Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
ADHA'09 berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit ujian kepada kami pihak pengurusan. Tidak mengapa, semua ini tarbiyah dan didikan kehidupan. Bagi saya medan bekerja dan berpersatuan adalah medan saya mengenali diri saya dan diri rakan-rakan. Terima kasih kepada mereka yang menjayakan program ini secara langsung atau tidak langsung.
Mesyuarat Agung Tahunan juga berlalu dengan kelainan yang menarik tahun ini. Seperti kata sahabat saya, jelas kelihatan kematangan ahli-ahli PCM dalam MAT kali ini. Semoga usul-usul yang dibahaskan dan diterima oleh semua tanpa bantahan dapat direalisasikan dengan jayanya. Sikap berlapang dada dan berfikiran terbuka secara berprinsip penting demi kesatuan.
Alhamdulillah-alhamdulillah satu-persatu tanggungjawab selesai namun satu-persatu tanggungjawab menanti. Al-wajibat akthar min al-awqat. Tanggungjawab itu lebih banyak daripada masa yang ada. Tapi untuk diuji dengan masa yang lapang itu lebih membimbangkan saya.
Terbaru dengan taklifan mentor dan mentor figure bagi sesi 2009/10 maka saya terpaksa meninggalkan adik-adik J2 dan J3. Harap-harap ukhwah yang baru terbina tidak terhenti begitu sahaja. Ketika perjumpaan mentor, kami diminta mengisi borang. Antara soalan yang menarik adalah apakah harapan anda kepada diri sendiri, mentor figure dan mentor (kalau saya tak silap).
Jawapan saya agak pendek iaitu "saya berharap diri saya tidak menjadi seperti tin kosong". Saya sedar bahawa bakat saya dalam bidang penulisan lebih tumpul berbanding berhujah atau bercakap. Dalam keadaan kaki terketar-ketar namun tidak pada suara saya, seiring dengan semangat mungkin.
Apakah maksud tin kosong itu?
Andai kita mengetuk tin kosong pasti bergema bunyi tin tersebut tetapi berisikah tin tersebut?
Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan. (As-Saff: 2-3)
Itulah kebimbangan saya. Kita akan diuji dengan setiap kata-kata kita. Allah tidak suka akan hambaNya yang cakap lebih tetapi kurang amal. Menulis dan berhujah mungkin mudah tetapi untuk turun padang merealisasikan kata-kata ramai yang kecundang. Nauzubillah.
Saya telah mencadangkan supaya penyelarasan istilah mahasiswa-mahasiswi mengantikan istilah pelajar-pelajar dilaksanakan supaya kita semua sedar bahawa kita bukan lagi pelajar sekolah yang diatur-atur hidupnya. Bukan golongan yang takutkan cabaran dan isu-isu berat. Suara mahasiswa itu suara keramat seperti yang sering dilaungkan. Namun, diharapkan suara keramat itu bukan semangat semata-mata.
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya.... (Al-Baqarah: 286)
Bersesuaian dengan firman Allah di atas bahawa Dia menguji hambaNya mengikut kemampuan dan kesesuaian hambaNya. Sesungguhnya kekuatan itu hanya dari Allah. Dengan Allahlah kita meminta agar kita diberi kekuatan untuk mencapai tujuan dan matlamat hidup kita.
Mungkin boleh jadikan salah satu azam baru, kurangkan hujah lebihkan amal. Malang kalau hujah yang cantik dan kemas itu tidak diusahakan untuk diterjemahkan di dunia realiti. Sungguh merugikan kerana kefahaman yang ada jangan disia-siakan. Maka, selamat beramal.
No comments:
Post a Comment