Thursday, 12 November 2009

Mesyuarat oh Mesyuarat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah semalam selesai pusingan kedua mesyuarat ADHA '09. Terima kasih tidak terhingga kepada semua gerak kerja yang telah memberi komitmen yang baik.



Iklan ini sungguh comel

Mungkin saya bukanlah orang yang selayaknya untuk memberi pendapat soal ini. Cuma sekadar pendapat peribadi dan hasil pembacaan saya. Setiap gerak kerja atau program pasti akan melibatkan agenda mesyuarat tidak kira mesyuarat induk atau mesyuarat unit kecil.


Defini mesyuarat

Menurut bahasa adalah berunding atau bertukar fikiran.

Menurut istilah syariat Islam ialah bertukar fikiran atau berbincang antara dua orang atau lebih dalam menghadapi hal-hal yang dibenarkan oleh syariat sesuai dengan adab-adab dan cara-cara yang syari' untuk memperoleh hasil yang baik dan benar yang akan menjadi tindakan bersama seseorang atau kelompok.

"Dan orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka diputuskan dengan musywarah antara mereka dan mereka menafkahkn sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (As-Syura:38)





Mesyuarat adalah Fitrah

Tiada manusia yang suka disuruh-suruh atau diperintah taat membabi-buta. Jadi fitrah manusia perlukan kepada perbincangan supaya kata sepakat yang dicapai sesuai dengan keadaan semua pihak kerana fitrah wujud perbezaan pandangan dan pendapat. Keputusan yang dicapai atas fikiran individu berlainan dengan keputusan yang dicapai atas fikiran kumpulan.

"...mesyuaratlah dengan mereka urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudia apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat dan hendak membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." (Surah Ali-Imran:159)



 Bekerjasama


Mesyuarat berperanan menyatukan semua pandangan dan idea yang berbeza untuk diperdebatkan dengan cara yang tersusun dan berkesan.

"Dan juga (lebih baik dan lebih kekal) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya." (Asy-Syura:38)

Maka tidak dapat tidak kita tidak boleh menolak kepentingan bermesyuarat dan berbincang. Malah selain mencapai keputusan dalam perbincangan kita juga dapat mengelakkan kesilapan yang besar. Mungkin apa yang tidak disedari oleh kita akan disedari oleh ahli mesyuarat yang lain. Sesungguhnya penelitian setiap manusia berlainan.

Khalifah Umar bin Khattab berkata: "Tiada kebaikan pada sesuatu urusan yang dilaksanakan tanpa musyawarah" (An-Nizam As-Siyasi Fil-islam, Muhammad Abdul Qadir Abu Faris)

Jadi rakan-rakan, jangan malas-malas pergi mesyuarat. Lagi bertangguh lagi bertambah dan tergendala kerja kita.


Penting sangat ke mesyuarat unit?

Mungkin ada pihak yang kurang mengambil berat soal ini. Di mesyuarat unit inilah kita akan mengecilkan skop kepada bidang tugas unit kita. Di sinilah sepatutnya segala permasalahan dan cadangan berkaitan unit kita diselesaikan. Kehadiran pengarah atau timbalan pengarah ke mesyuarat unit pula adalah untuk memantau gerak kerja mesyuarat unit selaras dengan objektif program.

Kenapa saya bercakap mengenai mesyuarat unit?




Menjadi masalah kerana setiap kali mesyuarat induk akan memakan masa yang panjang kerana terpaksa membincangkan masalah-masalah yang sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat unit. Mesyuarat induk lebih kepada pembentangan gerak kerja setiap unit, penyelarasan tugas antara unit-unit dan hal-hal yang berbangkit. Kita sebagai pelajar pasti memerlukan penyusunan masa yang teratur. Jadi penting setiap agenda disusun dengan efektif.

Wujud juga unit yang memberi alasan tidak perlukan mesyuarat unit. Saya lebih suka menekankan sekurangnya terdapat perbincangan dua hala antara ketua dan timbalan atau dengan kata lain antara ikhwah dan akhwat. Kerap timbul rungutan tiada perbincangan atau kerjasama yang baik antara ketua dan timbalan ketua yakni lelaki dan perempuan.

Kita selalu dengar kata-kata wanita dan lelaki berbeza. Allah jadikan setiap makhluk-makhlukNya berlainan sifat dan pemikiran. Jadi mengapa kita tidak kita ambil hikmah dari kejadiaanNya untuk memperkembangkan kebolehan diri dengan cara yang dibenarkan. Islam tidak menghalang perbincangan antara dua jantina ini asalkan adab-adab islamiah itu dipatuhi.





"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong sesetengah yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan membayar zakat serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha kuasa lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah:71)

Sekiranya kita jelas tujuan dan matlamat kita, tidak akan timbul isu saya tunggu dia yang mula dulu, saya tunggu dia telefon dulu atau saya malu nak bersuara. Islam tidak membezakan hak bersuara antara lelaki dan perempuan. Indahkan Islam? Suatu agama yang syumul


Kesimpulan
Muhasabah kepada diri saya sendiri selaku insan yang lemah dan memerlukan bantuan rakan-rakan dalam apa jua gerak kerja. Islam sendiri mementingkan mesyuarat  dan kita sebagai umat Islam jangan malu-malu dan jangan ragu-ragu untuk berbincang. Berbincanglah dengan minda yang terbuka dan emosi yang terkawal. Persatuan, program, mesyurat dan sebagainya merupakan salah satu latihan kita untuk hidup bermasyarakat.

Panduan mesyuarat yang berkesan bolehlah dicapai melalui pembacaan atau merujuk kepada yang berkenaan supaya kita tidak bermesyuarat berjam-jam tetapi hasil tidak memuaskan. Entry kali ini lebih membincangkan kepentingan dan keperluan mesyuarat itu sendiri.



Perbincangan di mana sahaja


Rujukan:
  1. Al-Quran 
  2. Pdf Syura dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya
  3. Pdf The Power of Syura in Islam

p/s: umi dan kak una mencadangkan ulasan mengenai hubungan dua hala antara ketua dan timbalan. Mungkin dalam entry yang berasingan atau blogger-blogger lain boleh ulas soal ini. Sedikit penghargaan kepada rakan sekerja saya kerana banyak memberikan kerjasama yang jarang-jarang saya peroleh sebelum ini. Untuk Islam insya Allah.

No comments: