Friday, 20 November 2009

Sejarah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Saya agak meminati sejarah. Sedikit. sebanyak minat saya terhadap sejarah kerana saya mempunyai umi yang teramat meminati sejarah. Jika menonton filem dengan beliau memang menyeronokkan kerana dia pasti akan mengaitkan dengan fakta yang berkaitan terutama soal sejarah.

Saya teringat kali pertama saya betul-betul tertarik dengan sejarah Islam dan dunia adalah ketika di sekolah menengah, saya sebagai naqibah perlu membaca Apa Ertinya Saya Mengganut Islam yang menjadi silibus usrah ketika itu.

...akhirnya menyediakan keadaan kepada umat Islam untuk menerima kekalahan pertama pada tahun 1948.

Kalau ketewasan dalam tahun 1948 adalah akibat mengekori Barat maka ketewasan pada tahun 1967 adalah akibat mengikut proletariat yang kefahaman kiri

2 ayat kata pengantar yang cukup membuatkan saya begitu tertarik. Apakah sebenarnya yang berlaku pada tahun 1948? Kenapa dikatakan kekalahan umat Islam? Sejak itu saya cuba memahami apakah yang berlaku dan impaknya kepada umat Islam. Malah saya sedar teramat sedikit pengetahuan saya ketika itu.

Dengan situasi yang terhad memandangkan saya bukanlah pelajar Sejarah, saya cuba memahami sedikit demi sedikit. Dokumentari dari youtube yang dicadangkan umi abuya banyak membantu saya. Namun saya sedar banyak lagi yang perlu saya baca.





Dokumentari ini cukup memberi kesan kepada diri saya juga sahabat-sahabat serumah saya. Ketika kali pertama saya melihatnya, saya tidak dapat menahan mengalirkan air mata. Alhamdulillah saya berkesempatan berkongsi dengan teman-teman. Semoga mereka mendapat sesuatu yang bernilai.

“Dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”  (Surah Hud 11: 120)

Saya percaya jika kita menyoroti sejarah ia menjadi salah satu kaedah untuk menguatkan hati dan memberi pengajaran dan peringatan. Malah terlalu banyak isu yang perlu kita selak lembaran sejarah supaya kita faham apakah yang berlaku dan puncanya. Supaya isu bukan sekadar isu. Panas isu panaslah kita tetapi apabila isu sejuk lupalah kita.

Mungkin ada yang mengatakan sejarah itu membosankan. Tanpa sejarah kita tidak tahu sumber kekuatan orang-orang terdahulu berjuang di jalan Allah. Tanpa sejarah kita tidak tahu rahsia kegagalan dan kejayaan umat terdahulu. Banyak lagi kelebihan mendalami sejarah. Malah dalam al-Quran sendiri terdapat banyak sejarah yang perlu kita singkap. Maka sejarah itu bukan sekadar fakta sahaja. Ada permata.

Mungkin kerana kali ini pengisian perjumpaan bersama adik-adik sc, saya dan sahabat saya bersetuju untuk mengadakan sedikit tayangan sambil makan-makan membuatkan saya mengimbau kembali minat saya terhadap sejarah. Terasa ingin menulis sesuatu tetapi terasa masih kekurangan malah mungkin masih belum layak digelar orang yang meminati sejarah.

Orang mukmin tidak akan dipatuk oleh ular yang sama di dalam lubang yang sama tetapi bagaimana?

No comments: