Friday, 18 December 2009

Sabar

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah masih diberi nyawa untuk terus bernafas dan yang penting masih diberi nikmat iman dan Islam. Bangun pagi mengingatkan saya kerja yang agak tertangguh. Alang-alang menyelasaikan tugas, saya terjumpa sedikit bahan dan idea untuk dikongsi.

Ada peristiwa sebelum awal muharam ini yang menyebabkan saya mempunyai 2 atau 3 kesimpulan atau azam baru iaitu antaranya kurangkan hujah lebihkan amal, kurangkan angan lebihkan doa dan sabar. Artikel yang lepas saya bercakap mengenai hujah dan amal, maka kali ini mengenai SABAR.


Akhlak
Akhlak mulia adalah matlamat asasi dalam Islam malah menjadi suatu identiti yang wajib kepada muslim sejati.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (hadis sahih yang diriwayatkan oleh Malik, Hakim, At-Tabarani dan Bukhari)

Rasulullah SAW adalah seorang yang memiliki akhlak yang sungguh agung. Terdapat banyak sirah yang membuktikan keperibadian baginda mampu menarik hati orang kuffar untuk memeluk Islam. Indahnya Islam dihiasi akhlak yang murni.


Sabar
Bila berkata tentang sabar, saya akui bukan mudah untuk ketika sentiasa bersabar. Mulut mudah berkata tetapi hati siapa tahu. Bersabar dalam kehidupan memerlukan mujahadah yang agak tinggi. Umi selalu pesan, kakak perlu banyak belajar untuk bersabar.

"Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang sedemikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Asy-Syura: 43)

Hakikatnya inilah sifat yang penting untuk kita miliki terutama kita sebagai daie dan hamba Allah. Berjuang untuk menegakkan Islam bukanlah perjuangan yang dihampar karpet merah mahupun hijau. Berjuang itu pahit kerana syurga itu manis. Maka berjuang itu adalah lorong yang penuh duri, derita, siksa, penghinaan dan tuduhan.

Wahai sekalian orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang bersabar (Al-Baqarah: 153)

Untuk menghadapi hidup yang penuh liku sebagai daie kita memerlukan sifat sabar yang cukup kebal. Sabar itu perlu dalam proses menyampaikan dakwah kepada setiap golongan dan lapisan manusia yang pelbagai. Tanpa kesabaran tidak hairan jika kita akan futur akhirnya. Nauzubillah.

Sabda Rasulullah SAW: "Apabila makhluk dihimpunkan (pada hari kiamat) seorang tukang seru menyerukan: Dimanakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan?" Rasulullah SAW pun bersabda lagi: "Maka bangunlah sekumpulan manusia dan bilangan mereka amat sedikit. Mereka pun segera berarak menuju syurga, para malaikat pantas menemui mereka dan berkata: Apakah keistimewaan kamu? Mereka menjawab: Di masa yang lampau, apabila kami dizalim, kami bersabar, apabila diperlakukan sesuatu kejahatan kepada kami, kami bersifat lemah lembut. Lantas dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam syurga maka nikmatilah ganjaran bagi mereka yang beramal."


Marah
Apabila bercakap mengenai sabar, saya sendiri terbayangkan perasaan marah.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: "Berilah wasiat kepadaku." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Jangan marah." Lelaki tersebut mengulang pertanyaannya berkali-kali, sabda Rasulullah SAW: "Jangan marah"


Perasaan marah adalah penghimpun kejahatan dan bebas daripada perasaan marah adalah penghimpun kebaikan. Malah apabila ditanya kepada Rasulullah apakah amalan yang paling afdhal, sabda baginda berakhlah baik iaitu janganlah marah sekiranya kamu mampu.

Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu. (An-Nur: 22)



Ikhlas 
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan  beribadah kepadaKu (Adz-Dzariyat: 56)

Jadi jelaslah tujuan dan matlamat hakiki kehidupan kita adalah untuk beribadah kepada Allah. Setiap apa yang kita lakukan mestilah diniatkan semata-mata kerana Allah atau dengan kata lain ikhlas.

Orang yang ikhlas akan sentiasa bersabar dan menahan amarahnya kerana dia sedar bahawa hanya keredhaan Allah yang ingin dicapai bukan kepuasan diri sendiri muhupun orang lain. Dalam menuju keredhaan Allah taala pasti dugaan akan menemani.

“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)


Selamat bermujahadah dan berusaha untuk mencapai keikhlasan berjuang di jalanNya dengan sifat sabar dan menghindarkan nafsu amarah.



p/s: ada masalah dalam penulisan.

No comments: