Wednesday 27 January 2010

Setahun Sudah

Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pengasih

Sudah genap setahun sepuluh hari sejak hari pertama saya mula menulis dalam ruangan blog ini. Wah setahun, sungguh tak sangka!





Saya bukanlah seorang yang pandai menulis walaupun saya adalah anak cikgu BM. Dulu kecil-kecil boleh bergantung harap umi memberi idea membuat rangka karangan. Sekarang ini harus belajar hidup berdikari. Namun ilham tetap datang daripada umi saya yang cerdik pandai itu.

Lapangan menulis bagi saya sukar berbanding lapangan bersuara. Namun akhirnya saya menyahut cabaran sahabat-sahabat saya. Kata beliau sehingga bila saya hanya terus bercakap sahaja. Malah saya akan lebih bertanggungjawab dengan apa saya nukilkan. Akhirnya saya tekadkan diri untuk mencuba.



Suatu masa dahulu kala


Mungkin setiap perkara yang saya nukilkan bukanlah diri saya sebenar tetapi sedikit sebanyak perkara-perkara itulah yang saya ingin capai. Ada masa saya bimbang kerana setiap kata-kata kita akan diuji kelak. Menjadi tin kosong adalah igauan ngeri saya.

Sungguh kini saya agak kehilangan ilham untuk terus menulis. Pernah suatu ketika saya mahu berhenti namun mengenang kembali tujuan saya menulis dan sokongan sahabat-sahabat saya cuba bertahan. Allah sahaja tahu ada masa saya begitu berasap mencari ilham namun ada masa Allah kurniakan idea yang mencurah. Mungkin ini normal bagi orang menulis.





Alhamdulillah. Terima kasih atas sokongan anda. Saya tahu saya tidaklah mahir menulis dan mengulas sesuatu perkara seperti orang lain. Mungkin saya syok sendiri sahaja. Namun semoga sedikit perkongsian ini memberi makna dalam hidup anda biar pun sedikit cuma. (^_^)


p/s: Ada pengunjung-pengunjung setia yang sudah lama tidak kelihatan.


Friday 15 January 2010

CINTA Datang Lagi

(entry kali ini tanpa sebarang kawalan tatabahasa)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Lama sudah rasanya saya tidak menulis. Tak terniat untuk menulis mengenai isu yang lapuk tetapi cukup popular ini (banyak lagi isu yang lebih penting untuk diambil berat). Dek kerana sekali lagi saya diminta pandangan mengenai cinta, maka saya nukilkan sebagai entry blog. Sayalah orang yang paling tak layak rasanya nak mengulas benda-benda macam ini.



Couple itu sebenarnya perkataan yang biasa tapi 'luar' biasa pada saya.


Apa yang saya mampu adalah berkongsi pandangan dan panduan yang termampu. Mungkin pengalaman yang ada dikutip dari pemerhatian saya sahaja. Entry kali ini saya cuba meletak diri saya dalam diri rakan  (lebih kepada kaum hawa) di luar sana tanpa perbincangan yang sarat dengan dalil dan hukum (kita mudah-mudah sahaja).

Saya rasa sudah cukup banyak perbincangan mengenai jelasnya haram bercouple. Mungkin ada yang sudah muak dengan isu ini. Saya tak nak ulas, boleh tanya ustaz dan ustazah ataupun klik www.iluvislam.com. Di sana terdapat ruangan khusus mengenai cinta dan couple.


Bercinta itu akhirnya ke mana? 

Itulah soalan pertama saya kepada rakan yang bertanya mengenai masalah beliau dan pakwenya. Saya rasa semuanya akan menjawab semoga berakhir ke jinjang pelamin (kepada yang main-main, perbincangan ini tidak berapa sesuai ok.) Siapa yang bercinta tapi tak nak kahwinkan?





Jadi kita sudah sepakat jawapannya. Seterusnya jom muhasabah. Adakah apa yang anda lakukan sekarang (yakni bercouple) menjamin akhiranya sampai ke matlamat yang diimpikan? Mungkin di zaman bercinta, anda ikhlas untuk mengakhirinya dengan perkahwinan tetapi bagaimana dengan pakwe anda? Mungkin anda dan pakwe anda kedua-duanya ikhlas tetapi anda-andakah yang menentukan pengakhirannya?

Jadi apa penjamin dan penentunya? Allah. Ya~~, itulah jawapan yang tepat.

Couple dan sewaktu dengannya adalah perkara-perkara yang menghilangkan keberkatan dalam hidup kita (dah haram mestilah hilang berkat). Percayalah bahawa suatu perhubungan yang dimulakan dengan perkara yang mengundang murkaNya, maka ia akan menghantui hidup kita. Jangan terkejut, ada pasangan yang bercinta bagai nak rak selama 8 tahun akhirnya tak sampai setahun berkahwin sudah bercerai.

Malahan golongan yang faham agama pun susah nak jaga keberkatan ini. Bila permasalahan dalam hubungan seperti mak ayah tidak benarkan kita berkahwin awal berlaku (atas alasan masih belajar etc), kita mudah untuk menyalahkan ibu bapa tidak faham situasi kita. Tapi, pernahkan kita fikir inilah balasan dan teguran daripada Allah atas kecuaian kita.

Abang kepada seorang sahabat saya pernah berkata bahawa makwe ini buat mainan sahaja, bila mahu berkahwin mestilah cari yang menyejukkan mata atau yang terpelihara. Saya sendiri sebagai wanita akan rasa tercabar bila mendengar pernyataan macam itu. (Sedap-sedap dia nak mainkan anak orang ye!)





Tapi itulah realiti rakan-rakanku. Andai anda diberi pilihan antara sebiji gula-gula yang dibalut cantik dan sebiji gula yang bersalut pasir, yang manakah menjadi pilihan? Begitu juga antara wanita terpelihara dengan wanita yang mudah-mudah menyerahkan cinta serta bertukar-tukar pasangan, yang mana menjadi pilihan pria?

Jangan anggap seorang lelaki itu ikhlas mengasihi anda melainkan dia serius untuk mengahwini anda (bukan sekadar ajak kahwin ye). Bukan mahu mengajar rakan-rakan hawa di luar sana untuk buruk sangka tetapi langkah berjaga-jaga.  Yang jenis tak nak berbincang, tak nak berterus terang, yang bertangguh-tangguh dan sebagainya, boleh tolak tepi.

Jadi, berpandangan jauhlah. Jangan dek kerana ingin memenuhi perasaan ingin disayangi, anda merana di kemudian hari. Berasa jangkal masyarakat kebanyakan yang bercouple, anda pun teringin bercouple. Berasa tak sabar mempunyai kekasih hati, mat rempit pun sanggup dijadikan pakwe (tangkap muat itu yang bahaya).





Bersabar dahulu. Sabar itu akan membuahkan permata yang berharga. Jangan jadikan fitrah itu fitnah dan musibah. Syariat yang Allah tetapkan itu bukan penghalang tetapi mengawal supaya kita tidak terbabas. Jangan sehingga nasi sudah menjadi bubur, baru rasa menyesal.

Kita guna teori belajar. Peperiksaan semakin hampir. Rakan-rakan terus hanya melayan drama. Kita yang sedar kejayaan itu impian hidup sanggup berkorban keinginan menonton drama seperti orang lain kerana yakin usaha itu akan membuahkan hasil yang setimpal. Orang yang malas akhirnya rugi.

Begitu juga dalam kehidupan. Jodoh itu Allah telah tentukan bagi setiap anak adam. Jadi bersabarlah kerana akhirnya akan tiba juga saat kita dikasihi dan mengasihi malah dengan kesabaran itu buahnya lebih manis. Berbanding dengan orang yang tertipu dengan nikmat sementara (antaranya dapat pakwe curang).



Kadang kala apabila bersembang perkara ini ada rakan saya yang menjawab tahu je tapi dah perasaan. Saya faham, mana ada manusia yang tidak diuji. Maka berbalik pada pergantungan kita kepada Allah. Dia yang menentukan segalanya. Dialah yang berkuasa membolak balikkan hati kita.

Sharing is caring. Saya mahu berkongsi prinsip hidup saya dengan rakan-rakan. Apa yang saya pegang (terutama dalam soal jodoh) adalah usaha atau ingin macam mana pun tetapi jika Allah tentukan tidak maka jawapannya tetap tidak dan begitulah sebaliknya (semoga saya berpegang teguh dengan prinsip ini). Maka daripada hati merana akhirnya, lebih mudah serahkan kepada Allah. Mudahkan? (Tidak perlu rasa frust) Jangan cari pasal kalau tiada pasal, bak kata sahabat saya.





Hari ini saya merelakan malah meyakinkan hasrat rakan baik saya untuk bercerai dengan pakwenya. Mungkin dialah jodohmu tapi sekarang bukanlah masanya. Sekiranya dia jodohmu, biarlah pertemuan kalian itu pertemuan yang bermakna dan dirahmati. Mungkin juga dia bukan jodohmu walaupun perasaanmu ikhlas terhadapnya, tapi jangan biarkan dirimu tersia-sia. Marilah kita sama-sama doa semoga Allah kurniakan kita the right man at the right time.

Saya rasa cukup sekadar ini dulu. Banyak kekurangan dalam entry ini seperti yang saya katakan isu ini bukanlah saya selayaknya untuk mengulas. Sekadar perkongsian.

Monday 11 January 2010

Adakah Kau Lupa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Seminar nuqaba yang dihadiri para mentor akhawat diakhiri dengan lagu Adakah Kau Lupa. Cukup membangkit semangat!



Adakah Kau Lupa
Album : Alami
Munsyid : Alarm Me
http://liriknasyid.com


Adakah kau lupa
Kita pernah berjaya
Adakah kau lupa
Kita pernah berkuasa

Memayungi dua pertiga dunia
Merentas benua melayar samudera
Keimanan juga ketaqwaan
Rahsia mereka capai kejayaan

Bangunlah wahai anak bangsa
Kita bina kekuatan jiwa
Tempuh rintangan perjuangan

Gemilang generasi yang silam
Membawa arus perubahan
Keikhlasan hati dan nurani
Ketulusan jiwa mereka berjuang

Sejarah telah mengajar kita
Budaya Islam di serata dunia
Membina tamadun berjaya
Merubah mengangkat maruah

Lagu & Lirik : Jef Hazimin Jaafar & Alarm Me
Programmer : Sharani
Vokal : Nordin
Publishing : Gurindam Cipta
Album : Alami


p/s: suka mengimbau serta berkongsi lagu-lagu yang memberi makna walaupun lagu lama


Saturday 9 January 2010

Adakah PERUBATAN Menggagalkan Akademik Ahlinya? (Unedited)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Dek kerana masalah internet rumah yang tidak menentu, saya langsung tidak berpeluang meng'update' blog. Sekadar perkongsian artikel dibuat untuk dimuatkan dalam Mansouriyyin.


Adakah PERUBATAN Menggagalkan Akademik Ahlinya?

Persatuan atau organisasi adalah suatu perkara yang sinonim dalam kehidupan terutama kehidupan insan yang bergelar pelajar terutamanya mahasiswa. Mahasiswa-mahasiswi harus sedar bahawa berpersatuan antara wasilah dalam mendidik diri menguruskan realiti kehidupan.

Pendedahan berpersatuan dan berprogram di universiti amat penting kerana itulah bayangan sebelum kita terjun dalam masyarakat sebenar yang pelbagai. Menjadi sungutan kualiti mahasiswa kini kian merosot. Kita gagal menghasilkan pelajar yang kreatif, berkeyakinan, berbakat dan cekap.





Kebanyakan mahasiswa yang beranggapan akademik sahaja yang utama akan terus leka dengan buku dan pelajaran mereka menyebabkan kita menghasilkan ilmuwan yang idealistik tetapi tidak realistik. Lebih malang apabila mereka ini hanya menghafal silibus yang ditetapkan tanpa nilai tambah dan penghayatan yang sepatutnya.

Malang pula bagi golongan mahasiswa yang terus hanyut dengan hiburan. Fikiran mereka tidak lebih hanya sekadar pemikiran pelajar sekolah menengah bukan mahasiswa. Mereka berasa bebas dengan dunia universiti tanpa kawalan terutama mahasiswa luar negara. Golongan sebegini kurang cakna akan isu-isu semasa yang dianggap berat bagi mereka kerana beranggapan bukan tugas mereka untuk memikirkan isu-isu berkaitan.





Tanpa berpersatuan dan berprogram mahasiswa bakal menjadi seorang yang gagal menguruskan realiti kehidupan. Analoginya begini, anda sebagai pelajar perubatan hanya membaca buku tanpa sebarang pendedahan berkaitan kemahiran klinik. Apabila terjun dalam bidang kedoktoran yang sebenar mampu kah anda berjaya sekadar dengan bekalan yang ada.

Sebelum saya mengulas panjang mengenai keperluan dan kepentingan berpersatuan serta berprogram, mari sama-sama kita hayati hadis dan ulasannya.

Dari Tsauban ia berkata Rasulullah bersabda: “Kelak umat-umat lain akan mengerumuni kalian seperti orang-orang yang lapar mengerumuni kalian seperti orang-orang yang lapar mengerumuni hidangan mereka.” Salah seorang bertanya: “Adakah kerana bilangan kita sedikit ketika itu?” Rasulullah menjawab: “Tidak, ketika itu bilangan kalian ramai namun kalian adalah seperti buih di lautan, Allah akan menghilangkan perasaan takut dari musuh kalian dan Allah akan mencampakkan ‘Wahn’ ke dalam hati kalian.” Salah seorang bertanya: “Apakah Wahn itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Cintakan kehidupan dan benci kan kematian.”





Tepatlah hadis atas bahawa umat Islam akhir zaman ramai bilangannya namun tidak memberi manfaat sepenuhnya. Jika kita sama-sama merenung benarlah realiti kehidupan masyarakat di dunia ini terbahagi kepada 3:
  1. Golongan yang hidup untuk dunia
  2. Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat
  3. Golongan yang menganggap dunia sebagai ladang akhirat

Saya berminat untuk mengulas 2 golongan yang berkait rapat dengan realiti kehidupan umat Islam kini iaitu golongan yang sesat antara dunia dan akhirat dan golongan yang menganggap dunia sebagai ladang akhirat.



Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat

Golongan ini terdiri daripada kebanyakan manusia yang mengakui akidah yang satu. Mereka menjalani ibadah seharian seperti yang dituntut tetapi malangnya hakikat kehidupan mereka lebih menuju kecintaan dunia berbanding akhirat akibat tidak jelas mengenai tujuan hidup yang sebenar lalu tertipu dengan nikmat dunia.

“Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, bintang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik.” (Ali-Imran: 14)


Golongan yang menganggap dunia sebagai ladang akhirat

Golongan ini pula sedar dan begitu faham akan nilaian kehidupan dunia. Mereka jelas bahawa Allah mencipta manusia tidak lain untuk mengabdikan diri kepada Allah.

“Dan tiadalah kehidupan dunia itu selain main-main dan senda gurau sahaja dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu memahaminya.” (Al-An'am: 32)

Dunia dijadikan ladang untuk menanam amalan untuk meraih hasil di akhirat kelak. Mereka sedar bahawa proses penanaman itu bukanlah mudah tetapi penuh dengan masalah namun masalah bukanlah bebanan tetapi menjadi cabaran bagi mereka untuk mengatasinya dengan bijaksana.





Golongan ini bukan seperti golongan yang sesat yang tenang dengan kesenangan dan khayalan sedangkan teruji dengan pemberian malah mereka mendakwa mengharung dugaan tetapi mereka belum pun diuji.

“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Berjuang menegakkan agama bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng apatah lagi dalam keadaan masyarakat kini yang mementingkan diri dan tenggelam dalam kejahilan kehidupan beragama yang sebenar. Malah diibaratkan bagi mereka yang berjuang demi agama adalah ibarat menggenggam bara api.


Mahasiswa-Mahasiswi Perubatan Mesir

Sepanjang kehidupan saya di bumi Mesir, saya dapat menyimpulkan secara umum bahawa mahasiswa-mahasiswa perubatan khususnya Mansurah terbahagi kepada 2:
  1. Golongan yang mementingkan hiburan dan pelajaran
  2. Golongan yang mementingkan pelajaran dan berpersatuan

Golongan pertama ini sering menjadikan alasan pelajaran lebih utama apabila diajak untuk membantu persatuan (PERUBATAN) pada hakikatnya mereka sayang untuk mengorbankan masa hiburan mereka. Mereka diibaratkan tergolong dalam golongan yang sesat antara dunia dan akhirat. Mereka mengaku umat Islam tetapi mereka malas dan beralasan untuk membantu Islam. Mereka senang dengan ketenangan hidup mereka yang menipu.

Golongan kedua pula adalah mereka yang sering berkorban tenaga, masa dan segalanya demi membantu agenda PERUBATAN. Namun mereka sering dikaitkan dengan kegagalan dalam akademik. Maka menjadi persoalan : Adakah PERUBATAN Menggagalkan Akademik Ahlinya?





Mari kita berbalik kembali pada agenda utama penubuhan PERUBATAN. PERUBATAN ditubuhkan demi menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Maka PERUBATAN adalah satu-satunya persatuan yang mengumpulkan mahasiswa-mahasiswi perubatan di Mesir untuk sama-sama berteduh di bawah satu bumbung. Malah kebajikan yang dijanjikan bukanlah melibat soal kewangan sahaja malah terdapat banyak unit diwujudkan demi mencapai misi dan visi yang membuktikan Islam itu merangkumi semua aspek kehidupan manusia tanpa menolak atau mementingkan mana-mana aspek.

Menjadi impian PERUBATAN supaya setiap ahli-ahlinya mempunyai identiti pentarbiahan dan akademik yang tersendiri serta mantap tetapi anda harus sedar bahawa impian ini memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit malah menggunung daripada barisan pimpinan dan ahli-ahlinya. Pelbagai agenda dan program dirancang demi mencapai misi dan visi PERUBATAN.

Jadi apakah kegagalan mereka yang kuat bekerja dalam PERUBATAN berpunca daripada PERUBATAN sendiri?


Antara pelajaran dan bekerja, yang mana menjadi pilihan?

Daripada Anas bin Malik r.a , bersabda Rasulullah SAW: “menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim” (riwayat Ibn Majah dan Abu Ya'la)

Islam menegaskan bahawa ilmu itu penting dalam kehidupan penganutnya. Sebagai mahasiswa-mahasiswi perubatan menjadi amanah kepada kita untuk berusaha mendapat kelulusan yang cemerlang agar kita dapat menghasilkan doktor-doktor yang berkualiti. Usaha yang dituntut bukanlah semudah kata-kata. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.




Adakah bekerja dalam persatuan yang merupakan wasilah dakwah kita wajar diketepikan oleh mahasiswa-mahasiswi perubatan?

“Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Allah tidak memberi pimpinan kepada orang-orang yang fasik.” (At-Taubah:24)

Inilah amaran dan ugutan Allah kepada orang-orang yang enggan berjuang menegakkan agama-Nya. Allah melantik manusia sebagai khalifah di bumi ini malah Allah meletakan tanggungjawab yang besar di bahu orang-orang Islam supaya menegakkan agama-Nya.

Jadi yang manakah yang menjadi pilihan? Jelas di sini akademik dan persatuan tidak dapat dipisahkan malah seiringan Maka apa yang perlu dikorbankan adalah masa lapang kita yang sering terisi dengan hiburan-hiburan yang ada kalanya melampaui batasan masa sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam. Malah menurut rekod Unit Hisbah 08/09, 80% daripada pelajar yang bermasalah sosial dan akhlak gagal dalam akademik mereka. Mengapakah fakta ini kurang diberi perhatian?


Bagaimana pula orang-orang kuat persatuan yang gagal?

Ini berbalik kepada individu yang terbabit. Setiap manusia diberi tempoh 24jam yang sama untuk dimanfaatkan. Menjadi kebijaksanaan kita untuk membahagikan masa dengan efektif. Tidak semua mereka yang kuat berpersatuan adalah gagal malah mereka juga tergolong sebagai mahasiswa-mahasiswi yang cemerlang. Maka kita perlu belajar untuk membaiki kesilapan kita.

Satu lagi isu yang perlu kita selami mengenai kegagalan mereka yang aktif berpersatuan. Mereka mempunyai kesedaran peri pentingnya berpersatuan dalam kehidupan mereka tetapi PERUBATAN sendiri acap kali kekurangan tenaga kerja bagi menjayakan sesebuah program atau agenda. Boleh dikatakan pekerjaan yang sepatutnya dilakukan oleh 3 individu terpaksa ditanggung oleh seorang sahaja.




Tidak malukah anda yang enggan bekerja mencuri masa mereka yang berkorban demi melunaskan tanggungjawab anda sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam malah anda terus-menerus menyalahkan kegagalan mereka tanpa memikirkan hakikatnya kegagalan mereka juga adalah tanggungjawab anda.

Tetapi saranan supaya mahasiswa-mahasiswi perubatan Mesir untuk bergiat aktif dalam PERUBATAN tidaklah berkait dalam ruang kepimpinan sahaja. Saranan ini sebenarnya meliputi semua tahap gerak kerja tidak kira sebagai orang bawahan atau atasan. Jangan kita sibukkan kepimpinan atasan tetapi menyumbang tenaga demi kebajikan bersama terus berkira dan beralasan.





Janganlah kita sebagai mahasiswa-mahasiswi perubatan Mesir terus-meneruskan mewujudkan seribu satu alasan untuk tidak komited dalam akademik dan persatuan. Mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Anda terus menerus memberi alasan sedangkan sebenarnya anda sendiri tidak sanggup mengorbankan diri demi kepentingan bersama. Marilah bersama-sama bersatu membantu PERUBATAN atas dasar akidah yang satu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahu tentang orang-orang Islam, maka dia bukanlah dari golongan mereka (orang-orang Islam)”.