Sunday 23 May 2010

Mimpi Yang Indah

Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang

Semalam ketika saya bersiap-siap untuk solat Isyak, cik Helwa membuzz ym saya bertanyakan tajuk sebuah lagu yang didakwa daripada Hijjaz. Setelah jenuh memerah otak rupanya bukan Hijjaz tetapi Mestica. Jadi jom dengar lagu tersebut. Semoga menjadi motavasi untuk kita terus berusaha (dan khasnya untuk awak, Helwa).

Artis : Mestica
Album : 313

Telah ku lalui jalan berduri
Sejuta harapan terus ku pertahankan
Bukan mudah menggapai bintang
Bersilih dugaan mendatang

Di sebalik kepayahan
Di situlah ada kekuatan
Tekad hati azimat di perjalanan
Mengejar impian

Pabila laluan seakan sukar
Bagai tak terdaya untuk terus bertahan
Namun kasihMu menyedarkan
Aku tak pernah sendirian

Di sebalik kepayahan
Di situlah ada kekuatan
Tekad hati azimat di perjalanan

Tinggi langit mimpi ini
Tak ku ragu untuk membuktikan
Indah bintang yang terang bukan khayalan
Tetapi kenyataan

Akan kau saksikan kesulitan ini
Pasti berganti kebahagiaan

Telah pun kau dengar kisahku ini
Pernahkah cuba kau mengerti





p/s: Agak tergapai membaca buku Turki Negara Dua Wajah kerana bahasanya yang agak mencabar kefahaman saya.

Monday 3 May 2010

Takut Menjadi Dewasa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hari ini saya sekali lagi cuba untuk menulis sesuatu. Sejak akhir-akhir terasa tawar untuk menulis. Jika kali ini saya masih gagal untuk menulis apa-apa pasti saya akhirnya akan berkongsi resepi dengan anda. Jika mampu, saya mahu berkongsi sesuatu yang betul-betul memberi manfaat. Semoga ada manfaat dalam tulisan saya yang biasa-biasa ini.



Masalah adalah cabaran yang perlu diatasi dengan bijaksana.  Maka jika anda lari dari masalah percayalah anda akan terus diselubungi masalah tersebut

Dua hari lepas saya berborak dengan seseorang mengenai masalah beliau. Masalah kehidupan yang cuba diselesaikan dengan emosi serta melupakan asas keyakinan dan syariat membuatkan segalanya ribut dan kelibut. Saya bukanlah penyelesai masalah yang baik tetapi saya cuba menjadi pendengar masalah yang baik.

Sungguh, pada mulanya saya hanya memberi bayangan apakah yang perlu difikirkan bagi menyelesaikan masalah tersebut tanpa memberi pendapat secara jelas kerana setiap kata-kata kita akan diuji maka saya bimbang, saya juga kecundang apabila diuji dengan masalah yang sama. Tetapi, alang-alang saya sudah berkongsi dengan beliau maka saya berkongsi juga dengan anda.

Menjadi dewasa itu kadang-kala menakutkan. Melihat gelagat kanak-kanak arab yang berpakaian dan bersolek persis orang dewasa kadang membuatkan saya tergelak sendiri. Kecil-kecil dulu mungkin kita sering berharap kita segera dewasa dengan fikiran ingin segera bebas. Tetapi apabila diri ini semakin tua sedarlah saya bahawa menjadi dewasa tidaklah seindah yang disangka.

Itulah yang dihadapi beliau. Kerisauan menjadi dewasa yang perlu membuat keputusan dan bertanggungjawab atas setiap keputusan yang telah diambil. Hidup ini sering berada di persimpangan kerana itulah kita disarankan untuk solat sunat istikharah dan memohon supaya keputusan kita dipandu oleh Allah (bukan soal jodoh sahaja istikharah). Memohon segalanya dipandu oleh Allah amatlah penting kerana mungkin yang dianggap terbaik itu bukanlah terbaik yang telah ditetapkan Allah begitu juga sebaliknya.

Apabila meminta segalanya dipermudahkan dan dipandu olehNya, hendaklah segala tindakan kita selaras dengan syariat yang ditetapkan supaya nafsu dan syaitan tidak ambil peranan. Jangan lakukan apa yang Allah tegah kerana penentu segalanya adalah Allah jua. 




Syariat itu bukanlah batu penghalang tetapi mengawal kita dari terbabas (kesimpulan dari buku Tentang Cinta). Percayalah syariat Islam itu cukup lengkap dengan segala panduan. Terdapat pelbagai ayat al-Quran yang memujuk dan menguatkan hati kita apabila menghadapi masalah. Kita sahaja yang sering alpa dan lalai.

Kita sering mendengar ungkapan ujian adalah tarbiyah dan teguran daripada Allah. Maka ada kalanya apabila menghadapi sesuatu dugaan, saya sering ingatkan diri saya supaya muhasabah apa yang telah berlaku. Indahnya pegangan orang Islam adalah segala yang berlaku ada hikmah dan Allah tidak akan menguji hambaNya melainkan ia mampu. Kerana itulah ubat bagi jiwa adalah kembali kepada agama.

Dalam hidup ini ada beberapa perkara telah ditetapkan oleh Allah seperti jodoh dan rezeki. Jadi apa yang Allah nilai adalah cara kita menguruskan 'perjalanan' menuju apa yang telah ditakdirkan oleh Allah. Saat kita akil baligh sahaja, kita telah bertanggungjawab ke atas diri kita maka kitalah yang menentukan arah tuju kehidupan kita. Jangan menyalahkan orang lain atas setiap kesilapan yang kita lakukakan tetapi terimalah kesilapan itu untuk diperbaiki.

Setiap insan mempunyai permasalah yang tersendiri. Bak kata ustaz saya, hanya orang gila tidak mempunyai masalah. Akhir kata, bagi saya dewasa adalah suatu alam yang kita bertanggungjawab terhadap segala keputusan dan tindak tanduk yang kita ambil serta masalah akan terus menyelubungi kita sekiranya keputusan kita adalah melarikan diri. Maka, berani atau lari?


p/s: Sungguh best Dr Bassem mengajar tajuk Bone hari ini. Sungguh rugi siapa yang tidak hadir kelas.