan kejiwaan yang melambung ke alam khayalan seperti yang terdapat di India, China dan sebagainya."

Allah mampu menjadikan pancaran dakwah di Parsi, Rom atau India bersinar dengan gemilang tetapi pemilihan Semenanjung Arab dan seorang Rasul yang buta huruf, tidak bolah membaca dan menulis menyingkir sebarang syak wasangka manusia terhadap kenabian dan kerasulan.

Dialah (Allah) yang telah mengutuskan di kelompok buta huruf seorang utusan daripada kalangan mereka (untuk) menyampaikan kepada mereka ayat2Nya dan menjauhkn mereka daripada syirik dan mengajar mereka kitab2 dan hikmat dan sesungguhnya mereka itu dahulunya dalam kesesatan yang amat sangat. (al-Jumu'ah :2)

Rasulullah diutuskan dalam suatu bangsa yang kebanyakkannya juga buta huruf seperti baginda dan jika dibandingkan dengan bangsa2 lain mereka belum pernah diracuni dan dipengaruhi oleh sebarang tamadun, pemikiran dan falsafah yang berserabut.

Ia turut menyingkir sebarang andaian bahawa sekiranya Rasulullah seorang yang boleh membaca, mungkin baginda membaca dan mempelajari kitab-kitab lama yang mengandungi sejarah manusia purba dan tamadun negara2 jiran.

Dari segi kedudukan ilmu, kedudukan Semenanjung Arab di tengah2 pelbagai bangsa menjadikan perjalanan penyebaran dakwah Islam tersebar luas dan mudah.

Bahasa Arab dipilih sebagai perantaraan dakwah Islam dan bahasa yang menerangkan serta mentafsirkan percakapan atau kalam Allah untuk disampaikan kepada kita. Bahasa Arab sendiri mempunya keistimewaan yang melayakkan untuk dipilih sebagai bahasa utama Islam.

Pelbagai lagi hikmah Nabi terakhir di Tanah Arab sekiranya kita mampu mengkaji.

Wallahualam.


p/s: Ini sahaja yang saya mampu kongsi setakat ini memandangkan jadual semester ke 2 saya yang agak kucar kacir.