Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Dek kerana masalah internet rumah yang tidak menentu, saya langsung tidak berpeluang meng'update' blog. Sekadar perkongsian artikel dibuat untuk dimuatkan dalam Mansouriyyin.
Adakah PERUBATAN Menggagalkan Akademik Ahlinya?
Persatuan atau organisasi adalah suatu perkara yang sinonim dalam kehidupan terutama kehidupan insan yang bergelar pelajar terutamanya mahasiswa. Mahasiswa-mahasiswi harus sedar bahawa berpersatuan antara wasilah dalam mendidik diri menguruskan realiti kehidupan.
Pendedahan berpersatuan dan berprogram di universiti amat penting kerana itulah bayangan sebelum kita terjun dalam masyarakat sebenar yang pelbagai. Menjadi sungutan kualiti mahasiswa kini kian merosot. Kita gagal menghasilkan pelajar yang kreatif, berkeyakinan, berbakat dan cekap.
Kebanyakan mahasiswa yang beranggapan akademik sahaja yang utama akan terus leka dengan buku dan pelajaran mereka menyebabkan kita menghasilkan ilmuwan yang idealistik tetapi tidak realistik. Lebih malang apabila mereka ini hanya menghafal silibus yang ditetapkan tanpa nilai tambah dan penghayatan yang sepatutnya.
Malang pula bagi golongan mahasiswa yang terus hanyut dengan hiburan. Fikiran mereka tidak lebih hanya sekadar pemikiran pelajar sekolah menengah bukan mahasiswa. Mereka berasa bebas dengan dunia universiti tanpa kawalan terutama mahasiswa luar negara. Golongan sebegini kurang cakna akan isu-isu semasa yang dianggap berat bagi mereka kerana beranggapan bukan tugas mereka untuk memikirkan isu-isu berkaitan.
Tanpa berpersatuan dan berprogram mahasiswa bakal menjadi seorang yang gagal menguruskan realiti kehidupan. Analoginya begini, anda sebagai pelajar perubatan hanya membaca buku tanpa sebarang pendedahan berkaitan kemahiran klinik. Apabila terjun dalam bidang kedoktoran yang sebenar mampu kah anda berjaya sekadar dengan bekalan yang ada.
Sebelum saya mengulas panjang mengenai keperluan dan kepentingan berpersatuan serta berprogram, mari sama-sama kita hayati hadis dan ulasannya.
Dari Tsauban ia berkata Rasulullah bersabda: “Kelak umat-umat lain akan mengerumuni kalian seperti orang-orang yang lapar mengerumuni kalian seperti orang-orang yang lapar mengerumuni hidangan mereka.” Salah seorang bertanya: “Adakah kerana bilangan kita sedikit ketika itu?” Rasulullah menjawab: “Tidak, ketika itu bilangan kalian ramai namun kalian adalah seperti buih di lautan, Allah akan menghilangkan perasaan takut dari musuh kalian dan Allah akan mencampakkan ‘Wahn’ ke dalam hati kalian.” Salah seorang bertanya: “Apakah Wahn itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Cintakan kehidupan dan benci kan kematian.”
Tepatlah hadis atas bahawa umat Islam akhir zaman ramai bilangannya namun tidak memberi manfaat sepenuhnya. Jika kita sama-sama merenung benarlah realiti kehidupan masyarakat di dunia ini terbahagi kepada 3:
- Golongan yang hidup untuk dunia
- Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat
- Golongan yang menganggap dunia sebagai ladang akhirat
Saya berminat untuk mengulas 2 golongan yang berkait rapat dengan realiti kehidupan umat Islam kini iaitu golongan yang sesat antara dunia dan akhirat dan golongan yang menganggap dunia sebagai ladang akhirat.
Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat
Golongan ini terdiri daripada kebanyakan manusia yang mengakui akidah yang satu. Mereka menjalani ibadah seharian seperti yang dituntut tetapi malangnya hakikat kehidupan mereka lebih menuju kecintaan dunia berbanding akhirat akibat tidak jelas mengenai tujuan hidup yang sebenar lalu tertipu dengan nikmat dunia.
“Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, bintang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik.” (Ali-Imran: 14)
Golongan yang menganggap dunia sebagai ladang akhirat
Golongan ini pula sedar dan begitu faham akan nilaian kehidupan dunia. Mereka jelas bahawa Allah mencipta manusia tidak lain untuk mengabdikan diri kepada Allah.
“Dan tiadalah kehidupan dunia itu selain main-main dan senda gurau sahaja dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu memahaminya.” (Al-An'am: 32)
Dunia dijadikan ladang untuk menanam amalan untuk meraih hasil di akhirat kelak. Mereka sedar bahawa proses penanaman itu bukanlah mudah tetapi penuh dengan masalah namun masalah bukanlah bebanan tetapi menjadi cabaran bagi mereka untuk mengatasinya dengan bijaksana.
Golongan ini bukan seperti golongan yang sesat yang tenang dengan kesenangan dan khayalan sedangkan teruji dengan pemberian malah mereka mendakwa mengharung dugaan tetapi mereka belum pun diuji.
“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)
Berjuang menegakkan agama bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng apatah lagi dalam keadaan masyarakat kini yang mementingkan diri dan tenggelam dalam kejahilan kehidupan beragama yang sebenar. Malah diibaratkan bagi mereka yang berjuang demi agama adalah ibarat menggenggam bara api.
Mahasiswa-Mahasiswi Perubatan Mesir
Sepanjang kehidupan saya di bumi Mesir, saya dapat menyimpulkan secara umum bahawa mahasiswa-mahasiswa perubatan khususnya Mansurah terbahagi kepada 2:
- Golongan yang mementingkan hiburan dan pelajaran
- Golongan yang mementingkan pelajaran dan berpersatuan
Golongan pertama ini sering menjadikan alasan pelajaran lebih utama apabila diajak untuk membantu persatuan (PERUBATAN) pada hakikatnya mereka sayang untuk mengorbankan masa hiburan mereka. Mereka diibaratkan tergolong dalam golongan yang sesat antara dunia dan akhirat. Mereka mengaku umat Islam tetapi mereka malas dan beralasan untuk membantu Islam. Mereka senang dengan ketenangan hidup mereka yang menipu.
Golongan kedua pula adalah mereka yang sering berkorban tenaga, masa dan segalanya demi membantu agenda PERUBATAN. Namun mereka sering dikaitkan dengan kegagalan dalam akademik. Maka menjadi persoalan : Adakah PERUBATAN Menggagalkan Akademik Ahlinya?
Mari kita berbalik kembali pada agenda utama penubuhan PERUBATAN. PERUBATAN ditubuhkan demi menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Maka PERUBATAN adalah satu-satunya persatuan yang mengumpulkan mahasiswa-mahasiswi perubatan di Mesir untuk sama-sama berteduh di bawah satu bumbung. Malah kebajikan yang dijanjikan bukanlah melibat soal kewangan sahaja malah terdapat banyak unit diwujudkan demi mencapai misi dan visi yang membuktikan Islam itu merangkumi semua aspek kehidupan manusia tanpa menolak atau mementingkan mana-mana aspek.
Menjadi impian PERUBATAN supaya setiap ahli-ahlinya mempunyai identiti pentarbiahan dan akademik yang tersendiri serta mantap tetapi anda harus sedar bahawa impian ini memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit malah menggunung daripada barisan pimpinan dan ahli-ahlinya. Pelbagai agenda dan program dirancang demi mencapai misi dan visi PERUBATAN.
Jadi apakah kegagalan mereka yang kuat bekerja dalam PERUBATAN berpunca daripada PERUBATAN sendiri?
Antara pelajaran dan bekerja, yang mana menjadi pilihan?
Daripada Anas bin Malik r.a , bersabda Rasulullah SAW: “menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim” (riwayat Ibn Majah dan Abu Ya'la)
Islam menegaskan bahawa ilmu itu penting dalam kehidupan penganutnya. Sebagai mahasiswa-mahasiswi perubatan menjadi amanah kepada kita untuk berusaha mendapat kelulusan yang cemerlang agar kita dapat menghasilkan doktor-doktor yang berkualiti. Usaha yang dituntut bukanlah semudah kata-kata. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Adakah bekerja dalam persatuan yang merupakan wasilah dakwah kita wajar diketepikan oleh mahasiswa-mahasiswi perubatan?
“Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Allah tidak memberi pimpinan kepada orang-orang yang fasik.” (At-Taubah:24)
Inilah amaran dan ugutan Allah kepada orang-orang yang enggan berjuang menegakkan agama-Nya. Allah melantik manusia sebagai khalifah di bumi ini malah Allah meletakan tanggungjawab yang besar di bahu orang-orang Islam supaya menegakkan agama-Nya.
Jadi yang manakah yang menjadi pilihan? Jelas di sini akademik dan persatuan tidak dapat dipisahkan malah seiringan Maka apa yang perlu dikorbankan adalah masa lapang kita yang sering terisi dengan hiburan-hiburan yang ada kalanya melampaui batasan masa sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam. Malah menurut rekod Unit Hisbah 08/09, 80% daripada pelajar yang bermasalah sosial dan akhlak gagal dalam akademik mereka. Mengapakah fakta ini kurang diberi perhatian?
Bagaimana pula orang-orang kuat persatuan yang gagal?
Ini berbalik kepada individu yang terbabit. Setiap manusia diberi tempoh 24jam yang sama untuk dimanfaatkan. Menjadi kebijaksanaan kita untuk membahagikan masa dengan efektif. Tidak semua mereka yang kuat berpersatuan adalah gagal malah mereka juga tergolong sebagai mahasiswa-mahasiswi yang cemerlang. Maka kita perlu belajar untuk membaiki kesilapan kita.
Satu lagi isu yang perlu kita selami mengenai kegagalan mereka yang aktif berpersatuan. Mereka mempunyai kesedaran peri pentingnya berpersatuan dalam kehidupan mereka tetapi PERUBATAN sendiri acap kali kekurangan tenaga kerja bagi menjayakan sesebuah program atau agenda. Boleh dikatakan pekerjaan yang sepatutnya dilakukan oleh 3 individu terpaksa ditanggung oleh seorang sahaja.
Tidak malukah anda yang enggan bekerja mencuri masa mereka yang berkorban demi melunaskan tanggungjawab anda sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam malah anda terus-menerus menyalahkan kegagalan mereka tanpa memikirkan hakikatnya kegagalan mereka juga adalah tanggungjawab anda.
Tidak malukah anda yang enggan bekerja mencuri masa mereka yang berkorban demi melunaskan tanggungjawab anda sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam malah anda terus-menerus menyalahkan kegagalan mereka tanpa memikirkan hakikatnya kegagalan mereka juga adalah tanggungjawab anda.
Tetapi saranan supaya mahasiswa-mahasiswi perubatan Mesir untuk bergiat aktif dalam PERUBATAN tidaklah berkait dalam ruang kepimpinan sahaja. Saranan ini sebenarnya meliputi semua tahap gerak kerja tidak kira sebagai orang bawahan atau atasan. Jangan kita sibukkan kepimpinan atasan tetapi menyumbang tenaga demi kebajikan bersama terus berkira dan beralasan.
Janganlah kita sebagai mahasiswa-mahasiswi perubatan Mesir terus-meneruskan mewujudkan seribu satu alasan untuk tidak komited dalam akademik dan persatuan. Mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Anda terus menerus memberi alasan sedangkan sebenarnya anda sendiri tidak sanggup mengorbankan diri demi kepentingan bersama. Marilah bersama-sama bersatu membantu PERUBATAN atas dasar akidah yang satu.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahu tentang orang-orang Islam, maka dia bukanlah dari golongan mereka (orang-orang Islam)”.
2 comments:
cantik gmbr last ni??bleh kenal dgn org yg duk kat meja pendaftaran tuh x agak2?wahahhaha..yg pakai tudung turqoise,lebih spesifik la..
Ntah la siapa? Nak berkenalan ke? Yang pasti dia garang, bekeng dan kedekut. Huahua.
Xdelah. Orangnya baik hati dan pemurah. Mari-mari siapa nak berkenalan dengan beliau.
Post a Comment