Monday, 27 April 2009

antara BENCI dan MAAF


Manusia pelbagai ragam


Kejadian 1:

"Saya nak bertanya pada awak ni mengenai..."Lina membangkitkan persoalan pada Eddy mengenai cerita kurang enak.

"Mesti kawan awak yang suruh awak tanya saya!"tuduh Eddy pada kawan baik Lina.

(Eddy dan Lina bukan nama sebenar)


Kejadian 2:
"Aku tahu kau mesti menyebelahi dia tapi aku memang tak suka dengan sikap dia."lebih kurang bunyi luahan perasaan sahabat baik saya dalam sms.

"Aku tak menyebelahi dia tapi mungkin betul dia tak nak tolong atau memang dia tak reti. Mudah kita sangka baik dia tak reti. Lagipun perasaan benci itukan memenatkan" Itu sahaja saya mampu jawab.


SANGKA BURUK

Di atas adalah antara sketsa kehidupan seharian kita. Tanpa kita sedar atau sememangnya kita sedar perasaan buruk sangka, benci dan sewaktu dengannya sentiasa berlegar-legar dalam kehidupan kita.

Janganlah kita berburuk sangka dan mudah menuduh orang Islam yang lain tanpa usul periksa. Jika wujud keraguan sama ada diam serta bersangka baik atau bertanya dengan baik kepada yang berkenaan kerana sesungguhnya Islam menegah sangka buruk.

"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka buat maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata." (Al-Ahzab: 58)

"Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari perasangka buruk, sesungguhnya sebahagian prasangka buruk itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain...." (Al-Hujurat: 12)


MAAFKAN MEREKA

"Ana menyampaikan maaf sesetengah jemaah masjid yang mengata anti."ujar Pengerusi Masjid ketika perjumpaan ringkas sebelum saya berangkat ke Mesir. Terkejut juga kerana saya tidak mengenali mereka jadi apa yang perlu diumpat?

"Awak ini dikenali jarang mengucapkan terima kasih pada orang yang menolong awak serta awak sentiasa mengawal kawan-kawan awak." Penyataan yang mengejutkan. Begitu sekali anggapan orang luar.

Banyak lagi sketsa berlaku dalam kehidupan saya maka saya tahu peritnya hidup sentiasa disalah anggap oleh orang lain. Pada mulanya memang timbul perasaan benci dan dendam dalam sanubari ini tetapi akhirnya saya mendapat satu kesimpulan bahawasanya perasaan dendam dan benci itu hanya memenatkan naluri kita.

Maafkanlah mereka kerana sesungguhnya kemaafan itu lebih indah dan menyenangkan berbanding perasaan dendam dan benci malah Islam teramat menggalakan sikap sabar dan maaf. Dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah terdapat banyak galakan bersifat penyabar:

"Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang sedemikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Asy-Syura: 43)

"Maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik." (Al-Hijr: 85)

Rasulullah SAW sentiasa dihiasi dengan sikap sabar. Baginda menghadapi ujian yang lebih besar dari kita tetapi baginda tetap istiqamah dengan sifat sabar dan memaafkan. Bagaimana kita?

Anas meriwayatkan: Pada suatu hari Rasulullah SAW telah masuk ke dalam masjid dan pada badan baginda terdapat sehelai kain selendang buatan Najran yang kasar buatannya, beliau didatangi dari belakang seorang A'rabi (badwi) lantas menarik hujung selendang Rasulullah SAW sehingga perbuatan itu meninggalkan kesan pada leher Rasulullah SAW. A'rabi tersebut berkata: "Wahai Muhammad berikan kami harta milik Allah yang ada padamu." Rasulullah pun berpaling sambil tersenyum dan bersabda: "Arahkanlah kepadanya (yakni memberi arahan supaya diberikan apa yang dimintanya" (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Mulia contoh peribadi yang Rasulullah tunjuk kepada kita. Sejujurnya sekiranya saya berada di tempat baginda tentu saya tidak mampu tersenyum dan dengan hati terbuka menunaikan permintaan A'rabi tadi.


AKHLAK MULIA

Sesungguhnya akhlak mulia adalah matlamat asasi bagi risalah Islam. Ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya:

"Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"

Malah akhlak juga merupakan amal paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat. Sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisab. Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak ada satu perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba di hari kiamat kelak lebih dari akhlak mulia" (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi daripada Abu Ad-Darda dan Tarmizi berkata: hadis ini hasan sahih)

Memaafkan, sabar dan bersangka baik hanyalah sebahagian cabang dalam berakhlak. Jadi marilah sama-sama kita membaiki akhlak kita. Sesungguhnya orang-orang Islam sejati dikenali dengan akhlak yang mulia.

Nostalgia kecil-kecil dulu:



Akhlak Mulia - Soutus Sofwa

1 comment:

Anonymous said...

mcam kenal je kata2 kejadian 2 tuh....ehehe.doakan shbt baik enti tuh berubah ye?