Sunday 31 October 2010

Syari' Samanoudy yang Kurang Selamat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kecoh sejak akhir-akhir ini syari' (jalan) samanoudy penuh dengan kes-kes gangguan. Kawasan yang telah saya diami sejak mula-mula tiba di bumi Mansurah ini sehinggala kini digembur-gemburkan sebagai kawasan yang agak tidak selamat. Kebanyakan kes bukan sahaja berlaku pada waktu malam tetapi pada waktu pagi.

Sebagai langkah berjaga-jaga, mungkin ada yang mencadangkan untuk mengetatkan peraturan penggunaan musyrif. Entah la, saya sendiri merasa ketat atau longgar berbalik kepada kesedaran kita untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

"Syari' Samanoudy sahaja yang bahaya, tidak bagi kami di kawasan lain"

Adakah kalian menanti bahaya bertandang ke kawasan kalian baru kalian mengambil langkah berjaga-jaga? Bukan saya mahu berlagak saya sentiasa mengikut peraturan musyrif namun selagi mampu (selagi musyrif sudi angkat panggilan saya) saya akan cuba untuk meminta tolong para ikhwah. Sukar bagi saya apabila menyentuh isu musyrif (untuk ke tusyen memang sukar bermusyrif). 

"Kami boleh timbang keselamatan kami. Kalau malam sangat baru kami panggil musyrif."

Adakah keselamatan itu boleh dijangka? Malang sungguh tidak berbau. Saya sendiri diganggu ketika baru sahaja berpamitan dengan seorang rakan di pagi hari. Jadi anda pastikah bila anda akan diuji. Bak kata Dr Arafa kes kecemasan tiada waktu!

Terasa malas untuk memasukkan dalil naqli ke dalam entry kali ini kerana nanti ada yang mendakwa terdapat khilaf dalam soal ini. Belum lagi bagi mereka yang sengaja keluar malam dengan alasan membeli barang atau menyambut hari lahir rakan. Saya yang terkena dengan kes yang ringan sudah merasa fobia untuk pulang ke rumah seorang diri tetapi saya pelik melihat rakan-rakan (yang terkena kes lebih berat) yang masih berani keluar malam malah ada yang keluar berseorangan.

Saya menyeru kepada rakan-rakan untuk menjaga diri. Mungkin ada yang merasakan apa yang berlaku masih ringan atau tiada apa-apa. Adakah kalian menunggu kes yang lebih berat barulah sedar keperluan berhati-hati? Letaklah prioriti aktiviti siang dan malam anda. Saya rasa ibu bapa kita di Malaysia jarang membenarkan anak perempuan mereka keluar malam.

Sebenarnya saya tidaklah mempunyai banyak masa untuk menulis panjang lebar. Hanya mencuri masa 10 minit daripada waktu rehat. Ayat pun agak tunggang tebalik.


Wallahualam.


p/s: ada komen-komen yang tak sempat saya response, maaf.

Thursday 14 October 2010

Jangan Sekat Potensi Diri dengan Malas!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Gejala Malas Berfikir dan Malas Bertindak

Golongan mahasiswa sering dimomokan sebagai bakal pencorak masa depan negara. Namun gejala malas berfikir apatah lagi gejala malas bertindak (bekerja) cukup hebat melanda. Kita hanya terasa terpaksa berfikir apabila ia melibatkan kepentingan diri. Namun sedar atau tidak kita perlu berfikir demi matlamat yang lebih besar.

Itu pun jika timbul isu atau kepentingan masih berkehendak untuk berfikir. Bagaimana pula dengan mereka yang memang tidak mahu berfikir? Lebih malang hidup hanya untuk diri sendiri (atau kelompok sendiri) dan hiburan. Itulah ketenangan dan kebahagian palsu yang dianggap hakiki. Kerja dan komitmen ini menyusahkan sahaja katanya.




Ada masa kita akan dipertanggungjawabkan dengan buah fikiran dan kata-kata kita. Maka ada masa kita kurang berani untuk bertegas dengan pendirian diri atau lebih selesa menjadi golongan atas pagar. Dengan masalah ummah yang begitu kronik, kita memerlukan mereka yang berfikir dan bertindak demi kepentingan ummah bukan kepentingan sendiri mahupun kelompok sendiri. Namun sanggupkah kita berkorban?

Saya kasihan golongan tertentu. Siapa mahu gagal? Siapa tidak mahu kejayaan? Tetapi analogi kini, kerja yang sepatutnya ditanggung 10 orang terpaksa ditanggung 5 orang atau hanya 3 orang. Kerana apa? Kerana gejala malas berfikir dan bertindak maka kita kekurangan tenaga. Itu pun mereka yang terkorban ini disalahkan atas pengorban mereka. Bagaimana mereka yang mengorbankan orang lain?




Teruskan berfikir dan bertindak. Mari kita paksa diri kita cerdas berfikir dan cergas bertindak. Kita memerlukan idea-idea baru yang kreatif dan pergerakan yang kemas terancang. Ia memerlukan komitmen semua. Semoga kita tidak menjadi golongan yang hanya cemerlang dalam sijil tetapi gagal dalam kehidupan yang sebenar.



Potensi Diri

Setiap orang mempunyai potensi diri yang tersendiri tidak kira dia sendiri menyedarinya atau orang lain yang nampak potensi dirinya. Namun kadang-kala kita terhalang untuk menggunakan dan mengembangkan potensi diri kita. Kita tersekat untuk menjadi lebih kreatif serta inovasi kerana keadaan tertentu.

"Saya bimbang saya tidak boleh bekerja dengan baik kerana saya kurang bertegas. Akak rasa kekurangan saya ini macam mana?"

Seorang adik pernah bertanya kepada saya. Bukanlah saya memandai-mandai untuk menjadi seorang kaunselor cuma mahu melihat potensi dirinya digunakan dan berkembang. Bagi saya, janganlah sedikit kekurangan diri yang boleh dibaiki itu menjadi penghalang diri kita. Hidup berorganisasi dan bermasyarakat menyerlahkan kekurangan dan kelebihan diri kira. Inilah medan menggilap dan membaiki potensi.


melihat lebih jauh potensi diri

Untuk menjadi orang yang berpotensi, saya tidak sangkal ada masa ia memerlukan kekuatan diri, ia memerlukan pengorbanan malah ada masa kita merasa cukup sakit. Tetapi jika anda faham kenapa perlu pengorbanan dan kesakitan itu, anda akan terus mencuba mengikut kemampuan dan kesesuaian. Teruslah menggilap potensi diri anda kerana kita sememangnya memerlukan insan-insan yang berpotensi demi kedaulatan Islam. Jangan biarkan perasaan rendah diri atau malas membenamkan potensi diri anda.

Semoga kita (lebih-lebih lagi penulis) mampu mencapai apa yang sepatutnya dicapai serta melalukan apa yang sepatutnya dilakukan. Akhir tulisan (kata?) saya ingin berkongsi ringkasan sebuah artikel dalam Majalah SOLUSI isu nombor 24 bertajuk Menjadi Lebih Kreatif. Edisi penuh anda boleh mendapatkan sendiri majalah tersebut di pasaran atau meminjam daripada yang berkenaan.




Menjadi Lebih Kreatif oleh Ahmad Fadzli Yusof
  1. contoh ciri-ciri orang kreatif
  2. bukulah pintu minda anda
  3. tambahkan pengetahuan am
  4. pelbagai cara berfikir
  5. lupakan logik buat sementara
  6. berfikir gila-gila, bukannya gila tapi gila-gila
  7. anda tidak perlu pertahankan idea sendiri
  8. galakkan diri anda untuk mencuba sesuatu yang kreatif
  9. benarkan diri anda melakukan kesilapan
  10. jika perlu, ulang dan ulang
  11. belajar teknik berfikir
  12. mintalah daripada PEMILIKNYA


Wallahualam.


p/s: Dalam buku Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah disebut soal menepati masa malah soal masa juga ditekankan dalam muawasafat tarbiyyah. Namun adakah kita cukup cakna soal menepati masa?



Tuesday 12 October 2010

Kembali Bertatih Menulis

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Sudah lama tidak menulis. Terasa banyak berhutang dengan insan-insan tertentu. Saya berasa janggal untuk menulis. Mungkin mengambil sedikit masa setelah lama bercuti.




Ada yang bertanya mengenai perkahwinan adik saya. Barangkali ada kawan-kawan rapat yang terasa kerana saya tidak menjemput mereka. Ada juga yang tertanya-tanya adik yang mana satu. Maklumlah adik beradik saya agak ramai.




Alhamdulillah telah tiba jodoh adik perempuan saya yang hanya berbeza setahun dua hari pada 8 Syawal yang lalu. Bukan adik saya yang di Jordan seperti yang disangka rakan-rakan sekelas saya. Yang berkahwin adalah Nur Afifah bte Shuhardi bukan Ahmad Mohd Syamil bin Shuhardi.

Untuk pengetahuan hanya majlis nikah dan sedikit jamuan diadakan. Maka hanya keluarga terdekat dan jiran-jiran setaman yang dijemput. Soal walimah masih belum ada kata putus (setahu sayalah). Ada yang ingin melihat foto-foto nikah tetapi saya sendiri masih belum melihat sepenuhnya foto-foto demikian atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sebenarnya saya ingin menulis isu-isu tertentu tetapi masih tersekat. Kini saya sedang berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang. Terlalu banyak perubahan yang perlu dihadapi. Semoga apa yang Allah takdirkan, saya kuat menghadapinya.


Wallahualam.

p/s: Saya bersyukur akhirnya mereka telah membuka mata. Kemarahan dan prinsip saya bukanlah tidak berasas atau berdasarkan emosi semata-mata. (p/s yang tiada kaitan dengan entry)