Saturday 26 June 2010

Always Be There

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah selesai kertas satu kini sedang bertungkus-lumus untuk kertas 2. Daripada 4 hari waktu persediaan, saya kerugian sehari kerana kesihatan dan stamina badan yang sedikit menurun. Tekanan kian terasa.

Kerap kali ketika tertekan saya mengambil jalan berdiamkan diri dan mengurungkan diri di dalam bilik. (kasihan ahli beit saya). Kadang-kala otak ligat berfikir dengan siapa ingin diluahkan perasaan. Kebiasaannya di saat beginilah semua sahabat baik saya sibuk, mahu menghantar sms kepada umi tetapi kehabisan kredit dan mahu belajar di tempat lain, tidak biasa. Macam-macam.

Ada masa saya mengeluh, mengapa ketika saya memerlukan seseorang, saya merasakan tiada siapa di sisi saya. Inilah kekhilafan diri saya. Saya juga sering terlupa bahawa setiap masalah dan tekanan, Allah-lah tempat mengadu yang pertama bukan manusia. Kadang-kala mengadu kepada manusia, kita kembali tertekan. Dipersalahkan balik atas tekanan yang dihadapi, dianggap remeh dan sebagainya.

Kembali kepada Allah, itu jalan yang terbaik. Siapa yang memberi ketenangan jikalau bukan Dia. Dia jugalah yang memberi jalan keluar kepada setiap kebuntuan. Jadi mengapa mudah mencari manusia tetapi bukan Dia? (Kenapa mudah meluahkan perasaan di facebook tetapi bukan Dia?) Tidak salah mengadu kepada manusia tetapi kenapa bukan Allah yang pertama?

"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepadaKu, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hini dina." (40:60)

Saya bermuhasabah daripada ayat di atas, berdoalah kepada Allah, dia akan memperkenankan doa hambanya. Jika tertekan ambillah wudhuk, solat sunat, berdoa dan membaca al-Quran. Insya Allah tekanan akan berkurangan. Malah cara ini turut berkesan jika rindukan rumah.

Kadang-kala adik-adik mengadu di kala peperiksaan inilah pelbagai gangguan tiba termasuk gangguan emosi. Saya teringat kata-kata umi bahawa syaitan tidak suka orang yang fokus maka dia akan mengganggu usaha dan fokus kita. Jadi, jangan mudah terpedaya dan terlalu ikutkan tekanan.

Akhir kalam sebelum sambung membaca buku, saya hadiahkan perkongsian sebuah video indah ini kepada yang sudi membaca blog ini. Always Be There oleh Maher Zain. (Selalu sayu mendengar lagu ini).





p/s: Sungguh indah dan tenang video ini. Kepada mereka yang cukup terseksa dengan peperiksaan kali ini, semoga berkurang sedikit tekanan.

Friday 18 June 2010

Puding Jagung

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Semalam ada perjumpa orang-orang lama. Sudah lama rasanya kami tidak berkumpul dalam bilangan yang lengkap. Ketika dijemput, saya diberitahu syarat kehadiran adalah membawa kuih maka saya bercadang membuat puding jagung.

Oleh kerana ada permintaan supaya saya memasukkan resepi ini dalam blog maka saya masukkan pagi ini. Saya mengubah suai sukatan kepada yang lebih mudah kerana tidak semua orang mempunyai penimbang di rumah.


Gambar hiasan


Sumber asal: Mesra.net 

Puding Jagung

Bahan-bahan
  1. 1 liter susu segar
  2. 1 cawan  gula
  3. 130 gm tepung kastard (kalau jenama Dreem, sama dengan 1 peket)
  4. 1 1/2 tin tepung jagung (kalau suka, 2 tin pun tak mengapa)


Cara-cara
  1. 3/4 daripada susu segar dididihkan bersama gula di dalam periuk dan ketepikan.
  2. Bancuh tepung kastard dengan baki susu tadi.
  3. Campurkan semua bahan.
  4. Masak dengan api yang sederhana selama 20 minit.
  5. Adunan ini perlu digaul sepanjang masa untuk mengelakkan berketul.
  6. Setelah masak, tuangkan ke dalam bekas dan sejukkan.

Sebenarnya banyak cara memasak puding jagung. Insya Allah selepas peperiksaan saya ingin mencuba memasak puding jagung campur agar-agar.


p/s: Kuih yang mudah tetapi perlu rajin sedikit kerana tidak boleh ditinggal masak sendiri. Terima kasih kepada penganjur kerana sudi jemput dan masak. Selepas ini, masak dan jemputlah lagi.

Wednesday 16 June 2010

Umi Kemalangan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kira-kira dalam pukul 6 pagi lebih saya berusaha menghabiskan sisa tajuk Lymphoid Tissue and Leukemia. Menjadi kebiasaan apabila satu-satu tajuk berbaki 2 hingga 3 muka surat pasti menjadi cabaran kepada saya untuk menghabiskan tajuk berkenaan.

Tiba-tiba adik di Jordan memberitahu bahawa umi kami kemalangan kereta di Malaysia. Adus, kredit telefon dan internet kedua-duanya habis. Saya mati kutu memikirkan cara bagaimana hendak menghubungi umi. Walaupun dikhabarkan keadaan tidak begitu serius, bimbang tetap bertandang di hati.

Alhamdulillah akhirnya sahabat saya Maryam menghulurkan bantuan untuk menopup kredit low rate voip. Akhirnya saya berjaya menghubungi keluarga walaupun agak lewat. Pada mulanya hanya bertanya keadaan daripada cik Nab kerana tidak mahu mengganggu umi berehat tetapi mungkin umi terdengar saya menelefon, beliau mahu juga bercakap.


umi dan maryam


Sayu apabila mendengar suara perlahan umi. Saya tahu beliau agak sukar bercakap kerana jahitan di mulutnya malah butir bicara kata-kata umi juga saya kurang fahami. Saya berusaha memahami tanpa memaksa. Sekadar memberi respon yang termampu.

Entah kenapa saya terbayangkan keadaan umi ketika sakit menanggung tidak selesa kesan pembedahan selepas melahirkan Hana. Ketika itu barulah saya merasai betapa deritanya ditanggung insan bergelar ibu. Tetapi, inilah manusia yang mudah lupa. Kadang-kala tanpa sedar ada tindakan kita yang menggores perasaan ibu kita.

Dikatakan punca kemalangan adalah kerana umi mengantuk ketika memandu. Sebenarnya saya juga bimbang kerana sejak 2 tahun lepas saya juga mengalami masalah yang sama. Mata ini teramat mudah tertutup ketika memandu. Malah kadang-kala deruman enjin seolah-olah irama yang mendodoi saya untuk tidur.

Apa-apa pun pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian yang berlaku. Saya perlu lebih gigih berusaha untuk peperiksaan akan datang dan pulang lebih awal. Semoga umi cepat sembuh tanpa sebarang komplikasi. Harap rakan-rakan dapat membantu mendoakan kesihatan umi saya.

Sunday 13 June 2010

Terkilan

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Oh saya mencuba sekali lagi untuk menulis kerana tiba-tiba kemalasan untuk mengulang-kaji melanda sementara. Tambahan ramai yang sudah menegur kerana saya tidak menulisa apa-apa.

Dua tiga bulan lepas, kawan baik saya ketika menuntut di sekolah menengah menegur saya kerana sudah lama kami tidak berhubung. Sungguh, saya sedar saya teramat-amat kurang menghubung kawan-kawan di sekolah dahulu. Atas apa jua alasan saya, saya minta maaf.

Ketika berborak beliau meminta saya mengaktifkan semula akaun facebook saya. Setelah berfikir (tambahan ada faktor lain), saya kembali mengaktifkan semula akaun yang telah ditutup.. Katanya mudah bagi saya untuk mengesan kawan-kawan lama. Hmm, friendster yang sedia bersawang ditambah dengan facebook kadang-kala membuatkan saya mahu menumpukan pada blog sahaja.




Hari demi hari bersiar-siar dalam facebook banyak perkara tidak diingini  yang saya terjumpa. Orang-orang yang telah lama saya tidak berjumpa (terutama kawan-kawan sekolah), akhirnya saya terjumpa dalam keadaan yang kurang menyenangkan hati saya. Saya kembali mengimbau diri-diri mereka yang dahulu.

Mereka yang dahulu adalah ahli Badar
Mereka yang dahulu adalah ketua pelajar
Mereka yang duhulu menegah budaya couple
Meraka yang dahulu dipenuhi karisma kepimpinan
Mereka yang dahulu itu dan ini

Bukanlah saya sekadar mahu mengungkit tetapi saya terkilan. Jika dahulu kita terikat dengan peraturan sekolah (tambahan sekolah agama) antaranya mewajibkan pemakaian sarung kaki, melabuhkan tudung menutup dada, pergaulan terkawal, wajib solat berjemaah bagi pelajar asrama dan pelbagai lagi. Namun kini semua itu seolah-olah hilang ditelan zaman (saya tahu tidak semua begitu).

Jika melihat pemakaian mereka, saya hanya mampu menggelengkan kepala sendiri. Saya bukanlah yang terbaik tetapi saya terpanggil untuk menyatakan pendirian saya. Saya pernah menyebut bahawa saya tidak mengharapkan kawan-kawan saya memakai tudung labuh bulat atau wajib 60 inci tetapi cukup sekadar anda mematuhi syarat minimun walaupun memakai tudung labuh itu lebih baik. Begitu juga dengan aspek-aspek lain. 




Terlupakah kita bahawa peraturan sudah tidak wujud tetapi peraturan yakni syariat Allah itu ada. Adakah Tuhan di zaman persekolahan dan Tuhan di zaman kini adalah Tuhan yang berlainan? Andai kita merasa syariat Allah itu bebanan atau remeh-temeh maka soal kembali keimanan kita. Soal kembali keyakinan kita terhadap janji Allah. Jangan hanya ketika ditimpa musibah baru kita nampak Dia.

Sungguh rugi kita cuba ditarbiyah di sekolah dulu dengan nilai-nilai budaya Islam kini pelajar-pelajar sekolah agama sendiri kurang boleh diharap. Bagaimana bagi mereka yang sememangnya tidak faham tuntutan syariat? Siapa lagi yang akan menyampaikan kefahaman itu? Jika kita bekas-bekas pelajar sekolah agama tidak mampu istiqamah dengan tarbiyah yang ada, siapa lagi? Sesungguhnya kita memerlukan tenaga-tenaga pemuda Islam untuk berdakwah, tetapi di manakah kita sekarang? (Termasuk saya yang menulis)

Bukanlah saya maksudkan orang yang tidak bersekolah agama tidak layak membimbing masyarakat tetapi jika anda (yakni yang tidak bersekolah agama) yang ke hadapan dahulu maka sesungguhnya andalah yang lebih berharga seperti seorang sahabat saya ketika di KMPk. Beliau bukanlah anak didikan sekolah agama  tetapi kini berbanding saya, beliau lebih kehadapan membela Islam.

Kadang saya terfikir. Terlalu banyak perkara salah yang sudah menjadi seolah-olah betul membuatkan saya bimbang adakah apa yang saya sedang lakukakn adalah betul-betul benar. Neraka itu dikelilingi keseronokan dan syurga itu dikelilingi kesusahan. Saya bimbang kita terlalu biasa dengan kebiasaan yang salah tanpa sedar kita sedang menempah tiket neraka. Nauzubillah.

Saya berharap mereka terasa dengan penulisan ini. Bukanlah terasa yang membawa dendam tetapi terasa yang membawa perubahan. Saya tidak berniat untuk memutuskan ukhawah yang ada. Sangka baik saya, mungkin kita terlupa atau hanyut seketika. Selagi ada masa, tolonglah kembali sebelum kita lebih hanyut dan terlambat. Andai satu hari nanti, saya juga sedemikian tolonglah tempelak saya kerana tidak menunaikan kata-kata saya sendiri.

 
Wallahualam.

p/s: Sebenarnya inilah antara hasil sistem pendidikan negara kita yang celaru dan haru-biru. -__- (Susah sangat ke labuhkan sikit tudung menutup dada?)

Sunday 6 June 2010

Sanah Helwa Kepada Anda

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

(Entry kali ini khas buat adik-beradik saya.)

Menjeling-jeling kalendar di sisi meja sambil termenung melihat tarikh 6 Jun. Fikir dan terus berfikir... Ya Allah, terlupa Hari Lahir Hana. Adik bongsu yang dikhabarkan kerap kali menolak panggilan abangnya daripada Jordan dengan alasan tengah basuh pinggan (kata Nab, kaki Hana yang pendek membuat dapur menjadi sungai).

Latop tua saya yang cukup berjasa ini pula mengalami masalah sistem bunyi maka hanya sms sahaja tanpa panggilan telefon ke rumah. Harap-harap umi tidak merajuk kerana jarang menelefon rumah.

Ok, kerana bilangan kita adik-beradik agak ramai, akak pukalkan sekali semua dalam satu entry. Selamat Hari Lahir adik-beradikku bagi yang sudah lepas atau akan datang. Yang penting doanya bukan hadiahnya kan (^_^)?



Abang

(comelnya abang saya)

Muhammad As Suhami bin Shuhardi
17 April 1987



Ipah@Ngaripah

(Waktu ini dialah pemanah paling 'cemerlang')

Nur Afifah bte Shuhardi
12 Jun 1989



Acik


Ahmad Muhammad Syamil bin Shuhardi
26 Disember 1990



Cik Nab@Ummu


Ummu Nabila bte Shuhardi
16 Julai 1992



Ikah


Syafiqah Aina bte Shuhardi
11 Oktober 1993



Ab


Khairul Abqariiyah bte Shuhardi
28 Oktober 1995




Hanim@Adik


Khadijah Hanim bte Shuhardi
28 November 1997



Hana

(Sebelum memandu baca doa)

Fatin Hana Solehah bte Shuhardi
2 Jun 2004


Hebat tak, akak tahu semua tarikh hari lahir korang? Semoga membesar di bawah rahmat dan perlindungan Allah. Adilah the great (bak kata abang) akan balik tidak lama lagi. Nantikan kepulangan yang bermakna ini (huhu).


p/s: Hampir 5 draft namun satu pun tidak selesai untuk disiarkan. Oh rindunya mahu update blog.