Sunday, 13 June 2010

Terkilan

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Oh saya mencuba sekali lagi untuk menulis kerana tiba-tiba kemalasan untuk mengulang-kaji melanda sementara. Tambahan ramai yang sudah menegur kerana saya tidak menulisa apa-apa.

Dua tiga bulan lepas, kawan baik saya ketika menuntut di sekolah menengah menegur saya kerana sudah lama kami tidak berhubung. Sungguh, saya sedar saya teramat-amat kurang menghubung kawan-kawan di sekolah dahulu. Atas apa jua alasan saya, saya minta maaf.

Ketika berborak beliau meminta saya mengaktifkan semula akaun facebook saya. Setelah berfikir (tambahan ada faktor lain), saya kembali mengaktifkan semula akaun yang telah ditutup.. Katanya mudah bagi saya untuk mengesan kawan-kawan lama. Hmm, friendster yang sedia bersawang ditambah dengan facebook kadang-kala membuatkan saya mahu menumpukan pada blog sahaja.




Hari demi hari bersiar-siar dalam facebook banyak perkara tidak diingini  yang saya terjumpa. Orang-orang yang telah lama saya tidak berjumpa (terutama kawan-kawan sekolah), akhirnya saya terjumpa dalam keadaan yang kurang menyenangkan hati saya. Saya kembali mengimbau diri-diri mereka yang dahulu.

Mereka yang dahulu adalah ahli Badar
Mereka yang dahulu adalah ketua pelajar
Mereka yang duhulu menegah budaya couple
Meraka yang dahulu dipenuhi karisma kepimpinan
Mereka yang dahulu itu dan ini

Bukanlah saya sekadar mahu mengungkit tetapi saya terkilan. Jika dahulu kita terikat dengan peraturan sekolah (tambahan sekolah agama) antaranya mewajibkan pemakaian sarung kaki, melabuhkan tudung menutup dada, pergaulan terkawal, wajib solat berjemaah bagi pelajar asrama dan pelbagai lagi. Namun kini semua itu seolah-olah hilang ditelan zaman (saya tahu tidak semua begitu).

Jika melihat pemakaian mereka, saya hanya mampu menggelengkan kepala sendiri. Saya bukanlah yang terbaik tetapi saya terpanggil untuk menyatakan pendirian saya. Saya pernah menyebut bahawa saya tidak mengharapkan kawan-kawan saya memakai tudung labuh bulat atau wajib 60 inci tetapi cukup sekadar anda mematuhi syarat minimun walaupun memakai tudung labuh itu lebih baik. Begitu juga dengan aspek-aspek lain. 




Terlupakah kita bahawa peraturan sudah tidak wujud tetapi peraturan yakni syariat Allah itu ada. Adakah Tuhan di zaman persekolahan dan Tuhan di zaman kini adalah Tuhan yang berlainan? Andai kita merasa syariat Allah itu bebanan atau remeh-temeh maka soal kembali keimanan kita. Soal kembali keyakinan kita terhadap janji Allah. Jangan hanya ketika ditimpa musibah baru kita nampak Dia.

Sungguh rugi kita cuba ditarbiyah di sekolah dulu dengan nilai-nilai budaya Islam kini pelajar-pelajar sekolah agama sendiri kurang boleh diharap. Bagaimana bagi mereka yang sememangnya tidak faham tuntutan syariat? Siapa lagi yang akan menyampaikan kefahaman itu? Jika kita bekas-bekas pelajar sekolah agama tidak mampu istiqamah dengan tarbiyah yang ada, siapa lagi? Sesungguhnya kita memerlukan tenaga-tenaga pemuda Islam untuk berdakwah, tetapi di manakah kita sekarang? (Termasuk saya yang menulis)

Bukanlah saya maksudkan orang yang tidak bersekolah agama tidak layak membimbing masyarakat tetapi jika anda (yakni yang tidak bersekolah agama) yang ke hadapan dahulu maka sesungguhnya andalah yang lebih berharga seperti seorang sahabat saya ketika di KMPk. Beliau bukanlah anak didikan sekolah agama  tetapi kini berbanding saya, beliau lebih kehadapan membela Islam.

Kadang saya terfikir. Terlalu banyak perkara salah yang sudah menjadi seolah-olah betul membuatkan saya bimbang adakah apa yang saya sedang lakukakn adalah betul-betul benar. Neraka itu dikelilingi keseronokan dan syurga itu dikelilingi kesusahan. Saya bimbang kita terlalu biasa dengan kebiasaan yang salah tanpa sedar kita sedang menempah tiket neraka. Nauzubillah.

Saya berharap mereka terasa dengan penulisan ini. Bukanlah terasa yang membawa dendam tetapi terasa yang membawa perubahan. Saya tidak berniat untuk memutuskan ukhawah yang ada. Sangka baik saya, mungkin kita terlupa atau hanyut seketika. Selagi ada masa, tolonglah kembali sebelum kita lebih hanyut dan terlambat. Andai satu hari nanti, saya juga sedemikian tolonglah tempelak saya kerana tidak menunaikan kata-kata saya sendiri.

 
Wallahualam.

p/s: Sebenarnya inilah antara hasil sistem pendidikan negara kita yang celaru dan haru-biru. -__- (Susah sangat ke labuhkan sikit tudung menutup dada?)

No comments: