Wednesday, 3 August 2011

Politik-Politik


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Sekian lama saya tidak meng’update’ blog sehingga bertikus kata adik saya. Selepas peperiksaan saya terpaksa segera pulang ke Malaysia secara mengejut kerana urusan penting. Hari ini baru berkesempatan menulis sesuatu.

Sejak isu BERSIH 2.0 banyak perkara yang terlintas di fikiran saya. Terpulang kepada sesiapa yang menyokong mahupun menolak. Tetapi biarlah penilaian anda itu berdasarkan pertimbangan yangn sewajarnya bukan emosi semata-mata. Malang sekali terdapat ramai anak muda gagal mengambil berat isu semasa di Malaysia (bukan isu BERSIH 2.0 semata-mata tetapi juga isu-isu lain).


Apa yang Berlaku?

Golongan anak muda terutama mahasiswa sering dilabel telah dipengaruhi pihak-pihak tertentu apabila mereka mula cakna terhadap keadaan sekililing mereka. Kata mereka ini semua politik. Politik itu kotor. Politik bukan tahap kamu. Politik itu, politik ini. Itulah dakwa-dakwi mereka.

Malang apabila mereka yang dikatakan mahasiswa terutamanya gagal memahami apakah itu politik sebenarnya. Tolonglah, saya minta kepada anda supaya bezakan antara politik kepartian dan politik kemasyarakatan. Anda yang bergelar mahasiswa sepatutnya lebih berani untuk cakna isu sekeliling bukan terus berada di takuk lama dengan pemikiran pelajar sekolah.

Politik kepartian adalah politik dalaman yang terikat dalam ruang lingkup parti khususnya tetapi apa yang saya maksudkan dengan politik kemasyarakatan adalah isu semasa yang melibatkan pembangunan dan kestabilan negara. Politik kepartian dan politik kemasyarakatan adalah dua aspek yang berbeza sekiranya dipandang daripada aspek positif atas nilai sebuah tanggungjawab

Sekiranya anda berprinsip belum tiba masa untuk anda melibatkan diri dalam politik kepartian, silakan. Tetapi, jangan anda sangka anda terlepas daripada tanggungjawab mengambil berat politik kemasyarakatan.

Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka dia bukanlah dari golongan mereka (orang-orang Islam)"

Suatu hadis yang mudah untuk difahami. Islam tidak menyaran pengganutnya mengamalkan sikap pentingkan diri. Hidup hanya menyelamatkan periuk nasi sendiri tanpa menghiraukan keperluan insan lain. Dalam Islam diri kita mempunyai pelbagai hak yang perlu ditunaikan tetapi berapa ramai yang sedar dan ingat?

Saya tidak meminta anda untuk menjadi seorang pakar untuk mengulas setiap isu. Cukuplah anda mengambil tahu, memahami dan menilai dengan adil seterusnya bertindak mengikut kapasiti dan peranan masing-masing. Jangan terus berada di takuk pemikiran kanak-kanak.


Hiburan Melampau

Saya merasakan hedonisme yang cukup hebat melanda anak muda menyebabkan kita gagal melahirkan mahasiswa yang membawa agenda pembangunan masyarakat. Saya tidak menolak hiburan. Saya sukakan hiburan. Namun, hiburan kini cukup melampau sehingga menutup mata hati muda-mudi kini.

Manusia mudah membuang sesuatu yang dianggap ‘menyakitkan’ dan menerima sesuatu yang dianggap ‘menyeronokkan’. Sikap cakna dengan isu semasa dianggap berat dan menyakitkan (kepala barangkali) manakala hiburan itu suatu perkara yang menyeronokan sehingga terlalu sebati dalam diri.

Saya menyeru kepada diri saya dan kawan-kawan, campaklah sifat manja yang tidak mahu menyusahkan fikiran dengan perkara-perkara yang kononnya bukan tahap atau berat untuk difikirkan. Musuh-musuh kita terus seronok melihat kelekaan kita saban hari. Saya bukan meminta anda memihak kepada mana-mana parti politik tetapi nilailah atas nilai sebuah kebenaran dan tanggungjawab.


Kesimpulan

Cukuplah kita digula-gulakan. Pandangan kita kerap dialih daripada isu sebenar yang berlaku. Pemikiran kita kerap kali cuba dikawal dan dipengaruhi. Suara kita terus disekat. Saya impikan kebebasan mahasiswa bersuara dan diberi peluang untuk belajar bertindak dengan lebih matang. Jika bukan kita siapa lagi yang akan bangun menuntut hak?!

 

1 comment:

Syuhada said...

sokong. orang selalu cakap kat mahasiswa,

takpayah masuk campur pasal politik. kamu belajar saja!

takpayah ambil tahu pasal politik. belum masanya lagi

dalam hati saya, kenapa perlu asingkan politik daripada kehidupan?

dan, kalau kita tak ambil tahu dari sekarang, besok bila tiba masa giliran kita pula memimpin, kita tak tahu apa-apa. haru dibuatnya.

pelik. nak saja saya melawan, tapi nanti dikata biadap pulak. maka diamkan saja.

hemph. kita jugak tersepit.

btw, nice entri! :)