Wednesday, 29 April 2009

Bicara Kata


Terlajak perahu masih boleh diundur. Terlajak kata?


Khas kepada diri ini yang acap kali alpa memelihara bicara kata dan akhlak.


Sabda Rasulullah SAW:

"Tidakkah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka?"

"Orang yang beriman itu bukanlah orang yang suka menuduh, suka melaknat, suka bercakap kotor dan keji"



Bicara Kata - In Team

Manis bicara indah tutur kat
a
Tak seindah rupa pengertiannya

Lembutnya lidah mengata nista

Lidah yang tiada bertulang

Mengadu domba
Serta memfitnah sesama saudara

Terkadang aku berfikir sendirian
Perlukah amarahku dibiar terus menyala

Membakar membara dengan rasa bangga

Mencela mereka dengan kata-kata

Kata ibarat pedang
Yang tajamnya bisa membunuh lawan
Kata-kata yang berhikmah

Menyedarkan kita


Kata madah pujangga
Bisa menjadi pedoman manusia
Jagalah bahasa kata kita

Jangan disalah guna

Yang indah itu bahasa
Yang cantik budi pekerti
Yang merah itu saga
Yang kurik itu kendi


Terkadang aku mentaksir manusia

Kurniaan Tuhan telah banyak dikhianati

Mencerca, menghina, dustanya bicara

Menyusun nista dengan kata-kata


Terlajak perahu masih boleh diundur lagi
Terlajak kata buruk padahnya

Terlajak perahu masih boleh diundur lagi

Terlajak kata hilang percaya

Hilang percaya...

Bahasa Intan Bahasa Kaca

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

Saya sedaya upaya mengelak untuk copy paste sebarang artikel lain ke dalam blog ini. Tapi ada sesuatu yang ingin saya sampaikan tapi dihalang oleh kekangan masa. Artikel daripada blogger idola saya mempunyai jawapannya.



Sumber: ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Bahasa Intan Bahasa Kaca - Kemaskini


74418643.jpg

Ust, sy cdgkan spy ut tulis artikel ttg Badi’zman Said Annursi!”, email seorang pembaca kepada saya.

Sy harap ust dpt update blog ust dgn lbh krp lagi sbb hari2 sy buka n baca. Just 4 ur info!”, tulis seorang pembaca di shoutbox blog saya.

Sukar untuk saya nafikan, bahawa hati saya akan terus tertutup rapat apabila menerima email atau apa-apa pesanan seperti ini. Secara spontan saya akan sinis dan ‘menyampah’ untuk melayan apa sahaja permintaan yang datang dalam bahasa yang ditulis sedemikian rupa.


OBSES?

“Abang obses sangat sebenarnya”, kata isteri saya.

“Mungkin… tetapi adakah sesiapa yang suka dengan benda seperti ini?”, saya cuba mempertahankan pendirian.

“Suka tu tidaklah sampai suka. Tetapi boleh bertolak ansur”, sambung isteri saya lagi.

Menulis dan mengeja dengan betul dan cermat adalah sesuatu yang amat saya tekankan. Bahasa saya bukanlah bahasa tinggi, tetapi saya tidak suka berbahasa rendah, pada ejaan, ungkapan dan tulisan.

“Nak minta abang betulkan table tu sahaja sebenarnya!”, rungut isteri saya.

Walaupun hanya table sahaja yang bermasalah tetapi saya mesti membetulkan sama alignment perenggan agar justified.

Huruf besar dan huruf kecil, ‘di’ yang didekat atau dijauhkan, adalah ‘tajwid’ asas Bahasa Melayu yang telah saya pelajari semenjak di sekolah rendah, dan saya sukar bertolak ansur untuk membiarkan kesalahan berlaku.


TAJWID UNTUK SEDAR

Bagi saya, apabila seseorang itu menulis dengan cermat terhadap ejaan dan tatabahasa, dia menulis dalam keadaan ’sedar’ terhadap apa yang ditulisnya. Lebih bertanggungjawab lagi beradab.

Terkini, saya jadi rimas dengan tulisan-tulisan ala trengkas ini. Saya jadi sy, kenapa jadi knp… jika sesekali tentu sahaja saya tidak kisah. Tetapi jika di seluruh tulisan segala-galanya diringkaskan, saya menjadi rimas.

Jika di SMS, ada rasionalnya. Jumlah karakter yang dihadkan untuk satu SMS, menjadikan setiap huruf itu bernilai.. Tetapi jika ia turut sama mempengaruhi tulisan biasa, saya tidak menyukainya.

Teknologi memang bagus. Kerana ICT, banyak perkara yang dahulunya sukar kini jadi mudah. Khidmat telegram pun sudah pupus kerana adanya SMS.

Tetapi banyak juga benda yang dahulunya indah, kini jadi pudar dan hambar.


PANDUAN SMS

Akhirnya Dewan Bahasa dan Pustaka selaku pemegang amanah ke atas penjagaan bahasa kita, telah menerbitkan sebuah manual panduan menggunakan ringkasan perkataan di dalam SMS. Ia suatu usaha yang harus dipuji dan saya mengalu-alukannya.

MUAT TURUN DI SINI

Tetapi setelah selesai membaca panduan tersebut, saya kira ia mungkin tidak akan dipandang sebelah mata pun oleh majoriti pengguna telefon bimbit dan khidmat sms di negara kita. Entahlah, mudah-mudahan saya tidak pesimis, tetapi saya merasakan bahasa hanya dapat dibetulkan penggunaannya selepas dibetulkan jiwa manusia yang menuturkannya.

Jika tiada rasa kasih kepada bahasa, bagaimana mungkin ada kesudian menjaga dan menghormatinya.

Siapakah yang sudi mengasihi bahasa kita, jika bahasa kita sendiri sentiasa menjadi anak tiri di sekolah hingga ke universiti? Apatah lagi perkataan bahasa kita yang popular di Parlimen hanyalah *&^*^%$%%#^!!!

Pemimpin borek, rakyat rintik!


TIDAK PANDAI BERBAHASA

Pernah saya terfikir, kenapa generasi muda hari ini tidak pandai berbahasa? Cakapnya kasar, tidak pandai mengambil hati, tulisnya keras ayatnya pedas. Hingga generasi separuh tua seperti saya ini, ramai yang bosan melayan mereka.

Mungkin ia adalah kesan sampingan teknologi. Jika dahulu, kita banyak berinteraksi dengan manusia, tetapi kini banyak yang bersifat virtual, dengan mesin tanpa jiwa dan rasa. Bercakap dengan skrin!

Maka bahasa yang ditulis semakin pudar dari seni dan warna. Membaca tulisan pun sudah seperti ungkapan matematik tanpa perasaan.

“Ahh, buang masa sahaja. Janji mesej sampai”, alasan yang diberi.

Sedangkan manusia masih memiliki naluri yang sama. Suka pada keindahan bahasa, cenderung kepada pengaruh kata-kata.

Mungkin kerana itu, semakin ramai anak muda yang sesat dalam kehidupan hanya kerana terlalu mudah jatuh ke permainan kata-kata. Cukup sekadar disuntik sedikit rasa, terus rabun dari menilai yang mana intan yang mana kaca.

“cinta itu kurap, makin digaru makin sedap!”

Ayat sebusuk ini pun sudah bisa memutikkan cinta!

Anda yang memperlekehkan bahasa, akhirnya anda sendiri yang menjadi mangsa permainan kata-kata. Anda menulis bahasa kaca, akhirnya anda sendiri yang terluka.

Saya dari generasi yang berbeza, maka maafkan saya jika semua email yang ditulis dengan ejaan yang caca merba, saya bakul sampahkan sebelum habis membaca.


BAHASA BLOG

Saya sering singgah bertamu di halaman blog ramai anak muda yang hebat-hebat ilmu mereka.

Ada kalanya, saya suka mengambil manfaat daripada blog mereka kerana pelajar-pelajar di menara gading ini banyak mengenengahkan topik-topik yang hanya diperolehi oleh mereka yang duduk di dalam dunia kampus. Ia berguna untuk diri saya, juga dakwah yang saya laksanakan.

Isinya hebat, malah rujukan-rujukannya juga mantap.

Tapi sayang seribu sekali sayang, ia ditulis dengan bahasa sampah! Bukan sahaja ejaannya tidak tentu hala, malah pemilihan perkataannya juga buruk lagi merugikan.

“Benda nie kalo korang nak tahu, ulamak kiter dah bahas panjang giler kat dlm bk jar wa ta’dil. Korang tak kesian ke tgk ulamak susah2 buat kajian, pehtu korang main ckp ikut suka jer bab2 muawiyah dgn ali ni. Cb korang baca btl2 dlm bk al-awasim minal qawasim yg ibn al-arabi tulih 2. kire sume benda ader dah disebut kat c2…”

Ini adalah contoh petikan yang tidak dipetik dari mana-mana blog, tetapi saya tuliskan sendiri dalam format bahasa yang sering saya temui di blog anak-anak muda yang berilmu tetapi tidak berbahasa itu. Ungkapan bahasa yang rendah seperti ini tidak melayakkan tulisan tersebut menjadi buku, biar pun potensi isi kandungannya sangat baik. Ia suatu pembaziran.

Malah saya kira, mereka ini membaca tulisan para ilmuan Islam sekadar mengambil ilmu, tetapi tidak terkesan dengan bahasanya.

Sungguh merugikan.

Sahabat saya, Dr. Gabriele Marranci juga, semasa menyemak tesis PhD pelajarnya, pernah memberitahu saya:

“You know brother, I have sometimes to read essays in broken language, but often it ends in broken marks!”


REAKSI

Berikut adalah reaksi Puan Ainon Mohd. Sifu PTS apabila ada penulis yang menulis di dalam mailing list beliau dengan bahasa caca merba:

Gaya bahasa macam gaya bahasa saudara ini tidak digunakan dalam al-Quran, mahu pun dalam sunnah Nabi Muhammad SAW. Semua ejaan dalam Quran adalah ejaan sempurna, dan Nabi Muhammad tidak bercakap menggunakan bahasa macam bahasa budak belum matang dan rendah taraf pendidikannya.

Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

Monday, 27 April 2009

antara BENCI dan MAAF


Manusia pelbagai ragam


Kejadian 1:

"Saya nak bertanya pada awak ni mengenai..."Lina membangkitkan persoalan pada Eddy mengenai cerita kurang enak.

"Mesti kawan awak yang suruh awak tanya saya!"tuduh Eddy pada kawan baik Lina.

(Eddy dan Lina bukan nama sebenar)


Kejadian 2:
"Aku tahu kau mesti menyebelahi dia tapi aku memang tak suka dengan sikap dia."lebih kurang bunyi luahan perasaan sahabat baik saya dalam sms.

"Aku tak menyebelahi dia tapi mungkin betul dia tak nak tolong atau memang dia tak reti. Mudah kita sangka baik dia tak reti. Lagipun perasaan benci itukan memenatkan" Itu sahaja saya mampu jawab.


SANGKA BURUK

Di atas adalah antara sketsa kehidupan seharian kita. Tanpa kita sedar atau sememangnya kita sedar perasaan buruk sangka, benci dan sewaktu dengannya sentiasa berlegar-legar dalam kehidupan kita.

Janganlah kita berburuk sangka dan mudah menuduh orang Islam yang lain tanpa usul periksa. Jika wujud keraguan sama ada diam serta bersangka baik atau bertanya dengan baik kepada yang berkenaan kerana sesungguhnya Islam menegah sangka buruk.

"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka buat maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata." (Al-Ahzab: 58)

"Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari perasangka buruk, sesungguhnya sebahagian prasangka buruk itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain...." (Al-Hujurat: 12)


MAAFKAN MEREKA

"Ana menyampaikan maaf sesetengah jemaah masjid yang mengata anti."ujar Pengerusi Masjid ketika perjumpaan ringkas sebelum saya berangkat ke Mesir. Terkejut juga kerana saya tidak mengenali mereka jadi apa yang perlu diumpat?

"Awak ini dikenali jarang mengucapkan terima kasih pada orang yang menolong awak serta awak sentiasa mengawal kawan-kawan awak." Penyataan yang mengejutkan. Begitu sekali anggapan orang luar.

Banyak lagi sketsa berlaku dalam kehidupan saya maka saya tahu peritnya hidup sentiasa disalah anggap oleh orang lain. Pada mulanya memang timbul perasaan benci dan dendam dalam sanubari ini tetapi akhirnya saya mendapat satu kesimpulan bahawasanya perasaan dendam dan benci itu hanya memenatkan naluri kita.

Maafkanlah mereka kerana sesungguhnya kemaafan itu lebih indah dan menyenangkan berbanding perasaan dendam dan benci malah Islam teramat menggalakan sikap sabar dan maaf. Dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah terdapat banyak galakan bersifat penyabar:

"Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang sedemikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Asy-Syura: 43)

"Maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik." (Al-Hijr: 85)

Rasulullah SAW sentiasa dihiasi dengan sikap sabar. Baginda menghadapi ujian yang lebih besar dari kita tetapi baginda tetap istiqamah dengan sifat sabar dan memaafkan. Bagaimana kita?

Anas meriwayatkan: Pada suatu hari Rasulullah SAW telah masuk ke dalam masjid dan pada badan baginda terdapat sehelai kain selendang buatan Najran yang kasar buatannya, beliau didatangi dari belakang seorang A'rabi (badwi) lantas menarik hujung selendang Rasulullah SAW sehingga perbuatan itu meninggalkan kesan pada leher Rasulullah SAW. A'rabi tersebut berkata: "Wahai Muhammad berikan kami harta milik Allah yang ada padamu." Rasulullah pun berpaling sambil tersenyum dan bersabda: "Arahkanlah kepadanya (yakni memberi arahan supaya diberikan apa yang dimintanya" (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Mulia contoh peribadi yang Rasulullah tunjuk kepada kita. Sejujurnya sekiranya saya berada di tempat baginda tentu saya tidak mampu tersenyum dan dengan hati terbuka menunaikan permintaan A'rabi tadi.


AKHLAK MULIA

Sesungguhnya akhlak mulia adalah matlamat asasi bagi risalah Islam. Ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya:

"Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"

Malah akhlak juga merupakan amal paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat. Sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisab. Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak ada satu perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba di hari kiamat kelak lebih dari akhlak mulia" (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi daripada Abu Ad-Darda dan Tarmizi berkata: hadis ini hasan sahih)

Memaafkan, sabar dan bersangka baik hanyalah sebahagian cabang dalam berakhlak. Jadi marilah sama-sama kita membaiki akhlak kita. Sesungguhnya orang-orang Islam sejati dikenali dengan akhlak yang mulia.

Nostalgia kecil-kecil dulu:



Akhlak Mulia - Soutus Sofwa

Thursday, 23 April 2009

Laksa

Alhamdulillah hari ini selesai sesi peperiksaan praktikal bagi tahun 3. Maka demi menghilangkan tension saya kerana rasa teruk menjawab praktikal pathology, hendak masak tak sempat (bersedia untuk peperiksaan seterusnya) jadi kongsi resepi memadai.



Gambar Hiasan

Bahan Kuah (6-10 orang)
2kg ikan kembung

1kg bawang besar

1/2 mangkuk cili giling*

Daun kesum

Bunga kantan

Belacan

Garam

Asam keping


*ikut kepedasan cili dan citarasa


Bahan hiasan
Timun

Bawang
besar
Cili basah
atau cili padi
Limau nipis

Telur rebus



Cara-cara
  1. Ikan kembung direbus dengan asam keping kemudian asingkan isi dan tulang ikan. Air rebusan jangan dibuang.
  2. Isi ikan dan tulang ikan dikisar berasingan. Tulang ikan sekadar mengambil air tulang tersebut.
  3. Mula-mula bawang besar yang dikisar dan cili giling direbus sehingga agak-agak kering dan masak, kemudian masukkan isi dan air tulang ikan tadi ke dalam periuk yang sama. Tambah air jika terlalu pekat.
  4. Masukkan belacan serta asam keping dan biarkan mendidih.
  5. Masukkan garam secukup rasa.
  6. Setelah kuah hampir siap, masukkan daun kesum dan bunga kantan yang dibelah.
  7. Rebus laksa dan tapis untuk dihidang bersama bahan hiasan.

Bid'ah memasak laksa di Mesir yang saya jumpa ialah:
  1. Lobak yang dihiris halus termasuk dalam bahan ulam
  2. Selain garam , gula turut ditambah

p/s: kepada kawan-kawan selepas peperiksaan boleh jemput saya makan laksa pula.

Mak Tiri!?!?


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


"Kak Didi, saya tak fahamlah. Anak Ha
ji Shuhardi dan Hajah Norliza tapi anak kesayangan Norsiah. Mak tiri akak ke?" tanya adik usrah saya usai smart circle mingguan kami.

Tepuk dahi saya dibuatnya. "Sudah, mak tiri jadinya."

Mak Ngah & Umi

Ramai yang keliru dengan penerangan mengenai diri saya dalam ruangan About Me.



PELIK

"Mak tu adik nenek" kata saudara-mara kepada saya.

"Orang panggil Cik Noi, dia panggil mak." ejek Pie sepupu saya sehingga sekarang.

"Noi, datang la rumah ajak Ngah sekali." umi mengajak mak ngah dan mak ke rumah kami.

Kecil-kecil dulu saya sendiri pelik mengapa insan yang saya panggil mak, orang katakan beliau adalah nenek saya. Tapi saya lihat perhubungannya dengan umi saya seperti adik beradik jadi saya anggap dia kakak kepada umi. Pening juga.


Nenek


"Norsiah binti Ismail, itu mak. Saniah binti Ismail, itu nenek. Norliza Mohamad, itu umi."


Rupanya memang mak adalah adik nenek tetapi kerana sejak kecil dia menggantikan tugas mengasuh saya ketika umi sibuk atau saya mendapat adik baru jadi saya anggap dia mak selain umi saya. Mak membesar bersama-sama umi sejak kecil jadi mereka kelihatan seperti adik dan kakak.

Selain umi, mak adalah insan istimewa dalam hidup saya. Saya mempunyai bilangan adik-beradik yang ramai sejak kecil ma
ka bersama maklah saya merasa hidup sebagai anak tunggal sekali-sekala. Saya tak boleh menambah susah umi melayan kerenah manja dan ngada-ngada saya.


5 orang adik-beradik ketika berumur 5 tahun



AKTIVITI HARIAN


"Bila nak habis ni, lama betul."
rungut saya dalam hati.

Sejak dulu kalau mak kalau berwirid selepas solat, sampai tertidur saya menunggu di sebelah. Walapun dimanjakan, amalan solat dan wirid beliau tidak boleh diganggu. Bila membaca al-Quran mak mempunyai kanta supaya lebih jelas bukan cermin mata, menarik bukan?


Antara buku ladybird saya


"This is Jane. This is Peter." saya bertatih cuba membaca ayat bahasa English di dalam buku keluaran ladybird pemberian mak.

Dulu, sambil menunggu mak menyelesaikan kerja mengemas dan memasak, saya akan diberi latihan membaca atau matematik. Setelah siap semua latihan dan disemak oleh mak, saya akan menampal di belakang pintu bilik beliau sehingga penuh.



SERBA SALAH

"Cukup tak duit nak pergi shopping kat KL tu?" Garu kepala saya mendengar pertanyaan mak.

Walaupun mak bukanlah ibu kandung saya tetapi beliau sering mengambil berat mengenai diri saya. Dulu memang seronok sebab selalu dapat wang saku tambahan, duit raya lebih daripada orang lain dan duit shopping.

Tapi setelah meningkat dewasa saya sedar mak cuba membantu umi mencukupkan keperluan hidup saya. Serba-salah untuk menerima tetapi jika menolak seperti tidak menghargai.


Mak


Semoga Allah menerima segala amalan mak. Terima kasih tidak terhingga ku ucapkan.

Wallahualam.

Monday, 20 April 2009

Di Mana MALUmu

"Aku nak buat 1 permintaan boleh? Buangkan gambar aku yang sorang-sorang dalam friendster" Pinta sahabat karib saya ketika di KMPk melalui ruang YM.

"Tapi friendster aku private, tertentu sahaja." duga saya walhal jelas saya terlepas pandang soal ini.

"Aku MALU, tolong la."

"Baiklah, usik je tadi." Sambil tersenyum saya terus membuang gambar beliau dari album friendster milik saya.


HADIS
Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah ibn 'Amru al-Ansari al-Badri r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan keNabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu." Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari

Malu merupakan akhlak para nabi Allah dan malaikat. Menurut kitab hadis 40 Imam Nawawi makna suruhan hadis ini:
  1. Suruhan terhadap tahdid (kecaman)
  2. Suruhan terhadap perkara harus (pilihana samada buat atau tidak)
  3. Suruhan sebagai pilihan yakni sebagai benteng maksiat
Malu terbahagi kepada dua
  1. Malu yang diusahakan
  2. Malu merupakan fitrah

DI MANA MALUMU?
Suka untuk saya mengambil makna bahawa malu itu benteng kepada maksiat dan perbuatan tercela. Orang yang beriman pasti tertegah untuk membuat maksiat dengan sifat malu dalam diri mereka.

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: "Sifat malu adalah salah satu cabang daripada iman."

"Hendak tegur tak yang itu?" Tunjuk sahabat serumah saya ketika kami dalam perjalanan pulang dari tusyen malam.

"Jomlah, kita sama-sama kuat sikit." Maka kami serumah menegur dua orang adik yang berdua-duan di kawasan gelap. Namun tindak balas yang diterima menggeramkan, paling kurang rasalah malu pada senior-senior yang melihat perbuatan mereka.

Pokok Semalu pun menguncup malu

Saya tidak pasti apakah perasaan mereka yang berjalan berdua sambil dilihat orang ramai, mereka yang berpakaian ketat dan pendek sehingga menampakkan punggung, tidak malukah? Usahkan kita fikir ketidak segan mereka dengan pandangan manusia yang zahir, bagaimana dengan pandangan Allah? Tiada rasa bertuhankah?

Setelah diberi peringatan demi peringatan, lakukanlah maksiat dan tunggulah pembalasan daripada Allah!


MALU ITU FITRAH
"Kenapa tak pakai baju baru?" tanya Sara apabila melihat temannya tidak memakai baju baru pemberiannya.

"Malu, baju tu ikut bentuk badan." jelas Ikin agar Sara memahami.

Sesungguhnya dalam diri manusia terutama wanita tertanam sifat malu yang tinggi. Saya juga wanita seperti kalian. Malu merupakan fitrah diri kita. Mengapa kalian menidakkan rasa malu itu. Sesungguhnya malu itulah yang menghijab kita dari maksiat. Malu itu mampu memelihara diri kita. Jangan nafikan fitrahmu.


REALITI ZAMAN KINI
Dahulu saya punya rakan yang bersekolah agama maka saya yakin dia telah diberi tarbiyah asas dalam kehidupan namun dia tersungkur dibawa arus kelalaian. Semoga Allah memberi hidayah dan taufiq kepadanya serta mengampunkan saya kerana gagal membimbing dirinya.

Ketahuilah memegang agama itu ibarat menggenggam bara api. Janganlah kita kalah kerana terikut dengan kebiasaan kebanyakan orang. Contohnya budaya couple yang menjadi amalan remaja masa kini menyebabkan yang tidak bercouple kadang kala terasa janggal.

(gambar hiasan)

Sekalipun golongan majoriti yang melakukan sesuatu perkara, tidak semestinya itulah yang benar ibarat seorang pemandu wanita yang disound pemandu lelaki kerana mematuhi had laju di jalanan. Jika kita tergolong daripada kumpulan minoriti yang cuba berpegang dengan prinsip Islam, jangan bimbang kerana:

“Islam itu bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Dan ia akan kembali dipandang ganjil sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang dipandang ganjil (kerana Islamnya mereka)” [Hadith riwayat Muslim]


Wallahualam.

p/s: Alhamdulillah hilang tension, boleh sambung study.

Rintihan


Ya Allah
Bentuklah diriku menjadi daie

Menjadi muslimah sejati

Yang sentiasa kuat dan teguh

Tidak goyah dek arus

Tidak futur dek leka dunia


Ya Allah

Aku takut...aku sedar

Akan kekuasaan dan pengawasanMu


Ya Allah

Kurniakan kekuatan yang menjulang

Kurniakan semangat juang yang menggunung

Agar aku sentiasa bersedia

Menghadapi mehna ujianMu


Ya Allah

Aku hamba yang leka

Aku hamba yang hina

Aku hamba yang lemah


Maka Ya Allah

Ku pohon petunjukMu

Ku pohon keberkatanMu
Dalam setiap langkah kehidupanku

Kerana aku mahu hidup maju

Hidup bebas dibelenggu nafsu


Ya Allah sesungguhnya

Aku mohon yang terbaik

Buat diriku dan insan-insan lain
Buat mereka yang sentiasa dalam doaku



Luahan hati sahabat saya ketika dia dalam masalah suatu ketika dulu katanya.

p/s: tahniah kepada dia kerana berjaya membeli ruzbi laban daripada ammu zabadi

Friday, 17 April 2009

Curi daripada Achik

Thursday, 16 April 2009

Cerita Siang

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah pagi ini setelah selesai bersarapan sekadarnya dan menyiram pokok cili dan serai yang entah bila akan mengeluarkan hasil saya menghadap komputer peribadi untuk melihat sebarang perkembangan di dalam dan luar negara.
Sedang asyik membaca berita, rakan serumah mengetuk pintu bilik.

"Masuklah." Dengan lirikan mata saya melihat wajah sahabat serumah saya muncul di muka pintu yang tidak berkunci.

"Awak dah baca blog PCM?" Dia bertanya. Saya hanya membalasnya dengan anggukan.


"Awak dah baca blog saya? Refresh la. Saya tulis pasal orang bawah dan kes tu"

"Baru nak baca. Kejap." Terus jari ini menekan tetikus pada link blog beliau. Tidaklah saya nak memaparkan semula berita tersebut. Anda boleh baca di blog PCM dan juga blog sahabat saya.

Apa yang membimbangkan bukanlah soal kecurian sahaja kerana sememangnya kita dididik sejak kecil untuk memastikan pagar dan pintu rumah sentiasa ditutup serta dikunci. Satu saranan yang perlu dijadikan tabiat.

Walaupun kecil, tidak terkecuali untuk dikunci (gambar hiasan)

Sejak dari tahun 1, kawasan kami dikenali antara jalan yang agak merbahaya. Banyak rakan-rakan telah mengadu mereka diganggu ketika berjalan bersendirian mahupun berteman. Rakan-rakan arab juga tidak terkecuali. Malah saya juga hampir menjadi mangsa, ahamdulillah tidak serius dan ketika itu berjalan berkumpulan.


Ini bukan gambar mangsa

Kes-kes keselamatan yang dilaporkan semuanya berlaku di waktu siang. Sedarlah siang itu bukanlah jaminan keselamatan anda dijamin. Jadi saya sarankan rakan-rakan elakkan berjalan bersendirian terutama di kawasan-kawasan sunyi.


Nabi SAW bersabda “Kalaulah manusia tahu tentang keburukan berjalan seorang diri, nescaya aku tidak akan dapat mengetahui adanya orang yang sanggup berjalan seorang diri pada waktu malam”.

Geram!

Di siang hari boleh terjadi kes seumpama ini, bagamaina malam? Sungguh berani menaruhkan maruah dan keselamatan diri dengan berjalan berseorangan di waktu malam.

"Katakanlah aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh (fajar), dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan, dan dari kejahatan MALAM apabila telah gelap-gelita" (Al-Falaq: 1-3)

Saudari-saudariku sayang, peliharalah dirimu. Belum menyebut soal musyrif, sekurang-kurangnya bertemanlah walaupun turun ke kedai sebelah rumah di waktu malam.


"...dan janganlah kamu menjatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri..." (Al-Baqarah: 195)

Semoga jiran seimarah kami lebih berjaga-jaga memandangkan pencuri tersebut begitu jatuh cinta dengan rumah mereka. Semoga basikal-basikal kesayangan mereka tidak dicuri begitu juga barang-barang lain.


Imarah kami

p/s: Jangan pula rakan-rakan takut untuk datang ke Imtiyaz. Kes boleh berlaku di mana-mana, yang penting aspek keselamatan dijaga.

Wednesday, 15 April 2009

Taba...Lambaian Qal'ah (Bahagian 1)

Pengembaraan bermula...

Mereka bertolak daripada Teratak Imtiyaz sedikit lewat pagi itu. Huriyyah Production cuba menyusun segala bagasi dan perlatan ke dalam Avanza supaya tiada yang terpaksa ditinggalkan (biasa la wanita).

"Semua dah bersedia?" Pengarah telah berbunyi.

"Insya Allah semua sudah ok." Penuh semangat mereka.

"Ana tak pasti jalan Mansurah ke Sinai. Lain jika kita lalu Kaherah." Ustaz S mencetuskan persoalan. Aduh, soal jalan pengarah undur diri awal-awal.

"Kalau kita keluar daripada Mansurah ke Sinai lalu Dumyat, Insya Allah saya cuba" Yam penyelamat keadaan. Ternyata beliau cekap memainkan peranan sebagai co-pilot.



Alhamdulillah setelah sesi sesat jalan dan berpusing-pusing, tiba juga di Taba menjelang senja.

"Nampaknya kita kena kejar masa bimbang ammu tak bagi naik memandangkan dah petang" Secara tidak langsung pengarah meminta semua meningkatkan kelajuan semua berjalan menuju ke jeti.



Taba merupakan bandar pelancongan kecil di Mesir berdekatan Teluk Aqaba. Pernah dijajah oleh Israel pada beberapa kali antaranya pada tahun 1956 dan 1967. Malah di Salah El Deen Village pengunjung dapat melihat sempadan 4 buah negara Mesir, Israel, Jordan dan Arab Saudi.

Qal'ah Salahuddin Al-Ayubi seperi namanya merupakan kubu pertahanan yang digunakan oleh panglima agung Salahuddin Al-Ayubi dalam perang Salib dalam misi membebaskan Baitulmaqdis dari cengkaman kerajaan Kristian ketika itu.


Salahuddin al-Ayyubi atau nama sebenarnya Yusuf bin Ayyub (1137 -1193) mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurd di Mesir dan Syria. Di Barat beliau dikenali sebagai Saladin. Dia juga terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib. (seperti dalam filem Kingdom of Heaven)


Sallahuddin Al-Ayyubi - Mestica

(Islam memerlukan insan sehebat Salahuddin Al-Ayubi untuk bangun semula. Namun kita masih lalai dan leka dengan keseronokan dunia tanpa sedar permainan musuh kita.)

Lambaian hanya lambaian. Mereka hanya dapat melihat Qal'ah Salahuddin Al-Ayubi dari jauh. Walaupun pada mulanya mereka berjaya memujuk ammu namun akhirnya pihak keselamatan tidak benarkan mereka menaiki bot untuk ke sana memandangkan hari sudah gelap.

Semoga Allah memberi peluang di lain masa untuk menyambut lambaian itu. Kembara diteruskan...

Monday, 13 April 2009

Trailer Kembara Sinai



Sinopsis
Achik datang ke Mesir demi melawat kakaknya Ila yang merupakan pelajar tahun 3 Mansoura University. Setelah melawat sekitar Kaherah dan Iskandariah, mereka bersiap untuk KEMBARA SINAI. Permulaannya kembara yang melibatkan 3orang termasuk ustaz pemandu pelancong akhirnya bertambah menjadi seramai 8orang. Bermulalah kembara mereka...



Penghargaan Penajaan
Achik
Ain

Pengarah
Ila

Jurugambar
Yan
Ain Sopan
Achik
Yam

Peralatan
Huriyyah Production

Bodygurd Kembara
Achik
Faiq

Pengankutan
Ustaz S
Avanza




Hikmah Kembara - Mirwana

Tuesday, 7 April 2009

Nawaitu


Saya percaya lagu ini mempunyai isi yang bermakna tetapi mengapa kali ini saya gagal memahami sepenuhnya lagu yang saya dengar?



Nawaitu - Rabbani

Antara Niat Dan Manis Bicara
Satukan Di Dalam Satu Denyutan
Di Mana Jiwamu Pasti Bahagia
Kembali Bersemi Insani

Lafazlah Setulus Hati Nurani
Bukakan Maksud Tersimpan Di Hati
Biarpun Pedih Menyeksa Naluri
Nawaitu Tuntutan Batin Suci

Usahlah Engkau Selindungkan Bayangmu
Renungi Asal Kejadian Dirimu
Berjalan Tunduk Bukan erti Kau Kalah
Tebarkanlah Serata Jiwa

Usahlah Engkau Persalahkan Kakimu
Andainya Rebah Di Bumi Mu Sendiri
Mungkinkah Ada Kesilapan Semalam
Lafazkanlah Sejujur Hati

Ketulusan Insan sejati
Mencerminkan Budi Pekerti
Kesungguhan Menyingkap Makhfi (Rahsia)
Kebenaran Diri Yang Suci

Hanya Jiwa Yang Tulus Mengerti Kemanisan Nawaitu Hati Ketenangan Dalam Mencari Keredhaan DariMu Tuhan…Ku


p/s: peperiksaan yang semakin hampir...