Sumber: ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Bahasa Intan Bahasa Kaca - Kemaskini
“Ust, sy cdgkan spy ut tulis artikel ttg Badi’zman Said Annursi!”, email seorang pembaca kepada saya.
“Sy harap ust dpt update blog ust dgn lbh krp lagi sbb hari2 sy buka n baca. Just 4 ur info!”, tulis seorang pembaca di shoutbox blog saya.
Sukar untuk saya nafikan, bahawa hati saya akan terus tertutup rapat apabila menerima email atau apa-apa pesanan seperti ini. Secara spontan saya akan sinis dan ‘menyampah’ untuk melayan apa sahaja permintaan yang datang dalam bahasa yang ditulis sedemikian rupa.
OBSES?
“Abang obses sangat sebenarnya”, kata isteri saya.
“Mungkin… tetapi adakah sesiapa yang suka dengan benda seperti ini?”, saya cuba mempertahankan pendirian.
“Suka tu tidaklah sampai suka. Tetapi boleh bertolak ansur”, sambung isteri saya lagi.
Menulis dan mengeja dengan betul dan cermat adalah sesuatu yang amat saya tekankan. Bahasa saya bukanlah bahasa tinggi, tetapi saya tidak suka berbahasa rendah, pada ejaan, ungkapan dan tulisan.
“Nak minta abang betulkan table tu sahaja sebenarnya!”, rungut isteri saya.
Walaupun hanya table sahaja yang bermasalah tetapi saya mesti membetulkan sama alignment perenggan agar justified.
Huruf besar dan huruf kecil, ‘di’ yang didekat atau dijauhkan, adalah ‘tajwid’ asas Bahasa Melayu yang telah saya pelajari semenjak di sekolah rendah, dan saya sukar bertolak ansur untuk membiarkan kesalahan berlaku.
TAJWID UNTUK SEDAR
Bagi saya, apabila seseorang itu menulis dengan cermat terhadap ejaan dan tatabahasa, dia menulis dalam keadaan ’sedar’ terhadap apa yang ditulisnya. Lebih bertanggungjawab lagi beradab.
Terkini, saya jadi rimas dengan tulisan-tulisan ala trengkas ini. Saya jadi sy, kenapa jadi knp… jika sesekali tentu sahaja saya tidak kisah. Tetapi jika di seluruh tulisan segala-galanya diringkaskan, saya menjadi rimas.
Jika di SMS, ada rasionalnya. Jumlah karakter yang dihadkan untuk satu SMS, menjadikan setiap huruf itu bernilai.. Tetapi jika ia turut sama mempengaruhi tulisan biasa, saya tidak menyukainya.
Teknologi memang bagus. Kerana ICT, banyak perkara yang dahulunya sukar kini jadi mudah. Khidmat telegram pun sudah pupus kerana adanya SMS.
Tetapi banyak juga benda yang dahulunya indah, kini jadi pudar dan hambar.
PANDUAN SMS
Akhirnya Dewan Bahasa dan Pustaka selaku pemegang amanah ke atas penjagaan bahasa kita, telah menerbitkan sebuah manual panduan menggunakan ringkasan perkataan di dalam SMS. Ia suatu usaha yang harus dipuji dan saya mengalu-alukannya.
Tetapi setelah selesai membaca panduan tersebut, saya kira ia mungkin tidak akan dipandang sebelah mata pun oleh majoriti pengguna telefon bimbit dan khidmat sms di negara kita. Entahlah, mudah-mudahan saya tidak pesimis, tetapi saya merasakan bahasa hanya dapat dibetulkan penggunaannya selepas dibetulkan jiwa manusia yang menuturkannya.
Jika tiada rasa kasih kepada bahasa, bagaimana mungkin ada kesudian menjaga dan menghormatinya.
Siapakah yang sudi mengasihi bahasa kita, jika bahasa kita sendiri sentiasa menjadi anak tiri di sekolah hingga ke universiti? Apatah lagi perkataan bahasa kita yang popular di Parlimen hanyalah *&^*^%$%%#^!!!
Pemimpin borek, rakyat rintik!
TIDAK PANDAI BERBAHASA
Pernah saya terfikir, kenapa generasi muda hari ini tidak pandai berbahasa? Cakapnya kasar, tidak pandai mengambil hati, tulisnya keras ayatnya pedas. Hingga generasi separuh tua seperti saya ini, ramai yang bosan melayan mereka.
Mungkin ia adalah kesan sampingan teknologi. Jika dahulu, kita banyak berinteraksi dengan manusia, tetapi kini banyak yang bersifat virtual, dengan mesin tanpa jiwa dan rasa. Bercakap dengan skrin!
Maka bahasa yang ditulis semakin pudar dari seni dan warna. Membaca tulisan pun sudah seperti ungkapan matematik tanpa perasaan.
“Ahh, buang masa sahaja. Janji mesej sampai”, alasan yang diberi.
Sedangkan manusia masih memiliki naluri yang sama. Suka pada keindahan bahasa, cenderung kepada pengaruh kata-kata.
Mungkin kerana itu, semakin ramai anak muda yang sesat dalam kehidupan hanya kerana terlalu mudah jatuh ke permainan kata-kata. Cukup sekadar disuntik sedikit rasa, terus rabun dari menilai yang mana intan yang mana kaca.
“cinta itu kurap, makin digaru makin sedap!”
Ayat sebusuk ini pun sudah bisa memutikkan cinta!
Anda yang memperlekehkan bahasa, akhirnya anda sendiri yang menjadi mangsa permainan kata-kata. Anda menulis bahasa kaca, akhirnya anda sendiri yang terluka.
Saya dari generasi yang berbeza, maka maafkan saya jika semua email yang ditulis dengan ejaan yang caca merba, saya bakul sampahkan sebelum habis membaca.
BAHASA BLOG
Saya sering singgah bertamu di halaman blog ramai anak muda yang hebat-hebat ilmu mereka.
Ada kalanya, saya suka mengambil manfaat daripada blog mereka kerana pelajar-pelajar di menara gading ini banyak mengenengahkan topik-topik yang hanya diperolehi oleh mereka yang duduk di dalam dunia kampus. Ia berguna untuk diri saya, juga dakwah yang saya laksanakan.
Isinya hebat, malah rujukan-rujukannya juga mantap.
Tapi sayang seribu sekali sayang, ia ditulis dengan bahasa sampah! Bukan sahaja ejaannya tidak tentu hala, malah pemilihan perkataannya juga buruk lagi merugikan.
“Benda nie kalo korang nak tahu, ulamak kiter dah bahas panjang giler kat dlm bk jar wa ta’dil. Korang tak kesian ke tgk ulamak susah2 buat kajian, pehtu korang main ckp ikut suka jer bab2 muawiyah dgn ali ni. Cb korang baca btl2 dlm bk al-awasim minal qawasim yg ibn al-arabi tulih 2. kire sume benda ader dah disebut kat c2…”
Ini adalah contoh petikan yang tidak dipetik dari mana-mana blog, tetapi saya tuliskan sendiri dalam format bahasa yang sering saya temui di blog anak-anak muda yang berilmu tetapi tidak berbahasa itu. Ungkapan bahasa yang rendah seperti ini tidak melayakkan tulisan tersebut menjadi buku, biar pun potensi isi kandungannya sangat baik. Ia suatu pembaziran.
Malah saya kira, mereka ini membaca tulisan para ilmuan Islam sekadar mengambil ilmu, tetapi tidak terkesan dengan bahasanya.
Sungguh merugikan.
Sahabat saya, Dr. Gabriele Marranci juga, semasa menyemak tesis PhD pelajarnya, pernah memberitahu saya:
“You know brother, I have sometimes to read essays in broken language, but often it ends in broken marks!”
REAKSI
Berikut adalah reaksi Puan Ainon Mohd. Sifu PTS apabila ada penulis yang menulis di dalam mailing list beliau dengan bahasa caca merba:
Gaya bahasa macam gaya bahasa saudara ini tidak digunakan dalam al-Quran, mahu pun dalam sunnah Nabi Muhammad SAW. Semua ejaan dalam Quran adalah ejaan sempurna, dan Nabi Muhammad tidak bercakap menggunakan bahasa macam bahasa budak belum matang dan rendah taraf pendidikannya.
Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa
No comments:
Post a Comment