Friday 20 March 2009

Mee Rebus

Alhamdulillah percubaan saya untuk membuat mee rebus berjaya (tapi tak lawan mee rebus umi) dengan berbekalkan sms daripada umi dan diubah suai sikit mengikut laman web resepi kegemaran saya. Memandangkan adik-adik usrah saya sungguh suka memasak (memasak atau makan?) maka saya berminat nak kongsi resepi dengan pembaca.


Gambar hiasan

Bahan Kuah
  1. Bawang merah
  2. Bawang putih (tidak perlu terlalu banyak)
  3. Udang kering
  4. Lengkuas (jika tiada ganti dengan halia)
  5. Cili kering
  6. Serai
  7. Keledek
  8. Asam keping
  9. Daging
  10. Udang
  11. Air tulang (kalau ada lagi sedap)
  12. Tomato
  13. Sawi
  14. Minyak
  15. Garam
  16. Gula Merah (gula biasa jika tiada)

Bahan Hiasan
  1. Tauhu (digoreng dan dihiris)
  2. Telur (direbus)
  3. Bawang goreng
  4. Cili padi
  5. Daun sup
  6. Limau kasturi
  7. *apa-apa yang dirasakan sesuai

Cara-cara
  1. Kisar (blend) bawang merah, bawang putih, udang kering dan serai dan tumis.
  2. Kisar cili kering dan campurkan dengan bahan-bahan di atas dan tumis.
  3. Masukkan daging ke dalam bahan tumis sehingga separuh masak.
  4. Keledek dibersihkan, dipotong dadu, direbus dan dilenyekkan.
  5. Masukkan air tulang ke dalam bahan tumis.
  6. Lengkuas dibelah dan dititik kemudian masukkan ke dalam kuah.
  7. Masukkan udang dan keledek lenyek serta kacau hingga sebati.
  8. Masukkan asam keping.
  9. Setelah mendidih masukkan garam dan gula secukup rasa.
  10. Akhir sekali masukkan tomato dan sawi.


p/s: Maaf resepi yang kucar-kacir. Saya banyak agak-agak ketika memasak.

Monday 16 March 2009

Tudung, terpeliharakah kita?


Tudung dan Topi Keledar

Bertudung atau dengan erti kata yang lebih tepat menutup aurat mestilah atas dasar tauhid, iman dan kerana Allah. Jika kerana lain maka itulah yang akan menjerumuskan wanita yang bertudung ke arah kemungkaran.

Jadi mari kita semak
balik niat kita bertudung. Kerana agamakah? Kerana adatkah? Kerana suasanakah? Kerana peraturankah?

Suka untuk saya m
emberi analogi antara tudung dan topi keledar. Topi keledar ada kaitannya dengan keselamatan nyawa dan tudung ada kaitannya dengan keselamatan agama. Kedua-duanya adalah soal dharuriyat.

Bertudung untuk menutup aurat. Kalau kita melihat fenomena bertudung di negara kita, bertudung tetapi tidak cukup syarat, berseluar dan baju ketat, bercouple dan bermacam ragam lagi. Jadi adakah di sini tuntutan menutup aurat telah disempurnakan dengan hanya bertudung?

Ramai pemandu memakai topi keledar. Te
tapi memakai topi keledar yang tidak menepati piawaian seperti kualiti rendah, tidak memasang kancing dan memakai topi keledar jenis separuh maka risiko kemalangan tetap tinggi.

Begitu juga dengan tudung. Bertudung tetapi jarang dan pendek ditambah berseluar dan berbaju ketat adakah mencukupkan syarat kita menutup aurat? Jadi muhasabah dan tanya diri kita sudah sempurnakah kita menutup aurat. Panduan dan tujuan menutup aurat boleh rujuk link ini.


Tudung dan Maruah
Menjaga agama, maruah dan akhlak tidak cukup dengan hanya menutup aurat dan bertudung sahaja. Apa erti bertudung sekiranya masih terlalu bebas, masih melanggar syariat dan masih istiqamah dengan dosa?


Kita kembali kepada contoh topi keledar
tadi. Memakai topi keledar tetapi tidak mengambil berat faktor lain seperti melanggar had laju, memandu sambil mabuk dan memakai topi keledar dengan tidak sempurna. Masih terjaminkah keselamatan dan nyawa kita?Jadi begitu juga dengan pemakaian tudung tetapi mengabaikan faktor lain maka keselamatan agama tetap tidak terjamin.

Tudung (menutup aurat) mampu menjadi hijab yang memelihara agama, maruah dan akhlak. Tetapi bagaimana? Setelah sempurna tuntutan bertudung, peliharalah hati dan diri kita. Jagalah pandangan, pergaulan dan kata-kata kita. Sentiasalah muhasabah dan membaiki diri. Selain itu masa dan tempat wanita itu berada juga perlu dijaga. Janganlah keluar bersendirian di tempat-tempat bahaya dan mengaibkan serta elakkan keluar hingga lewat malam.




Hati
Hati juga perlu dijaga seperti menjaga aurat jasad kita. Jika murni dan bersih hati kita maka selamatlah amalan kita kerana hati yang mengawal diri kita.

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim).



Hati dihijab dengan rasa malu
.

Daripada Abu Mas'ud, 'Uqbah bin 'Amru al-Ansoori al-Badriy r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam nubuwah yang pertama ialah: Apabila kamu tidak malu maka buatlah apa kamu suka." (Riwayat Muslim)

Malu adalah sifat orang mukmin kerana ia adalah sebahagian dari iman. Natijah malu hanyalah kebaikan malah ia adalah perisai kepada banyak perkara jahat. Malu yang dimaksudkan ialah malu kerana Allah. Malu melakukan kebaikan bukanlah malu yang sejati malah malu yang dicela.

Tudung menutup diri dan malu menutup hati. Maka jika hati masih liar walaupun bertudung kita tetap gagal menjaga agama, akhlak dan maruah. Maka bertudung mampu menjadi perisai diri sekiranya soal hati, keimanan dan keyakinan kita turut dipelihara.



Fesyen

Salahkah bertudung dan menutup aurat kerana kecantikan? Islam itu indah. Tidak salah tetapi jangan lari dari tujuan utama kita bertudung dan menutup aurat. Menutup aurat kerana Allah, dibuat atas dasar iman dan mengikut tuntutan agama. Jadi biarlah kelabuhan dan fesyen mengikut piawaian yang telah ditetapkan agama (tidak jarang, menutup yanng perlu dan tidak tabaruj).

"Katakanlah kepada para wanita yang beriman agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka..." (An-Nur: 31)


Kesimpulan

Islam itu selamat dan menyelamatkan. Tuntutan memelihara diri tidak lain antaranya demi keselamatan dan maruah umatnya. Tanpa peraturan (hukum) kita mungkin akan terjerumus dengan gejala tidak sihat seperti yang telah dibuktikan masyarakat barat. Maka tuntutan ini bukanlan batu penghalang bagi diri kita tetapi kawalan supaya kita tidak terbabas.

Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka, yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)


Thursday 12 March 2009

.::Langkah itu::.


Memulakan langkah memang perit

Bertatih...jatuh...dan bangun semula...

Kadang-kadang tanpa tangan menghulur bantuan...

Terasa diri kembara sendirian...

Mimpikan syurga idaman...

Sedangkan diri tak tahan ujian...

Kerdilnya diri bila menghitung keringat yang gugur...

Titisan air mata kecewa...

Rupanya masih sedikit cinta dan kasih ini dipadu...

Mekar dalam jambangan setia pada perjuangan Islam...



Sudah tak ingat sumber sajak dan tajuk yang tepat tetapi yang pasti inilah sajak kegemaran saya.



Sunnah Berjuang - Nada Murni

Sunday 8 March 2009

Sedar dan Marah


Anak kecil takut akan kemarahan ibu bapanya membuatkan dia takut untuk melakukan sesuatu yang mencambahkan kemarahan ibu bapanya tetapi apabila meningkat dewasa dengan akal yang berkembang dan nafsu yang bersarang di hadapan dialah anak yang terbaik dibelakang sebaliknya yang berlaku.


"Aku minta maaf sebab aku bercouple", "Saya beli Nescafe, tahu awak akan marah kalau saya beritahu" "Kita batalkan aktiviti ni sebab mesti dia tak setuju, maklumlah alim"

Kesedihan saya kerana mereka sanggup melanggar hukum Allah bertambah apabila yang apa dirisaukan adalah kemarahan manusia bukan kemurkaan Allah. Minta maaflah dengan Allah. Ada apa dengan marah manusia.

Inilah perbezaan antara kesan
SEDAR dan kesan MARAH. Andai marah seseorang menyebabkan kita berubah maka hilang seseorang itu hilanglah perubahan kita. Berbanding kesedaran yang seseorang itu beri akan bertahan walaupun dia telah pergi jauh.


Di Timur Tengah, pelajar-pelajar akhawat tidak digalakkan untuk keluar malam kecuali atas urusan-urusan tertentu. Para ikhwah pantang melihat mana-mana akhawat yang keluar tanpa musyrif. Maka di sini timbul bermusyrif kerana bimbang diMARAHi atau atas dasar SEDAR kenapa perlu peraturan sebegini di wujudkan.


Itulah hikmah kita dituntut berdakwah secara berhikmah. Andai kita terus dengan sikap marah-marah tanpa cuba memberi kesedaran serta kefahaman maka kesan marah jualah yang akan terhasil. Memang sukar tetapi itulah jalan dakwah. Jalan yang tidak indah. Tetapi yakinlah kepahitan boleh diiringi dengan kemanisan.


Teringat sebuah perbincangan dengan seorang sahabat saya. Permulaan jalan dakwah biasanya kita cuba berlemah-lembut dengan mad'u kita. Ibarat pesakit di hospital yang disediakan sebuah tilam empuk dan dilayan oleh para jururawat yang baik hati. Namun bagi saya, tidak selamanya saya akan melayan baik seseorang mad'u. Jangan
MANJA tak abis!

p/s: Namun hidayah tetap milik Allah. Kita sebagai hambaNya hanya mampu berusaha. Dialah jua yang akan menentukan natijahnya. Secara jujur inilah antara cabaran besar dalam hidup saya. Hanyalah Allah yang mampu memberi kekuatan.

Wednesday 4 March 2009

Lupakah kita?

Masih ingatkah kita kepada Palestin? Saya bertanya kepada diri sendiri hari ini.

Ketika isu Gaza hangat diperkatakan hampir segenap ruang terbakar. Membuak-buak amarah kita melihat saudara seIslam kita ditindas. Kita menangis melihat gambar yang disiarkan malah hilang selera ketika melihat video mangsa kekejama
n kafir laknatullah.

Namun kini, masih ingatkah kita? Masih kuatkah kita untuk meneruskan pendirian kita untuk memboikot. Mengharapkan untuk turun sendiri ke Palestin jauh sekali. Tetapi kesal sekali, isu ini seolah ditelan zaman. Dulu tangan dan nafsu yang dihalang membeli barangan boikot kini kita sendiri yang membeli. Di manakah pendirian kita?

Dahulunya saya cuba mengelak untuk
mengambil kaffein tetapi kini demi mengelakkan cepat letih saya terpaksa mengamalkan pengambilan kaffein setiap pagi. Bila menyebut kaffein maka kita tidak terlepas membayangkan NESCAFE. Di Mesir terdapat produk alternatif lain seperti BONJORNO. Kedua-duanya adalah kaffein tetapi mengapakah kita tetap memilih NESCAFE. Ada apa dengan selera kita berbanding nyawa dan maruah saudara seIslam kita? Kesan tetap sama tetapi kenapa kita masih beralasan.



Kita marah sekiranya saudara kita enggan memberi bantuan kepada ahli keluarga kita ketika memerlukan. Apakah kesengsaraan saudara seIslam kita tak mampu menusuk hati kita? Mereka saudara seIslam kita. Diikat dengan pertalian AGAMA. Jika kita tidak sanggup melihat ahli keluarga kita diinjak2 begitu juga sepatutnya sikap kita tidak tegar melihat SAUDARA kita diinjak.

Saya mengingatkan diri ini dan juga sahabat-sahabat di luar sana. Saya menyeru paling MINIMUM pengorbanan kita terhadap saudara seIslam kita adalah dengan memBOIKOT barang-barang Israel. Maka marilah sama2 muhasabah dan mengingatkan diri kita.


p/s: Dalam hadis dari Tsauban r.a. maula Rasulullah s.a.w. ketika beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hampir terjadi keadaan yang mana umat2 lain akan mengerumuni kalian bagai orang-orang yang makan mengerumuni makanannya. “Salah seorang sahabat berkata; “Apakah kerana sedikitnya kami ketika itu?” Nabi bersabda: Bahkan, pada saat itu kalian banyak jumlahnya, tetapi kalian bagai ghutsa’ (buih kotor yang dihanyutkan air ketika banjir). Pasti Allah akan cabut rasa segan yang ada di dalam dada-dada musuh kalian, kemudian Allah campakkan kepada kalian rasa wahn. “Kata para sahabat: “Wahai Rasulullah, apa Wahn itu? Beliau bersabda: “Cinta dunia dan takut mati. “

Itulah yang berlaku pada kita semua sekarangkan? Tanyalah iman kita.