Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Alhamdulillah di kala kami
pelajar tahun klinikal terus menguatkan semangat ke kelas untuk menghabiskan
kuliah-kuliah klinikal yang bakal berakhir, adik-adik pula berhempas pulas
menghadapi peperiksaan akhir tahun.
Teringat kata-kata Dr Tamer: “Belajar, peperiksaan dan keputusan peperiksaan adalah 3 proses yang berasingan. Siapa yang menyatukan 3 proses tersebut? Allah.”
Maka andai kita mahkluk cerdik
dan berakal, maka bodohlah jika kita melakukan sesuatu yang Allah murka. Allah
menciptakan kita makhlukNya beserta manual yang wajib kita patuhi iaitu
syariat. Kita sebagai manusia telah dibekalkan dengan al-Quran dan hadis. Insya
Allah dengan bekalan al-Quran dan hadis, kita sebagai umat Islam tidak akan
tersasar daripada landasan yang sepatutnya.
STRESS
Tertekan itu perkara biasa
bagi saya ketika peperiksaan. Malah tanpa stress, saya merasakan diri ini tidak
tergerak untuk lebih berusaha menghadapi peperiksaan. Tanpa stress mungkin kita
akan terlebih ‘bertenang’ ketika belajar. Stress dan peperiksaan adalah rakan
karib. Tetapi stress yang melampau juga tidak baik
Anda percaya bahawa jika
dikatakan sesiapa yang tidak menurut syariat Allah dan melanggar sunnatullah
akan berasa stress yang tidak sihat? Jika kita gagal meninggalkan apa yang
Allah larang dan melakukan apa yang Allah perintahkan, kita akan mengalami
stress. Jika kita melanggar sunnatullah, kita juga akan mengalami stress.
Sunnatullah, hati manusia
dicipta tidak akan menyenangi perbuatan maksiat dan perbuatan melanggar
syariatullah. Naluri hati kita tidak bahagia dengan perbuatan kita bercouple,
berdua-duaan, ikhtilat tidak syarie, menghisap rokok dan apa jua tahap dan
jenis maksiat. Jiwa kita terus berasa kosong dengan maksiat. Jiwa kita
tercari-cari apa erti kebahagian. Itu fitrah yang tak mampu kita nafikan.
Mungkin ada yang mendakwa ‘saya
bahagia dengan perilaku saya’. Kawan, tanya sejujurnya dalam jiwa nuranimu,
adakah kau bahagia? Atau adakah hanya nafsumu sahaja yang berasa puas tetapi
hatimu tidak tenang?
Apabila hati kita tidak
tenang, tentunya fisiologi badan kita tidak menentu. Pelajar sains kesihatan
tentu faham akan fakta ini. Degupan jantung dan tekanan darah yang tidak
menentu menyebabkan pengaliran darah kita terganggu seterusnya sistem
penghadaman terjejas. Lalu penyerapan nutrisi dan sistem imuniti badan menurun.
Maka apa berlaku kawan-kawan? Kesihatan kita terjejas. Pelajaran kita
terganggu.
HARAPAN
Sunnatullah apabila menghadapi
ujian dan permasalahan, secara automatik kita akan bergantung harap kepada
Allah. Bak kata Dato’ Ustaz Haji Tuan Ibrahim Tuan Man dalam siri kuliah
mahribnya, walau sejahat mana manusia, tetap bergantung kepada Allah. Tapi
ironinya, kadang pergantungan kita kepada Allah hanyalah bermusim seperti
bermusimnya sikap cakna kita kepada saudara-saudara kita di Palestin dan Syria.
Apabila musim peperiksaan
menjelang, kita mula meningkat ibadah kita kepada Allah. Semoga segala-galanya
dipermudahkan oleh Allah. Alhamdulillah sekiranya perubahan kita istiqamah
sehingga tamat musim peperiksaan.
Tetapi malang apabila tamat
sahaja peperiksaan terakhir, kita raikan dengan menonton drama-drama korea
sedangkan kita mengabaikan hak-hak yang sepatutnya ditunaikan dan sebagainya.
Atas alasan berehat selepas berpenat menghadapi peperiksaan. Seolah-olah usaha
kita telah selesai dan terlupa bahawa pergantungan terhadap Allah tidak
sepatutnya berakhir dengan berakhirnya peperiksaan malah sewajarnya tidak akan
pernah tamat.
Lebih malang, ujian melanda
atau tidak. Kita buta dengan petunjuk yang Allah berikan. Allah tidak dilihat
sebagai tempat pergantungan. Allah tidak dilihat sebagai Tuhan kita yang perlu
ditaati. Belum sampai seru katanya. Musim peperiksaan menjelma, kita tetap
istiqamah dengan maksiat yang kita sering lakukan. Kita tetap hanyut dengan
pasangan kita. Kita tetap hanyut dengan hero-hero drama pujaan kita. Kita tetap
hanyut dengan asap-asap rokok kita yang berkepul-kepul di udara.
Apabila keputusan yang tidak
memuaskan keluar, kita mula berasa tertekan. Jangan sehingga mempertikaikan
kenapa Allah menguji kita dengan keputusan sedemikian!
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.(Surah Al-Rad 13: Ayat 11)
Tapi andai keputusan kita
tetap cemerlang di samping maksiat kita yang juga cemerlang, jangan berasa
selamat! Kejayaan yang terbaik bukanlah semata-mata cemerlang dalam keputusan
peperiksaan malah peperiksaan Akhirat masih menanti!
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, akan Kami biarkan mereka beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dengan cara yang mereka tidak ketahui.(Surah Al-Araf: Ayat 182)
KESIMPULAN
Kita sebagai umat Islam wajib
untuk meninggalkan maksiat. Wajib bertaubat! Bukan sekadar untuk peperiksaan.
Bukan semata untuk mengelakkan badan yang tidak sihat. Tapi itulah ketetapan
yang telah ditetapkan dalam manual bekalan kita. Jiwa manusia terasa kosong dan
tidak tenang dengan maksiat.
Saya bukanlah pakar motivasi
untuk memberikan tip-tip kepada anda. Saya percaya banyak artikel-artikel serta
video-video motivasi pakar motivasi yang sudi berkongsi keadah dengan anda
tip-tip menghadapi peperiksan. Malah artikel ini mungkin bukan artikel
motivasi. Saya sekadar berkongsi dan mengingatkan terutamanya diri ini dan
kawan-kawan.
No comments:
Post a Comment