Wednesday 25 February 2009

Rezeki, Ketetapan & Syukur


Sejak akhir2 ini banyak perkara yang berlaku membuatkan saya sering terfikir mengenai takdir, rezeki dan ketetapan Allah.



"Kalau sudah tiada rezeki study banyak segigih mana pun tetap tak cemerlang." Satu diolog yang pernah menghinggap telinga saya. Secara jujurnya saya kurang menggemari ayat2 seperti itu.

Allah Maha Adil. Hikmah yang saya dapat dari kecil, rezeki itu bukan tertumpu pada satu lorong (kaya, keputusan cemerlang) sahaja tetapi pelbagai cara. Dia tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

"...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri..." (Ar-Ra'd: 11)

Kita disarankan supaya berusaha, berdoa dan bertawakal. Usaha dulu. Natijah yang terhasil jika kelihatan tidak setimpal dengan usaha kita percayalah bahawa hasil usaha kita itu terletak di jalan lain. Mungkin yang terbaik adalah Allah menangguhkan ganjaran usaha kita. Tidak di dunia mungkin di akhirat.

"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah: 216)


Sejak hidup di perantauan pening soal duit adalah perkara biasa. Namun ingatan abuya supaya jangan buruk sangka dengan Allah dalam soal rezeki banyak membantu. Bukan soal jumlah duit yang digenggam penting tetapi kecukupan rezeki itu lebih utama. Maksud saya, andai duit beratus gneh (matawang mesir) tetapi nafsu berbelanja yang tak pernah puas tetap tidak bermakna. Tetapi dengan duit yang cukup2 dan perasaan cukup lebih tenang dan bermakna.

"...Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nesacaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka2nya, dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nesacaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya, sungguh Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." (At-Talaq: 2-3)

Apabila Allah melimpahkan dan membuka pintu rezeki bagi kita, janganlah pula kita tergolong daripada hamba2 yang lalai. Sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah kerana ada kala nikmat yang Allah beri juga adalah cubaan.

“Dan ketika Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya akan ku tambah (nikmatKu) kepada kamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu amat berat”. (Surah Ibrahim: 7)


p/s: Janji Allah itu pasti.

Sunday 22 February 2009

10 Pintu Syaitan

Perkara berikut dirumuskan oleh salah seorang para salihin mengenai pintu manakah syaitan memasuki manusia:

Tamak dan jahat sangka

Hadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada setelah berusaha.

Cintakan kehidupan dan angan2 yang panjang
Hadapinya dengan perasaan sentiasa takut dengan kedatangan maut secara tiba2.

Cintakan kerehatan dan kenikmatan
Hadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan akan hilang dan meyakini balasan buruk.

Kagum akan diri sendiri
Hadapinya dengan kesyukuran atas nikmat2 kurnian Allah dan takutkan balasan seksaan.

Memandang rendah orang lain dan tidak menghormati mereka
Hadapinya dengan mengetahui hak2 serta kehormatan mereka.

Hasad dengki
Hadapilah dengan sifat qanaah (berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha) dan redha terhadap setiap pemberian Allah

Riya dan sukakan pujian manusia
Hadapilah dengan sifat ikhlas.

Bakhil
Hadapilah dengan keyakinan bahawa setiap yang ada di tangan makhluk itu akan binasa sedangkan di sisi Allah itu kekal abadi.

Takbur
Hadapilah dengan sifat tawadhu'.

Tamak
Hadapilah dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia.



Di antara perkara yang dituntut Islam untuk mengelakkan diri daripada panahan syaitan adalah:

Mengingati Allah
Sesungguhnya orang2 yang bertaqwa bila mereka ditimpa was2 dari syaitan mereka ingat pada Allah maka ketika itu juga mereka akan melihat kesalahannya (sedar kembali). (Al-'Araaf: 201)

Menjauhkan diri daripada terlalu banyak makan dan bermewah-mewahan
Makan dan minumlah tetapi jangan berlebihan. (Al-'Araaf: 31)

Membaca al-Quran, berzikir dan beristigfar
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya di atas hati anak Adam, apabila beliau berzikir syaitan itu akan berundur dan apabila beliau lupa kepada Allah syaitan itu akan mengunyah hatinya."

Menjauhi sifat tergesa2 dan berhati-hatilah dalam semua perkara
Rasulullah bersabda: " Terburu-buru itu dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah."

p/s: Sama2 muhasabah diri

Saturday 21 February 2009

Hikmah Nabi Terakhir di Tanah Arab


Di kala bangsa Arab dilanda kejahilan yakni zaman jahiliah, dunia dikuasai oleh dua negara iaitu Parsi dan Romawi dan diikuti Greek dan India.

Parsi
Parsi ketika itu merupakan medan persaingan agama dan falsafah yang beranika corak. Pada keseluruhannya pemerintah dan pembesar mengganut agama majusi. Ajaran ini mengalakkan lelaki berkahwin dengan ibunya, anak perempuannya atau adik dan saudara perempuannya. Malah tatasusila dan akhlak telah terpesong dari nilai kemanusian.

Rom
Kerajaan Romawi ketika itu kuat dipengaruhi semangat penjajahan dan bergelut dalam persengketaan agama dengan pihak Kristian di negeri Syam (Syria) dan Mesir. Ia bergantung sepenuhnya kepada kekuatan tentera dan cita-cita yang begitu berkobar-kobar demi mencapai matlamat. Negara ini berada dalam keadaan kucar kacir dan rakyat jelata hidup menderita dengan kemerosatan ekonomi, pemerasan dan kenaikan cukai yang melampau.

Greek Tua
Greek Tua tenggelam ke dalam dasar lautan khurafat dan dongeng yang tidak memberi sebarang hasil dan manfaat.

India
Menurut penegasan Professor Abul Hassan Al-Nadwi ahli sejarah dan pengarang sebulat suara menyatakan bahawa India di permulaan abad keenam Masihi terlibat dengan kemerosotan agama, akhlak, dan kemasyarakatan.

Bangsa-bangsa ini terseret ke lembah kerosakkan, kacau bilau dan perpecahan disebabkan kemajuan dan ketamadunan yang berasaskan harta benda semata-mata tanpa panduan agama dan wahyu Ilahi.



Hikmah Pemilihan Semenanjung Arab
Semenanjung Arab ketika itu merupakan satu kawasan yang tenang, jauh dan terpencil dari anasir-anasir yang merosakkan tadi. Bangsa mereka langsung tidak pernah merasai kemewahan dan kemajuan seperti Parsi. Mereka juga tidak mengganut ideologi dan falsafah seperti Greek Tua.

Mereka ini tercari-cari ke arah pembentukan manusia yang terpuji tetapi malangnya tersesat jalan. Mereka membunuh anak perempuan, membelanjakan wang yang banyak dan berperang kerana maruah.

Dan sesungguhnya kamu sebelum hari ini adalah dari golongan orang-orang yang sesat. (Al-Baqarah: 198)

Secara geografi, Semenanjung Arab terletak di antara Parsi dan Rom. Muhammad al-Mubarak seorang professor Mesir menyatakan pendapat berbunyi: "Orang yang memerhati dan memandang kepada bangsa Arab akan dapat melihat bagaimanakah bangsa Arab boleh berdiri di masa silam di tengah2 dua tamadun yang melebar di kiri dan kanan. Di sebelah kirinya tamadun barat yang keterlaluan telah mencuba mencipta gambaran imej manusia dengan alirannya yang kering pucat dan tak berhias dan tidak terjejas dengan hakikat keinsanannya. Di sebelah kanannya pula tamadun kerohanian dan kejiwaan yang melambung ke alam khayalan seperti yang terdapat di India, China dan sebagainya."

Allah mampu menjadikan pancaran dakwah di Parsi, Rom atau India bersinar dengan gemilang tetapi pemilihan Semenanjung Arab dan seorang Rasul yang buta huruf, tidak bolah membaca dan menulis menyingkir sebarang syak wasangka manusia terhadap kenabian dan kerasulan.

Dialah (Allah) yang telah mengutuskan di kelompok buta huruf seorang utusan daripada kalangan mereka (untuk) menyampaikan kepada mereka ayat2Nya dan menjauhkn mereka daripada syirik dan mengajar mereka kitab2 dan hikmat dan sesungguhnya mereka itu dahulunya dalam kesesatan yang amat sangat. (al-Jumu'ah :2)

Rasulullah diutuskan dalam suatu bangsa yang kebanyakkannya juga buta huruf seperti baginda dan jika dibandingkan dengan bangsa2 lain mereka belum pernah diracuni dan dipengaruhi oleh sebarang tamadun, pemikiran dan falsafah yang berserabut.

Ia turut menyingkir sebarang andaian bahawa sekiranya Rasulullah seorang yang boleh membaca, mungkin baginda membaca dan mempelajari kitab-kitab lama yang mengandungi sejarah manusia purba dan tamadun negara2 jiran.

Dari segi kedudukan ilmu, kedudukan Semenanjung Arab di tengah2 pelbagai bangsa menjadikan perjalanan penyebaran dakwah Islam tersebar luas dan mudah.

Bahasa Arab dipilih sebagai perantaraan dakwah Islam dan bahasa yang menerangkan serta mentafsirkan percakapan atau kalam Allah untuk disampaikan kepada kita. Bahasa Arab sendiri mempunya keistimewaan yang melayakkan untuk dipilih sebagai bahasa utama Islam.

Pelbagai lagi hikmah Nabi terakhir di Tanah Arab sekiranya kita mampu mengkaji.

Wallahualam.


p/s: Ini sahaja yang saya mampu kongsi setakat ini memandangkan jadual semester ke 2 saya yang agak kucar kacir.