Friday 25 December 2009

Untuk Encik Syamil

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sanah Helwa

Esok merupakan hari lahir satu-satunya adik lelaki saya (tapi waktu Malaysia sudah). Semoga tahun yang berlalu menjadi medan muhasabah diri. Semoga peningkatan umur seiring dengan peningkatan amal dan kematangan. Jangan perasan handsome tak sudah.





Jarak antara kami adik-beradik tidaklah begitu jauh jadi ada masa kami kelihatan seperti satu geng. Tambahan bilangan perempuan melebihi lelaki. Bilangan yang ramai juga kadang membuatkan saya tidak sempat memberi ucapan hari lahir kepada setiap adik-adik saya (tapi tidak bermakna akak lupa).

Wednesday 23 December 2009

Segalanya Milik-Mu

Segalanya Milik-Mu - Mestica

Kau yang menciptakan cinta
Dan kau jua yangg menghampar bahagia
Di ribaan-Mu terhimpun harapan
Impian tulus setiap insan

Kau yang mengutuskan duka
Dan engkaulah yang mengirimkn hampa
Namun pada-Mu jua diadukan
Merebahkan keresahan dan tangisan

Aku tahu inilah kasih-Mu
Aku tahu inilah cinta-Mu
Dan ku tahu tiap yang terbaik untukku
Tak semuanya yang ku mahu

Di celah hangat nafas yang terhela
Ada dingin saat menyebut nama-Mu
Terarah segala ronda rasa
Pada damainya dakapan-Mu (ya ALLAH)

Aku tahu inilah kasih-Mu
Aku tahu inilah cinta-Mu
Dan ku tahu disegenap ruang rasaku
Telah kau titipkan kekuatan oh Tuhan
 
 

Sunday 20 December 2009

IMTIYAZ

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hari ini setelah selesai membuat nota pathology, saya duduk melihat gambar sambil menunggu ahli-ahli beit yang lain pulang. Tiba-tiba terasa mahu menulis sesuatu (saya jarang menulis mengenai kehidupan peribadi rasanya).

Rindu dan lucu.

Itulah yang boleh saya gambarkan apabila melihat gambar kami ketika dari tahun 1 sehinggalah sekarang. Di saat kami berenam yang begitu naif (pergi sikkah pun minta izin daripada kak Irham) dan patuh (sekali-sekala nakal tak guna musyrif) namun tetap bahagia. Kini berempat sahaja.





Duduk berenam tanpa mengenali satu sama lain sejak dari mula tiba di Mesir agak mencabar. Memulakan hidup di negara orang dengan sahabat-sahabat yang baru (lucu apabila teringat reaksi syakila ketika mula-mula bertemu). Daripada rumah yang teramat ringkas dan serba kekurangan kini rumah  kami agak lengkap dengan kemudahan yang ada.

Dulu kami kemana-mana pasti bersama. Pernah sekali saya dan syakila membatalkan hasrat ke Sinai kerana ahli-ahli Imtiyaz lain tidak dapat pergi bersama-sama. Apa jua aktiviti rumah atau persatuan tetap diusahakan untuk bersama. Tak tahulah, rasa seperti kekurangan sesuatu sekiranya tidak bersama.





Namun kini kesibukan menghabat disamping jadual dan komitmen yang berbeza membuatkan kami dengan kehidupan masing-masing tetapi tidaklah menjadi alasan untuk merenggangkan hubungan. Makan di dalam dulang, solat jemaah dan ke wikalah bersama-sama menjadi medium untuk merapatkan ukhwah. Apabila timbul isu berbangkit pasti kami akan berkongsi dan berbincang bersama. Setiap ilmu dan maklumat perlu dikongsi demi manfaat bersama.

Lidah tergigit inikan perhubungan manusia. Setiap insan dengan karakter tersendiri tentu menjadi cabaran untuk mengenali dan memahami. Tidaklah selalu bahagia tetapi rintangan itulah yang merapatkan lagi hubungan antara kami. Sikap terbuka dan berlapang dada menjadi teras dalam setiap perbincangan dan permasalahan.







Kekalkanlah ukhwah ini sehingga ke syurga-Mu. Semoga kami tergolongan di kalangan orang-orang yang berjuang di jalan-Mu.



p/s: Setiap yang saya dapat, saya ingin kalian mendapatnya juga. Setiap kesalahan yang saya lakukan, saya berharap kalian tidak melakukan silap yang sama.

Friday 18 December 2009

Sabar

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah masih diberi nyawa untuk terus bernafas dan yang penting masih diberi nikmat iman dan Islam. Bangun pagi mengingatkan saya kerja yang agak tertangguh. Alang-alang menyelasaikan tugas, saya terjumpa sedikit bahan dan idea untuk dikongsi.

Ada peristiwa sebelum awal muharam ini yang menyebabkan saya mempunyai 2 atau 3 kesimpulan atau azam baru iaitu antaranya kurangkan hujah lebihkan amal, kurangkan angan lebihkan doa dan sabar. Artikel yang lepas saya bercakap mengenai hujah dan amal, maka kali ini mengenai SABAR.


Akhlak
Akhlak mulia adalah matlamat asasi dalam Islam malah menjadi suatu identiti yang wajib kepada muslim sejati.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (hadis sahih yang diriwayatkan oleh Malik, Hakim, At-Tabarani dan Bukhari)

Rasulullah SAW adalah seorang yang memiliki akhlak yang sungguh agung. Terdapat banyak sirah yang membuktikan keperibadian baginda mampu menarik hati orang kuffar untuk memeluk Islam. Indahnya Islam dihiasi akhlak yang murni.


Sabar
Bila berkata tentang sabar, saya akui bukan mudah untuk ketika sentiasa bersabar. Mulut mudah berkata tetapi hati siapa tahu. Bersabar dalam kehidupan memerlukan mujahadah yang agak tinggi. Umi selalu pesan, kakak perlu banyak belajar untuk bersabar.

"Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang sedemikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Asy-Syura: 43)

Hakikatnya inilah sifat yang penting untuk kita miliki terutama kita sebagai daie dan hamba Allah. Berjuang untuk menegakkan Islam bukanlah perjuangan yang dihampar karpet merah mahupun hijau. Berjuang itu pahit kerana syurga itu manis. Maka berjuang itu adalah lorong yang penuh duri, derita, siksa, penghinaan dan tuduhan.

Wahai sekalian orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang bersabar (Al-Baqarah: 153)

Untuk menghadapi hidup yang penuh liku sebagai daie kita memerlukan sifat sabar yang cukup kebal. Sabar itu perlu dalam proses menyampaikan dakwah kepada setiap golongan dan lapisan manusia yang pelbagai. Tanpa kesabaran tidak hairan jika kita akan futur akhirnya. Nauzubillah.

Sabda Rasulullah SAW: "Apabila makhluk dihimpunkan (pada hari kiamat) seorang tukang seru menyerukan: Dimanakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan?" Rasulullah SAW pun bersabda lagi: "Maka bangunlah sekumpulan manusia dan bilangan mereka amat sedikit. Mereka pun segera berarak menuju syurga, para malaikat pantas menemui mereka dan berkata: Apakah keistimewaan kamu? Mereka menjawab: Di masa yang lampau, apabila kami dizalim, kami bersabar, apabila diperlakukan sesuatu kejahatan kepada kami, kami bersifat lemah lembut. Lantas dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam syurga maka nikmatilah ganjaran bagi mereka yang beramal."


Marah
Apabila bercakap mengenai sabar, saya sendiri terbayangkan perasaan marah.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: "Berilah wasiat kepadaku." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Jangan marah." Lelaki tersebut mengulang pertanyaannya berkali-kali, sabda Rasulullah SAW: "Jangan marah"


Perasaan marah adalah penghimpun kejahatan dan bebas daripada perasaan marah adalah penghimpun kebaikan. Malah apabila ditanya kepada Rasulullah apakah amalan yang paling afdhal, sabda baginda berakhlah baik iaitu janganlah marah sekiranya kamu mampu.

Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu. (An-Nur: 22)



Ikhlas 
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan  beribadah kepadaKu (Adz-Dzariyat: 56)

Jadi jelaslah tujuan dan matlamat hakiki kehidupan kita adalah untuk beribadah kepada Allah. Setiap apa yang kita lakukan mestilah diniatkan semata-mata kerana Allah atau dengan kata lain ikhlas.

Orang yang ikhlas akan sentiasa bersabar dan menahan amarahnya kerana dia sedar bahawa hanya keredhaan Allah yang ingin dicapai bukan kepuasan diri sendiri muhupun orang lain. Dalam menuju keredhaan Allah taala pasti dugaan akan menemani.

“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)


Selamat bermujahadah dan berusaha untuk mencapai keikhlasan berjuang di jalanNya dengan sifat sabar dan menghindarkan nafsu amarah.



p/s: ada masalah dalam penulisan.

Wednesday 16 December 2009

Tok~Tok~ Tin Kosong

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

ADHA'09 berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit ujian kepada kami pihak pengurusan. Tidak mengapa, semua ini tarbiyah dan didikan kehidupan. Bagi saya medan bekerja dan berpersatuan adalah medan saya mengenali diri saya dan diri rakan-rakan. Terima kasih kepada mereka yang menjayakan program ini secara langsung atau tidak langsung.






Mesyuarat Agung Tahunan juga berlalu dengan kelainan yang menarik tahun ini. Seperti kata sahabat saya, jelas kelihatan kematangan ahli-ahli PCM dalam MAT kali ini. Semoga usul-usul yang dibahaskan dan diterima oleh semua tanpa bantahan dapat direalisasikan dengan jayanya. Sikap berlapang dada dan berfikiran terbuka secara berprinsip penting demi kesatuan.

Alhamdulillah-alhamdulillah satu-persatu tanggungjawab selesai namun satu-persatu tanggungjawab menanti. Al-wajibat akthar min al-awqat. Tanggungjawab itu lebih banyak daripada masa yang ada. Tapi untuk diuji dengan masa yang lapang itu lebih membimbangkan saya.

Terbaru dengan taklifan mentor dan mentor figure bagi sesi 2009/10 maka saya terpaksa meninggalkan adik-adik J2 dan J3. Harap-harap ukhwah yang baru terbina tidak terhenti begitu sahaja. Ketika perjumpaan mentor, kami diminta mengisi borang. Antara soalan yang menarik adalah apakah harapan anda kepada diri sendiri, mentor figure dan mentor (kalau saya tak silap).

Jawapan saya agak pendek iaitu "saya berharap diri saya tidak menjadi seperti tin kosong". Saya sedar bahawa bakat saya dalam bidang penulisan lebih tumpul berbanding berhujah atau bercakap. Dalam keadaan kaki terketar-ketar namun tidak pada suara saya, seiring dengan semangat mungkin.





Apakah maksud tin kosong itu?

Andai kita mengetuk tin kosong pasti bergema bunyi tin tersebut tetapi berisikah tin tersebut?

Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan. (As-Saff: 2-3)

Itulah kebimbangan saya. Kita akan diuji dengan setiap kata-kata kita. Allah tidak suka akan hambaNya yang cakap lebih tetapi kurang amal. Menulis dan berhujah mungkin mudah tetapi untuk turun padang merealisasikan kata-kata ramai yang kecundang. Nauzubillah.

Saya telah mencadangkan supaya penyelarasan istilah mahasiswa-mahasiswi mengantikan istilah pelajar-pelajar dilaksanakan supaya kita semua sedar bahawa kita bukan lagi pelajar sekolah yang diatur-atur hidupnya. Bukan golongan yang takutkan cabaran dan isu-isu berat. Suara mahasiswa itu suara keramat seperti yang sering dilaungkan. Namun, diharapkan suara keramat itu bukan semangat semata-mata.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya....  (Al-Baqarah: 286)

Bersesuaian dengan firman Allah di atas bahawa Dia menguji hambaNya mengikut kemampuan dan kesesuaian hambaNya. Sesungguhnya kekuatan itu hanya dari Allah. Dengan Allahlah kita meminta agar kita diberi kekuatan untuk mencapai tujuan dan matlamat hidup kita.

Mungkin boleh jadikan salah satu azam baru, kurangkan hujah lebihkan amal. Malang kalau hujah yang cantik dan kemas itu tidak diusahakan untuk diterjemahkan di dunia realiti. Sungguh merugikan kerana kefahaman yang ada jangan disia-siakan. Maka, selamat beramal.