Showing posts with label Something about life. Show all posts
Showing posts with label Something about life. Show all posts

Saturday, 21 December 2013

Rumah & Tangga

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Asyik mengimbau kenangan lama sejak akhir-akhir ini. Sedar tak sedar rupanya blog saya tersenarai perkara kenangan kerana setahun ditinggalkan gantung tak bertali.

Sepetang yang pendek (kerana musim sejuk) hari ini dihabiskan dengan berbual dengan umi di Malaysia. Pelbagai kisah dan masalah kami kongsikan.Saya bertambah gentar menghadapi masa hadapan. Saya berazam untuk berdikari tanpa menyusahkan keluarga. Cukuplah pengorbanan mereka. Bagaimana mahu survive di masa hadapan? Runsing.

Ramai di kalangan sahabat-sahabat terutama yang masih bahagia membujang menyimpan keinginan membina keluarga bahagia. Sibuk dan aktif tahap giga pun kita tetap wanita, mahu berkeluarga. Tapi adakah kita bersedia ke arah itu?


Hidup Menekan.
Hidup sebagai bakal doktor, kita akan menghadapi hidup yang maha sibuk. Ditambah tekanan kehidupan di Malaysia yang semakin hebat. Segala-galanya cemerlang meningkat.


Bagaimana dengan ilmu pengurusan hidup kita? 

Tunggu berkahwin baru belajar? Bagi saya kalau perkara dah jadi darah daging, selepas kahwin, selepas kerja, itu jugalah sikap kita (namun ia bukanlah mutlak). 

Kalau rumah kita bersepah ketika bujang, mungkin itu jugalah rumah kita selepas bekerja dan berkahwin.
Kalau keluarga (boleh juga baca housemate) kita terabai ketika bujang, mungkin itu jugalah keluarga kita selepas bekerja dan berkahwin.
Kalau kita boros ketika bujang, mungkin itu jugalah kita selepas bekerja dan berkahwin.
Kalau dan kalau...


Rumah dan Tangga
Hari ini saya hanya ingin berkongsi rasa mengenai pengurusan rumah kita. Mungkin ada yang kata saya masih bujang. Belum teruji. Cukuplah saya berkata-kata dengan kefahaman dan kesedian diri saya. Mungkin di masa hadapan saya bakal teruji dengan kata-kata ini tetapi sekurang-kurangnya saya sudah sediakan peluru saya.



Kadang-kadang saya lihat orang yang sangat academic oriented or sibuk berpersatuan (mungkin juga yang sangat hiburan oriented), urusan rumah mereka agak tergadai. Hak sesama ahli rumah juga begitu. Sepatutnya ketika inilah kita melatih menyusun kesibukan kita tanpa menggadaikan hak yang perlu ditunaikan.

Bagaimana menyusun atur waktu belajar, ke kelas, mengemas rumah dan berpersatuan? Sebenarnya jawapan mutlak ada pada diri anda. Semunya latihan. Anda lebih mengenali kemampuan dan kepentingan setiap perkara (baca alawiyat).

Saya secara peribadi, mencari formula yang sesuai untuk diri saya. Contoh, dapur yang sentiasa bersih dan formula memasak tersendiri mampu memendekan masa saya di dapur. Kecekapan dibina dari semasa ke semasa. Mungkin dulu kita perlu 2 jam tetapi sekarang sejam. Semuanya berkait dengan kesedaran dan latihan. 


Cekap dan Tiada Masa
Isu cekap dengan isu tiada masa mungkin nampak macam sama tetapi bagi saya ia hanyalah perkara berkait. Kalau kita tak cekap, berilah berapa lama pun masa, kita tetap tidak cekap. Tapi sekiranya kita cekap, masa yang tidak cukup pun kita masih mampu manfaatkan, insya Allah. Sekali lagi semuanya berkait dengan kesedaran dan latihan.

Saya angankan sungguh pun di masa hadapan kehidupan saya tidak seperti orang lain. Mungkin keluarga saya kerap makan luar (baca air tangan orang lain T_T), tapi sekurang-kurangnya sekiranya saya punya masa saya memasak semampu mungkin untuk mereka. Begitu juga dengan aspek-aspek lain. Saya mahu mereka tahu bukan saya tidak mampu tapi saya kurang berkesempatan. Itulah paling kurang yang saya mampu berikan.



Saya bukanlah pelajar cemerlang mahupun suri rumah cemerlang. Tapi apa yang saya ingin sampaikan bagaimana kita menyediakan diri kita terhadap kehidupan yang lebih mencabar dan sibuk nanti. Ilmu mengurus rumah tangga bagi saya salah satu tips rumah tangga bahagia. Kalau kita tidak berkahwin sekali pun, kita tetap mempunyai keluarga atau paling kurang teman serumah. Itulah rumah tangga kita.


Bukan Bakal Doktor Sahaja
Bagi pembaca bukan bakal doktor atau tidak bekerja di lapangan yang maha sibuk sekurangnya bagi mereka yang berniat berbakti kepada masyarakat, anda juga bakal diuji dengan masalah seperti ini. 

Tahniah atas kesedaran untuk menyumbang demi Islam tetapi jangan lupa membina keluarga juga sebahagian daripada Islam. Kebersihan juga sebahagian daripada Islam. Practice makes perfect. Semoga bantuan Allah mengiringi.

Secara peribadi saya masih membina kecekapan dalam hidup saya. Terlalu banyak perkara yang perlu dibaiki. Rancangan terkini mahu belajar ilmu cekap menguruskan kewangan selepas tamat belajar. Tolong doakan. Wallahualam.


p/s: ini namanya escapism sebentar dengan menulis di kala pening persediaan paper subjek terakhir bulan Januari.

Saturday, 23 June 2012

PEPERIKSAAN DATANG LAGI


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah di kala kami pelajar tahun klinikal terus menguatkan semangat ke kelas untuk menghabiskan kuliah-kuliah klinikal yang bakal berakhir, adik-adik pula berhempas pulas menghadapi peperiksaan akhir tahun.

Teringat kata-kata Dr Tamer: “Belajar, peperiksaan dan keputusan peperiksaan adalah 3 proses yang berasingan. Siapa yang menyatukan 3 proses tersebut? Allah.”

Maka andai kita mahkluk cerdik dan berakal, maka bodohlah jika kita melakukan sesuatu yang Allah murka. Allah menciptakan kita makhlukNya beserta manual yang wajib kita patuhi iaitu syariat. Kita sebagai manusia telah dibekalkan dengan al-Quran dan hadis. Insya Allah dengan bekalan al-Quran dan hadis, kita sebagai umat Islam tidak akan tersasar daripada landasan yang sepatutnya.





STRESS
Tertekan itu perkara biasa bagi saya ketika peperiksaan. Malah tanpa stress, saya merasakan diri ini tidak tergerak untuk lebih berusaha menghadapi peperiksaan. Tanpa stress mungkin kita akan terlebih ‘bertenang’ ketika belajar. Stress dan peperiksaan adalah rakan karib. Tetapi stress yang melampau juga tidak baik




Anda percaya bahawa jika dikatakan sesiapa yang tidak menurut syariat Allah dan melanggar sunnatullah akan berasa stress yang tidak sihat? Jika kita gagal meninggalkan apa yang Allah larang dan melakukan apa yang Allah perintahkan, kita akan mengalami stress. Jika kita melanggar sunnatullah, kita juga akan mengalami stress.

Sunnatullah, hati manusia dicipta tidak akan menyenangi perbuatan maksiat dan perbuatan melanggar syariatullah. Naluri hati kita tidak bahagia dengan perbuatan kita bercouple, berdua-duaan, ikhtilat tidak syarie, menghisap rokok dan apa jua tahap dan jenis maksiat. Jiwa kita terus berasa kosong dengan maksiat. Jiwa kita tercari-cari apa erti kebahagian. Itu fitrah yang tak mampu kita nafikan.




Mungkin ada yang mendakwa ‘saya bahagia dengan perilaku saya’. Kawan, tanya sejujurnya dalam jiwa nuranimu, adakah kau bahagia? Atau adakah hanya nafsumu sahaja yang berasa puas tetapi hatimu tidak tenang?

Apabila hati kita tidak tenang, tentunya fisiologi badan kita tidak menentu. Pelajar sains kesihatan tentu faham akan fakta ini. Degupan jantung dan tekanan darah yang tidak menentu menyebabkan pengaliran darah kita terganggu seterusnya sistem penghadaman terjejas. Lalu penyerapan nutrisi dan sistem imuniti badan menurun. Maka apa berlaku kawan-kawan? Kesihatan kita terjejas. Pelajaran kita terganggu.


HARAPAN
Sunnatullah apabila menghadapi ujian dan permasalahan, secara automatik kita akan bergantung harap kepada Allah. Bak kata Dato’ Ustaz Haji Tuan Ibrahim Tuan Man dalam siri kuliah mahribnya, walau sejahat mana manusia, tetap bergantung kepada Allah. Tapi ironinya, kadang pergantungan kita kepada Allah hanyalah bermusim seperti bermusimnya sikap cakna kita kepada saudara-saudara kita di Palestin dan Syria.

Apabila musim peperiksaan menjelang, kita mula meningkat ibadah kita kepada Allah. Semoga segala-galanya dipermudahkan oleh Allah. Alhamdulillah sekiranya perubahan kita istiqamah sehingga tamat musim peperiksaan.

Tetapi malang apabila tamat sahaja peperiksaan terakhir, kita raikan dengan menonton drama-drama korea sedangkan kita mengabaikan hak-hak yang sepatutnya ditunaikan dan sebagainya. Atas alasan berehat selepas berpenat menghadapi peperiksaan. Seolah-olah usaha kita telah selesai dan terlupa bahawa pergantungan terhadap Allah tidak sepatutnya berakhir dengan berakhirnya peperiksaan malah sewajarnya tidak akan pernah tamat.




Lebih malang, ujian melanda atau tidak. Kita buta dengan petunjuk yang Allah berikan. Allah tidak dilihat sebagai tempat pergantungan. Allah tidak dilihat sebagai Tuhan kita yang perlu ditaati. Belum sampai seru katanya. Musim peperiksaan menjelma, kita tetap istiqamah dengan maksiat yang kita sering lakukan. Kita tetap hanyut dengan pasangan kita. Kita tetap hanyut dengan hero-hero drama pujaan kita. Kita tetap hanyut dengan asap-asap rokok kita yang berkepul-kepul di udara.

Apabila keputusan yang tidak memuaskan keluar, kita mula berasa tertekan. Jangan sehingga mempertikaikan kenapa Allah menguji kita dengan keputusan sedemikian!

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.(Surah Al-Rad 13: Ayat 11)

Tapi andai keputusan kita tetap cemerlang di samping maksiat kita yang juga cemerlang, jangan berasa selamat! Kejayaan yang terbaik bukanlah semata-mata cemerlang dalam keputusan peperiksaan malah peperiksaan Akhirat masih menanti!

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, akan Kami biarkan mereka beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dengan cara yang mereka tidak ketahui.(Surah Al-Araf: Ayat 182)


KESIMPULAN
Kita sebagai umat Islam wajib untuk meninggalkan maksiat. Wajib bertaubat! Bukan sekadar untuk peperiksaan. Bukan semata untuk mengelakkan badan yang tidak sihat. Tapi itulah ketetapan yang telah ditetapkan dalam manual bekalan kita. Jiwa manusia terasa kosong dan tidak tenang dengan maksiat.




Saya bukanlah pakar motivasi untuk memberikan tip-tip kepada anda. Saya percaya banyak artikel-artikel serta video-video motivasi pakar motivasi yang sudi berkongsi keadah dengan anda tip-tip menghadapi peperiksan. Malah artikel ini mungkin bukan artikel motivasi. Saya sekadar berkongsi dan mengingatkan terutamanya diri ini dan kawan-kawan.


Tuesday, 10 April 2012

Peluang, Halangan dan Kekuatan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Hari ini bahasa blog ini saya akan gunakan kata ganti diri 'saya' berbanding 'kita' kerana yang menulis lebih dekat daripada yang membaca.
space
space
space
Minda KAYA fokus kepada PELUANG bukan fokus kepada HALANGAN (Solusi 11)
space
Kata-kata yang saya kongsikan di wall FB saya merupakan suatu kata-kata yang cukup memberi makna di kala saya mencari kekuatan diri.
space
Sungguh, tiada pekerjaan tanpa halangan dan cabaran. Apatah lagi kerja-kerja dakwah untuk menyebarkan syiar Islam. Sunnatullah, hidup berjuang penuh mehnah dan cabaran. Namun, kadang saya sendiri terlalu fokus kepada halangan berbanding peluang.  
space
Sebagai manusia yang tak lepas daripada ujian sepatutnya saya sedar halangan itu sentiasa ada tetapi tidak bermakna peluang itu tidak wujud, Pasti wujud. Maka saya perlukan lebih positifkan pemikiran saya untuk fokus kepada peluang bukan kepada halangan.
space
space
Supaya minda kita berbunga apabila kita berfikiran positif
space
space
Adakah ini bermakna saya perlu lupakan halangan dan permasalahan?
space
Lari daripada menyelesaikan halangan dan permasalahan?
space
Oh tidak. Tetapi jangan terlalu fokus kepada halangan sehingga peluang diabaikan begitu sahaja. Ada masa peluang jika digunakan sebaik mungkin mampu membenamkan halangan yang timbul di awal jalan. Jangan tersekat! Fokus!
space
Itulah kesimpulan yang saya dapat apabila membaca artikel mengenai Minda Kaya vs Minda Miskin. Saya cuba tanamkan azam dalam diri saya bahawa tidak terlalu fokus kepada insan-insan atau perkara-perkara yang bermasalah kepada saya sebaliknya lebih fokus kepada peluang.
space
space
space
Ibrah daripada Sirah
space
Menurut pembacaan saya daripada fiqh sirah tulisan Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, Tahun Perkabungan Rasulullah di kala isteri tercinta Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib mangkat bukanlah kerana Rasulullah terlalu berdukacita dengan kemangkatan insan-insan tersayang tetapi kerana ketika itulah kemuncak penyeksaan terhadap orang-orang Islam.
space
Namun hikmah yang cuba dinukilkan penulis adalah kekuatan bukanlah berpunca daripada manusia tetapi hanyalah Allah semata-mata. Saat kemuncak Rasulullah dan orang Islam memerlukan pertolongan dan kekuatan di saat itulah insan-insan harapan dijemput Ilahi kerana bukan merekalah punca kekuatan tetapi Allah semata.
space
space
space
Kesimpulan
space
Mengharapkan kekuatan daripada manusia kita akan kecewa, serius itu apa yang saya sendiri rasakan. Saya merasa rebah apabila gagal mendapatkan sokongan daripada mereka yang saya harapkan apatah lagi apabila mereka sebaliknya yang menjadi insan-insan yang menguji saya.
space
Maka kembali kepada Allah. Dialah punca kekuatan dan peluang. Fokus kepada PELUANG yang disediakan bukan kepada halangan dan masalah semata-mata.
space
space
space
space
~Tarbiyah Allah itu indah walaupun pahit.~
space
space
p/s: lagu motivasi zaman sekolah rendah dulu ^_^

Monday, 5 December 2011

Mereka Pilihan Saya


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Saya sudah mengulas mengenai kesedaran tuntutan-tuntutan pilihanraya dan mengulas sedikit mengenai calon pengerusi. Rasanya tidak lengkap sekiranya tidak berkempen untuk dua calon AJKT akhwat yang begitu dekat di hati saya.

Bukanlah saya memilih mereka keran mereka rapat dengan saya, tidak sama sekali. Tetapi saya tahu mereka adalah insan yang TERUJI dan DIUJI. Jatuh bangun mereka sepanjang mereka berkerja dalam persatuan sedikit sebanyak telah saya lihat.

Mereka insan yang terus komited menyumbang tenaga. Sejak dari awal saya mengenali mereka ketika mula-mula menang pilihanraya dahulu sehingga detik penurunan saya lihat mereka terus komited.

Mereka insan yang terus membuktikan PCM sentiasa mahukan yang terbaik buat ahli. Mereka tidak tunggu untuk memegang jawatan tertentu malah dengan status ajk biasa mereka tetap turun mendengar rungutan dan permasalahan ahli.

Dua orang adik, sahabat dan rakan perjuangan yang sentiasa di hati








Pilihanraya


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Mansurah kini hangat dengan bahang pilihanraya bagi yang prihatin akan jatuh bangun sebuah persatuan yang menaungi semua, PERUBATAN. Perebutan kerusi PENGERUSI lebih hangat daripada apabila berlaku pertembungan antara Muhammad Abu Ubaidah Mustafa Kamal dan Mohamad Iskandar Sa’uadi.




Ada sahabat-sahabat yang meminta saya menulis artikel mengulas isu pilihanraya. Bukan berkempen untuk Ubai (memandangkan di FB jelas saya menyokong Ubai) tetapi untuk mengulas perkembangan politik Mansurah.





CALON?
Apabila melihat senarai calon-calon bertanding, saya sedar isu sokongan bukan isu mengundi semata-semata tetapi saya bertanggungjawab atas sokongan saya. Kitalah yang mencorakan paras rupa dan lenggok perjalanan PERUBATAN.

Dalam rukun baiah, telah diletakkan bahawa taat dan tsiqah kepada pimpinan adalah suatu tuntutan. Siapa pun bakal menang, itulah pemimpin saya tambahan jika pemimpin itu jelas saya memilih beliau maka bertambah kuatlah tuntutan taat dan tsiqah.


MAHASISWA?
Kita adalah mahasiswa. Menjadi suatu harapan saya supaya satu suasana matang dapat kita wujudkan di kalangan mahasiswa. Borak kita bukan borak korea. Borak kita bukan borak gossip. 

Tetapi borak kita tanda kita prihatin suasana sekeliling. Borak kita tanda kita cakna politik kemasyarakatan. Borak kita tanda kita prihatin tuntutan agama dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Bukan pening apabila berbicara isu ekonomi dan masalah sosial. Mahasiswa must learn to hear and think about complicated things.




Maka, keputusan kita bukan mestilah dibuat atas dasar pertimbangan bukan sentimen dan persepsi semata-mata. Sejak dahulu, sekiranya orang bertanya mengenai pilihan saya (bukan isu pilihanraya sahaja), saya akan jawab, nilailah atas neraca ilmu terlebih dahulu kemudian pilihlah berdasarkan kefahaman. Andai akhirnya pilihan anda tidak sama dengan saya tetapi biarlah perbezaan yang berhujah.


TURUN MENGUNDI?
Membaca politik Mansurah, GELOMBANG MERAH seolah-olah atau sememangnya mara di alam maya. Mungkin faktor Ubai dikatakan orang lama PCM menyebab mereka yang terus-menerus mahukan perubahan mengganggap Iskandar sebagai pilihan. Tetapi…





Sekiranya pihak GELOMBANG MERAH gagal menarik penyokong mereka untuk pakat turun mengundi, saya yakin tidak mustahil Ubai mampu menang kerana beliau mempunyai kekuatan tersendiri. Apakah kekuatan itu? Anda boleh menilai sendiri. Seperti saya katakan tadi, saya bukan mahu berkempen calon pilihan saya.





CUKUPKAH SETAKAT MENGUNDI?




Perubahan tidak akan selesai dengan hanya menaikan seorang mahupun sebaris pemimpin. TAK AKAN! Tetapi ahli-ahli, kita sebagai mahasiswalah yang perlu malah WAJIB mendokong pemimpin kita. Apa pun agenda yang mereka bawa, percayalah ia untuk perubahan dan peningkatan kualiti.

Kami AJKT segan untuk mengaku diri pemimpin kerana hakikatnya kita hanyalah hamba. Tetapi membawa suatu tugas yang mungkin nampak ringan dilihat tetapi sebenarnya sangat berat dipikul, itulah AMANAH.





Pengalaman saya memegang UPI, saya teramat sedar tanpa AJK-AJK dan tulang belakang, saya takkan mampu membawa agenda UPI. Faktor sokongan dan dokongan ahli-ahli merupakan elemen wajib dan penting dalam menjayakan suatu agenda.


KESIMPULAN
Isu pilihanraya bukan sekadar isu bulan pilihanraya tetapi isu sepanjang sesi. Tanggungjawab ahli bukan terhenti sekadar turun mengundi tetapi terus taat dan menyumbang tenaga membawa dan menjayakan agenda pemimpin anda.

Kegagalan persatuan bukan kegagalan pemimpin semata-mata tetapi turut dipengaruhi kegagalan ahli-ahli kerana merakalah yang sama-sama mencorakkan lenggok perjalan sebuah persatuan.

Pilihan di tangan anda. Prihatin atau tidak.



Sunday, 20 November 2011

Time Management Crisis

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Serius saya menghadapi krisis pengurusan masa. Mungkin kerana tahuna 5 dimulakan dengan round neurologi yang penuh mehnah dan cabaran (ada duri dalam daging bak kata orang). Saya menghadapi perasaan lemah semangat.


Namun hidup perlu diteruskan. Saya sedayanya cuba menyusun hidup dan gerak kerja sehingga suatu hari saya melihat satu video (untuk diluluskan oleh encik pengerusi).





Allah, saya cukup tersentuh pada minit kedua. Allah tidak akan menguji hambaNya di luar kemampuan hambanNya. Saidina Ali menangis kerana tidak diberikan ujian tetapi saya hampir menangis kerana menghadapi ujian. Pejuang itu muncul di tempat kerja dengan wajah ceria tetapi saya murung ke kelas.

Ia bukan soal masa atau tidak mampu tetapi soal kehendak dan pengorbanan. Ya KEHENDAK dan PENGORBANAN!



pengorbanan bukan pada raya Adha sahaja


Apa yang perlu dikorbankan? Jom pilih. 


Seperti yang saya pernah sebutkan dalam artikel sebelum ini. Antara 3 pilihan (akademik, persatuan, hiburan) maka kita perlu korbankan perkara yang paling tidak popular untuk dikorbankan iaitu berhibur. Andai kemahuan kita untuk cintakan jalan dakwah dan Islam, segala daya dan usaha kita perlulah diarahkan ke sana bukan berdalih dan beralasan padahal sebenarnya kita masih sayangkan isi dunia.


Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih


Penat?


Berehat hanya di syurga.

Saya perlu menambahkan kefahaman saya kerana seseorang yang faham PASTI maklum bahawa terlalu banyak tuntutan yang perlu ditunaikan. Selesai satu kerja akan menyusul kerja yang lain. Andai kata pemimpin-pemimpin Islam memilih mati syahid, adakah kita memilih kemungkinan mati ketika berehat?




Pengurusan Masa

“Hikmah adalah sesuatu yang hilang dari setiap orang mukmin. Di mana saja dia menemukannya, dialah berhak ke atasnya.”
Siapalah saya untuk bercerita mengenai pengurusan masa. Tetapi tarbiyah kehidupan yang Allah berikan kepada saya walaupun ada masa KERAS, itulah yang saya jadikan hikmah dan ingatan. Saya kongsikan bersama pembaca nasihat-nasihat daripada insan sekeliling saya.




Kita dan masa perlu sebati


"Macam mana busy pun, kita tetap perlu ingat apa prioriti kita kat sini!" Saya mengangguk-agukan kepala mendengar nasihat kak Diah.




"Sekiranya kita telah korbankan masa belajar sebanyak 2 jam untuk bermesyuarat maka kita perlu menggantikan semula 2 jam tadi dengan mengurangkan mana-mana aktiviti rehat dan berhibur" kata-kata mutiara daripada Syamilah Mohamad.

"Seorang sahabat ana memegang 3 jawatan serentak namun dia tetap berdisiplin bangun seawal 5 pagi setiap hari untuk belajar." Perkongsian daripada seorang ketua yang disegani.

"Kata orang, jika sesuatu kerja hendak disiapkan, berikan kerja itu kepada orang yang sibuk. Eh, betulkah? Memang benar. Justeru orang yang sibuk sahaja akan menguruskan masa mereka dengan baik. Orang sibuk sahaja dapat memberi keutamaan kepada kerja-kerja yang banyak – mana yang utama, mana yang penting." petikan daripada artikel penulis yang saya segani.

Benar, semakin sibuk semakin kita menghargai masa. Semakin sibuk semakin kita mahir menyusun aturan hidup kita. Semakin sibuk semakin kita kenali apakah keutamaan kita.


Thinking of bee




Hidup ini Pilihan


“Saya mengantuk.” Adu seorang junior. Apa yang saya jawab, “You have 2 choices, either sleep early so you can wake up early to study OR drink coffee and continue your study.”

Dalam kamus  kehidupan, kita sentiasa membuat pilihan. 




Di mana ada kemahuan di situ ada jalan

Maka memilih mana yang terbaik untuk hidup kita. Setiap ujian yang kita hadapi (termasuk rasa tak cukup masa) sebenarnya telah Allah sediakan cara dan jalan untuk kita tempuhinya. Semua ini terpulang kepada cara kita memandang dan memahami kehidupan, positif atau negatif?

Saya tinggalkan satu persoalan. Apakah neraca dan panduan pilihan kita?


Bila berlampu, boleh jawab. huhu



Akhirnya...




Yosh! Saya mahu lebih bersemangat dan ceria. Biarlah saya penat seharian asalkan saya tidak lalai menggunakan masa saya. Sekiranya saya mengeluh, tolong jentik saya.








p/s: To my sisters, our first HIM will be at 6.30 am. See you tomorrow , insya Allah.




Wednesday, 3 August 2011

Politik-Politik


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Sekian lama saya tidak meng’update’ blog sehingga bertikus kata adik saya. Selepas peperiksaan saya terpaksa segera pulang ke Malaysia secara mengejut kerana urusan penting. Hari ini baru berkesempatan menulis sesuatu.

Sejak isu BERSIH 2.0 banyak perkara yang terlintas di fikiran saya. Terpulang kepada sesiapa yang menyokong mahupun menolak. Tetapi biarlah penilaian anda itu berdasarkan pertimbangan yangn sewajarnya bukan emosi semata-mata. Malang sekali terdapat ramai anak muda gagal mengambil berat isu semasa di Malaysia (bukan isu BERSIH 2.0 semata-mata tetapi juga isu-isu lain).


Apa yang Berlaku?

Golongan anak muda terutama mahasiswa sering dilabel telah dipengaruhi pihak-pihak tertentu apabila mereka mula cakna terhadap keadaan sekililing mereka. Kata mereka ini semua politik. Politik itu kotor. Politik bukan tahap kamu. Politik itu, politik ini. Itulah dakwa-dakwi mereka.

Malang apabila mereka yang dikatakan mahasiswa terutamanya gagal memahami apakah itu politik sebenarnya. Tolonglah, saya minta kepada anda supaya bezakan antara politik kepartian dan politik kemasyarakatan. Anda yang bergelar mahasiswa sepatutnya lebih berani untuk cakna isu sekeliling bukan terus berada di takuk lama dengan pemikiran pelajar sekolah.

Politik kepartian adalah politik dalaman yang terikat dalam ruang lingkup parti khususnya tetapi apa yang saya maksudkan dengan politik kemasyarakatan adalah isu semasa yang melibatkan pembangunan dan kestabilan negara. Politik kepartian dan politik kemasyarakatan adalah dua aspek yang berbeza sekiranya dipandang daripada aspek positif atas nilai sebuah tanggungjawab

Sekiranya anda berprinsip belum tiba masa untuk anda melibatkan diri dalam politik kepartian, silakan. Tetapi, jangan anda sangka anda terlepas daripada tanggungjawab mengambil berat politik kemasyarakatan.

Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka dia bukanlah dari golongan mereka (orang-orang Islam)"

Suatu hadis yang mudah untuk difahami. Islam tidak menyaran pengganutnya mengamalkan sikap pentingkan diri. Hidup hanya menyelamatkan periuk nasi sendiri tanpa menghiraukan keperluan insan lain. Dalam Islam diri kita mempunyai pelbagai hak yang perlu ditunaikan tetapi berapa ramai yang sedar dan ingat?

Saya tidak meminta anda untuk menjadi seorang pakar untuk mengulas setiap isu. Cukuplah anda mengambil tahu, memahami dan menilai dengan adil seterusnya bertindak mengikut kapasiti dan peranan masing-masing. Jangan terus berada di takuk pemikiran kanak-kanak.


Hiburan Melampau

Saya merasakan hedonisme yang cukup hebat melanda anak muda menyebabkan kita gagal melahirkan mahasiswa yang membawa agenda pembangunan masyarakat. Saya tidak menolak hiburan. Saya sukakan hiburan. Namun, hiburan kini cukup melampau sehingga menutup mata hati muda-mudi kini.

Manusia mudah membuang sesuatu yang dianggap ‘menyakitkan’ dan menerima sesuatu yang dianggap ‘menyeronokkan’. Sikap cakna dengan isu semasa dianggap berat dan menyakitkan (kepala barangkali) manakala hiburan itu suatu perkara yang menyeronokan sehingga terlalu sebati dalam diri.

Saya menyeru kepada diri saya dan kawan-kawan, campaklah sifat manja yang tidak mahu menyusahkan fikiran dengan perkara-perkara yang kononnya bukan tahap atau berat untuk difikirkan. Musuh-musuh kita terus seronok melihat kelekaan kita saban hari. Saya bukan meminta anda memihak kepada mana-mana parti politik tetapi nilailah atas nilai sebuah kebenaran dan tanggungjawab.


Kesimpulan

Cukuplah kita digula-gulakan. Pandangan kita kerap dialih daripada isu sebenar yang berlaku. Pemikiran kita kerap kali cuba dikawal dan dipengaruhi. Suara kita terus disekat. Saya impikan kebebasan mahasiswa bersuara dan diberi peluang untuk belajar bertindak dengan lebih matang. Jika bukan kita siapa lagi yang akan bangun menuntut hak?!

 

Wednesday, 16 March 2011

Bonggol Unta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hadis : Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :

"Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikian." (Riwayat Muslim).

Allah, Allah, Allah. Itu sahaja mampu saya ucapkan dalam hati apabila melihat trend berhijab sejak akhir-akhir ini. Dahulu ketika kecil-kecil apabila umi bercerita mengenai hadis tersebut saya tak dapat membayangkan bonggol unta di kepala orang. Ish-ish gaya macam mustahil sahaja.

Sebenarnya pertama kali saya melihat bonggol unta seperti yang disebut baginda SAW ketika menghadiri pameran buku sedunia di Kaherah dua atau tiga tahun lepas. Seorang wanita arab Emirate begitu anggun sehingga menarik perhatian saya tetapi saya agak terkejut kerana sanggulnya begitu pelik pada saya.




Namun kini trend bonggol unta cukup popular di Malaysia. Kadang-kadang kelakar juga memikirkan saya begitu mengelak meniru trend arab kerana merasakan tidak sesuai dengan jiwa seorang anak Malaysia. Namun apabila pulang saya melihat orang Malaysia seolah-olah meniru trend timur tengah.

Sebenarnya ini bukan isu trend semata-mata. Tetapi isu aurat yang semakin dilupakan dan tidak diendahkan muslimah kini. Rasulullah SAW telah member amaran, namun kita masih terbawa-bawa dengan trend yang tidak menepati syariat. Tak silap saya, terdapat sanggul palsu dijual dipasaran.




Terdapat seorang ustaz mengulas trend sanggul tinggi yang kian popular di Malaysia. Apa yang saya faham daripada ulasan beliau adalah sekiranya sanggul yang ditinggikan itu dilakukan dengan niat kecantikan dan menunjuk-nunjuk maka hukumnya adalah haram. Perlulah direndahkan sanggulnya supaya kurang ketara. Penjelasan yang lebih mendalam boleh klik.

Ketika di tadika, saya sering kecut perut apabila ustazah menceritakan bagaimana azab api neraka terhadap muslimah-muslimah yang mengabaikan aurat mereka. Isi kepala menggelegak. Rambut ditarik-tarik. Sunggguh seksa membayangkan sedangkan hakikatnya dahsyat neraka itu tidak terjangkau dek keupayaan akal.

Itu isu sanggul seperti bonggol unta. Belum lagi isu memakai tudung tapi mendedahkan batang leher. Itu trend juga saya lihat. Isu memakai tudung tetapi memakai baju berlengan pendek. Terlalu banyak isu aurat yang tidak selesai.

Saya bukanlah individu yang menolak fesyen. Bagi saya menjadi seorang muslimah kita hendaklah tampil kemas dan segak. Bukan untuk dibanggakan tetapi itulah imej seorang muslimah. Bersih dan kemas. Namun saya lihat kadang-kadang apabila kita cuba berfesyen  kita melanggar syariat.

“Islam itu bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Dan ia akan kembali dipandang ganjil sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang dipandang ganjil (kerana Islamnya mereka)” [Hadith riwayat Muslim]

Fahamilah Islam secara menyeluruh. Jangan jadikan trend kebanyakan  orang sebagai dalil kita untuk membuat sesuatu. Jelas bahawa kebiasaan itu tidak semestinya benar dan keganjilan itu tidak semestinya salah. Kehidupan ini memerlukan ilmu yang benar dan tepat sekiranya syurga menjadi impian.


p/s: Mengupdate blog di Masjid Negeri ketika sendirian menunggu bertolak ke KLIA.