Monday 22 February 2010

Oh Persepsi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Amaran! TOLONG baca entry ini dengan nada yang tenang kerana penulisnya sendiri bertenang ketika menulis. Saya menulis dengan hati yang berat tetapi inilah risiko yang harus saya tanggung. Tenang itu akan terganggu jua.


Kisahnya...
Saya mempunyai suara yang agak kuat. Mungkin kerana dipengaruhi bilangan adik-beradik yang ramai serta aktif. Bercakap di khalyak ramai membiasakan saya bercakap dengan jelas supaya semua hadirin dapat mendengarnya (jadi orang belakang tak perlu menjenguk-jenguk untuk mendengar) menyebabkan kadang-kala nada suara saya meningkat dengan intonasi ketegasan dan semangat.

Sebenarnya kadang situasi tersebut mendatangkan masalah kepada saya. Saya tahu saya kurang upaya mengawal intonasi suara terutama ketika menyatakan pendapat tapi saya masih mampu mengawal setiap perkataan dalam setiap kenyataan saya. Kepada insan-insan tertentu perlulah sedar bahawa setiap perkataaan yang diutarakan pasti membawa makna yang berlainan dalam setiap kenyataan atau idea saya.


Apakah masalah itu? 
Masalah persepsi insan-insan tertentu yang sukar menerima setiap insan itu mampu berubah. Masalah persepsi insan-insan tertentu yang menganggap saya seorang ego dan suka mengkritik orang tanpa belas kasihan mungkin. Contohnya pernah dalam suatu sesi muhasabah saya menyebut perkataan kita perlu CUBA untuk membaiki kelemahan sikap tertentu demi kemaslahatan bersama. Perkataan CUBA tadi jelas bahawa saya tidak menyalahkan orang yang telah berusaha tetapi tidak berjaya.


Apa yang berlaku? 
Ada insan tertentu yang bangun mempertahankan diri dengan teguran janganlah kita mudah buruk sangka atau menghukum tanpa usul periksa. Astagfirullah, langsung tidak terlintas di benak saya untuk menghukum sesiapa tetapi hanya sekadar renungan bersama kerana saya juga kadang melakukan salah yang sama. Jelas orang mudah membuat kesimpulan atas kenyataan saya tanpa merenung apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan.


Kenapa tiba-tiba saya menulis mengenai perihal ini? 
Mesej yang saya hendak sampaikan adalah tidak semua manusia anda mampu menilai dari segi luaran sahaja. Kesimpulan dua atau tiga tahun lepas malah 10 tahun lepas tidak sama dengan kesimpulan masa kini.
Mungkin dulu saya seorang yang agak keras tetapi tidak mustahil saya berubah menjadi manusia yang lebih flexible
Mungkin dulu saya seorang yang agak bebas berbelanja tetapi tidak mustahil saya berubah menjadi seseorang yang lebih berhati-hati dalam menyusun belanjawan. 

Saya letih dengan persepsi-persepsi lapuk mengenai diri saya oleh insan-insan tertentu. Mungkin kerana personaliti dan wajah saya yang serius, saya pernah dituduh mengawal segala keputusan dan tindak-tanduk dalam Imtiyaz. Adus, personaliti ketika bermuamalat dengan ikhwah dan bekerja dalam persatuan pasti tidak sama ketika saya bersama-sama ahli beit, kawan-kawan dan adik-adik.


Hati-hati. 
Bukan bererti saya tidak menerima sebarang kritikan. Insya Allah saya menerima sebarang teguran yang membina tetapi bukan prasangka yang menbenam. Saya pernah ditegur secara berdepan oleh seorang ikhwah. Kata beliau saya agak kasar ketika bermuamalat. Mungkin ketika itu terguris hati mendengar tetapi akhirnya saya terima ia sebagai satu muhasabah untuk membaiki sikap saya.


Kesatuan
Kadang-kadang kita sibuk bercakap mengenai kesatuan tetapi perkara-perkara seperti ini menyebabkan sukarnya hati kita untuk bersatu. Dalam Islam kita diminta untuk bersangka baik sesama muslim. Tetapi jika inilah yang terus berlaku, akan wujud kedinginan dalam ukhwah kita.

Apa-apa pun saya meminta maaf. Mungkin insan-insan tertentu ini pernah trauma dengan saya menyebabkan mereka sukar menerima setiap tindakan, perubahan dan idea saya. Sehingga sekarang saya cuba mencari titik penerimaan saya terhadap insan-insan tertentu ini (secara jujur kadang dalam keadaan hati terguris) dan diharap anda juga berusaha mencari titik penerimaan itu. Niat saya bukanlah untuk memburukan lagi keadaan.




p/s: dimulakan dengan tenang dan diakhiri dengan tenang, harap tiada ombak yang melanda ketenangan.

Sunday 21 February 2010

Update - Imtiyaz

Dengan Nama Allah Yang Pengasih Lagi Maha Penyayang

Pemergian lagi seorang lagi ahli Imtiyaz membuatkan rumah ini mempunyai baki sebuah bilik. Ramai yang bertanya kepada saya tiada penggantikah. Bukan atas niat terlalu memilih ahli rumah bahkan hakikatnya kami sendiri bermula tanpa mengenali antara satu sama lain (pernah cerita dalam entry sebelum ini).

Bukan tiada, tetapi alasan yang diberi pada pendapat saya tidak dapat diterima. Mungkin kelihatan keras tapi itulah pendirian saya mungkin juga ahli rumah yang lain. Asasnya ukhwah di dalam rumah bukanlah sesuatu yang mudah. Bukanlah kami malaikat-malaikat yang tidak dilanda masalah dan kekurangan.

Kalau pembaca perasan, saya suka menulis bahawa masalah adalah cabaran yang perlu diatasi dengan bijaksana.  Maka jika anda lari dari masalah percayalah anda akan terus diselubungi masalah tersebut. Tidak mustahil hari ini anda berpindah ke rumah kami tanpa berusaha sehabis mungkin mengatasi masalah yang ada maka anda juga akan menghadapi masalah yang sama apabila bersama kami.

Bercakap soal kekurangan ahli beit kerana berkahwin, saya teringat perbualan saya dengan Izyan. Kata beliau kadang kita meletak mentaliti setelah berkahwin perlu taat kepada suami tetapi kita sering lupa ketaatan kepada ibu bapa kita. Jika setelah berkahwin ada itu dan ini yang tidak boleh atas alasan yang munasabah, adakah itu dan ini itu tidak perlu dipatuhi ketika ketaatan kita masih sepenuhnya kepada ibu bapa? (Ulasan kemudian insya Allah jika perlu)




Sekadar ini sahaja perkongsian ringkas saya kali ini. Maaf kepada pembaca kerana sehingga kini saya  masih berhutang artikel yang lebih bermakna bersama anda.


Wednesday 10 February 2010

She is Married

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah selesai majlis akad dan walimah ahli beit saya. Seorang demi seorang meninggal Imtiyaz (masin sungguh mulut orang di luar sana). Mungkin ramai yang terkejut mungkin juga ada yang sudah menjangka. Tak kurang pelbagai versi cerita yang keluar (ish-ish tak baik teka-teka ini)

Terima kasih yang teramat bagi yang membantu, HBT, PUTERI'06, Huriyyah, UBM PCM, Exco-exco PCM dan juga insan-insan yang terlibat. Tanpa kalian kami Imtiyaz sendiri tidak mampu untuk menjayakan majlis yang sebegini meriah. Majlis yang ringkas tetapi tetap meriah dan diberkati insya Allah.

Tak terucap perasaan ini. Ada masa seperti dalam dunia lain bak kata Asma. Since pictures worth thousand words, enjoy the pieces of the moment.


 Debaran akad


Alhamdulillah


Ikatan


Huriyyah


PUTERI'06


Imtiyaz


HBT




Barakallahu lakuma wa baraka ‘alaikuma wa jama’a bainakuma fi khair. Semoga kekal bahagia di dunia dan di akhirat. (Terngiang-ngiang lagu Maher Zain di telinga saya).


p/s: Soalan famous, siapa selepas ini? Terima kasih Huriyyah sudi berkampung di Imtiyaz menemani kami bertiga.

Tuesday 2 February 2010

Hidup = Cabaran

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Saya teringat kali pertama saya berbelanja barang-barang rumah sendiri ketika tingkatan  3. Ketika itu bersama-sama abang hanya tua setahun dari saya membawa 5 adik-adik kecil ke pasaraya. Abuya hanya menyerahkan RM500 kepada kami kerana tidak dapat turut serta. Umi ketika itu tidak sihat. Adoi, mahu tidak mahu kami perlu mencuba.

Setelah masuk ke dalam pasaraya, saya dan abang masing-masing mengambil troli. Kami empat yang teratas bermesyuarat kecil keperluan-keperluan yang perlu dibeli. Maka kami menolak troli dan sesi memilih produk-produk yang biasa dibeli umi bermula (dengan sedikit tambahan barang yang teringin dibeli).

Adik-adik kecil dibenarkan membeli sejenis sahaja barang setiap seorang. Jika dihalang boleh riuh pasaraya dengan gema suara mereka meminta itu dan ini. Namun itupun dah cukup riuh kami 7 beradik ketika itu. Kalau fikir-fikir balik rasa mahu tergelak sendiri.




Sejak tingkatan satu umi dan abuya memberi kepercayaan kepada saya dalam urusan membeli barang keperluan rumah serta keperluan sekolah saya dan adik-adik secara berperingkat. Abang pula lebih kepada urusan bil rumah dan membaiki apa yang perlu. Mungkin ini perkara biasa kepada sesetengah orang dan mungkin jua ini adalah perkara luar biasa memandangkan kebiasaannya ini adalah tugas yang biasa dilakukan ibu bapa apatah lagi sekiranya usia ketika itu masih muda.

Ada masa saya terfikir kenapa saya perlu kelihatan tua sebelum waktunya. Pergi ke pasaraya persis ibu anak tiga (malah saya pernah dianggap ibu anak anak tiga) membeli segala barang keperluan. Kadang-kala gaya saya menawar harga ala-ala gaya umi memaksa tauke kain mengurangan harga menyebabkan orang beranggapan saya sudah berkahwin. Tidak mengapa asalkan harga dikurangkan.

Bukanlah saya mahu bercerita soal membeli-belah atau tanggungjawab yang ada tetapi itulah kehidupan yang tidak lari daripada cabaran dan tanggungjawab. Cabaran kepada saya untuk berbelanja sejimat dan seefektif mungkin (cabaran kerana saya suka "berbelanja" ^_^). Cabaran saya untuk memastikan keperluan keluarga mencukupi. Cabaran kepada saya untuk membantu meringankan beban umi dan abuya dengan cara yang saya mampu. (Tapi itulah yang menggembirakan)

Ada orang yang takutkan cabaran dan tanggungjawab dengan lagi dengan alasan tidak sedia. Cabaran itu adalah masalah yang perlu ditangani dengan bijaksana bukan menjadi alasan untuk kita lari. Kadang-kala tanpa kita sedar kita terus lari daripada masalah tetapi berulang-ulang kali masalah itu jua yang kita hadapi.




Jadi, jangan terus berlari tetapi sambutlah cabaran. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Ujian itu adalah tarbiyah yang Maha Esa untuk mendidik kita. Hidup tanpa tanggungjawab dan cabaran itu bukanlah kehidupan. Bak kata sahabat baik saya, ketika mahu memulakan sesuatu teramat sukar tetapi jika kita sudah memulakannya, kita tidak sedar bahawa kita telah pun berada di atas jalan yang sukar tadi.


Monday 1 February 2010

My Father

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Semalam saya menonton sebuah drama di internet. Sebuah cerita berdasarkan kisah sebenar yang bertajuk "My Father" lakonan Daniel Henney. Kisah mengenai seorang anak angkat yang mencari ibu bapa sebenar beliau di Korea. Dalam pencarian akhirnya dia berjumpa bapanya tetapi bapanya merupakan seorang banduan yang menunggu hukuman mati. 




Saya terusik melihat drama tersebut. Mungkin cerita tersebut ringkas tetapi tetap menyentuh hati. Walaupun harapan tipis James tetap menganggap lelaki tersebut adalah ayahnya. Insan yang mencari ayahnya dan walaupun seorang banduan, beliau tetap melayannya seperti seorang anak yang baik.

Hmm, orang tiada ibu bapa tercari-cari tetapi orang yang ada ibu bapa mudah-mudah mengetepikan ibu bapa mereka. (-_-)