Saturday 23 June 2012

PEPERIKSAAN DATANG LAGI


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah di kala kami pelajar tahun klinikal terus menguatkan semangat ke kelas untuk menghabiskan kuliah-kuliah klinikal yang bakal berakhir, adik-adik pula berhempas pulas menghadapi peperiksaan akhir tahun.

Teringat kata-kata Dr Tamer: “Belajar, peperiksaan dan keputusan peperiksaan adalah 3 proses yang berasingan. Siapa yang menyatukan 3 proses tersebut? Allah.”

Maka andai kita mahkluk cerdik dan berakal, maka bodohlah jika kita melakukan sesuatu yang Allah murka. Allah menciptakan kita makhlukNya beserta manual yang wajib kita patuhi iaitu syariat. Kita sebagai manusia telah dibekalkan dengan al-Quran dan hadis. Insya Allah dengan bekalan al-Quran dan hadis, kita sebagai umat Islam tidak akan tersasar daripada landasan yang sepatutnya.





STRESS
Tertekan itu perkara biasa bagi saya ketika peperiksaan. Malah tanpa stress, saya merasakan diri ini tidak tergerak untuk lebih berusaha menghadapi peperiksaan. Tanpa stress mungkin kita akan terlebih ‘bertenang’ ketika belajar. Stress dan peperiksaan adalah rakan karib. Tetapi stress yang melampau juga tidak baik




Anda percaya bahawa jika dikatakan sesiapa yang tidak menurut syariat Allah dan melanggar sunnatullah akan berasa stress yang tidak sihat? Jika kita gagal meninggalkan apa yang Allah larang dan melakukan apa yang Allah perintahkan, kita akan mengalami stress. Jika kita melanggar sunnatullah, kita juga akan mengalami stress.

Sunnatullah, hati manusia dicipta tidak akan menyenangi perbuatan maksiat dan perbuatan melanggar syariatullah. Naluri hati kita tidak bahagia dengan perbuatan kita bercouple, berdua-duaan, ikhtilat tidak syarie, menghisap rokok dan apa jua tahap dan jenis maksiat. Jiwa kita terus berasa kosong dengan maksiat. Jiwa kita tercari-cari apa erti kebahagian. Itu fitrah yang tak mampu kita nafikan.




Mungkin ada yang mendakwa ‘saya bahagia dengan perilaku saya’. Kawan, tanya sejujurnya dalam jiwa nuranimu, adakah kau bahagia? Atau adakah hanya nafsumu sahaja yang berasa puas tetapi hatimu tidak tenang?

Apabila hati kita tidak tenang, tentunya fisiologi badan kita tidak menentu. Pelajar sains kesihatan tentu faham akan fakta ini. Degupan jantung dan tekanan darah yang tidak menentu menyebabkan pengaliran darah kita terganggu seterusnya sistem penghadaman terjejas. Lalu penyerapan nutrisi dan sistem imuniti badan menurun. Maka apa berlaku kawan-kawan? Kesihatan kita terjejas. Pelajaran kita terganggu.


HARAPAN
Sunnatullah apabila menghadapi ujian dan permasalahan, secara automatik kita akan bergantung harap kepada Allah. Bak kata Dato’ Ustaz Haji Tuan Ibrahim Tuan Man dalam siri kuliah mahribnya, walau sejahat mana manusia, tetap bergantung kepada Allah. Tapi ironinya, kadang pergantungan kita kepada Allah hanyalah bermusim seperti bermusimnya sikap cakna kita kepada saudara-saudara kita di Palestin dan Syria.

Apabila musim peperiksaan menjelang, kita mula meningkat ibadah kita kepada Allah. Semoga segala-galanya dipermudahkan oleh Allah. Alhamdulillah sekiranya perubahan kita istiqamah sehingga tamat musim peperiksaan.

Tetapi malang apabila tamat sahaja peperiksaan terakhir, kita raikan dengan menonton drama-drama korea sedangkan kita mengabaikan hak-hak yang sepatutnya ditunaikan dan sebagainya. Atas alasan berehat selepas berpenat menghadapi peperiksaan. Seolah-olah usaha kita telah selesai dan terlupa bahawa pergantungan terhadap Allah tidak sepatutnya berakhir dengan berakhirnya peperiksaan malah sewajarnya tidak akan pernah tamat.




Lebih malang, ujian melanda atau tidak. Kita buta dengan petunjuk yang Allah berikan. Allah tidak dilihat sebagai tempat pergantungan. Allah tidak dilihat sebagai Tuhan kita yang perlu ditaati. Belum sampai seru katanya. Musim peperiksaan menjelma, kita tetap istiqamah dengan maksiat yang kita sering lakukan. Kita tetap hanyut dengan pasangan kita. Kita tetap hanyut dengan hero-hero drama pujaan kita. Kita tetap hanyut dengan asap-asap rokok kita yang berkepul-kepul di udara.

Apabila keputusan yang tidak memuaskan keluar, kita mula berasa tertekan. Jangan sehingga mempertikaikan kenapa Allah menguji kita dengan keputusan sedemikian!

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.(Surah Al-Rad 13: Ayat 11)

Tapi andai keputusan kita tetap cemerlang di samping maksiat kita yang juga cemerlang, jangan berasa selamat! Kejayaan yang terbaik bukanlah semata-mata cemerlang dalam keputusan peperiksaan malah peperiksaan Akhirat masih menanti!

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, akan Kami biarkan mereka beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dengan cara yang mereka tidak ketahui.(Surah Al-Araf: Ayat 182)


KESIMPULAN
Kita sebagai umat Islam wajib untuk meninggalkan maksiat. Wajib bertaubat! Bukan sekadar untuk peperiksaan. Bukan semata untuk mengelakkan badan yang tidak sihat. Tapi itulah ketetapan yang telah ditetapkan dalam manual bekalan kita. Jiwa manusia terasa kosong dan tidak tenang dengan maksiat.




Saya bukanlah pakar motivasi untuk memberikan tip-tip kepada anda. Saya percaya banyak artikel-artikel serta video-video motivasi pakar motivasi yang sudi berkongsi keadah dengan anda tip-tip menghadapi peperiksan. Malah artikel ini mungkin bukan artikel motivasi. Saya sekadar berkongsi dan mengingatkan terutamanya diri ini dan kawan-kawan.