Friday, 18 December 2009

Sabar

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah masih diberi nyawa untuk terus bernafas dan yang penting masih diberi nikmat iman dan Islam. Bangun pagi mengingatkan saya kerja yang agak tertangguh. Alang-alang menyelasaikan tugas, saya terjumpa sedikit bahan dan idea untuk dikongsi.

Ada peristiwa sebelum awal muharam ini yang menyebabkan saya mempunyai 2 atau 3 kesimpulan atau azam baru iaitu antaranya kurangkan hujah lebihkan amal, kurangkan angan lebihkan doa dan sabar. Artikel yang lepas saya bercakap mengenai hujah dan amal, maka kali ini mengenai SABAR.


Akhlak
Akhlak mulia adalah matlamat asasi dalam Islam malah menjadi suatu identiti yang wajib kepada muslim sejati.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (hadis sahih yang diriwayatkan oleh Malik, Hakim, At-Tabarani dan Bukhari)

Rasulullah SAW adalah seorang yang memiliki akhlak yang sungguh agung. Terdapat banyak sirah yang membuktikan keperibadian baginda mampu menarik hati orang kuffar untuk memeluk Islam. Indahnya Islam dihiasi akhlak yang murni.


Sabar
Bila berkata tentang sabar, saya akui bukan mudah untuk ketika sentiasa bersabar. Mulut mudah berkata tetapi hati siapa tahu. Bersabar dalam kehidupan memerlukan mujahadah yang agak tinggi. Umi selalu pesan, kakak perlu banyak belajar untuk bersabar.

"Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang sedemikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Asy-Syura: 43)

Hakikatnya inilah sifat yang penting untuk kita miliki terutama kita sebagai daie dan hamba Allah. Berjuang untuk menegakkan Islam bukanlah perjuangan yang dihampar karpet merah mahupun hijau. Berjuang itu pahit kerana syurga itu manis. Maka berjuang itu adalah lorong yang penuh duri, derita, siksa, penghinaan dan tuduhan.

Wahai sekalian orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang bersabar (Al-Baqarah: 153)

Untuk menghadapi hidup yang penuh liku sebagai daie kita memerlukan sifat sabar yang cukup kebal. Sabar itu perlu dalam proses menyampaikan dakwah kepada setiap golongan dan lapisan manusia yang pelbagai. Tanpa kesabaran tidak hairan jika kita akan futur akhirnya. Nauzubillah.

Sabda Rasulullah SAW: "Apabila makhluk dihimpunkan (pada hari kiamat) seorang tukang seru menyerukan: Dimanakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan?" Rasulullah SAW pun bersabda lagi: "Maka bangunlah sekumpulan manusia dan bilangan mereka amat sedikit. Mereka pun segera berarak menuju syurga, para malaikat pantas menemui mereka dan berkata: Apakah keistimewaan kamu? Mereka menjawab: Di masa yang lampau, apabila kami dizalim, kami bersabar, apabila diperlakukan sesuatu kejahatan kepada kami, kami bersifat lemah lembut. Lantas dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam syurga maka nikmatilah ganjaran bagi mereka yang beramal."


Marah
Apabila bercakap mengenai sabar, saya sendiri terbayangkan perasaan marah.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: "Berilah wasiat kepadaku." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Jangan marah." Lelaki tersebut mengulang pertanyaannya berkali-kali, sabda Rasulullah SAW: "Jangan marah"


Perasaan marah adalah penghimpun kejahatan dan bebas daripada perasaan marah adalah penghimpun kebaikan. Malah apabila ditanya kepada Rasulullah apakah amalan yang paling afdhal, sabda baginda berakhlah baik iaitu janganlah marah sekiranya kamu mampu.

Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu. (An-Nur: 22)



Ikhlas 
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan  beribadah kepadaKu (Adz-Dzariyat: 56)

Jadi jelaslah tujuan dan matlamat hakiki kehidupan kita adalah untuk beribadah kepada Allah. Setiap apa yang kita lakukan mestilah diniatkan semata-mata kerana Allah atau dengan kata lain ikhlas.

Orang yang ikhlas akan sentiasa bersabar dan menahan amarahnya kerana dia sedar bahawa hanya keredhaan Allah yang ingin dicapai bukan kepuasan diri sendiri muhupun orang lain. Dalam menuju keredhaan Allah taala pasti dugaan akan menemani.

“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)


Selamat bermujahadah dan berusaha untuk mencapai keikhlasan berjuang di jalanNya dengan sifat sabar dan menghindarkan nafsu amarah.



p/s: ada masalah dalam penulisan.

Wednesday, 16 December 2009

Tok~Tok~ Tin Kosong

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

ADHA'09 berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit ujian kepada kami pihak pengurusan. Tidak mengapa, semua ini tarbiyah dan didikan kehidupan. Bagi saya medan bekerja dan berpersatuan adalah medan saya mengenali diri saya dan diri rakan-rakan. Terima kasih kepada mereka yang menjayakan program ini secara langsung atau tidak langsung.






Mesyuarat Agung Tahunan juga berlalu dengan kelainan yang menarik tahun ini. Seperti kata sahabat saya, jelas kelihatan kematangan ahli-ahli PCM dalam MAT kali ini. Semoga usul-usul yang dibahaskan dan diterima oleh semua tanpa bantahan dapat direalisasikan dengan jayanya. Sikap berlapang dada dan berfikiran terbuka secara berprinsip penting demi kesatuan.

Alhamdulillah-alhamdulillah satu-persatu tanggungjawab selesai namun satu-persatu tanggungjawab menanti. Al-wajibat akthar min al-awqat. Tanggungjawab itu lebih banyak daripada masa yang ada. Tapi untuk diuji dengan masa yang lapang itu lebih membimbangkan saya.

Terbaru dengan taklifan mentor dan mentor figure bagi sesi 2009/10 maka saya terpaksa meninggalkan adik-adik J2 dan J3. Harap-harap ukhwah yang baru terbina tidak terhenti begitu sahaja. Ketika perjumpaan mentor, kami diminta mengisi borang. Antara soalan yang menarik adalah apakah harapan anda kepada diri sendiri, mentor figure dan mentor (kalau saya tak silap).

Jawapan saya agak pendek iaitu "saya berharap diri saya tidak menjadi seperti tin kosong". Saya sedar bahawa bakat saya dalam bidang penulisan lebih tumpul berbanding berhujah atau bercakap. Dalam keadaan kaki terketar-ketar namun tidak pada suara saya, seiring dengan semangat mungkin.





Apakah maksud tin kosong itu?

Andai kita mengetuk tin kosong pasti bergema bunyi tin tersebut tetapi berisikah tin tersebut?

Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan. (As-Saff: 2-3)

Itulah kebimbangan saya. Kita akan diuji dengan setiap kata-kata kita. Allah tidak suka akan hambaNya yang cakap lebih tetapi kurang amal. Menulis dan berhujah mungkin mudah tetapi untuk turun padang merealisasikan kata-kata ramai yang kecundang. Nauzubillah.

Saya telah mencadangkan supaya penyelarasan istilah mahasiswa-mahasiswi mengantikan istilah pelajar-pelajar dilaksanakan supaya kita semua sedar bahawa kita bukan lagi pelajar sekolah yang diatur-atur hidupnya. Bukan golongan yang takutkan cabaran dan isu-isu berat. Suara mahasiswa itu suara keramat seperti yang sering dilaungkan. Namun, diharapkan suara keramat itu bukan semangat semata-mata.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya....  (Al-Baqarah: 286)

Bersesuaian dengan firman Allah di atas bahawa Dia menguji hambaNya mengikut kemampuan dan kesesuaian hambaNya. Sesungguhnya kekuatan itu hanya dari Allah. Dengan Allahlah kita meminta agar kita diberi kekuatan untuk mencapai tujuan dan matlamat hidup kita.

Mungkin boleh jadikan salah satu azam baru, kurangkan hujah lebihkan amal. Malang kalau hujah yang cantik dan kemas itu tidak diusahakan untuk diterjemahkan di dunia realiti. Sungguh merugikan kerana kefahaman yang ada jangan disia-siakan. Maka, selamat beramal.

Saturday, 28 November 2009

Mansurah oh Mansurah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Mesyuarat agung semakin hampir. Macam-macam isu timbul sejak akhir-akhir ini di Mansurah. Isu rebut adik, isu PCM, isu SC, isu petisyen, isu pencalonan dan pelbagai lagi. Mungkin kali pertama saya mengulas isu-isu panas Mansurah namun saya boleh dikira ketinggalan zaman kerana terlalu sibuk untuk raya Adha kali ini.

Geram
Geram apabila sempat saya membaca ulasan-ulasan yang menggunakan istilah muka-muka lama, kelompok sama dan yang sewaktu dengannya. Kalian sibuk mengkritik tanpa membantu sepenuhnya mengatasi masalah yang timbul.

Mari kita muhasabah. Mudah sahaja, kenapa balik-balik orang yang sama. Tidak malukah kita? Mereka sanggup untuk turun padang dan bekerja sehingga kadang kala masa untuk diri hatta pelajaran terkorban. Mereka sanggup untuk menjadi yang di atas hatta pekerja bawahan sedangkan semua sedar yang pekerjaan ini adalah pekerjaan tanpa gaji dan memerlukan pengorbanan yang besar.

Kita? (Guna istilah kita sesuai, sama-sama muhasabah)

Kita sibuk dengan perasaan tak puas hati tapi tidak menghulur tangan membantu. Kita sibuk mengkritik tapi tidak cuba bersama-sama merasai sukarnya perjalanan mereka. Mungkin kerja yang sepatutnya dilakukan oleh 3 orang tetapi terpaksa ditanggung seorang. Masalah yang perlu diatasi semakin bertambah tetapi penyelasai masalah kekurangan tenaga.

Soal kepimpinan digembar-gemburkan perlu meliputi semua warga mansurah (pada saya sudah meliputi) tapi bagaimana pula dengan tenaga kerja bawahan?

Menguruskan ADHA'09 kami mengalami kekurangan (yang amat mungkin) tenaga kerja untuk kerja-kerja yang mungkin tidak popular seperti membersihkan tempat gotong-royong. Kebanyakan pelajar menolak terus (tidak berminat) atau 'meletak jawatan' atas pelbagai alasan apabila kami memerlukan bantuan anda. Jadi saya rasa kita perlu sedar, banyak lagi yang perlu kita titik beratkan. Jangan hanya sibukkan pimpinan atasan tetapi menyumbang tenaga bawahan tidak sudi.

Jangan jadi manusia pentingkan diri sahaja. Sibuk mahukan pimpinan pilihan hati atas alasan mahu kebajikan pelajar terjaga sepenuhnya tetapi menyumbang tenaga supaya impian kebajikan kita semua terjaga sepenuhnya tidak sudi memberi dengan serela hati. Balik-balik alasan study (bab ini perlu ulas lain).

Banyak lagi yang ingin saya luahkan tetapi kekangan masa yang terlalu menghabat. Dengan kesempatan ini marilah warga mansurah sekalian khasnya pelajar perubatan mansoura university untuk turun bersama-sama menjayakan program ADHA'09. Mari kita buktikan yang kita mahukan PCM ini milik semua. 

p/s: artikel ekspress

Friday, 20 November 2009

Sejarah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Saya agak meminati sejarah. Sedikit. sebanyak minat saya terhadap sejarah kerana saya mempunyai umi yang teramat meminati sejarah. Jika menonton filem dengan beliau memang menyeronokkan kerana dia pasti akan mengaitkan dengan fakta yang berkaitan terutama soal sejarah.

Saya teringat kali pertama saya betul-betul tertarik dengan sejarah Islam dan dunia adalah ketika di sekolah menengah, saya sebagai naqibah perlu membaca Apa Ertinya Saya Mengganut Islam yang menjadi silibus usrah ketika itu.

...akhirnya menyediakan keadaan kepada umat Islam untuk menerima kekalahan pertama pada tahun 1948.

Kalau ketewasan dalam tahun 1948 adalah akibat mengekori Barat maka ketewasan pada tahun 1967 adalah akibat mengikut proletariat yang kefahaman kiri

2 ayat kata pengantar yang cukup membuatkan saya begitu tertarik. Apakah sebenarnya yang berlaku pada tahun 1948? Kenapa dikatakan kekalahan umat Islam? Sejak itu saya cuba memahami apakah yang berlaku dan impaknya kepada umat Islam. Malah saya sedar teramat sedikit pengetahuan saya ketika itu.

Dengan situasi yang terhad memandangkan saya bukanlah pelajar Sejarah, saya cuba memahami sedikit demi sedikit. Dokumentari dari youtube yang dicadangkan umi abuya banyak membantu saya. Namun saya sedar banyak lagi yang perlu saya baca.





Dokumentari ini cukup memberi kesan kepada diri saya juga sahabat-sahabat serumah saya. Ketika kali pertama saya melihatnya, saya tidak dapat menahan mengalirkan air mata. Alhamdulillah saya berkesempatan berkongsi dengan teman-teman. Semoga mereka mendapat sesuatu yang bernilai.

“Dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”  (Surah Hud 11: 120)

Saya percaya jika kita menyoroti sejarah ia menjadi salah satu kaedah untuk menguatkan hati dan memberi pengajaran dan peringatan. Malah terlalu banyak isu yang perlu kita selak lembaran sejarah supaya kita faham apakah yang berlaku dan puncanya. Supaya isu bukan sekadar isu. Panas isu panaslah kita tetapi apabila isu sejuk lupalah kita.

Mungkin ada yang mengatakan sejarah itu membosankan. Tanpa sejarah kita tidak tahu sumber kekuatan orang-orang terdahulu berjuang di jalan Allah. Tanpa sejarah kita tidak tahu rahsia kegagalan dan kejayaan umat terdahulu. Banyak lagi kelebihan mendalami sejarah. Malah dalam al-Quran sendiri terdapat banyak sejarah yang perlu kita singkap. Maka sejarah itu bukan sekadar fakta sahaja. Ada permata.

Mungkin kerana kali ini pengisian perjumpaan bersama adik-adik sc, saya dan sahabat saya bersetuju untuk mengadakan sedikit tayangan sambil makan-makan membuatkan saya mengimbau kembali minat saya terhadap sejarah. Terasa ingin menulis sesuatu tetapi terasa masih kekurangan malah mungkin masih belum layak digelar orang yang meminati sejarah.

Orang mukmin tidak akan dipatuk oleh ular yang sama di dalam lubang yang sama tetapi bagaimana?