Thursday 15 October 2009

Memberi, antara Letih dan Ikhlas

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Terkenang kisah tahun lalu.

"Saya letih semalam sehingga tertidur. Hilang semua semangat. Rupanya selama ini itu pandangan sesetengah orang terhadap saya." luahan saya kepada seorang sahabat.

"Andai awak ikhlas memberi, respon manusia tak lagi penting bagi awak."balasnya.


LETIH dan STRESS
Letih melayan kerenah dan pandangan manusia. Bukan mudah membuat sesuatu yang menyenangkan hati semua orang. Saya juga manusia. Manusia yang ada kekurangan dan kesilapan.




Ada masa kelebihan dan pengorbanan tidak dihargai.

Ada masa kekurangan dan kesilapan itu yang diberi perhatian bukan dibaiki.


IKHLAS
Berikut adalah rumusan yang saya dapat pembacaan beberapa buah buku.

Orang yang ikhlas itu tidak ada sesuatu pun di dalam hatinya melainkan Allah. Dia berbuat kerana dan untuk Allah semata-mata. Orang yang ikhlas melakukan sesuatu yang menjadi kesukaan Allah bukan kesukaan semua orang. Malahan dia tidak bimbang tidak disukai orang lain kerana orang yang sukakan Allah pasti menyukai dirinya.




Orang ikhlas itu bebas. Dia tidak perlu stress untuk melakukan sesuatu kerana rahsia kejayaan dan ketenangan itu adalah keredhaan Allah bukan keredhaan manusia. Jangan terkejut sekiranya manusia yang sentiasa cuba memuaskan hati semua pihak akhirnya akan dibenci semua pihak.

Cinta yang satu yakni Cinta Allah akan menyatukan orang-orang yang diredhainya. Maka hanya cinta dan kesukaan Allah yang utama. Apalah guna keredhaan manusia berbanding keredhaan Allah.

Malah orang yang ikhlas itu fokus. Dia tidak akan lari daripada matlamatnya. Keikhlasan akan melahirkan hasil yang berkualiti. Dia tidak berkira untuk memberi lebih kerana dia tahu segala kerana Allah pasti membawa keredhaan Allah jua. Segala perbuatan baik kerana Allah maka natijahnya turut baik.


MEMBERI
Memberi hakikatnya tidak mengurangkan. Hukama berkata harta yang menjadi milik kita yang hakiki ialah harta yang diberikan ke jalan Allah.

Mengapa ada insan yang bahagia ketika memberi?

Memberi dengan keikhlasan dan kasih sayang tanpa mengharap balasan. Kasih sayang tidak akan berkurang dengan memberi malah bertambah dan bercambah. Saya percaya rasa kasih sayang itulah yang memberi kebahagian walaupun ada manusia yang menganggap kita letih dan berkurang dengan memberi.


Memberi dengan ikatan kasih sayang di hamparan keikhlasan


Andai kita mengharapkan balasan walaupun ucapan terima kasih maka kita akan stress. Mengapa? Allah sendiri menegaskan dalam al-Quran bahawa teramat sedikit hambaNya yang bersyukur. Allah yang Maha Pemberi pun manusia kurang bersyukur apatah lagi kita yang kerdil ini mengharapkan balasan daripada manusia.


RACUN KEIKHLASAN
  1. Riyak - boleh digambarkan sebagai melakukan sebarang pekerjaan dengan niat mengharapkan selain daripada keredhaan Allah.
  2. Ujub - berasa kagum dengan kelebihan diri sendiri dan amalan yang dilakukan. Orang sebegini sebenarnya tertipu dengan diri sendiri
  3. Sum'ah - melakukan sesuatu amal kebajikan dengan mengharapkan kemasyhuran dan menjadi orang yang terkenal di kalangan manusia.
Orang tua saya pernah berkata, "Bila manusia mula berasa diri hebat dan sempurna, habis...".


KESIMPULAN
Maka mengapa perlu stress dengan pandangan manusia? Kita perlu stress sekiranya perilaku kita mengundang kemurkaan Allah. Tapi itulah yang kita kurang cakna selama ini.

Jangan biarkan stress dan letih itu memakan diri. Stress mampu merosakan sistem dan kesihatan tubuh badan kita. Hmm, jadi keikhlasan juga adalah salah satu cara menguruskan tekanan.

Jadi bila stress, jom semak diri. Ikhlaskah aku?


Hidup dengan keikhlasan membawa kebahagian


p/s: Buku Nota Hati Seorang Lelaki banyak mengajar saya hakikat kehidupan antaranya keikhlasan dan kemaafan.

2 comments:

- Ct Pataepannang - said...

nak komen tapi macam xtau nk kate ape..mcm speechless bila bc post ni..
nice one. (^_^)

Anonymous said...

excellent!..mnta kbenaran link ya..jzkk =)