Thursday 28 May 2009

Isu Kahwin, Jangan Jadi LALANG

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

"Semalam sambut
bezday. Habis kena usik bab kahwin". Saya bercerita kepada mak dalam perbualan telefon kami tahun lepas.

Beberapa hari kemudian.

"Mak cakap kakak nak kahwin."beritahu umi ketika kami berchatting.

Adus. Kata umi, orang-orang zaman dahulu tidak bergurau soal kahwin lagi-lagi anak dara. Saya hanya bercerita kejadian diusik rakan-rakan tetapi mak menyangka saya memberi hint untuk bernikah. Satu muhasabah kepada kita.


Gambar Hiasan

Setelah meniti usia hampir 21 tahun boleh dikatakan saya bosan dengan isu perkahwinan. Jangan salah faham. Pengalaman kehidupan saya membuatkan saya melihat perkahwinan suatu yang berat. Tanggungjawab yang akan saya pikul, saya berhasrat melaksanakan dengan sempurna jadi ia bukan suatu yang mudah.

Andai kawan-kawan rajin menjenguk blog ibu-ibu yang memaparkan gambar-gambar anak mereka yang comel tetapi saya tidak begitu teruja. Melihat gambar membuatkan saya berfikir bagaimana mahu membesarkan bakal anak-anak saya dengan sempurna. Memberi segalanya tanpa terlebih memanjakan.

Hidup berumah tangga dianggap mengecapi kehidupan bahagia. Tetapi, saya terfikir tanpa persiapan yang sempurna kebahagian akan digantikan dengan penderitaan. Kes penceraian semakin hari semakin meningkat termasuk di kalangan golongan agama cukup memberi igauan ngeri kepada saya. Saya tidaklah menolak perkahwinan samada perkahwinan semasa atau selepas belajar tetapi saya mengambil serius soal perkahwinan.

Bagaimana anda hendak berkahwin sekiranya isu perkahwinan dan penceraian dianggap isu mudah malah kadang kala restu ibu bapa cuba ditolak tepi. Bagaimana hendak berkahwin sekiranya sikap semasa bujang yang tidak diubah cukup membuat kesabaran rakan-rakan tergugat. Bak kata adik saya dalam artikel beliau (jemput baca), baik dan keji tidak bermula dari saat terlafaznya akad nikah tetapi sebelum itu lagi.

Bagi yang bercouple pula, jelas ia adalah haram. Namun, bagi yang masih mahu melakukan perkara terlarang, mereka ini adalah golongan tidak bermatlamat atau matlamat jangka pendek yang merugikan dan tidak bertanggungjawab. Mengapa? Fikir-fikirkan sendiri.


Gambar Hiasan

Saya menghormati individu yang menggalakan mempersiapkan diri demi sebuah perkahwinan berbanding individu yang menggalakkan perkahwinan tetapi gopoh. Isu perkahwinan bukan isu yang boleh digunakan untuk menarik perhatian orang.

Isu perkahwinan adalah isu yang perlu dipertimbangkan sewajarnya bukan jadi seperti lalang. Apabila wujud individu menolak perkahwinan usia muda, kita angguk. Apabila wujud individu mencanangkan perkahwinan usia muda, kita angguk. Kemudian pening. Jangan jadi robotik. Pertimbangkan sewajarnya bersesuaian dengan kondisi diri. Keputusan yang diambil biar bersesuaian dengan diri, keluarga dan masyarakat. Jangan jadikan isu perkahwinan fitnah.

Sekadar luahan fikiran saya dikala isu perkahwinan hangat diperkatakan di kala musim peperiksaan. Wallahualam.

p/s: Jika kita mahu tetapi Allah sudah tetapkan tidak, maka bagaimana-bagaimana pun TIDAK begitu juga jika kita tidak mahu tetapi Allah sudah tetapkan ya, maka bagaima-bagaimana pun YA. Jadi serah kepada Allah, tidak perlu frust.

Thursday 21 May 2009

Blog oh Blog

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Apabila bercakap mengenai kekaguman kita pada Rasulullah. Kecintaan kita pada baginda. Saya malu akan diri sendiri. Mengapa?

Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya:

"Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"

Rasulullah yang kita akui sebagai role model kehidupan kita tidak bercakap dengan bahasa seperti orang rendah taraf pendidikan. Tidak berakhlak dengan akhlak yang teruk. Baginda tidak bergurau dengan mencarut dan rendah tarafnya.

Rasulullah berbahasa dengan bahasa indah, berakhlak dengan akhlak yang memikat dan bergurau dengan cara yang sesuai. Adakah kita mencontohi baginda?


TERGANGGU
Sepanjang saya melayari dunia blog, pelbagai ragam dan style. Ada blog yang membantu dari segi pelajaran (terima kasih kepada firdaus untuk analisa subjek pharma), memberi maklumat tambahan, menceritakan teladan kehidupan (contohnya blog sahabat saya syakila) dan juga menghilangkan tekanan. Namun kadang kala saya agak terganggu dengan gaya penulisan sesetengah blog.

Dalam dunia blog, tidak mengapa apabila menulis blog menggunakan gaya santai atau sempoi demi menarik perhatian pembaca tetapi biarlah adab sopan itu terpelihara dan nilaian moral yang rendah itu dihindarkan. Saya tidak berniat untuk menghalang cara anda yang tersendiri. Saya sedar saya baru bertatih dalam dunia blog malah penulisan saya tidak selancar bicara saya.


NILAIAN AMALAN

Allah Maha Melihat segala tindak tanduk kita. Setiap amalan kita akan dinilai setimpalnya. Biarlah budaya blog ini memberi manfaat dan diterima sebagai nilaian ibadah walaupun blog kita bukanlah blog agama dan hanya sekadar perjalanan pengalaman kehidupan. Janganlah budaya ini termasuk jalan untuk kita menuju kelalaian.

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat kepadaKu" (Az-Zariyat:56)

Sebagai peringatan kepada diri saya yang sering terlupa dan juga sahabat-sahabat yang sudi membaca. Wallahualam.


p/s: sahabat saya pernah berkata, blog anda kadang kala melambangkan siapa diri anda. Sesungguhnya manusia itu mempunyai pelbagai wajah.

Tuesday 19 May 2009

KU SANGKA DM TETAPI BA

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah hari ini berakhir peperiksaan subjek Pharmacology. Namun, masih ada lagi 3 subjek berbaki. Setelah bergelumung dengan ubat-ubatan kini bergelumung dengan cacing dan suku sakatnya.

Doktor kedua yang menyoal saya merupakan doktor Endocrine. Melangkah ke dalam pejabat beliau membuatkan saya tersenyum kerana Diabetes Melitus yang diajar beliau merupakan tajuk yang saya gemari. Namun, malang tidak berbau bukan itu yang disoal. Penuh psyco doktor menggoyahkan setiap jawapan saya mengenai penyakit semput (bronchial asthma).


INSULIN

Sebelum saya bercerita lebih jauh mengenai penyakit ini. Mari bertaaruf dengan insulin dahulu. Terdapat satu organ di dalam badan kita yang dinamakan pancreas. Pencreas mempunyai beta cell yang menghasilkan antaranya satu enzyme yang dipanggil insulin. Insulin bertanggungjawab mengawal kandungan gula di dalam badan manusia kerana insulin akan menghurai gula untuk menghasilkan tenaga. Insulin mempunyai receptor tersendiri yang dipanggil tyrosine kinase receptor.


DIABETES MELITUS

Diabetes Melitus atau dalam bahasa Melayunya penyakit kencing manis. Penyakit ini akan saya warisi dengan izin Allah kerana keluarga sebelah umi menderita penyakit ini. DM merupakan penyakit warisan jadi kepada yang mempunyai keluarga yang menghidap penyakit ini perlu mengawal diet mereka.

DM bermaksud sindrom gangguan pemprosesan gula, lemak dan protein dalam badan manusia mungkin disebabkan kekurangan insulin atau kekurangan bilangan dan sensitiviti insulin receptor.

Kategori
Diabetes Melitus secara umum terbahagi kepada 2 ketagori iaitu Non-Insulin Dependent DM (NIDDM) dan Insulin Dependant DM (IDDM). Terdapat kategori lain namun cukuplah mengatahui 2 kategori ini untuk permulaan. Jadi apakah berbezaan 2 ketagori ini?

Pesakit IDDM kebiasaanya berumur kurang daripada 30 tahun dan menghidap penyakit ini secara mendadak. Ia berpunca daripada pankreas yang tidak berfungsi dengan baik dan gagal menghasilkan insulin yang secukupnya. Secara umum pesakit ini bergantung kepada kawalan diet dan suntikan insulin (mandatori).

Pesakit NIDDM pula kebiasaannya berumur lebih daripada 30tahun dan kebiasaannya mempunyai masalah berat badan (obesity). Ia berpunca daripada insulin yang dihasilkan oleh badan tidak memainkan peranan dengan baik. Pesakit ini bergantung kepada kawalan diet dan jika perlu mengambil ubat anti-kencing manis (anti diabetic drugs).


Simptom

  1. Masalah berat badan atau obesiti
  2. Masalah tekanan darah tinggi
  3. Masalah jantung (coronary heart disease)
  4. Mempunyai sejarah keluarga menghidap DM
  5. Mempunyai diabetes ketika mengandung
  6. Mempunyai aras lemak yang tidak normal
  7. Sering membuang air kecil
  8. Sering berasa dahaga dan kerap minum
  9. Mudah letih

Setakat ini sahaja pengenalan kita dengan DM. Insya Allah penerangan yang lebih perinci akan saya terbitkan di www.klinikmansurah.blogspot.com selepas peperiksaan.

p/s: Maklumat BA boleh rujuk di www.klinikmansurah.blogspot.com

Saturday 16 May 2009

SELAMAT HARI GURU

Selamat Hari Guru kepada semua guru terutama guru-guru saya sejak tadika hingga kini. Jasa kalian mendidik anak bangsa hanya Allah yang mampu membalas sewajarnya. Semoga Allah mengurniakan ketabahan dan kekuatan untuk terus berjuang dalam dunia pendidikan.


Khasnya Selamat Hari Guru kepada umi saya.

Umi bersama abuya

Guru Kemahiran Hidup kelas saya ketika tingkatan 1
Guru Geografi dan Guru Kelas saya ketika tingkatan 2
Guru Sejarah kelas saya ketika tingkatan 3
Guru Sidang Rediaksi Majalah Sekolah 2003
dan yang paling utama Guru KEHIDUPAN saya.

(Kalau tak pindah sekolah insya Allah guru Bahasa Melayu saya.)

Lagu ditujukan kepada semua guru yang banyak berjasa





Terima Kasih Guru - Mirwana

p/s: Peperiksaan membuatkan semua idea saya meruap. Maka kemungkinan entry terbaru selepas peperiksaan.