Thursday, 25 November 2010

Pilihanraya dan Calon Pengerusi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Saya kira saya agak terlewat dalam isu pilihanraya Mansurah memandangkan esok sudah tiba hari mengundi.  Kekangan masa dan latop saya yang rosak menyebabkan saya kurang terlibat dengan perkembangan dalam ruang maya ini.



Saya kira sudah banyak ulasan dan hujah mengenai calon pengerusi. Tidak dapat disangkal calon pengerusi PCM kali ini begitu panas dan hangat diperkatakan. Masing-masing dengan hujah dan pendirian yang tersendiri. Cuma berminat menyatakan pandangan peribadi saya. Mungkin ada hujah yang ringkas ini sudah ditulis sahabat-sahabat lain.


FAHAM
Saya menyeru rakan-rakan supaya memilih atas dasar kefahaman bukan semata-mata semangat yang berkobar-kobar. Pemilihan atas dasar ilmu dan kefahaman itu lebih selamat berbanding kita bersemangat tapi hakikatnya kurang jelas. Bimbang-bimbang terlalu berkobar-kobar menyebabkan kita tertinggal banyak perkara untuk dipertimbangkan memandangkan PCM bukan sahaja menitik beratkan soal akademik malah tarbiyah dan kebajikan. 




Hakikatnya Islam itu syumul dan itulah yang saya lihat itulah apa yang PCM cuba bawa. Mungkin ada keputusan dan tindakan pimpinan PCM tidak menepati selera kita tapi saya percaya dengan dasar al-Quran dan As-Sunnah, mereka telah menimbangkan setiap baik dan buruk. As-Syahid Imam Hassan Al-Banna sendiri menitik beratkan keperluan dengar dan taat terhadap pimpinan. Berikanlah kepercayaan yang luar biasa (tsiqah) kepada mereka.

Ingatlah pimpinan pernah menjadi ahli biasa tetapi ahli biasa tidak semua memegang tampuk pimpinan. Bimbang-bimbang banyak perkara yang kita perkatakan tetapi hakikatnya ada perkara yang kita terlepas pandang menyebabkan kita tidak ubah seperti tok tok, tin kosong rupanya. Bekerja di lapangan sebenar tidak semudah kata-kata.(Saya sendiri serik kerana pernah menjadi tin kosong)




ANTARA PERUBAHAN DAN PENAMBAH BAIKAN
Isu perubahan dan penambah baikan diulang-ulang saban hari. Saya lebih menyokong penambah-baikan. PCM adalah sebuah persatuan yang sedang mengorak langkah menuju perkembangan dan kematangan. Lihat kembali sejarah perkembangan PCM maka anda akan melihat perkembangan itu, adillah ketika menilai. 

Setiap kaedah dan idea tidaklah memakan masa setahun untuk mereleasasikannya tetapi memakan 2 tahun, 3 tahun mahupun bertahun-tahun. Secara realisitiknya kenapa perlu kita membuat perubahan secara total yakni mengulang kembali proses-proses untuk direalisasikan berbanding memantapkan kualiti perkara yang sedia ada?

Saya tidak menolak perubahan malah kita perlu sentiasa berubah dan muhasabah. Perkara ini sudah wujud dalam PCM. Setiap kali program berakhir pasti diakhiri dengan mesyuarat muhasabah. Untuk apa? Pastilah untuk merubah apa yang perlu demi menjamin kualiti. Kita sedang mempersoal perkara yang telah wujud sebenar.

Andai anda merasakan itu tidak cukup untuk mengkualitikan program-program PCM. Mungkin ada program-program yang tidak relevan atau perlu ditambah, saya cadangkan PCM mewujudkan panel khas untuk pengkajian semula program-program yang sedia ada. Hakikatnya kita mempunyai matlamat yang sama tetapi saya lebih suka kita memilih kaedah yang lebih selamat berbanding mengambil kaedah yang berisiko, fahamkan?

Pernah mendengar teori iceberg? Setiap masalah perlu diselami sedalamnya. Setiap idea dan kaedah perlulah diselesaikan secara total (sehingga ke akar umbi) bukan surface sahaja. Apa yang saya maksudkan adalah janganlah kita meletakan kehebatan sebuah persatuan itu hanya pada hebatnya program-program yang dibawa kerana hakikatnya kaedah pemulihan masyarakat tidak melibat program-program besar sahaja.





TUGAS PENGERUSI
Sebagai seorang mahasiswa kita harus faham apakah sebenarnya tugas seorang pengerusi. Perlulah adil dalam  setiap hal. Adil itu bukan saya dapat satu dan anda dapat satu tetapi adil itu adalah meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya. Boleh merujuk post Saudara Hanif Mahamud mengenai tugas seorang pengerusi.

Saya percaya kita memerlukan pengerusi yang telah teruji dan diuji kepimpinannya. Seorang pengerusi yang mampu dan terbukti bangkit apabila jatuh. Seorang pengerusi yang telah terbukti mampu bertenang dalam apa jua keadaan memandangkan isu yang PCM hadapai saban hari bukan isu mudah. Tindakan yang tenang tetapi bernas teramat diperlukan.

Saya percaya menjawat jawatan  seorang pengerusi memerlukan beliau sentiasa bersedia membuat pertimbangan keputusan demi kebaikan ahli dan persatuan. Sentiasa konsisten memberi contoh tauladan kepada ahli (antaranya sentiasa hadir ke kelas memandangkan isu hadir ke kelas agak kronik di sini). Tiada cuti untuk itu! Maka seorang calon yang berpengalaman dan terbukti mampu yang kita perlukan.


Rasanya terang lagi bersuluh pilihan saya adalah Ahmad Azizi bin Md Jusoh dan saya menyokong manifesto beliau Kualiti, Kebajikan dan Kebebasan. Jemput buka blog vote for Azizi untuk mengenali Azizi dan mengetahui mengapa kami memilih Azizi. Saya memilih atas dasar kefahaman bukan kehendak peribadi semata-mata dan demi survival jangka masa panjang PCM.

Jangan disangka insan yang tenang dan tidak agresif itu kurang berkaliber. Diam-diam ubi berisi!






to be continue...


p/s: Selamat maju jaya kepada tahun 4 untuk exam ENT. Exam, exam, exam! Tiba-tiba rasa tak ringkas pulak hujah saya.

1 comment:

izzati.abdullah said...

hehehe..gudluck exam tu!
tahniah n takziah jgk bakal menerajui ajkt pcm tahun ni=)