Saturday 28 November 2009

Mansurah oh Mansurah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Mesyuarat agung semakin hampir. Macam-macam isu timbul sejak akhir-akhir ini di Mansurah. Isu rebut adik, isu PCM, isu SC, isu petisyen, isu pencalonan dan pelbagai lagi. Mungkin kali pertama saya mengulas isu-isu panas Mansurah namun saya boleh dikira ketinggalan zaman kerana terlalu sibuk untuk raya Adha kali ini.

Geram
Geram apabila sempat saya membaca ulasan-ulasan yang menggunakan istilah muka-muka lama, kelompok sama dan yang sewaktu dengannya. Kalian sibuk mengkritik tanpa membantu sepenuhnya mengatasi masalah yang timbul.

Mari kita muhasabah. Mudah sahaja, kenapa balik-balik orang yang sama. Tidak malukah kita? Mereka sanggup untuk turun padang dan bekerja sehingga kadang kala masa untuk diri hatta pelajaran terkorban. Mereka sanggup untuk menjadi yang di atas hatta pekerja bawahan sedangkan semua sedar yang pekerjaan ini adalah pekerjaan tanpa gaji dan memerlukan pengorbanan yang besar.

Kita? (Guna istilah kita sesuai, sama-sama muhasabah)

Kita sibuk dengan perasaan tak puas hati tapi tidak menghulur tangan membantu. Kita sibuk mengkritik tapi tidak cuba bersama-sama merasai sukarnya perjalanan mereka. Mungkin kerja yang sepatutnya dilakukan oleh 3 orang tetapi terpaksa ditanggung seorang. Masalah yang perlu diatasi semakin bertambah tetapi penyelasai masalah kekurangan tenaga.

Soal kepimpinan digembar-gemburkan perlu meliputi semua warga mansurah (pada saya sudah meliputi) tapi bagaimana pula dengan tenaga kerja bawahan?

Menguruskan ADHA'09 kami mengalami kekurangan (yang amat mungkin) tenaga kerja untuk kerja-kerja yang mungkin tidak popular seperti membersihkan tempat gotong-royong. Kebanyakan pelajar menolak terus (tidak berminat) atau 'meletak jawatan' atas pelbagai alasan apabila kami memerlukan bantuan anda. Jadi saya rasa kita perlu sedar, banyak lagi yang perlu kita titik beratkan. Jangan hanya sibukkan pimpinan atasan tetapi menyumbang tenaga bawahan tidak sudi.

Jangan jadi manusia pentingkan diri sahaja. Sibuk mahukan pimpinan pilihan hati atas alasan mahu kebajikan pelajar terjaga sepenuhnya tetapi menyumbang tenaga supaya impian kebajikan kita semua terjaga sepenuhnya tidak sudi memberi dengan serela hati. Balik-balik alasan study (bab ini perlu ulas lain).

Banyak lagi yang ingin saya luahkan tetapi kekangan masa yang terlalu menghabat. Dengan kesempatan ini marilah warga mansurah sekalian khasnya pelajar perubatan mansoura university untuk turun bersama-sama menjayakan program ADHA'09. Mari kita buktikan yang kita mahukan PCM ini milik semua. 

p/s: artikel ekspress

Friday 20 November 2009

Sejarah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Saya agak meminati sejarah. Sedikit. sebanyak minat saya terhadap sejarah kerana saya mempunyai umi yang teramat meminati sejarah. Jika menonton filem dengan beliau memang menyeronokkan kerana dia pasti akan mengaitkan dengan fakta yang berkaitan terutama soal sejarah.

Saya teringat kali pertama saya betul-betul tertarik dengan sejarah Islam dan dunia adalah ketika di sekolah menengah, saya sebagai naqibah perlu membaca Apa Ertinya Saya Mengganut Islam yang menjadi silibus usrah ketika itu.

...akhirnya menyediakan keadaan kepada umat Islam untuk menerima kekalahan pertama pada tahun 1948.

Kalau ketewasan dalam tahun 1948 adalah akibat mengekori Barat maka ketewasan pada tahun 1967 adalah akibat mengikut proletariat yang kefahaman kiri

2 ayat kata pengantar yang cukup membuatkan saya begitu tertarik. Apakah sebenarnya yang berlaku pada tahun 1948? Kenapa dikatakan kekalahan umat Islam? Sejak itu saya cuba memahami apakah yang berlaku dan impaknya kepada umat Islam. Malah saya sedar teramat sedikit pengetahuan saya ketika itu.

Dengan situasi yang terhad memandangkan saya bukanlah pelajar Sejarah, saya cuba memahami sedikit demi sedikit. Dokumentari dari youtube yang dicadangkan umi abuya banyak membantu saya. Namun saya sedar banyak lagi yang perlu saya baca.





Dokumentari ini cukup memberi kesan kepada diri saya juga sahabat-sahabat serumah saya. Ketika kali pertama saya melihatnya, saya tidak dapat menahan mengalirkan air mata. Alhamdulillah saya berkesempatan berkongsi dengan teman-teman. Semoga mereka mendapat sesuatu yang bernilai.

“Dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”  (Surah Hud 11: 120)

Saya percaya jika kita menyoroti sejarah ia menjadi salah satu kaedah untuk menguatkan hati dan memberi pengajaran dan peringatan. Malah terlalu banyak isu yang perlu kita selak lembaran sejarah supaya kita faham apakah yang berlaku dan puncanya. Supaya isu bukan sekadar isu. Panas isu panaslah kita tetapi apabila isu sejuk lupalah kita.

Mungkin ada yang mengatakan sejarah itu membosankan. Tanpa sejarah kita tidak tahu sumber kekuatan orang-orang terdahulu berjuang di jalan Allah. Tanpa sejarah kita tidak tahu rahsia kegagalan dan kejayaan umat terdahulu. Banyak lagi kelebihan mendalami sejarah. Malah dalam al-Quran sendiri terdapat banyak sejarah yang perlu kita singkap. Maka sejarah itu bukan sekadar fakta sahaja. Ada permata.

Mungkin kerana kali ini pengisian perjumpaan bersama adik-adik sc, saya dan sahabat saya bersetuju untuk mengadakan sedikit tayangan sambil makan-makan membuatkan saya mengimbau kembali minat saya terhadap sejarah. Terasa ingin menulis sesuatu tetapi terasa masih kekurangan malah mungkin masih belum layak digelar orang yang meminati sejarah.

Orang mukmin tidak akan dipatuk oleh ular yang sama di dalam lubang yang sama tetapi bagaimana?

Thursday 19 November 2009

Hanim dan UPSR

Lagi dua hari peperiksaan MCQ tetapi Allah sahaja yang tahu betapa tidak selesanya saya dengan musim sejuk kali ini ditambah pemanas rosak. Terpaksa saya mengambil inisiatif memakai beberapa lapis baju. Terbayang bagaimana orang-orang Islam yang diuji di luar sana. Bukan sahaja pemanas malah baju pun belum tentu cukup untuk mereka melindung diri dari kesejukan.

Saat tidak enak dibuai mimpi, saya mendapat sms daripada umi, "Hanim dapat 5A UPSR". Hari itu umi beritahu yang dia mendapat Jayyid Jiddan dalam PSRA. Wah, ini agak mengejutkan. Rasanya ini rekod baru dalam keluarga. Saya dahulu terlalu menumpukan UPSR lalu mengabaikan PSRA.




Alhamdulillah setinggi kesyukuran kerana memberi kejayaan kepada adik kami. Mesti umi abuya lega sebab kakak tahu umi abuya selalu bimbangkan Hanim. Kali ini sempat ke sambut ke mana-mana? Nasib orang merantau, tengok gambar sahaja jawabnya.

Ingatlah jangan jadikan kejayaan pertama ini penyebab untuk lupa diri supaya kita tidak tergolong di kalangan orang yang tidak bersyukur.

“Dan ketika Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya akan ku tambah (nikmatKu) kepada kamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu amat berat”. (Surah Ibrahim: 7)


p/s: Masuk tingkatan satu maka kena tingkatkan kematangan diri.

Tuesday 17 November 2009

Cik Nab dan SPM

AKU NAK EXAM DA!!!! WAAAAAAAA.

Huhu. Cik Nab tension ke sampai sms akak macam itu. 




Tenang-tenang. Hari-hari mesti belajar 24 jam..

"...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri..." (Ar-Ra'd: 11)

Usaha-usaha juga tapi doa jangan dilupa.

"Berdoalah  kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." (Al-A'raf: 55)

Menjawablah dengan penuh ketenangan. Selepas itu tawakal dan berserah sepenuhnya kepada Allah.

 "...Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad maka bertawakallah kepada Allah, sungguh Allah mencintai orang yang bertawakal." (Ali-Imran: 159)

 . 
Selamat menjawab untuk semua adik-adik yang akan menghadapi SPM esok. Dah bertungkus-lumus 2 tahun, saat inilah untuk curah semuanya. Jangan ada yang bawa jam loceng besar atau mercun waktu subjek akhir. Cikgu marah nanti. Esok dan hari-hari peperiksaan seterusnya jawab betul-betul. Tip-tip lain mesti semua sudah tahu



Mana satu cik Nab? Siapa tahu angkat tangan.



p/s: Teringat dulu tak jawab 10 soalan objektif kimia SPM. Alhamdulillah ok. Nyaris menangis bila keluar dewan baru teringat muka surat belakang tak selak. Jadi, hati-hati adik-adik.

Goyah dan Takut

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hari ini saya ber'ym' dengan seorang sahabat saya di Malaysia. Sebelum mengakhiri perbualan kami,


Saya: Hmm, mesti nak bersiap. Sebelum tu tolong bagi nasihat sikit, nak jaga hati
Sahabat: Kenapa?
Saya: Susah nak ikhlas, mudah goyah
Sahabat: Ikhlas ini kadang aku sendiri pun payah. Tekadkan hati dan banyak mujahadah

"Hati manusia adalah terlalu unik, berbolak-balik, liar dan maknawi sifatnya. Tiada sebarang alat atau kaedah yang mampu menguasai hati. Hati itu milik Tuhan bukan milik tuan. Dan Allah sahajalah yang mampu menguasai hati manusia." -SOLUSI isu no.11


Saya: Aku bimbang terlalu cintakan dunia dan takutkan mati. Sifat wahn tu dalam diri aku
Sahabat: Ish, jangan sampai macam tu.

Dari Tsauban ia berkata Rasulullah bersabda: "Kelak umat-umat lain akan mengerumuni kalian seperti orang-orang yang lapar mengerumuni hidangan mereka." Salah seorang bertanya: "Adakah kerana bilangan kita sedikit ketika itu?" Rasulullah menjawab: "Tidak, ketika itu bilangan kalian ramai, namun kalian adalah seperti buih di lautan, Allah akan menghilangkan perasaan takut dari hati musuh kalian dan Allah akan mencampakkan 'Wahn' ke dalam hati kalin." Salah seorang bertanya: "Apakah wahn itu wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Cintakan kehidupan dan bencikan kematian."

Inilah yang saya bimbangkan terutama ketika hanya sedikit ujian dalam perjuangan mengentarkan atau merisaukan hati saya.

"Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan mengatakan: "Kami telah beriman." sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-Ankabut: 2-3)

Apabila dunia menjadi alasan

"Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiaanya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya dan Allah tidak memberi petunjuk kepasa orang-orang yang fasik" (At-Taubah:24)"


Saya: Aku baca buku, bila baca yang pejuangan tu tahap melibatkan nyawa aku terfikir, sampai ke tak tahap itu kesanggupan aku. 

"..kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya. Kamu pasti akan diuji dengan hartamu dan dirimu.." (Ali-Imran : 185-186)

Nah

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga. (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar ditetapkan Allah...dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) adalah kemenangan yang besar." (At-Taubah:111)

"...dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah akan melaksanakan urusan (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (At-Tolaaq: 3)


Saya: Mungkin belum tahap sepenuhnya rasa kemanisan iman. Kena banyak bersihkan jiwa
Sahabat: Betul. Itu batu asas sebenarnya. Kalau tidak sampai bila pun berjuang akan tak ikhlas.

"Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat seketul daging, apabila elok daging tersebut, maka eloklah jasad tersebut keseluruhannya, apabila ia rosak, maka rosaklah jasad keseluruhannya, ketahuilah bahawa ia adalah HATI" (HR Muslim.)

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya" (Asy-Syam: 9-10)

Sabda Rasululullah SAW: "3 perkara sesiapa yang terdapat ketiga-tiga perkara itu dalam dirinya beliau akan mendapat kemanisan iman iaitu: bahawa Allah dan rasulNya lebih ia kasihi dari yang lain, bahawa beliau tidak mengasihi seseorang kecuali kerana Allah, bahawa beliau benci kembali kepada kekufuran sebagaimana beliau benci dilontarkan ke dalam neraka" (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)


Sahabat: Selamat berjuang sahabatku!
Saya: Semoga sahabat aku istiqamah
Sahabat: InsyaAllah, bitaufiq wannajah
Saya: Syukran


"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati  dengan kesabaran." (Al-Asr:1-3)





p/s: Ada sedikit perubahan daripada perbualan sebenar. Ayat-ayat al-quran dan hadis tersebut muncul dalam fikiran saya ketika kami berbual.

Thursday 12 November 2009

Mesyuarat oh Mesyuarat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah semalam selesai pusingan kedua mesyuarat ADHA '09. Terima kasih tidak terhingga kepada semua gerak kerja yang telah memberi komitmen yang baik.



Iklan ini sungguh comel

Mungkin saya bukanlah orang yang selayaknya untuk memberi pendapat soal ini. Cuma sekadar pendapat peribadi dan hasil pembacaan saya. Setiap gerak kerja atau program pasti akan melibatkan agenda mesyuarat tidak kira mesyuarat induk atau mesyuarat unit kecil.


Defini mesyuarat

Menurut bahasa adalah berunding atau bertukar fikiran.

Menurut istilah syariat Islam ialah bertukar fikiran atau berbincang antara dua orang atau lebih dalam menghadapi hal-hal yang dibenarkan oleh syariat sesuai dengan adab-adab dan cara-cara yang syari' untuk memperoleh hasil yang baik dan benar yang akan menjadi tindakan bersama seseorang atau kelompok.

"Dan orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka diputuskan dengan musywarah antara mereka dan mereka menafkahkn sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (As-Syura:38)





Mesyuarat adalah Fitrah

Tiada manusia yang suka disuruh-suruh atau diperintah taat membabi-buta. Jadi fitrah manusia perlukan kepada perbincangan supaya kata sepakat yang dicapai sesuai dengan keadaan semua pihak kerana fitrah wujud perbezaan pandangan dan pendapat. Keputusan yang dicapai atas fikiran individu berlainan dengan keputusan yang dicapai atas fikiran kumpulan.

"...mesyuaratlah dengan mereka urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudia apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat dan hendak membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." (Surah Ali-Imran:159)



 Bekerjasama


Mesyuarat berperanan menyatukan semua pandangan dan idea yang berbeza untuk diperdebatkan dengan cara yang tersusun dan berkesan.

"Dan juga (lebih baik dan lebih kekal) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya." (Asy-Syura:38)

Maka tidak dapat tidak kita tidak boleh menolak kepentingan bermesyuarat dan berbincang. Malah selain mencapai keputusan dalam perbincangan kita juga dapat mengelakkan kesilapan yang besar. Mungkin apa yang tidak disedari oleh kita akan disedari oleh ahli mesyuarat yang lain. Sesungguhnya penelitian setiap manusia berlainan.

Khalifah Umar bin Khattab berkata: "Tiada kebaikan pada sesuatu urusan yang dilaksanakan tanpa musyawarah" (An-Nizam As-Siyasi Fil-islam, Muhammad Abdul Qadir Abu Faris)

Jadi rakan-rakan, jangan malas-malas pergi mesyuarat. Lagi bertangguh lagi bertambah dan tergendala kerja kita.


Penting sangat ke mesyuarat unit?

Mungkin ada pihak yang kurang mengambil berat soal ini. Di mesyuarat unit inilah kita akan mengecilkan skop kepada bidang tugas unit kita. Di sinilah sepatutnya segala permasalahan dan cadangan berkaitan unit kita diselesaikan. Kehadiran pengarah atau timbalan pengarah ke mesyuarat unit pula adalah untuk memantau gerak kerja mesyuarat unit selaras dengan objektif program.

Kenapa saya bercakap mengenai mesyuarat unit?




Menjadi masalah kerana setiap kali mesyuarat induk akan memakan masa yang panjang kerana terpaksa membincangkan masalah-masalah yang sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat unit. Mesyuarat induk lebih kepada pembentangan gerak kerja setiap unit, penyelarasan tugas antara unit-unit dan hal-hal yang berbangkit. Kita sebagai pelajar pasti memerlukan penyusunan masa yang teratur. Jadi penting setiap agenda disusun dengan efektif.

Wujud juga unit yang memberi alasan tidak perlukan mesyuarat unit. Saya lebih suka menekankan sekurangnya terdapat perbincangan dua hala antara ketua dan timbalan atau dengan kata lain antara ikhwah dan akhwat. Kerap timbul rungutan tiada perbincangan atau kerjasama yang baik antara ketua dan timbalan ketua yakni lelaki dan perempuan.

Kita selalu dengar kata-kata wanita dan lelaki berbeza. Allah jadikan setiap makhluk-makhlukNya berlainan sifat dan pemikiran. Jadi mengapa kita tidak kita ambil hikmah dari kejadiaanNya untuk memperkembangkan kebolehan diri dengan cara yang dibenarkan. Islam tidak menghalang perbincangan antara dua jantina ini asalkan adab-adab islamiah itu dipatuhi.





"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong sesetengah yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan membayar zakat serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha kuasa lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah:71)

Sekiranya kita jelas tujuan dan matlamat kita, tidak akan timbul isu saya tunggu dia yang mula dulu, saya tunggu dia telefon dulu atau saya malu nak bersuara. Islam tidak membezakan hak bersuara antara lelaki dan perempuan. Indahkan Islam? Suatu agama yang syumul


Kesimpulan
Muhasabah kepada diri saya sendiri selaku insan yang lemah dan memerlukan bantuan rakan-rakan dalam apa jua gerak kerja. Islam sendiri mementingkan mesyuarat  dan kita sebagai umat Islam jangan malu-malu dan jangan ragu-ragu untuk berbincang. Berbincanglah dengan minda yang terbuka dan emosi yang terkawal. Persatuan, program, mesyurat dan sebagainya merupakan salah satu latihan kita untuk hidup bermasyarakat.

Panduan mesyuarat yang berkesan bolehlah dicapai melalui pembacaan atau merujuk kepada yang berkenaan supaya kita tidak bermesyuarat berjam-jam tetapi hasil tidak memuaskan. Entry kali ini lebih membincangkan kepentingan dan keperluan mesyuarat itu sendiri.



Perbincangan di mana sahaja


Rujukan:
  1. Al-Quran 
  2. Pdf Syura dalam Sistem Politik Islam dan Kebaikannya
  3. Pdf The Power of Syura in Islam

p/s: umi dan kak una mencadangkan ulasan mengenai hubungan dua hala antara ketua dan timbalan. Mungkin dalam entry yang berasingan atau blogger-blogger lain boleh ulas soal ini. Sedikit penghargaan kepada rakan sekerja saya kerana banyak memberikan kerjasama yang jarang-jarang saya peroleh sebelum ini. Untuk Islam insya Allah.

Monday 9 November 2009

ADHA '09


Dari Aisyah Radhiyallahu Anha (R.A.) bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda, ertinya:
“Tidaklah anak cucu Adam mengerjakan suatu amalan yang lebih disenangi Allah pada hari korban daripada menyembelih binatang korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat kelak dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kalian semua dengan (pahala) qurban itu” (H.R. Tirmizi)


Sunday 8 November 2009

Antara Cinta dan PEMBERI Cinta

Dengan Nama Allah Yang Mengasih Lagi Maha Penyayang


Sedar tidak sedar kita adalah individu yang zalim. Salah satunya kita kejam bila memperkatakan soal cinta. Tidak kiralah cinta kekasih, rakan baik atau ahli keluarga. Mari kita sama-sama muhasabah di mana silap kita.




Sekiranya anda mendapat hadiah daripada seseorang maka anda akan menghargai individu tersebut kerana kemurahan hatinya. Allah menghadiahkan kita cinta tetapi malangnya kita lebih menghargai cinta lebih daripada Allah yang memberikan cinta itu.

Banyak bukti kita lebih menghargai cinta sehingga tahap bertuhankan cinta antaranya:
  1. Kita sentiasa tidak sabar malah terkejar-kejar untuk berjumpa kekasih tetapi sentiasa malas malah bertangguh-tangguh untuk berjumpa Allah.
  2. Kita sentiasa cuba menghiburkan hati cinta hati kita dengan kebaikan kita tetapi kita tergamak mengundang kemurkaan Allah dengan maksiat.
  3. Sanggup bergolak-gadai demi kekasih tetapi berkira untuk menyumbang sedikit demi agama Allah.


Wajarkah kita lebih menghargai cinta berbanding Allah yang memberi cinta? Sesungguhnya balasan kezaliman kita sedikit pun tidak menjejaskan Allah tetapi kita jualah tergolong daripada golongan-golongan yang rugi.

Dan ketika Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya akan ku tambah (nikmatKu) kepada kamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu amat berat”. (Surah Ibrahim: 7)

"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukakan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga..." (Surah Al-Israa': 7)


p/s: Artikel kali ini agak pendek. Asalnya dibuat pendek untuk sebuah majalah atas permintaan seorang sahabat.

Sunday 1 November 2009

Ayam Bakar Manis

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah semalam giliran saya memasak. Kali ini saya ingin berkongsi resepi ayam bakar. Ubah suai sendiri kerana bahan-bahan dapur rumah agak terhad.


Bahan-Bahan
500gm ayam
3 sudu besar kicap
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar madu hitam
2 sudu besar gula perang
1 kiub ayam
4 ulas bawang putih (ditumbuk atau kisar)
1 sudu besar serbuk lada hitam (sukatan terpulang selera masing-masing)
1 cm halia /1 sudu besar serbuk halia


Cara-cara
  1. Gaulkan semua bahan-bahan tadi dan perapkan bersama ayam selama 30minit atau lebih.
  2. Kemudian bakar sehingga masak

Mudah dan sedap. Selamat mencuba.


p/s: tak ambil gambar sebab tak terfikir nak masukkan dalam blog