Wednesday 5 January 2011

Pertarungan Sepanjang Hidup

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sungguh lama saya tidak menulis. Hari ini teringin berkongsi suatu perkongsian oleh seseorang yang bermakna dalm hidup saya. Hmm, walaupun saya meminati buku Maza Yakni Intima fil Islam, saya semakin kekurangan waktu untuk mengulang membaca isi-isi buku tulisan ustaz Fathi Yakan kerana sibukkan hal-hal lain.

Jadi apa yang dikongsi oleh beliau dengan saya adalah motivasi menjelang peperiksaan (saya ada tambah point sikit-sikit). Setiap daripada kita pasti tertekan apabila menjelang peperiksaan. Simptom yang manakah pernah melanda anda:
 

Tertekan dan stress?


Malas dan tiba-tiba rasa mahu main game tanpa henti?


Rindukan rumah?



Terbayang pelamin dan set hantaran lalu berasa mahu berkahwin?


macam-macam lagi...

Mereka yang sedar keperluan dan tuntutan mengapa mereka belajar dan berusaha sehabis mungkin pasti mencari jalan untuk mengatasi simptom-simptom yang menyesakkan jiwa ini. Saya tidak sangka dalam banyak-banyak buku motivasi terdapat jawapan dalam kitab tersebut.

Dan jiwa serta penyempurnaan (penciptaan)nya. Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan (jiwanya itu). Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya. (Asy-Syams : 7-10)

Manusia sering berhadapan dengan pertarungan jiwa saban hari. Kita sentiasa perlu memilih antara kebaikan dan kejahatan. Bak kata orang pilih satu antara dua. Pertarungan ini bukan hadir di kala musim peperiksaan sahaja tetapi sepanjang hidup sehingga ajal menjemput kita.

Jadi apakah kekuatan kita dalam menghadapi pertarungan jiwa yang bersifat sepanjang hidup ini? Ustaz Fathi Yakan menyusun dalam bukunya bahawa ada 2 elemen penting yang perlu diambil kira iaitu hati dan akal.


Hati
Hati yang bagaimanakah menjadi kekuatan jiwa kita. Tentulah hati yang bersih dan suci. Saidina Ali bin Abi Talib berkata: "Allah mempunyai benjana di bumi ini iaitu hati. Hati yang paling Allah kasihi ialah hati yang paling LEMBUT, paling BERSIH dan paling CEKAL."

Saidina Ali menerangkan bahawa maksud beliau adalah:
Paling CEKAL dalam BERAGAMA
Paling BERSIH dalam KEYAKINANNYA
Paling LEMBUT terhadap SAUDARANYA




Saya sering mendengar kata-kata bahawa hati yang bersih pasti menghasilkan akhlak yang baik dan sikap yang tenang. Sekiranya kita melihat orang-orang soleh terasa tenang melihat kejernihan wajah mereka walaupun hakikatnya perjuangan hidup ini bukanlah mudah. Mampukah kita untuk terus bertenang dan tabah?


Hati manusia terlalu unik, berbolak-balik, liar dan maknawi sifatnya. Tidak ada sebarang alat atau kaedah yang mampu menguasai hati. Hati itu milik Tuhan bukan milik tuan. Dan Allah sahaja mampu menguasai hati manusia. Dengan apa? Ya, dengan ikhlas! (Solusi isu no 11)

Maka tanpa perlu saya mengulas panjang. Mari sama-sama sentiasa membaiki niat kita. Apakah niat dan tujuan sebenar kita hidup dengan bersungguh-sungguh dan belajar juga dengan bersungguh-sungguh.



Akal
Secara ringkasnya akal mampu menjadi kekuatan kita sekiranya kita memiliki akal yang mampu membezakan antara yang baik dan buruk, mengambil ilmu yang bermanfaat serta mengetahui kekuatan dan keagungan Allah.

Namun cahaya akal itu akan terpadam dengan MAKSIAT. Ya maksiat! Sesiapa yang melakukan maksiat, yang kekal dalam maksiat, terang-terangan melakukan maksiat dan tidak bertaubat setelah melakukan maksiat maka akan hilanglah cahaya dan keberkatan ilmu.

Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang melakukan dosa, akal akan berpisah daripadanya dan tidak akan kembali kepadanya buat selama-lamanya."

Mungkin anda pernah dengar kisah imam Syafie yang terlupa hafalanya kerana maksiat walaupun bukan dalam keadaan sengaja. Begitu peripentinganya keberkatan dan kepentingan ilmu dalam Islam. Dakwaan Islam kolot dan mundur adalah salah sama sekali. Islam adalah agama yang mementingkan nilai etika dan moral (kepada yang mahu mendengar perkataan yang lebih moden, katanya).




Sekadar ini sahaja perkongsian ringkas saya kali ini. Semoga hati dan akal kita tidak terhijab dengan maksiat-maksiat yang kita telah lakukan. Sebagai manusia yang tidak maksum kita masih mempunyai peluang untuk bertaubat dan membersihkan hati selagi roh dikandung badan. Jangan bertangguh kerana kematian yang ditakdir tak bertangguh walau sesaat.